Ahad, 20 Disember 2015

"Penyatuan" UMNO-PAS: Sejauh mana kejujuran dan kemampuan mereka?


Saya membaca resolusi mewakili NGO Islām di hadapan Tan Sri Muhyiddin yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri


oleh Wan Fayhsal 

Alhamdulillah. Selesai Multaqa' Alumni Al-Azhar yang dirasmikan oleh Perdana Menteri dan Presiden UMNO DS Najib Razak bersama Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang menyampaikan ucap tama.

Saya sudah dengar ucapan DS Najib dan saya tak mahu komen lanjut. 

Saya sudah dengar ucapa Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan saya kagum dengan visi beliau yang tajam dalam membaca perkembangan semasa khusus melibatkan cabaran geopolitik di Timur Tengah.

Soal penyatuan ini bukanlah hal baru. Malah saya sendiri bersama pimpinan NGO Islam tahun lalu sudah pun membawa hal yang sama kepada pihak UMNO dan kerajaan sewaktu Tan Sri Muhyiddin masih menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Ketika itu Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi masih Yang Dipertua YADIM yang kini telah diganti oleh Dr Yusri Mohamad. 

Dalam Kongres NGO-NGO Islam yang dianjurkan oleh JAKIM dan YADIM pada 28 Rejab 1435H/ 28 Mei 2014 bertempat di DECTAR, UKM, saya telah diberi amanah untuk membaca resolusi yang panjang lebar dan saya sendiri serahkan bagi pihak NGO-NGO Islam yang mesra dengan kerajaan UMNO/BN kepada Tan Sri Muhyiddin.

Antara resolusi yang kami sampaikan adalah berikut:

1. NGO-NGO ISLAM INGIN MENEGASKAN KEPADA SEMUA PIMPINAN POLITIK DAN BADAN-BADAN ISLAM AKAN KEPERLUAN MENDESAK UNTUK MEMPERKASAKAN SEMULA ILTIZAM SIYASI ISLAM DAN UMAT ISLAM (ISLAMIC AND UMMATIC POLITICAL WILL) MENERUSI PEMUAFAKATAN DAN PERSEFAHAMAN ANTARA SUARA-SUARA UTAMA POLITIK UMAT. KALAUPUN TIDAK SAMPAI BERSATU DALAM SATU GABUNGAN, SUARA-SUARA UTAMA POLITIK UMAT WAJIB SENADA DAN SEPAKAT DALAM HAL-HAL YANG MELIBATKAN ISU-ISU DAN KEPENTINGAN-KEPENTINGAN ASASI AGAMA DAN UMAT ISLAM. 

2 NGO-NGO ISLAM MENGGESA KESEMUA PEMIMPIN POLITIK DAN MASYARAKAT UMAT ISLAM UNTUK MEMPERTEGUHKAN SERUAN HUJJATUL ISLAM IMAM AL-GHAZALI BAHAWA ISLAM DAN KERAJAAN ITU ADALAH KEMBAR YANG TIADA TERPISAH (AL-DIN WA’L-MULK TAW’AMANI) - AGAMA SEBAGAI ASAS (USSUN), KERAJAAN SEBAGAI PENJAGANYA (HARIS). SESUATU TANPA ASAS AKAN RUNTUH, DAN SESUATU YANG TIADA PENJAGA, AKAN HILANG. 

3 MENUNTUT UMAT ISLAM DI NEGARA INI SUPAYA BERSATU PADU DAN BERSATU SUARA (TANPA MENGIRA FAHAMAN POLITIK) DALAM MENDEPANI DAN MEMPERTAHANKAN ISU-ISU BERKAIT RAPAT DENGAN HAL KEMANDIRIAN (SURVIVAL) BANGSA MELAYU, AGAMA ISLAM DAN INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU. 

4 NGO-NGO ISLAM HARUS MEMIKUL AGENDA PEMBASMIAN BUTA HURUF ILMU EKONOMI DAN PENGUASAAN KEMAHIRAN PERNIAGAAN DI PERINGAT AKAR UMBI SELARAS DENGAN TUNTUTAN MAQASID SHARIAH “HIFZ AL-MAL” (MENJANA, MEMULIHARA DAN MEMELIHARA HARTA DAN ASET UMAT ISLAM).

Jelas komprehensif lagi padat yang menyentuh bukan saja perpaduan ummah dan politik tetapi juga maslahat rakyat.

Dan sepanjang saya terlibat dengan golongan NGO Islam mesra kerajaan UMNO/BN - sebelum skandal 1MDB meletup - konsensus umum dikalangan penggerak NGO Islam ketika itu jelas bahawa dalam banyak-banyak pemimpin UMNO, yang paling boleh diharap dan tampak jujur mendengar rintihan NGO Melayu dan Islam yang komited mendaulatkan agama, bangsa dan negara tidak lain tidak bukan Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Kita semua tahu latar belakang Tan Sri Muhyiddin. Kita tahu Tan Sri Muhyiddin banyak bertegas memelihara kepentingan adat istiadat, dan bahasa Melayu khusus dalam membendung arus deras PPSMI. Begitu juga dalam hal-hal Islam. 

Tapi sayang, sejak Tan Sri Muhyiddin dipecat, tokoh-tokoh NGO Islam ini tiada langsung membela Tan Sri Muhyiddin. Itu saya betul-betul hairan kerana resolusi yang dilaungkan oleh kami jelas bukan?

Di saat ini, penyatuan jenis apa yang dimahu? Niatnya apa? Bertepuk sebelah tangankah? Sebanyak mana mahu kompromi? 

Dan lebih penting MAMPUKAH kedua-dua parti Melayu terbesar ini - UMNO dan PAS - menyatukan ahli-ahli mereka yang kita tahu walaupun saudara seagama dan sebangsa, dari segi ideologi dan "baggage" memang jauh dan sukar untuk dipinang.

Pada hemat saya, penyatuan ini penting khusus sepakat dalam memastikan kepentingan politik agama dan bangsa terjamin.

Tetapi saya tidak fikir ini saat yang wajar kerana kedua-dua nakhoda parti ini bukanlah nakhoda terbaik untuk agenda penyatuan ummah.

Ada dua cabaran besar untuk pastikan berjaya.

Untuk UMNO ianya hanya mungkin kalau Tan Sri Muhyiddin sebagai Presiden UMNO yang menghulurkan tangan untuk penyatuan ummah kerana beliau berdiri atas moral yang tinggi (moral highground) berbanding DS Najib.

Tan Sri Muhyiddin bukan saja mendapat sokongan besar rakyat kerana tindakan berani dan amanah dalam membangkitkan persoalan 1MDB tetapi juga mendapat sokongan yang tersirat (implicit) daripada Majlis Raja-Raja kerana berani berpendirian teguh, berani kerana benar.

Untuk PAS soalnya lebih kepada "baggage" dan legasi TG Haji Hadi yang "keras" ke atas UMNO. Agak sukar untuk ahli UMNO yang veteran dan yang pernah hidup di era TG Haji Hadi dahulu untuk terima beliau dengan penuh kejujuran dan keikhlasan.

Maka saya lihat penyatuan ini lebih merugikan kedua-dua belah pihak kerana asasnya jelas kabur.

Alumni Al-Azhar Malaysia berharap menjadi pihak ketiga untuk menyatukan UMNO dan PAS. Satu niat yang murni tapi saya berpendapat para asatizah Alumni Al-Azhar tidak mampu berbuat demikian. Kenapa? Kerana asatizah (ustaz-ustazah) kita di Malaysia adalah golongan yang terkeluar daripada sistem dan ranah politik semasa (disenfranchised). 

Kita lihat saja kualiti golongan asatizah yang ada dalam PAS ketika ini, adakah mereka mampu menyaingi golongan profesional ex-PAS yang kini dalam AMANAH dalam membahaskan dan membawa suara dan aspirasi rakyat berhubung hal tadbir urus negara? 

Paling dekat pun golongan asatizah kita mampu tinggalkan kesan ialah pada tahapan Kewangan Islam. Lebih daripada itu saya masih tidak nampak tokoh yang boleh dikatakan setanding dengan YB Khairy Jamaluddin, Rafizi, Tony Pua, Dr Dzulkefly Ahmad - sekadar menyebut beberapa nama ahli parlimen dan ahli politik yang punya kemampuan yang baik dalam membahaskan hal tata kenagaraan (statecraft) sebagai "legislator" dalam parlimen. 

Hakikatnya ada jurang (gap) yang sangat lebar antara kemampuan golongan asatizah untuk menyumbang secara efektif dalam politik tanah air.

Tempat yang terbaik dan selayaknya buat asatizah ketika ini ialah bukan politik tetapi pendidikan dan tarbiyah ummah. Ini rata-rata ahli UMNO tiada mampu berbuat sebaik asatizah PAS dan apatah lagi asatizah Alumni Al-Azhar yang tulen (bukan yang mengelat ponteng kelas jenis khutaba' penceramah). Kita harus perakui ini.

Jadi apa penyelesaian yang sesuai untuk kita tetap raikan niat yang murni buat penyatuan umat Islam di Malaysia dalam politik? (ulang sekali lagi PENYATUAN POLITIK).

UMNO seorang tak mampu. 
PAS seorang tak mampu.
UMNO dan PAS tak mampu (seperti saya jelaskan tadi).
Alumni Al-Azhar tak mampu kerana "disenfranchised" daripada "mainstream".

PAS hanya merendahkan darjat mereka untuk bersatu dengan UMNO ketika ini bilamana Raja-Raja Melayu dan rakyat rasa dikhianati dalam banyak hal yang UMNO masih gagal bertindak secara efektif. 

Dimana keberkatan penyatuan dalam lingkaran pembohongan dan penderhakaan kepada para Imam Siyasah sebenar umat Islam iaitu Raja-Raja Melayu?

Jadi siapa sebenarnya yang selayaknya menjadi 3RD FORCE (Kuasa Ketiga) untuk gembeleng kekuatan dan penyatuan politik bangsa Melayu, umat Islam dan keseluruhan rakyat Malaysia?

Saya ada tulis satu makalah ilmiah berhubung "formula" Imām Al-Ghazālī rahmatullahi alayh yang pernah berada dalam situasi yang sama seperti kita pada hari ini bilamana perpaduan dan kekuatan ummah amat lemah. 

Dan ternyata bila saya kaji pemikiran Imām Al-Ghazālī, walaupun waqi' (setting) tak sama dengan kita tetapi ASASNYA tetap sama kerana melibatkan MASYARAKAT dan PEMIMPIN. 

Imām Al-Ghazālī menggariskan dua formula penting untuk menyatukan ummah yang lemah ketika zaman beliau: 

1- Shawkah (Kekuatan Teras)
2- Najdah (Kemampuan untuk mencapai dan memberi Kejayaan)

Sesiapa yang memiliki dua sifat ini maka penyatuan akan berhasil dengan izin-Nya kerana semua ini adalah SUNNATULLAH. 

Saya tak fikir DS Najib hatta UMNO memiliki ini.
Saya tak fikir TG Haji Hadi dan PAS memiliki ini.

Tapi saya yakin Majlis Raja-Raja memiliki semua ini.

Hentikan angan-angan penyatuan politik melalui demokrasi. 

Demokrasi dan cara orang Melayu berpolitik selepas Merdeka telah melanggar arahan Allah (WA LA TAFARAQQU) dan kalau kita bercita bersatu melalui demokrasi itu bagi saya angan-angan Mat Jenin.

Yang terbaik ialah serahkan kembali kepada pemimpin asali Tanah Bertuah ini iaitu Raja-Raja Melayu berdaulat dengan barisan pemimpin muda yang tidak terpalit dan punya bagasi perpecahan antara UMNO dan PAS.

Nescaya perpaduan UMMAH bakal terhasil, Insha-Allah. 

Wallahua'lam. Sekadar berpandangan.

Gambar: Majlis pembacaan Resolusi Kongres NGO-NGO Islam 2014



Tiada ulasan: