Jumaat, 13 Mei 2016

Jho Low Agen Sekularisasi 1MDB?




oleh Wan Fayhsal


Tidak ramai, mungkin hanya saya seorang yang melihat skandal 1MDB daripada sudut perbenturan peradaban (can't help that as I am influenced by Prof. SMN Al-Attas) yakni satu "Cosmic Battle" antara kebenaran Islam dan kebatilan sekularisme atau lebih tepat sekularisasi sebagai rencana falsafah.


Antara jasa terpenting Prof. Al-Attas ialah memberi pukulan maut ke atas faham sekularisme. Cara olahan beliau tiada tara hebatnya dan bersifat autoritatif dan lagenda sebaris dengan para ulama' lain (kalau tidak pun lebih) seperti a-Shahid al-Buti dan al-Qaradawi.

Sudah tentu kita faham bahawa Peradaban Barat itu bukan sekadar wujud di atas konsep-konsep filsafat semata. Masakan mereka mampu merajai hampir keseluruhan bumi kalau konsep-konsep itu tidak diterjemah-amalkan dalam setiap lapangan ilmu praktikal. Maka janganlah kita bersifat "statik", "jumud" dengan sekadar mengulang-ulangi apa yang Prof. Al-Attas katakan tanpa membuat kajian lanjut kerana bak kata anak murid beliau yang banyak menterjemah-amalkan rencana peng-Islaman ilmu kontemporari iaitu Dr Adi Setia:

"PERADABAN BARAT ITU BUKAN GEORGRAFI TETAPI IANYA SUDAH BERADA DI SINI, DALAM BILIK KITA, DALAM KAMAR KITA, DALAM DAPUR KITA, DALAM BILIK KULIAH KITA DAN DALAM MINDA KITA. Ianya tidak lagi sekadar wujud dalam bentuk konsep tetapi juga hakikat tampak!"

Bila bekas MB Ganu, Mat Said tahun lalu mengaku yang percubaan 1MDB nak cagar telaga minyak Terengganu - dan baru-baru ini disahkan sejelas-jelasnya dalam laporan PAC bahawa Mat Said tidak menipu dan Sultan Mizan murka kerana si Shahrol dan Ismee (1MDB) lanyak juga buat keputusan untuk teruskan penerbitan hutang tapi sekadar mampu buat Islamic Middle Term Notes (IMTN) yang tidak diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah 1MDB yang asal iaitu Tan Sri Bakke Salleh, saya dah boleh agak dan baca apa sebenarnya niat Jho Low (puppet master di belakang 1MDB) nak buat pada telaga minyak Terengganu.

Seperti saya tulis tahun lalu (patut dua bahagian tapi malas nak tulis dah) Jho Low ingin gunakan pengsekuritian hasil pendapatan masa depan telaga minyak Terengganu (securitization of future flow oil profit) untuk dijadikan jaminan (collateral) bagi meminjam hutang-hutang berbilion.

Alhamdulillah, Tan Sri Bakke Salleh, Mat Said dan Sultan Mizan tolak dan murka kalau tidak mampus negeri Terengganu terus dijarah Jho Low dan 1MDB.


Kenapa Jho Low adalah agen sekularisasi? Beliau dilatih di Wharton - salah satu sekolah yang melahirkan banyak pemikiran Neo-Liberalisme dalam ekonomi (apa ingat liberalisme ini sekadar golongan kuman hawa lembab yang bercakap tentang Islam, feminisme saja?)

Apa yang beliau sudah buat dalam 1MDB dan cuba buat di Terengganu adalah "hallmark" kepada cara gaya berfikir sekularisme dalam bidang ekonomi dan kewangan yang bersepah di Wall Street, City of London.

Agen-agen inilah yang "embodied" faham sekularisasi sebagai rencana falsafah dan diterjemah-amalkan ke dalam bidang ekonomi dan kewangan melalui penghasilan PRODUK-PRODUK KEWANGAN (FINANCIAL INSTRUMENTS AND ECONOMIC TOOLS) untuk menipu dan melakukan fasad di atas muka bumi - dalam kes ini bumi Ganu.

Apa bukti "future flow securitization" adalah satu bentuk produk yang lahir daripada faham sekularisasi sebagai satu rencana falsafah?

Bagi yang sudah hadam adikarya Prof. Al-Attas "Islām & Secularism" atau "Risalah Untuk Kaum Muslimin", adipati (essence) faham sekularisme seperti yang diolah semula dalam penelitian maknawi (semantic analysis), sekularisme ialah faham yang membawa semangat dan hakikat "here and now" atau "kedisini-kinian".

"Future flow securitization" secara adipatinya diserapi (imbued) dengan semangat sekularisme ini di mana ianya cuba memungut keuntungan masa depan yang belum dijana keluar (kerana minyak masih tertanam dalam perut bumi) untuk di-ada-kan dan dikaut pada masa kini (being realized here and now).

Ini bermakna "income stream" masa hadapan kerajaan negeri Terengganu yang datang daripada bentuk royalti minyak kerajaan Persekutuan telah "dirompak" oleh penyanggak masa kini (1MDB).

Ringkasnya Jho Low telah meng-konkrit-kan faham sekularisasi sebagai satu rencana falsafah ke dalam bentuk tampak yang boleh dihasilkan semula dan diguna pakai dalam banyak sektor ekonomi dan negeri yang punya hasil pendapatan yang konsisten. Contoh, Jho Low boleh gunakan produk ini untuk securitize hasil pendapatan pengekstrakan bauksit di Pahang.

Financialization of Neo-Liberal Capitalism adalah kemuncak kejahatan faham sekularisme dalam bidang ekonomi dan kewangan di mana "kuil-kuil" dan "gereja-gereja" yang mengajar kebatilan ini ada banyak di Wall Street, di City of London dan di sekolah-sekolah perniagaan tersohor Barat baik Harvard, Wharton, Sloan etc.

Adakah ini bertepatan dengan Syari'ah? Tidak. 1MDB ingin ambil dan guna hak generasi mendatang rakyat Terengganu untuk ternak lebih banyak wang - dan kita tahu kalau dibiarkan 1MDB tidak mampu bayar hutang yang diternak melalui cagaran duit minyak Ganu itu kerana nafsu besar 1MDB itu telah menelan banyak duit rakyat daripada Tabung Haji, LTAT, Socso, KWAP.

Apakah kesannya kalau Jho Low berjaya mengamal laksanakan faham sekularisasi ke dalam 1MDB dan di Terengganu?

Terengganu khususnya dan Malaysia am-nya akan jadi seperti banyak negara-negara Latin Amerika seperti Ecuador yang mengorbankan hak masa depan generasi mereka untuk memenuhi ketamakan dan tembolok nafsu masa kini.

Jadi apa tugas para profesor peradaban Islam, profesor Maqasid Shari'ah, para mufti, pakar itu dan ini? Lakukan nahi mungkar dengan kapasiti yang ada iaitu tulis, jelaskan kepada rakyat, kepada para Sultan, kepada pemimpin UMNO bahawa 1MDB dan Jho Low akan menghancurkan peradaban Melayu dalam jangka masa yang singkat kalau dibiarkan mereka ini merajai sistem tadbir urus negara.