Khamis, 1 September 2016

Warkah buat Mahasiswa: "Intellectual Resistance, Resist Intellectually"



Mahasiswa ada peranan yang jelas seperti ulas intelektual tersohor MIT, Noam Chomsky dalam makalah ini.


Assalamu’alaykum dan salam sejahtera,

Wahai mahasiswa, izinkan daku mengutuskan warkah padamu.

Pertama-tamanya seribu tahniah kerana kamu telah berjaya meletakkan suaramu sebagai suara keramat tatkala iklim diam seribu bahasa menerpa orang-orang kebanyakan di tanah air berdaulat ini.

Aku pasti kamu terdengar suara-suara sumbang yang terpacul daripada mulut-mulut sumbing mempersoalkan dengan jelek taraf kemahasiswaan-mu seperti:

“Eleh, lecture pun tak pergi. Kuat ponteng”.


“PTPPTN pun tak habis bayar”.

Ketahuilah bahawa golongan mulut sumbing ini sebenarnya menggunakan kelemahan-kelemahan-mu sebagai jendela menutupi kebaculan mereka di saat-saat getir ini.

Mereka lupa nikmat yang mereka kecapi kini disumbang oleh pejuang jalanan dikalangan mahasiswa seperti sosok Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali, Hishamuddin Rais malah lebih awal daripada mereka iaitu golongan guru, wartawan yang menuntut kemerdekaan.

Ingat taraf dan tahap pendidikan rakyat khusus dikalangan bangsa Melayu amat rendah. Ingat bagaimana Mahathir berjuang melalui penulisan, Pak Lah dengan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Anwar Ibrahim melalui PKPIM, ABIM dan Yayasan Anda – semua ini adalah sumbangan mereka sebagai MAHASIWA yang CELIK MASSA sebelum menjadi politikus.  Mereka juga berkuliah di jalanan!

Adapun sedemikian, jangan kamu cepat melatah dan beralah. Kamu terima kritikan mereka dan persiapkan diri kamu agar kamu menjadi contoh kepada semua lapisan masyarakat akan makna dan taraf kamu sebagai seorang mahsiswa.

Wahai mahasiswa, izinkan daku bicara dan menegur mu dalam perihal aktivisme.

Aku tidak bersetuju kamu menjadi bidak catur mana-mana parti politik.

Selagi mana kamu bergelar mahasiswa di kampus, kamu harus kekal berada di blok ketiga batang tubuh politik negara – bebas daripada sebarang anasir-anasir politik kepartian.

Aku pertegaskan ini kerana kamu perlu sedar kekuatakan kamu adalah kekuatan kemandirian kemahasiswaan; bukan kerana kamu bersandar dan mendapat simpati daripada politikus-politikus luaran.

Dengan posisi dan “posture” sebegini, kamu akan lebih dihormati lawan dan kawan; kerajaan dan pembangkang kerana kamu menzahirkan ketulusan kamu sebagai wakil anak dan generasi muda negara.

Disebabkan kamu wahai mahasiswa adala blok ketiga politik negara, kamu perlu sedar beban aktivisme kamu tidak sesekali sama dengan mana-mana watak politik di negara ini.

Kamu harus mengukir raison d’etre kamu sendiri. Kamu harus berpencak dengan cara kamu sendiri dan disinilah daku ingin mengajar-mu akan sifat dan keperluan untuk memahami dan mengamal-laksankan FALSAFAH PERJUANGAN KAMU SENDIRI IAITU ‘INTELLECTUAL RESISTANCE; RESIST INTELLECTUALLY’.

Contoh, kalau kamu risau akan skandal 1MDB, usah kamu bermain di gelanggang politikus dengan retorik yang sama seperti mereka jaja.

Kamu hendaklah menjadi LEBIH BAIK daripada mereka. Dengan cara apa? Dengan cara sebelum kamu “OPPOSE” KAMU HENDAKLAH “PROPOSE”.

Kamu buktikan kepada kerajaan bahawa kamu BUKAN ANTI-KERAJAAN dan DAHAGAKAN KUASA dan POSISI (LUST FOR POWER)  seperti mana politkus-politikus lain.

Kamu hendaklah menjadi RAKAN SEPERJUANGAN yang KRITIS kepada Kerajaan: apa yang baik yang kerajaan sedang dan telah lakukan kamu hendaklah sokong, iktiraf, puji dan bantu perkasakan lagi; mana yang salah, tidak betul kamu hendaklah BERANI bercakap benar, tegur secara beradab dan lebih penting tampilkan PENYELESAIAN.

Wahai mahasiswa, untuk kamu lakukan ini, kamu perlukan ILMU.

Disinilah aktivisme kamu bersatu dalam dua medan Dewan Kuliah dan Jalanan yang sering dipertentangkan tetapi hakikatnya TIDAK.

Contoh ketika ini Yang Berhomat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dengan wawasan “Soaring Upwards”-nya telah menyeru dan berhasrat menjadikan universiti kita setaraf Oxford dan Cambridge dalam 20 tahun akan datang.

Sahutlah seruan mulia ini dan buktikan kepada Kementerian bahawa aktivis mahasiswa bukan tin kosong. Kalian mampu jadi rakan kongsi medan penggubalan dasar yang memajukan pendidikan dan universiti. Mahasiswa ada saham yang besar; bukan saja kerajaan dan para pensyarah dalam meletakkan menara gading kita di mata dunia. Kamu hendaklah menyokong para professor kamu, kepimpinan universiti kamu jikalau mereka telah lakukan yang terbaik buat universiti dan untuk komuniti kamu. 

Puji mereka, iktiraf usaha mereka, bantu mereka! Aku sering lihat petualang politik menggasak kepimpinan universiti kamu dengan ugutan-ugutan murahan. Kalau kamu sedar dan lihat surat laying dan ugutan siber sebegini, kamu hendaklah bangkit menentang petualang-petualang ini dengan menzahirkan sokongan kamu kepada Naib Canselor kamu.

Begitu juga dalam soal 1MDB, kamu hendaklah memahami permasalahan ini setuntas mungkin. Usah politik kepartiankan masalah 1MDB kerana itu bukan urusan kamu. Urusan kamu dalam hal 1MDB ialah mengenal pasti PUNCA MASALAH yang melatari 1MDB iaitu ILMU YANG ROSAK yang terbit daripada universiti-universti.

Kamu perlu berhujah dengan baik, cermat dan kalau mampu setaraf para pensyarah kamu. Biar kerajaan kenal kamu sebagai “thought partners” berbanding sekadar “rabble rousers”.

Wahai mahasiswa, usah gerun, gentar dan rendah diri. Kamu adalah pelapis kepimpinan negara. Kamu perlu ada rasa ‘IZZAH dan HARGA DIRI YANG TINGGI kerana kamu satu-satunya golongan yang punya IDEALISME yang TINGGI melebihi kejumudan dan REALISME golongan tua yang sudah jadi “CONFORMIST” dengan kebobrokan dunia.


Hidup Mahasiswa!

Yang menyeru,
Wan Fayhsal,
Bekas aktivis Mahasiswa.

Tiada ulasan: