Selasa, 9 Februari 2016

Kelemahan Ahl al-Sunnah wa'l-Jamaʿah di Malaysia dalam berhadapan golongan Mubtadiʿin (The Misguided Innovators)



Kita sepakat dan tiada boleh dinafikan walau sekelumit hakikat golongan Wahhabiyah seperti jelas al-Shahid al-Imam al-Sa'id Ramadan al-Buti adalah akhṭaru bidʿatin tuhaddidu al-Sharīʿah al-Islāmiyyah (ancaman bid'ah paling berbahaya ke atas Shari'ah Islam). Tiada khilaf antara kita Asha'irah ke, Maturidiyyah ke, Muhaddithin ke, Sufiyyah ke, Mutakallimin ke, Fuqaha' ke, hatta Athari.


Kita ma'ruf dan ma'lum sebarang ancaman ke atas manhaj ahl al-Sunnah wajib ditentang demi memlihara agama seperti para imam kita seperti Al-Ghazali, Al-Razi, hatta al-Azhar al-Sharif telah lakukan.


Tapi kenapa di Malaysia bila timbul saja usaha untuk membendung ulama' Sunni kena "game" dengan puak Wahhabi, Salafi dan Liberal khusus dalam permainan persepsi?


Dua kelemahan utama yang saya nampak.


(1) Strategi kekampungan.


(2) Dipergunakan penguasa yang zalim dan menindas.


Untuk (1) kita maklum kerana banyak tokoh-tokoh Sunni kita datang daripada tradisi pondok dan negara Arab yang da'if tidak kosmopolitan - jauh daripada Moderniti. Ilmu  usul, ilmu alat memang tip top, tiada siapa mampu nafikan kekuatan ulama' pondok Sunni. Brilliant. Wahhabi dan Salafi takkan mampu lawan punya. Mulazamah turath memang ngetop habis.


Tapi ulama' dan tokoh Sunni ini "disenfranchised" bermakna mereka tersisih dalam kerencaman budaya dan latar kosmopolitan khusus di kota.


Maka bila nak bendung Wahhabi dan Salafi yang "urban-savvy" khusus mampu tarik "English-speaking crowd", ulama' Sunni nampak tohor, tawar hebe, selekeh dan tidak berketrampilan.


Jangan ingat ini semua tidak penting. Ini penting kerana dunia sudah berubah dan masyarakat awam khusus di bandar dibentuk dengan arus dunia Modeniti ini. Wahhabi, Salafiyyah - walaupun asasnya pemikiran mereka ini terbit daripada kerencaman padang pasir, mereka pandai manfaatkan media massa, duit minyak dan naluri awwam populis. Mereka menempatkan diri mereka bersama-sama rakyat khusus dalam hal-hal yang nampak remeh temeh tapi menyentuh rakyat.


Untuk (2) strategi dakwah Sunni di Malaysia sering menampakkan kebergantungan kepada penguasa. Kita faham niat nak buat hawl, nak buat mawlid perdana itu dan ini memerlukan dana yang besar dan penguasa sering saja ambil peluang ini untuk menunjukkan mereka bersama ulama' Sunni. Tiada masalah. Kita faham Aqidah Sunni berhubung ketaatan kepada pemerintah yang zalim selagi mana tidak kufur bawahin (terang) tapi kita sering lupa ketaatan itu bersyarat selagi mana tidak bawa maksiat.


Ianya jadi masalah seperti ketika ini bilamana penguasa tanpa segan silu membohongi rakyat hampir setiap hari. Lebih malang dalam hal-hal yang melibatkan maslahah rakyat seperti derma dan Tabung Haji, ulama' Sunni yang berstrategi kekampungan tadi, yang tiada terdedah dengan waqi' kosmpolitan tersisih jauh dan tiada berupaya untuk memilah dan tabayyun ke atas putar belit penguasa yang mencabuli hak rakyat yang merupakan asas-asas dalam Maqasid al-Shari'ah khusus melibatkan hifz al-Mal.


Malah lebih malang ada ulama' Sunni dijadikan "rubber stamp" untuk penguasa terus menerus menzalimi. Ini bahaya kerana di sebelah puak Wahhabi dan Salafi mereka konsisten dalam menyatakan yang benar ke atas kesalahan-kesalahan penguasa yang melibatkan kepentingan awam (sebab itu saya banyak kali bising di mana ulama' Sunni dalam 1MDB dan TPPA? Paling koman bab akhlaq [ethics] kena bersuara kalau pun tak faham pasal transaksi corporate finance, rule of law bagai)


Maka rakyat yang tiada mendalami manhaj Sunni akan terus nampak kelebihan Salafi Wahhabi yang bagi mereka lebih berpegang kepada Qur'an dan Sunnah berbanding Sunni khusus Sufi yang bersifat "political quietism" akan dilihat sebagai tersisih dan kekampungan.


Imej dan citra kekampungan bukan kehinaan bagi orang yang memahami inti bicara. Kita tidak sesekali memandang rendah ulama' pondok kerana kita tahu mereka adalah mewarisi manhaj yang benar dan cukup hebat.


Tapi kita bercakap dalam waqi' yang semakin berubah. Waqi' yang menuntut Islam itu berdiri dan mampu mendepani Kosmopolitanisme - seperti mana yang berjaya ditonjolkan Al-Azhar al-Sharif, Imam al-Buti, Shaykh Sa'id Fawdah, Habib Abu Bakr al-Masyhur al-Adni, Prof. Al-Attas, Allamah Shaykh bin Bayyah, Shaykh Hamzah Yusuf, Shaykh Abdul Hakim Murad dan ramai lagi.


Rakyat melihat Wahhabi dan Salafi sebagai mainstream bukan Sunni - ini hakikat pahit yang kita kena telan di Malaysia.


Jadi marilah kita mengubah strategi kita. Jangan gopoh, gelojoh dan ghuluw dalam menentang fitnah Wahhabi, Salafi dan Liberal.


Kita kena berdiri di atas semua orang hatta sang penguasa termasuk para Sultan perlu dan wajib tunduk kepada ulama' Sunni.


Untuk itu ulama' Sunni kena benar-benar mandiri khusus dibiayai kegiatan ilmiah dan dakwah mereka dengan Waqf yang bebas daripada penguasa.


Ulama' Sunni kena dibantu oleh pakar-pakar IT, penerbit buku untuk hasilkan karya yang bersifat ihsani, bukan rupa gaya taraf kitab kuning yang sering dicemuh oleh generasi sekarang.


Kalau penerbit seperti Dar al-Minhaj boleh hasilkan karya Sunni yang cantik dan bergaya yang tidak sesekali kompromi isi kandungannya maka kita juga di Malaysia boleh lakukan yang sama.


Untuk ulama' Sunni muda, wajib kalian belajar Bahasa Inggeris agar kalian mampu memahami cabaran luaran Peradaban Barat agar tidak terjerut dengan fitnah sekularisasi ilmu yang menjerat Wahhabi dan Salafi seperti kes Geopolitik, Perbankan Islam bagai.


Tidak boleh sekadar balik dari Al-Azhar, dari Yemen sudah selesa. Jangan fikir hanya sekadar baca turath. Kena mulazamah juga dengan karya-karya besar dari Barat, dari China, dari Russia, dari Afrika, dari Latin Amerika, dari karya Kristian, Yahudi dan Ateis.


Tugas kita besar wahai ulama' Sunni iaitu mempertahankan agama sekaligus membina peradaban yang meletakkan Wahhabi, Salafi dan Liberal pada tempat yang sepatutnya!


Maaf kalau terkasar bahasa. Saya tiada masa untuk berlapik.


Ikhlas,
Wan Fayhsal


Rujuk juga tulisan lain: