Isnin, 17 Ogos 2015

Misteri 1MDB dan telaga minyak Terengganu: sejauh mana kemungkinannya? (Bahagian 1)





oleh Wan Ahmad Fayhsal

Baru-baru ini bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (Mat Said) telah bersumpah atas nama Allah bahawa dana pelaburan negeri Terengganu iaitu Terengganu Investment Authority (TIA) yang telah dibawa ke persekutuan dan ditukar nama menjadi 1MDB pada hujung 2009 telah berhajat untuk cagarkan telaga minyak di perairan Terengganu untuk meraih dana hutang buat 1MDB.

Adakah ianya sesuatu yang berasas? Nampaknya memang ada asas seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg pada 20 Mei 2009:


Nama Casey Tang yang tertera dalam laporan Bloomberg tersebut kini adalah salah seorang yang dicari oleh Bank Negara bagi membantu siasatan 1MDB.


Seperti yang tertera pada tajuk, ketika itu nama 1MDB masih belum timbul secara rasmi dan masih dikenali sebagai TIA. Shahrol Halmi yang merangkap sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TIA [selepas itu beliau turut sama menjadi CEO 1MDB] telah terang-terang menyatakan cadangan untuk menerbitkan kertas hutang Islami (Islamic bond) yang telah dipakejkan menjadi produk sekuriti (securitized) yang bersandarkan royalti minyak. 

Cadangan kertas hutang tersebut seperti dilaporkan Bloomberg yang telah menemuramah wakil TIA, adalah gabungan dua bentuk kertas hutang: 

(1) kertas hutang Islami yang hayat matangnya (maturity date) memakan masa 30 tahun.   
(2) produk sekuriti yang bersandarkan royalti minyak. Kedua-duanya berjumlah RM 11 bilion.

Walaubagaimanapun TIA hanya terbitkan (1) kertas hutang Islami, 30-tahun, bernilai RM 5 bilion atau lebih dikenali sebagai Islamic Medium Term Note (IMTN). Cadangan untuk produk sekuriti royalti minyak nampaknya tidak dibuat.


Snapshot daripada Almanac Bon Malaysia menunjukkan kod TIA IMTN yang kini diletakkan di bawah kelolaan 1MDB. Masih berjalan.



Snapshot daripada laporan Aminvestment yang menjadi pengurus kepada TIA IMTN tersebut yang telah diterbitkan dalam beberapa bahagian (tranches).



Sebelum kita teroka lebih lanjut dakwaan bekas MB Terengganu tersebut, ada baiknya kita lihat contoh-contoh produk sekuriti royalti minyak yang telah diterbitkan di serata dunia seperti contoh Brazil:












Selain daripada Brazil, Angola, dan UAE yang telah mencagarkan (collateralized) royalti minyak mereka, Mexico juga telah lakukan yang sama kecuali dalam bentuk yang sedikit berbeda iaitu dalam bahasa teknikalnya: future flow securitization.

Untuk Brazil, Angola dan UAE, juga Ecuador (dan negara Afrika lain), ringkasnya rancangan pembangunan negara mereka dibuat dan terpusat pada hasil bumi petroleum. Bagi menjana modal dengan cepat, negara-negara tersebut mencagarkan hasil royalti yang dijana oleh telaga minyak mereka untuk mereka dapatkan pinjaman yang besar. Pinjaman ini akan digunakan untuk membangunkan sektor-sektor ekonomi, pendidikan, pertanian dan banyak lagi. 

Pendek kata cara ini adalah cara biasa untuk berhutang: perlukan cagaran yang mampu menampung dan sesuai dengan kadar pinjaman yang ingin diminta.

Akan tetapi bagi Mexico, melalui syarikat minyak nasionalnya PEMEX, mereka tidak mencagar royalti telaga minyak sebaliknya mereka jadikan royalti tersebut sebagai satu produk sekuriti berbentuk future flow.

Apa itu produk sekuriti future flow? Apa beda dengan cagaran yang dibuat oleh Brazil, Angola, UAE dan Ecuador? Ianya beda dari segi mekanisme: "future flow" adalah satu bentuk produk hutang yang menghimpunkan pendapatan masa depan daripada telaga minyak untuk dibawa ke masa kini dengan cara dipakejkan dalam bentuk satu kertas hutang sekuriti yang boleh didagangkan kepada pelabur.

Maknanya seperti contoh PEMEX, pemegang sekuriti "future flow" minyak dan gas PEMEX dapat beli hak pendapatan pengeluaran masa depan minyak dan gas PEMEX dengan harga yang diskaun yang kemudiannya boleh dijual di masa akan datang ketika mana harga pasaran melebihi harga diskaun untuk mendapat pulangan daripada hasil langganan sekuriti "future flow" tersebut (buy low, sell high). Strategi membuat keuntungan daripada sekuriti "future flow" ini amat bergantung kepada harga minyak di pasaran semasa. Kalau jual ketika harga minya lebih tinggi daripada harga sekuriti "future flow" maka dapatlah untung.




Syarat-syarat pensekuritian sumber minyak dan gas yang dikeluarkan oleh agensi rating terkemuka Standard & Poor. Ada risiko dan syarat-syarat ketat sebelum hasil minyak dan gas dapat dijadikan produk sekuriti.


Dalam kes PEMEX, ianya lebih rumit kerana langkah-langkah sekuriti future flow ini melibatkan perbankan persisiran pantai (offshore) bagi tujuan untuk (1) melindungi daripada risiko pertukaran mata wang (fluctuation of currency exchange) juga (2) untuk meningkatkan rating PEMEX melebihi had siling rating negara Mexico (sovereign rating). Ini akan membuka ruang kepada PEMEX untuk menarik lebih banyak pelabur kerana sekuriti tersebut dikelola di luar negara Mexico - di kawasan perbankan persisiran pantai (offshore) yang mampu bantu naikkan rating pengeluar kertas hutang melebihi had sovereign rating dalam negara yang selalunya lebih rendah kerana mengambil kira keseluruhan sosio-ekonomi dan politik sebuah negara yang lebih rumit berbanding rating sebuah syarikat iaitu dalam kes ini PEMEX yang "beroperasi" (baca: kelola dan urus sekuriti royalti minyak) di luar Mexico iaitu di offshore (selalunya ditubuhkan di Amerika Syarikat kerana royalti minyak didagangkan dalam mata wang USD).

 
Rajah menunjukkan struktur transaksi "future flow securitization" royalti minyak yang dipungut dari masa depan dan di bawa ke masa kini dalam bentuk produk sekuriti untuk didagangkan kepada pelabur melalui pengendalian syarikat pengendalian khas (SPV) milik PEMEX yang ditubuhkan di kawasan "offshore".


Adakah (1) cagaran telaga minyak untuk membuat pinjaman yang lebih besar dan (2) pensekuritian royalti minyak jenis "future flow" salah di sisi undang-undang? Apa risikonya?

Inilah kecanggihan instrumen kewangan moden. Pelbagai produk yang direka oleh pihak bank untuk menjana pendapatan atas sesuatu pendapatan yang lain (kata HAMKA seperti "ternak wang").

Masalah untuk (1) cagaran telaga minyak ialah bilamana pinjaman dibuat secara "high leveraging" yakni berhutang berkali ganda lebih daripada nilai cagaran yang akan memakan diri kalau mana harga minya di pasaran merudum. Ini menyukarkan negara pengeluar minyak tersebut untuk membayar hutang yang dipinjam berkali ganda daripada hasil pendapatan semasa (current revenue) telaga minyak yang dicagarkan - seperti kes Ecuador yang akhirnya "terjajah" oleh IMF dimana banyak aset milik negara terpaksa dijual bagi membayar tunggakan hutang yang dijana melalui cagaran telaga minyak setelah kejatuhan harga minyak dunia yang membawa pulangan yang tidak mencekupi untuk melunas hutang seperti yang telah dijadualkan (servicing the loans by cashing out the collaterals).

Masalah untuk (2) lebih kepada ketidak adilan mengambil hak generasi akan datang untuk kegunaan masa kini oleh generasi semasa. Ianya juga amat bergantung kepada kadar kemampuan dan kebolehan penjanaan pendapatan aset "future flow". Bagi mengelak sebarang kemungkinan kejatuhan kadar kemampuan (poor performance), pihak pengatur sekuriti "future flow" selalunya mengeluarkan tuntutan untuk mencagar nilai royalti dengan lebih besar nilainya (over-collateralization) bagi mengelak sebarang risiko ketidak mampuan untuk membayar faedah kepada pelabur kalau mana berlaku masalah kepada aliran tunai daripada "future flow" tersebut (event of default) bagi melindungi kepentingan pelabur yang melanggani sekuriti "future flow" tersebut.

Pokok pangkalnya adalah: tadbir urus yang amanah

Nak cagar telaga minyak untuk buat "high leveraging" bagi projek yang benar-benar penting dan mampu menjana pendepatan yang setimpal atau lebih daripada nilai aset yang dicagarkan, ianya tiada masalah. 

Hal ini menjadi masalah kalau mana pemimpin dan pemegang amanah cagaran juga sekuriti tersebut tidak amanah, malah tamak seperti kes Ecuador dan Angola yang mana mereka mencagarkan telaga minyak bagi mendapatkan tunai yang akhirnya tidak digunakan untuk membangun ekonomi dan kepentingan rakyat tetapi sekadar mengenyangkan perut dan memenuhi tembolok pemimpin dan keluarga mereka. Akhirnya telaga minyak yang sepatutnya menjadi milik bersama rakyat jelata, yang telah dicagarkan bakal hilang hak miliknya oleh rakyat akibat kerasukan dan kegagalan pemimpin dan pemegang amanah membayar hutang sehingga pihak pemiutang (yang beri hutang) berhak mengambil aset yang dicagarkan tersebut. 

(rujuk kisah bekas pensabotaj ekonomi John Perkins mengenai pengalaman pahit Ecuador yang membangun dengan cagaran telaga minyak kemudian terjajah setelah kerajaan Ecuador gagal membayar hutang yang menyebabkan banyak aset termasuklah telaga minyak dirampas oleh pihak asing yang memberi hutang kepada Ecuador).

Kes Dubai yang mensekuritikan royalti minyak secara "future vlow" turut sama terkesan teruk bilamana harga minyak jatuh yang merugikan para pelabur sekuriti. Ditambah pula kejatuhan pasaran saham Dubai memudaratkan lagi sekuriti "future flow" tersebut lebih daripada pencagaran telaga minyak seperti dibuat Ecuador dan Angola kerana produk sekuriti "future flow" sudah pun termasuk dan terkait dalam instrumen-instrumen hutang yang diterbitkan dalam pasaran saham. Ada pendedahan risiko yang lebih besar berbanding pencagaran telaga minyak yang biasa dibuat di Latin Amerika dan Afrika.

Walaupun TIA (kini 1MDB) tidak sempat mengeluarkan sekuriti royalti minyak Terengganu, kertas hutang IMTN bernilai RM 5 bilion yang disusun oleh Aminvestment yang menggunakan mekanisme murabahah perlu dinilai dengan teliti akan sejauh mana ianya benar-benar patuh Shari'ah dan telus dalam menanggung pembayaran faedah dan asas yang matang secara penuh pada tahun 2039. 

Antara soalan penting: apa asas yang memungkinkan penerbitan TIA IMTN sampai 30 tahun lamanya? Apa asas kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kewangan begitu berani menjamin TIA IMTN dengan kadar yang kompetitif? Adakah TIA IMTN itu turut sama menjadikan minyak dan gas sebagai cagaran yakni dalam bentuk aset yang mendasari transaksi murabahah dalam pengatur caraan TIA IMTN tersebut?

Insha-Allah, kita akan teliti secara halus dalam Bahagian 2 nanti.


1 ulasan:

IBU,FITRI SULISTIAWATI berkata...

Saya sekeluarga mengucapkan banyak trima kasih kepada AKI MUPENG karena atas bantuannyalah saya bisa menang togel dan nomor gaib hasil ritual yang di berikan AKI MUPENG bener-bener dijamin tembus dan saat sekarang ini kehidupan saya sekeluarga sudah jauh lebih baik dari sebelumnya itu semua berkat bantuan AKI kini hutang-hutang saya sudah pada lunas semua dan.sekarang saya sudah buka usaha sendiri. jika anda mau bukti bukan rekayasa silahkan hubungi/sms AKI MUPENG di 0852 9445 0976, atau KLIK DISINI, insya allah angka beliau di jamin tembus dan beliau akan menbantu anda selama 3x putaran berturut-turut akan memenangkan angka togel dan ingat kesempatan tidak datang 2x,trima kasih.