Isnin, 27 April 2015

Ḥuqūq al-ʿIbād vs. Insan Promethean: Satu tanggapan awal terhadap landasan berfikir "Sisters In Islam" dan golongan yang seumpama dengannya





Oleh Wan Fayhsal 

Saya masih memikirkan banyak perkara – khusus yang tersirat, berhubung muʿāmalah (engagement) saya dengan kumpulan Sisters In Islam pada 25hb Apil 2015, dalam forum  “Kebangkitan Islamisme dan Demokrasi” yang mereka anjur bertempat di Hotel Concorde, Jalan Sultan Ismail, KL.

Seperti biasa dicelah-celah perbahasan panjang lebar berkenaan Islamisme (atau political Islam, harakah Islamiyah) antara persoalan yang sering dibangkitkan ialah mengenai kewajipan berhijab untuk wanita.

Saya cuba letakkan diri saya dalam situasi mereka. Mengapa mereka membantah, membentak dan seperti “rebellious” terhadap tuntutan ini?

Secara zahir mereka berhujah bahawa hijab itu tiada dalil dalam Qurʾān berkenaannya (samalah juga dengan sejumlah masalah yang lain seperti kewajipan menegakkan kerajaan dan pemerintahan Islam) tapi mereka masih belum faham (mungkin) perintah dan istilah “menutup aurat” seperti dalam ayat 31 dalam surah al-Nūr. Kita juga maklum pelbagai lagi hadīth aḥkām (legal rulings) berhubung aurat yang mungkin mereka tidak fahami lagi.

Bila saya renung, saya teringat saya juga ada kisah peribadi tentang menutup aurat.

Sebagai pemain ragbi sewaktu di universiti (ni sebelum masuk Jemaah Islam Kampus), saya selalu pakai “short rugby” yang sangat pendek – atas lutut dan ketat. Itu memang sifat “short rugby” sebab ianya “contact sport” maka kena “fit to the thigh”.

Jadi saya selalulah berulang pergi dan balik dari padang ke hostel dengan seluar pendek yang ketat. Bila saya pergi ke café, saya selau nampak poster kempen tutup aurat yang Rakan Masjid UTP tampal di merata tempat.

Entahlah lama-lama bila hati saya tertarik ke masjid sebab suka dengar ceramah Ustaz Rahmat Abu Seman yang merupakan Imam II Masjid al-Nūr UTP yang bagi saya lain daripada yang selalu saya dengar tentang Islām (ada banyak asbab lain macam mana hidayah sampai kepada saya).

Lebih kurang setahun kemudian saya dengan rela hati memakai “thigh lycra” dan “knee guard” dengan “short rugby” untuk memenuhi kegiatan dan hobi sukan saya mewakili UTP dalam sukan ragbi. Kesedaran saya untuk menutup aurat bukan selepas masuk Jemaah Islam Kampus tetapi sebelum itu (kalau tak, takkan mereka bawa saya ke tamrin perkaderan bukan?).

Apa sebenarnya yang mencetuskan kesedaran dan mendorong saya dengan rela hati untuk menutup aurat?

Bila saya muhasabah balik kini dengan sedikit ilmu dan kefahaman Islām yang lebih mantap daripada sebelumnya, saya sedar pilihan saya itu bukan kerana saya takut dan rasa dipaksa dengan hukum Fiqh, tapi ada sesuatu yang lebih besar daripada itu…

Sebenarnya saya baru sedar bila saya muhasabah bahawa sebelum saya menutup aurat, saya sebenarnya telah menutup MARUAH dulu atau dalam kata asal Arabnya:  MURŪʾAH.

Apakah itu “murūʾah”?  Dari segi bahasa ianya daripada kata akar “marʾun” (person).

Dari segi istilah, Imām al-Mawārdī dalam karyanya yang masyhur – Adāb al-Dunyā wa’l-Dīn (Adab of Living and Religion) mentaʿrifkannya sebagai:


“Menjaga hal keadaan (murāʿat al-aḥwāl) atau akhlak yang paling utama sehingga tidak kelihatan pada diri seseorang sesuatu yang buruk atau hina dan tidak mengikuti sesuatu yang dipandang jelek akan sifat yang selayaknya untuk insan (lā yatawjjahu ilayha dhammun bi-istiḥqāq)”

Ringkasnya dalam bahasa Melayu “keperibudian” atau “keperibadian” atau bahasa Inggeris-nya “(hu)manhood” [marah pula feminis kalau tak leta “hu-], “gallantry” dan “sense of honour”.

Imām al-Mawārdī juga menjelaskan murūʾah sebagai perhiasan (ornament) kepada insan.

Ianya juga berkait rapat dengan soal ḥayāʾ (malu) yang kita semua tahu daripada ḥadīth Nabī (saw) sebahagian daripada iman.

Inilah pada hemat saya maqṣad (tujuan) sebenar arahan daripada Allah SWT dan Rasul-Nya dalam memerintah kita untuk menutup aurat. Yang mana hijab, jilbab untuk wanita itu merupakan satu kemestian yang perlu dipenuhi untuk menyempurnakan tuntutan tersebut.

Kalau begitu, maka kita kena tahu bagaimana sebenarnya kita dapat memberi kefahaman yang betul dalam menjemput mereka (bukan ‘pontificate’) untuk menutup dan menyempurnakan murūʾah terlebih dahulu sebelum mengajak untuk menutup aurat melalui berjilbab dan berhijab.

Hanya dengan cara ini kita dapat elak fenomena nifāq sharʿī seperti sesetengah wanita di Iran yang memakai “chador” tetapi bila jejak pada bumi asing terus tanggalkan.

Makanya sebarang kritikan berhubung hukum-hakam ke atas golongan Muslim yang berfikiran liberal adalah tidak mujarab dan “make sense” kepada pemikiran beragama (religious logic) mereka.

Kita tahu usaha untuk menerangkan hal ini tidak mudah. Ada halangan-halangan berbentuk epistemik malah juga ontologik yang telah menyelaputi (scaffolded) pemikiran atau lebih tepat pandangan alam kumpulan seperti Sisters in Islam dan yang sepesen dengannya.

HAMBA

Kami di CASIS di ajar oleh Prof. SM Naquib Al-Attas dan para anak muridnya untuk sentiasa merungkai keteraturan tersirat (implicate order) juga menggali keluar berhala-berhala konsep (excavating conceptual idols) yang tertanam dalam pemikiran mereka yang ganjil (shādh) dalam menanggapi dan mengamali Islām khusus Sharīʿah.

Kemahiran ini digarap oleh guru kami Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud dalam mata kuliah yang beliau ajar iatu “Worldview and Epistemic Framework.”

Saya cuba amati secara mendalam setiap persoalan dan pertanyaan yang dibangkitkan ahli Sisters In Islam dan para penyokong mereka dan saya sedar bahawa pandangan alam Islam mereka itu berdiri atas asas yang berbeda dengan pandangan alam Islam sejati ahl al-Sunnah dalam bab ontologik – iaitu tempat, kedudukan dan hubungan antara diri mereka sebagai insan dengan Tuhan.

Pendek kata asas dan logik beragama mereka didasari dan dibingkai kepada faham “human rights” yang bersifat Promethean.

Human rights” kita tahu tapi apa itu Promethean?

Promethean adalah sifat yang diambil sempena mitos Yunani yang masyhur berhubung insan separa tuhan (demigod) bernama Prometheus yang telah mencuri api yang disembunyikan Zeus (tuhan terhebat Yunani kuno).

Setelah ditangkap beliau dihukum dengan diikat pada batu dan limpanya dipatuk oleh Helang Kaukasia kemudian pada sebelah malanya ianya tumbuh semula, kemudian dipatuk lagi pada sebelah pagi sehinggalah satu hari Hercules selamatkannya.

Sarjana dan pemikir Islam seperti Seyyed Hosein Nasr dan Al-Attas merujuk istilah “Promethean Man” (insan Promethean) sebagai manusia yang mencabar keteraturan dan autoriti Tuhan. Manusia yang memberontak ke atas segala ketetapan dan hak yang telah termaktub ke atas setiap insan dari Nabi Adam sampai kiamat. Dan cara-gaya dan kefahaman ini amat menular di kalangan orang Barat.

Persoalannya di sini apakah hak itu yang tidak difahami oleh orang Barat yang sekular dan Muslim yang berfikrah liberal dan moderat?

Jawapannya ialah, “Hak Sebagai Hamba-Nya” atau dalam istilah Arab-Islaminya: Ḥuqūq al-ʿIbād.

Perasan tak ada semacam satu tanāquḍ (percanggahan) dan oxymoron dalam faham dan konsep “Hak Sebagai Hamba-Nya”?

Sejak bila seorang hamba itu memiliki HAK?! Bukankah seorang hamba itu tidak memiliki apa-apa dalam jalan perhambaan (serfdom)?

Ya, ada hak untuk seorang hamba Allah: hak dan tanggungjawab untuk membayar hutang dengan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah SWT ke atas segala ketetapan yang Allah SWT telah berikan kepada setiap hamba-Nya: yang baik dan buruk (khayrun wa sharrun), yang manis dan yang pahit (ḥulwun wa murrun)

Harus diingat, istilah hak dalam Islām tidak sekadar “rights” tapi juga berserta tanggungjawab (responsibilities) – sesuatu yang tidak wujud dalam wacana “rights” di Barat kerana sifat individualisme yang amat tebal sudah menenggelamkan perihal “duties” yang hanya wujud dalam perhubungan antara dua atau lebih pihak.

Ada sarjana yang guna istilah “karāmah al-insāniyah” (human dignity) tapi ini tidak menggambarkan status ontologik yang paling asas dalam Islām berhubung insan vis-à-vis Tuhan yang lebih tepat dalam konsep “haq al-ʿabd” (rights and duties of bondsmen).

Maka fahamilah kita bahawa Sisters In Islam dan yang sepesen dengannya itu berdiri atas wacana Human Rights yang sempit lagi Promethean, yang lahir daripada rahim sekularisasi pengalaman beragama Barat yang menatijahkan faham positivisme, individualisme dan kebebasan yang tidak berpandukan wahyu.

PENTINGNYA AL-ATTAS

Padanlah saya faham golongan Sisters In Islam ini tidak mampu menerima teguran dan nasihat daripada golongan yang dilihat mereka sebagai authoritarian, bengis dan “holier than thou” yang mereka anggap wujud dalam semua insan yang bergelar ulama’.

Sebab so-called ʿUlama’ ini sering “pontificate” iaitu memaksa-maksa (imposing) sesuatu hukum tanpa mendidik – ya’ni dengan menunjukkan di mana silapnya asas berfikir dan kerangka epistemik golongan ini sebelum membalas dengan segala jenis dalil dan hukum sharaʿ.

Alhamdulillah saya boleh faham mengapa ramai kaum Muslimin di zaman moden ini terperangkap tanpa sedar dan sedar ke dalam ranah ini kerana itu adalah semangat zaman ini (zeitgeist) atau apa yang Al-Attas jelaskan sebagai “sekularisasi sebagai satu rencana falsafah”.

Dan ubat untuk penyakit ini tiada lain ialah pendidikan atau lebih tepat dalam istilah Al-Attas: taʿdīb, iaitu:

“satu gerak usaha untuk menanamkan dalam diri insan akan kemampuan untuk pengenal pastian (recognition) dan pengiktirafan (acknowledgement) “kedudukan setiap sesuatu” dalam aturan mawjud (creation) yang akan menatijahkan pengenal pastian dan pengiktirafan akan kedudukan Tuhan dalam kedudukan, darajat, dan keteraturan bagi setiap yang mawjud dan wujud (in the order of creation and existence).”

Dan ubat untuk Sisters In Islam dan kita semua selaku insan yang senantiasa lupa akan hakikat perhambaan kita ialah dengan memahami sampai lumat risalah Al-Attas bertajuk “Islām: Faham Agama dan Asas Akhlaq” (atau dalam B Inggeris – Islām: The Concept of Religion and the Foundation of Ethics and Morality).

Dalam risalah ini huraian yang amat-amat dahsyat lagi bermakna berhubung makna “Agama” (al-Dīn) yang Al-Attas telah sharahkan dan bina satu sistem berfikir yang amat ampuh yang mana ditekankan oleh Al-Attas asas agama kita sebagai seorang Muslim ialah “KEBERHUTANGAN” (yang diambil daripada makna al-Dayn berkongsi akar dengan al-Dīn) kepada Pencipta kita.

Bila kita faham mengapa Islām itu agama yang berdiri atas faham “keberhutangan” maka menjadi seorang Muslim itu – seperti ulas Al-Attas, adalah satu penyerahan (aslama – yang terbitkan kata pelakunya iaitu istilah “Muslim”) dan bagi mereka yang mampu menyerahkan dengan penuh ikhlas dan redha mencapai tahap “Muʿmin” yang merupakan kata pelaku kepada akar kata āmana yakni membawa maksud “mencapai keamanan dan selamat” (peace and safety).

Sepanjang saya baca, dan kaji sekian banyak kitab dan buku yang menerangkan berkenaan Islam, tiada pernah saya jumpa satu huraian yang mendalam, yang sistematik dan yang amat menusuk aqal seperti mana Al-Attas telah jelaskan dalam risalahnya yang mahsyur itu yang juga dijadikan bab penting dalam karya agung beliau yang awal iaitu “Islām and Secularism” (1978).


Kalaulah golongan Muslim modenis dan liberal faham asas aqidah dan pandangan alam ini – yakni makna al-Dīn, Islām, Muslim, Muʾmin dan banyak lagi kata kunci yang menayangkan peri makna Pandangan Alam Islām yang tulen tanpa diselaputi faham sekularisme –  maka nescaya kita dapat betulkan kekeliruan dan kesalah fahaman yang mereka telah berpaut pada dahan rapuh Promethean Man yang menjadi asas kepada faham Human Rights yang membentuk wacana mereka.



Ahad, 26 April 2015

Berdialog Dengan Gereja


Manuskrip Masʾalah fī al-Kanāʾis karangan Ibn Taimiyyah

Salam semua. Saja nak berkongsi lagi tentang apa yang tersirat di Taman Medan. Saya teringat warisan khazanah keilmuan kita (terima kasih para guru di CASIS kerana bimbing saya dengan turāth Islāmī) berhubung persoalan mengawal selia (regulate) pembinaan gereja dalam wilayah kekuasaan kaum Muslimin.

Tajuk di atas itu bukan pinjam tajuk buku YB Dr Mujahid Yusuf Rawa. Sebenarnya tajuk dekat atas itu adalah "free translation" ke atas tajuk risalah ringkas Shaykh al-Islām al-Ḥanābilah Ibn Taimiyyah bertajuk "Maṣʾalah fī al-Kanāʾis" (Questions pertaining to the Churches) yang berkisar tentang persoalan yang menjadi tanda tanya penguasa Mamluk di Mesir berkenaan gereja-gereja lama dan yang baru ingin dibina oleh kristian Qibti (Coptics). 

Mereka dulu tak macam sekarang sebagai citizen (muwāṭin) sebaliknya mereka adalah denizen atau lebih tepat ahl al-dhimmah (the protected ones). 

Ibn Taimiyyah ada jelaskan dalam muqaddimah risalah tersebut:
"Jikalau pembukaan gereja-gereja lama itu menimbulkan ketidak senangan dalam hati (taghayyur al-qulūb) kaum Muslimin seluruhnya yang akan menimbulkan perbalahan (ḥuṣūl al-fitnah wa'l-firqah) antara mereka (sesama Muslim dan Kristian); juga ketidak senangan di antara ulama', orang Ṣalīḥ dan para tentera dan penguasa (ʿumūm'l-Jund al-Muslimīn wa'l-wulāt al-ʾumūr) kerana ianya menzahirkan tanda-tanda keagamaan yang bermaksud kekufuran (li-ajli iẓhār shaʿāʾir al-kufr) dan kalau mana mereka menzahirkan kebanggaan dan kegembiraan (ʿizzihim wa farḥihim) yang mana jikalau semua ini akhirnya menjadikan mereka [kaum Muslimin] itu menyatakan dukacita mereka kepada Allah kerana golongan yang bertanggungjawab mengizinkan dan membantu kepada [pembukaan gereja itu], maka adakah sesiapa wajib memberi nasihat kepada penguasa untuk menyelia masalah ini? Apakah cara yang terbaik?" 
Kemudian hujjah pertama Ibn Taimiyyah ialah: 
"al-radd ʿalā daʿwā an al-Muslimīn ẓalimūhum bi-ighlāq kanāʾisihim
(Bangkangan ke atas golongan yang mendakwa kaum Muslimin telah menzalimi kaum Kristian kerana menutup gereja mereka).
Ringkasnya keseluruhan risalah itu ialah satu sokongan ilmiah dan moral oleh Ibn Taimiyyah ke atas penguasa Mamluk untuk mengawal selia dan menghadkan pembukaan gereja-gereja baru di Mesir khususnya di kawasan di mana kaum Muslimin tidak selesa dengannya. 

See? penduduk Taman Medan bukanlah kumpulan pertama yang timbulkan rasa sebegini. Nun dah banyak kali dah hatta di tempat asal Kristian Ortodoks Mesir itu pun kaum Muslimin dah berhadapan dengannya. 

Sudah tentu konteks tak sama tapi SEMANGAT itu tetap kekal: ʿIzzah al-Islām yaʿlū wa lā yuʿlā ʿalayhi

Ini bukan bermakna kita perlu menzalimi golongan Kristian cuma kita kena mengurus keperluan gereja mereka mengikut dasar dan lunas Shariʿah bukan seperti HESI yang YB Elizabeth Wong cakap itu. 

P/S: Boleh tak rakan-rakan PAS, ISMA, HALUAN, IKRAM tolong sampaikan kepada Dato' Menteri Besar YB Azmin Ali, Sister Wardina dan yang sefikrah dengannya? Mari sama-sama kita belajar sejarah tashrīʿ al-Islām 
smile emoticon

Khamis, 23 April 2015

Salib, Penjajahan dan Perluasan Wilayah Pengaruh


Gambar menunjukkan Christopher Columbus membawa dan memasakkan tanda Salib di tanah yang baru mereka sampai di mana ianya digunakan sebagai alasan untuk tindakan mereka menekan dan menindas penduduk asal yang pada awalnya menyambut mereka dengan penuh hormat - macam cerita propaganda Pocahontas Disney


oleh Wan Fayhsal 

1. Saya masih rasa panas dengan komen tohor Melayu apologetik, juga terhadap media liberal-sekularisasi yang memperleceh penduduk Taman Medan berhubung tanda salib.

2. "Bodoh betul penduduk Taman Medan! Yang takut salib hanya Vampire!" Itulah yang dilagu-lagukan dalam laman media sosial dan media massa liberal-sekularisasi.

3. Mari sini saya nak ajar sejarah. Salib (cross) bukan kayu tunggu berbentuk "t" semata-mata. Ianya simbol kepada pensaliban (crucifixion atau kata almarhum Ahmad Deedat - "cruxifiction") Nabi Isa alayhissalam (peace be upon him). Kita umat Islam wajib beriman bahawa hal itu tidak berlaku dan beri'tiqad terhadapnya boleh jatuh kufur.

4. Jadi kalau orang kampung, orang awam dikalangan umat Islam rasa tidak selesa kerana cetek ilmu, kerana tidak kosmopolitan macam Wardina, mereka bercakap beralaskan sentimen ini. Maafkanlah mereka kalau mereka itu rendah tahap toleransi dan kefahaman budaya tapi janganlah sampai menghina kata mereka itu persis Vampire.

5. Tapi itu hal kecil saja. Ada hal lagi besar. Tahukah kalian bagaimana sesuatu penjajahan diabsahkan (legitimized) oleh penjajah Barat khusus dari Eropah lama? Apa yang dilakukan oleh Christopher Columbus, Cortes, Albuquerque ketika mereka "discover" (menjumpai) so-called "the New World" (Dunia Baru) yang dihuni oleh "wild men, savages, and heathens" (orang liar yang tak ada agama dan tamadun, yang rendah dan bakal masuk neraka) di Carribean, di West Indies, Latin Amerika, di India, di Australia dan Tanah Melayu?

Para "Conquistadores" ini akan membawa dan memasakkan:


(1) Bendera Imperial diraja 
(2) Tanda Salib

6. Bendera itu kita faham tapi kenapa Salib??!! Ada apa dengan SALIB dan PENJAJAHAN??!

7. Jawapannya ialah, untuk penjajah Barat ini merampas tanah dan wilayah penduduk asal sesebuah wilayah yang kononnya baru dijumpa/diteroka (discovered) dan untuk menghalalkan tindakan mereka membunuh kaum peribumi sehingga hampir pupus seperti kaum Mayan, kaum Cherokee, mereka perlu dapatkan "sijil" atau "warta" daripada Pope yang dinamakan "papal bull". 

8. Maknanya tindakan mereka di kawasan itu walaupun kejam adalah SAH dan HALAL di sisi undang-undang imperial juga GEREJA (The Church) yang berpusat di Vatican. Bacalah sejarah yang ditulis sejarawan terkenal seperi Howard Zinn dalam "A People's History of the United States of America" akan kalian tahu betapa kejam dan jahatnya para Conquistadores ini menggunakan Agama Kristian sebagai asas pengabsahan (legitimacy) untuk EXTERMINATE kaum asal, peribumi khusus di Latin Amerika, Carribean, dan Amerika Utara. Wanita yang dirogol, bayi yang dibunuh dan dicucuk menggunakan bayonet seperti sate, dan segala macam kekejaman demi kekayaan dunia untuk Empire dan Vatican. 

9. Tanda salib bukan sebarang tanda. Ianya ada konotasi perluasan kuasa yang telah membunuh jutaan manusia yang mereka anggap sebagai "savages' (tidak bertamadun) dan menghalalkan segala rampasan kekayaan hasil bumi "the New World" yang setelah dicucuk tanda salib pada tanahnya, seperti dibaptiskan (baptized) maka ianya sudah menjadi milik Gereja dan boleh diperlakukan apa saja. 

Ini sejarah ringkas. Ada banyak lagi yang boleh saya cungkil dan bongkar tapi cukup sekadar ini. 

Sekarang mari kita fikir, apakah pembukaan gereja-gereja haram yang diceritakan Helen Ang di seantero Asia ini satu tindakan "innocent" atau mereka golongan Evangelikal sedang meniru modus operandi lama para Conquistadores yang bersekongkol dengan raja-raja dan Pope dahulu?

Symbolism is not only graphical, from it emanates influence to claim intellectual and spiritual space of certain geographical location.

Kita tidak pernah memusuhi golongan dan penganut Kristian yang tahu tempat mereka dalam sesebuah masyarakat khusus dalam masyarakat Islam dan Tanah Melayu. Malah kita raikan akhlaq mereka yang kadang kala jauh lebih baik daripada Melayu dan Muslim yang tak sedar diri.

Tapi ingatlah wahai Melayu Liberal celup, bukan semua Melayu dan Muslim bodoh. Kamu sudah melampaui batas dalam menghina bangsa dan umat kamu sendiri yang punya rasa diri yang tinggi terhadap kedaulatan agamanya. Mereka mungkin salah dalam bertindak tapi janganlah kamu wahai Melayu Liberal yang dangkal untuk merendah-rendahkan dan menjadi alat perkakas golongan Liberal-Sekular yang terang-terang memusuhi Islam dan mahu mencorak semula negara ini menjadi negara yang Islam hanyalah "milik peribadi".

Hendak rosakkan tanaman, racunilah akarnya; Hendak rosakkan bangsa, racunkanlah SEJARAHNYA.

Jumaat, 10 April 2015

Geopolitik, Kedaulatan dan POTA



Laluan perdagangan - Selat Melaka - penting buat LNG (Liquified Natural Gas) yang merupakan sumber tenaga utama ekonomi Asia Timur. Ancaman pengganas dan geopolitik adalah lumrah. Sumber gambar asal: EIA


oleh Wan Fayhsal

1. Saya menyambut baik RUU Pencegahan Keganasan (The Prevention of Terrorism Act -POTA) yang dibahaskan dan diluluskan dalam Parlimen semalam.

2. Dalam keadaan Malaysia tersepit di tengah-tengah kancah pengepungan (containment) Tanah Besar China oleh Amerika Syarikat dan sekutunya, ancaman keganasan tulen atau jadi-jadian (artificial) boleh berlaku dengan mudah.

3. Malaysia berada dalam ruang pengaruh Paksi AS (US Pivot).

4. Ancaman Globalisasi NATO di rantau ini boleh mencetus api keganasan samada berbentuk tulen atau jadi-jadian.

5. Selat Melaka - laluan laut perhubungan (Sea Lane of Communication - SLOC) terpenting Asia Timur dan bakal dijadikan Laluan Sutera Maritim (Maritime Silk Road) China - adalah "chokepoint" yang masih tidak dicabul mana-mana doktrin keselamatan seperti Selat Hormuz dengan Doktrin Carter. Ini bakal berubah kalau mana berlaku peningkatan tekanan (escalation) dan perubahan bentuk pertahanan (defense posture).

6. Dalam keadaan sebegini, Malaysia berpotensi jadi seperti Ukraine sebagai sebuah negara pembentengan (buffer state) sebelum peperangan besar-besaran antara kuasa besar dunia.

7. Malaysia juga bakal terdedah dengan ancaman peperangan tidak sekata (asymmetrical warfare) yang datang dalam bentuk Lebanonization (diambil daripada pengalaman pahit krisis keagamaan di Lubnan) yang dicucuh bara perkauman dan agama.

8. Ketika sesi pertemuan dengan DS Zahid Hamidi dan Majlis Perundingan Melayu (MPM) saya secara peribadi telah menyampaikan beberapa pemerhatian ringkas ini khusus berhubung ancaman gerakan destabilisasi melalui saluran demokrasi seperti Revolusi Warna (Colour Revolution).

9. Saya juga telah menulis tahun lalu dalam NST berhubung persediaan negara dalam 3S - Safety, Security dan Sovereignty:http://dev.nst.com.my/node/6583?m=1

10. Saya telah menghurai secara ringkas dalam beberapa siri ceramah dan wawancara akan senario ini dan hubungannya dengan politik domestik dan geopolitik serantau:

(a) MH17 and Geopolitics of Malaysia: http://youtu.be/CyafHP29_U0

(b) Cabaran Geopolitik ke atas Institusi Kesultanan Melayu abad ke-21:http://youtu.be/kC0f0wub2gc

(c) "Malaysia 2015": Cabaran Geopolitik Serantau dan Kedaulatan Negara:
http://youtu.be/tx3xsmfLC0M