“Ya Allah,
aku pohon perlindungan-Mu daripada beban hutang
(ghalabat al-dayn), kekerasan musuh (ghalabat al-ʿaduw) dan kejian musuh-musuh (shamātah al-aʿdāʾ) ”
-Doa Nabī Muḥammad ﷺ dalam hadīth yang diriwayatkan oleh Imām al-Nasāʾī
oleh Wan Ahmad Fayhsal
Jikalau kita seorang petugas yang diberi
amanah untuk mengurus kemalangan jalan raya apakah tindakan yang patut dibuat
sebaik saja kita tiba di tempat kejadian?
Kita lihat pemandu kenderaan tersebut
sedang mengerang kesakitan, badannya penuh luka juga berlumuran darah.
Adakah kita ketika itu akan terus
membuat soal siasat kepada si pemandu yang terlantar sakit? Ataupun kita sibuk
mengambil gambar kenderaan yang sudah terbalik dan rosak?
Sudah tentu akal dan fitrah sebagai seorang
manusia,kita akan terus membantu si pemandu tersebut. Selamatkan dulu nyawanya
sebelum membuat kerja-kerja yang bersangkut paut dengan kemalangan.
Ini adalah satu analogi yang sering
digunakan Tun Dr Mahathir dalam berhadapan dengan krisis yang melibatkan Negara
khususnya soal kedaulatan.
Saban hari ahli politik daripada parti
pembangkang serta media-media pro pembangkang dan perniagaan seperti The Edge,
Malaysiakini and The Malaysian Insider telah melondehkan krisis hutang 1MDB
secara “politically charged”.
Niat mereka hanya satu: jatuhkan Perdana
Menteri Dato’ Seri Najib dan juga UMNO/Barisan Nasional. Full stop.
Di sudut yang lain pula terdapat
golongan yang menyokong 1MDB seolah-olah dibutakan kerana yang bertanggungjawab
sepenuhnya adalah Presiden UMNO cum
Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Kewangan. Ini juga satu tindakan
yang tidak cerdik kerana percubaan menutup bangkai gajah menggunakan permaidani
mewah.
Kedua-dua sifat melulu ini punya niat
dan tujuan yang sama tiada lain tidak bukan demi kelangsungan politik
masing-masing. Full stop.
Lebih malang adakah kedua-dua
pembangkang dan penyokong telah benar-benar faham dimensi permasalahan dan
krisis 1MDB kepada Negara melangkaui sentimen politik kepartian yang menebal
dan dalam usaha untuk menjatuhkan Dato’ Seri Najib, UMNO dan BN?
Lebih penting, apakah kesemua pihak yang
mengkritik dan menyokong ini sudah rumuskan JALAN KELUAR dan PENYELESAIAN kepada
krisis 1MDB?
Ya, 1MDB, seperti mana seorang yang
ditimpa kemalangan, harus diselamatkan.
Sama seperti anak haram yang telah
dilahirkan, kita tidak boleh memaksa bayi tersebut merangkak masuk ke dalam
janin ibunya atau lebih teruk dibiarkan mati dan dibunuh.
Kita harus benar-benar jelas disini
bahawa yang teramat mustahak yang perlu dilakukan oleh pihak berwajib baik
kerajaan, parti politik kedua belah pihak ialah mencari penyelesaian yang
mujarab.
Ini kerana baik yang menentang atau yang
menyokong, keputusan akhirnya hanya SATU: 1MDB akan GAGAL dan GAGALNYA 1MDB ini
boleh membuka Kotak Pandora sehingga berjangkit kepada kedaulatan tanah air.
Episod salah-menyalahkan boleh dibuat
kemudian. Tujuan dan keutamaan utama ialah menyelematkan 1MDB sebagai sebuah
syarikat pelaburan Negara.
Bila kita sebut nak selamatkan 1MDB
ianya khusus kepada SYARIKAT khususnya ASETNYA, BUKAN individu yang telah
dipertanggungjawab untuk mengurus 1MDB yang mana kita semua tahu kini telah
GAGAL. Semua ahli lembaga penasihat, lembaga pengarah, juga pengurusan kanan perlu dipertanggungjawabkan dalam kadar masing-masing kerana telah cuai, culas dan yang juga boleh dianggap sebagai satu jenayah yang serius!
Dilema dalam krisis 1MDB
Dalam usaha untuk mengurus krisis 1MDB
kita terpaksa berhadapan dengan apa yang diistilahkan dalam Bahasa Inggeris
sebagai keadaan “Catch-22” atau “damn if you do, damn if you don’t” atau peribahasa Melayu: "ditelan mati emak, diluah mati bapak". Pendek
kata apa juat keputusan yang dibuat, kesannya dihujung jalan macam mana sekalipun 1MBD akan jatuh dan gagal.
Kalau kita sedar dan arif akan hal ini
juga ikhlas dalam menyelesaikan masalah tanpa perlu mengusung beban biawak
hidup politik kepartian yang gemar mengkritik tapi amat cetek dalam memberi
penyelesaian, kita patut tukar cara kita pandang atau ‘situational assessment’ kita daripada samada (1) mengkritik
habis-habisan demi laba politik, (2) sokong habis-habisan sampai nampak sangat
cuba menipu kepada (3) pengurusan krisis
dan kegagalan (crisis and failure
management).
1MDB perlu diselesaikan (resolve) dalam apa jua
sekalipun kerana ianya sudah dibawa masuk ke dalam parlimen dan juga kabinet.
Suka atau tidak Dato’ Seri Najib akan terconteng arang dimukanya dan ianya akan
menggugat kedudukan beliau selaku Menteri Kewangan juga sebagai Perdana
Menteri.
Kita ketepikan dulu soal ini dan tumpu kepada masalah sebenar 1MDB: Hutang dan Aset yang tidak mampu menampung beban hutang.
Diagnosis
Maksud “Diagnosis”: Asal kata daripada gabungan dua perkataan Yunani, ‘dia’ [membedakan] + ‘gignōskein’ [tahu] – “satu pengenal pastian yang dibuat ke atas tanda-tanda yang dizahirkan oleh pesakit berkenaan penyakit yang dihidapinya”.
Sudah banyak yang ditulis berkenaan
diagnosis ke atas 1MDB. Kita ambil yang paling-paling jelas dan zahir
seterusnya kita letak dulu hal-hal yang bersifat ‘hanky-panky’ di belakang, seperti
isu ‘parking’ duit di Cayman; upah
bayaran yang luar biasa kepada Goldman Sachs etc.
Ini demi memudahkan pengenal pastian
masalah terdesak dan focus kepada cara menyelamatkannya (lagipun hal sebegini
perlukan seperti yang Tun Mahathir jelaskan – “forensic audit”).
Apakah diagnosis yang tepat buat krisis
1MDB?
(1) Masalah beban hutang yang tidak dapat diselenggara dengan baik sesuai dengan pelan pembiayaan yang telah dibuat dengan peminjam (creditor).’
(2) Ketiadaan sumber pendapatan (revenue stream) yang dapat menunjukkan syarikat tersebut masih “sihat” seterusnya mengisyaratkan kemampuannya untuk melunaskan hutang seperti yang telah dijadualkan.
Dalam keadaan yang parah ini banyak
pengkritik 1MDB mengatakan pihak pengurusan 1MDB sekadar “shuffling papers” yakni sekadar mempercantikkan nilai pada buku
akaun dengan menilai semula (revaluation)
nilai aset-aset yang dimiliki syarikat sesuai dengan perubahan kewangan dan
ekonomi semasa.
Sudah tentu dalam keadaan sebegini
bilamana 1MDB tak berupaya mengurus hutangnya, paling teruk ialah akan terdedah
kepada “insolvency” seterusnya kepada
“fire sale” iaitu penjualan aset-aset
syarikat yang dilanda masalah aliran tunai (cash
flow) pada harga yang jauh lebih rendah daripada nilai sebenar untuk
mengurus dan membayar hutang syarikat kepada pihak pemberi hutang.
Prognosis
Maksud “Prognosis”: asal kata gabungan dua kata Yunani, ‘pro’ [sebelum] dan ‘gignōskein’ [tahu] – “satu ramalan dan kemungkinan yang bakal berlaku ke atas pesakit yang menghidapi penyakit.”
Kita ada dua pilihan penting berkenaan
1MBD:
(1) Selamatkan dengan memastikan beban hutangnya dapat dilangsaikan dalam satu tempoh seterusnya aset-aset penting seperti tanah dan loji janakuasa masih berada di tangan kerajaan.
(2) Biarnya gagal yakni dengan kegagalan membayar hutang (event of default) yang mana kehilangan aset-aset tersebut ke tangan pihak-pihak tertentu yang membahayakan kepada kedaulatan negara.
Kita semua tahu ahli politik pembangkang
seperti Tony Pua dan Rafizi Ramli sudah dalam mode menyerang 1MDB habis-habisan. Dan pilihan mereka sudah pasti
berkenaan pilihan (2) yang mana kesan berantainya ialah menjatuhkan Dato’ Seri
Najib dan juga UMNO/BN.
Pendek kata mereka setakat ini mahu “score
political points” semata-mata dan lebih malang cara mereka yakni ahli politik Pakatan Rakyat mengurus krisis ini akan menjerumuskan negara ke dalam perangkap terancang yang jauh lebih besar dan berbahaya kepada negara daripada apa yang dilakukan oleh 1MDB!
Ini jelas menunjukkan Rafizi tidak memahami masalah dan penyelesaian buat 1MDB kerana kejahilan geopolitik. Sumber: The Malaysian Insider
Tidaklah aneh apatah lagi menghairankan kerana politik di Malaysia adalah politik vendetta (dendam) yang mana cara mereka melihat sesuatu masalah dan isu amat-amat sempit dan jangka pendek.
Ya, di sini saya ingin jelaskan betapa
sebenarnya prognosis untuk tidak menyelematkan 1MDB adalah jauh lebih BERBAHAYA
berbanding menyelematkannya.
Langkah Kementerian Kewangan untuk mengeluarkan bantuan kredit (credit facility) adalah satu langkah yang tepat untuk 1MDB bernafas. Ini adalah bagi mengelakkan 1MDB daripada berhadapan pengulangan situasi "default" dan kemungkinan "foreclosure" iaitu pengambil alihan dan penyitaan aset kerana tidak mampu melunaskan hutang.
Kenapa kita tak mahu 1MDB berhadapan dengan foreclosure? Ini kerana ianya melibatkan ASET yang penting iaitu tanah Sungai Besi Tun Razak Exchange (TRX) dan loji janakuasa yang ada dalam Edra Energy, anak syarikat 1MDB yang dalam perancangan untuk diampungkan Tawaran Awam Awal (Initial Public Offering - IPO) dan disenaraikan dalam Bursa Saham.
YB Tony Pua dan Rafizi juga sekian ramai
pengkritik 1MDB tidak sedar jikalau 1MDB dibiarkan gagal dalam erti kata membiarkannya berhadapan dengan foreclosure, ancaman yang sedang menunggu ke atas negara kita
iaitu ancaman “Dana Burung Bangkai” atau dikenali dalam istilah
geopolitk-ekonominya sebagai “VULTURE FUND”.
Apa itu “Vulture Fund”?
“Vulture Fund” (singkatannya VF) adalah
satu institusi dana yang mengambil kesempatan ke atas mana-mana pinjaman (securities) yang dalam keadaan tidak
bermaya (distressed) kerana ketidak mampuan si peminjam untuk
mengurus dan membayar hutang.
Ianya dinisbahkan kepada “vulture” iaitu
sejenis burung pemakan bangkai kerana sifat institusi dana ini yang menanti
dengan sabar menunggu masa mana-mana pelaburan dan hutangnya yang bakal menjadi
“bangkai” untuk dibeli.
VF membelinya berserta hutang-hutangnya
(termasuk asas dan riba/bunga [principal
and interest]) dengan harga yang murah (baca: bailout – yakni pampasan untuk menyelematkan syarikat atau
pelaburan yang hampir gagal) kemudian menjadikan mereka sebagai peminjamg yang baru yang mengenakan semula ke atas pemilik asal kadar bayaran hutang dengan harga yang lebih tinggi berserta riba/bunga/faedah.
Ringkasnya VF ini mengambil alih tugas pemberi hutang asal dengan menjadi seperti "Ah Long".
Sudahlah tak mampu bayar hutang asal
yang sudah bertapuk-tapuk, ditambah pula dengan kadar bunga yang semakin bertambah, bila
hutang tersebut dilangsaikan oleh pihak lain yang mengenakan kadar bunga yang
lebih tinggi.
Bak kata pepatah Melayu: “sudah jatuh
ditimpa tangga”.
1MDB dan Ancaman Geopolitik “Vulture Fund”
Adakah ancaman VF ini sesuatu yang
dibuat-buat dan sekadar ingin menakut-nakutkan rakyat jelata yang mungkin
keluh-kesah dan risau wang simpanan mereka bakal digunakan untuk membayar hutang
1MDB?
Untuk kita fahami perkara ini elok kita
kaji apa yang berlaku ke atas negara Amerika Latin yang pernah menghadapi
kegawatan ekonomi pada sekitar tahun 2001-2002 iaitu Argentina.
VF telah membeli hutang Argentina dengan
jumlah berbilion US dollar pada saat negara itu benar-benar dalam kegawatan
ekonomi serta lumpuh politik. Argentina ketika itu tiada pilihan lain kecuali
untuk gagalkan saja hutangnya (default).
Demonstrasi jalanan terhadap tekanan "Vulture Funds" yang mencengkam dan mengambil kesempatan atas kesengsaraan rakyat Argentina.
Kebanyakan pemberi hutang kepada Argentina telah bersedia untuk menilai semula kadar beban hutang Argentina yang telah membantu memulihkan semula ekonominya akan tetapi para VF masih tidak berganjak dan memeras Argentina untuk membayar kesemua hutangnya itu dengan tambahan nilai bunga dan juga penalti kerana lambat melangsaikannya dalam tempoh yang dipersetujui.
Tahun lalu mahkamah di New York melalui
Hakimnya Thomas Griesa telah membuat keputusan yang memihak kepada VF yang berpengkalan di Amerika Syarikat dengan cara menghalang Argentina daripada
melangsaikan hutang kepada pemberi hutang yang lain selagi mana hutang-hutang
Argentina kepada VF tidak dilangsaikan.
Gagalnya Argentina membuat demikian maka Argentina akan sekali lagi jatuh ke
lembah kegagalan membayar hutang (default)
yang akan beri kesan yang besar kepada ekonomi dan politik negaranya.
Sedangkan dalam jangka masa daripada
tahun 2005 dan 2010, Argentina telah pun berunding dengan pemberi hutang yang
lain dan berjaya mencapai keputusan untuk menstrukturkan nilai hutang (debt restructuring) Argentina dengan
kadar yang lebih rendah.
Sudah tentu dalam jangka masa ini, para VF yang telah
membeli hutang Argentina tidak turut serta dan masih bertegas ianya dibayar
dengan kadar nilai yang sama tanpa ada sebarang pengurangan, malah ditambah
pula dengan kadar penalti kerana lambat bayar.
Walaupun Argentina telah membuat rayuan
kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk didengarkan kes mahkamah
antara kerajaan Argentina dan VF berhubung sikap dan sifat campur tangan
mahkamah di US yang mana dilihat sebagai
satu usaha mencabar kedaulatannya.
Namun demikian, kerajaan AmerikaSyarikat seperti yang telah dikeluarkan kenyataan rasmi oleh US State Department kepada agensi berita Reuters telah menolak ICJ sebagai wahana untuk kes ini didengarkan dan menggesa kerajaan Argentina menguruskan hal ini dengan VF
seperti yang telah digariskan oleh mahkamah di New York.
Argentina hanyalah satu kes VF. Ada
banyak lagi seperti di negara-negara Afrika seperti Congo dan Zambia.
Ini belum kita cerita bagaimana satu
lagi modus operandi yang lebih kompleks dan boleh menjerat negara-negara yang
dilanda masalah ekonomi dan hutang negara (sovereign
debt) melalui pelan yang dipanggil “Brady Bonds” (Bon Brady – diambil
sempena nama Nicholas Brady, setiausaha Perbendaharaan US zaman Presiden George
Bush).
Melalui Brady Bonds hutang bank-bank
negara yang bermasalah ini – kebanyakannya daripada negara-negara Latin Amerika
juga, telah ditukar (securitized) menjadi
“bon” iaitu akujanji hutang berasaskan US Dollar dan mendapat cagaran daripada
kerajaan Amerika Syarikat yang boleh “dijual” kepada pasaran.
Sudah tentu
dengan nilai US Dollar dan cagaran daripada Washington ianya amat menarik para
pelabur yang sememangnya mahu melanggani bon yang stabil dan berisiko rendah –
seperti yang kita maklum hampir semua negara dalam dunia melanggani bon yang
dikeluarkan oleh Perbendaharaan Amerika Syarikat (US Treasury Bills atau
dikenali sebagai ‘T-Bills’).
Maka dengan adanya pembeli Brady Bonds
yang berkualiti ini, maka negara-negara yang dilanda masalah hutang akan dapat
melangsaikan hutangnya dengan lebih cepat hasil daripada jualan Brady Bonds.
Caveat Emptor! Tapi Awas! Ianya bukan percuma (no free lunch!) untuk menerima pakej
Brady Bonds ini. Ianya diberikan syarat-syarat yang bersifat mengubah dasar
ekonomi negara atau lebih dikenali dalam Bahasa Inggeris sebagai ‘Structural Adjustment Program’ (SAP)
yang akan dikenakan oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia (World
Bank) yang mana SAP ini selalunya dibuat untuk memudahkan syarikat-syarikat
multinasional gergasi mendapat akses pasaran (market access) dengan lebih mudah khususnya melibatkan sumber alam
yang terdapat pada negara berhutang itu terutamanya minyak.
Pendek kata negara atau entiti negara
yang memikul hutang yang besar seperti 1MDB yang memiliki aset yang kritikal
seperti tanah dan loji janakuasa akan terdedah kepada ancama ‘Penjajahan
Ekonomi Bentuk Baru’ (Neo-Economic Imperialism) yang boleh hadir dalam bentuk VF atau program penstrukturan hutang yang lebih besar yang
ditaja oleh institusi antarabangsa dan kerajaan Amerika seperti ‘Brady Bonds’.
Ancaman VF itu lebih jelas
dan boleh berlaku ke atas 1MDB kalau kita, seperti dijelaskan tadi memilih
untuk TIDAK MENYELAMATKAN dan membiarkan 1MDB gagal.
Mungkin ada yang bertanya dan musykil:
apa bukti atau tanda-tanda akan berlaku campur tangan asing ke dalam hutang
1MDB?
Ada EMPAT kejadian (events) yang anomaly
(luar biasa) yang nampak tidak berkait tapi kemungkinan besar ada: (1) laporan
media tersohor Amerika New York Times
berkenaan Jho Low, (2) permainan Golf antara Presiden Obama dan Dato’ Seri
Najib di Hawaii, sehari sebelum cuti Krismas 2014, (3) pembukaan pejabat kajian
Bank Dunia (World Bank) di Malaysia dan (4) penerimaan Malaysia ke dalam Majlis
Kesalamatan PBB (UN Security Council).
Kalau anda masih ingat, tahun lalu tidak
pernah selama ini akhbar tersohor The New
York Times telah menulis dan menerjemahkan satu pendedahan eksklusif
berhubung Jho Low dan hubungannya dengan keluarga Dato’ Seri Najib. Malah
paling pelik terdapat terjemahan makalah tersebut dalam bentuk rumusan ke dalam Bahasa Melayu!
Gambar yang diambil daripada laman The New York Times yang ditulis dalam Bahasa Melayu.
Ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Pertama kali.
Jelas pendedahan itu disasarkan kepada khalayak yang memahami Bahasa Melayu,
tidak lain tidak bukan rakyat Malaysia.
Apakah motif yang mungkin dapat kita
kesan disebalik pendedahan ini?
Mungkinkah kerajaan Amerika Syarikat
hanya mengeluarkan sedikit amaran awal bahawa mereka sebenarnya tahu lebih
banyak tentang Jho Low dan jejak-jejak wang (money trail) yang saban hari diperkatakan oleh media perniagaan The Edge?
Begitu juga dengan kejadian unik di mana
Presiden Amerika Syarikat bermain golf dengan Perdana Menteri kita. Adakah
ianya bersifat “courtesy call” iaitu
Presiden Obama menjemput Dato’ Seri Najib
atau ianya bersifat “summon”
iaitu dengan menyeru beliau hadir bagi membincangkan hal yang penting lagi
mustahak?
Kehadiran dan pembukaan pejabat kajian Bank Dunia di negara kita juga satu tanda tanya yang besar. Ianya boleh
dianggap sesuatu yang agak bertentangan dengan dasar tegas yang dipegang oleh
mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berhubung institusi kewangan global
seperti IMF dan World Bank. Lagipun di kawasan Asia Pasifik ini yang mengawal selia urusan pembangunan dan institusi kewangan rantau ialah Bank Pembangunan Asia (ADB) yang diketuai oleh Jepun yang mana ADB ini direka mirip dengan struktur dan peranan Bank Dunia.
Penerimaan Malaysia ke dalam UN Security Council (UNSC) juga patut jadi
tanda tanya. Kenapa dan siapa yang mengundi kita dikalangan negara-negara yang
mengundi dalam PBB itu? Bagaimana kita dapat undian sebanyak 187 daripada 192 pengundian? Adakah terdapat "tangan-tangan ghaib" yang membuka laluan dan menyuruh negara-negara laing yang kita sendiri tidak tahu, untuk mengundi dan memenangkan Malaysia dalam UNSC? Apakah yang kita perlu berikan sebagai balasan?
Ini kita tak ambil kira dua nahas
misteri yang melibatkan kedaulatan udara kita iaitu kapal terbang MAS MH370 dan
MH17 yang masih tidak diberikan jawapan yang memuaskan berkenaan hal sebenar
kejadian.
Walau apa pun jawapannya yang pasti
Malaysia sudah berada dalam radar geopolitik kuasa besar dunia khususnya
Amerika Syarikat. Ditambah lagi dengan petisyen yang meminta campur tangan White House ke atas kes mahkamah Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas ketua pembangkang negara.
Dalam keadaan sebegini, sedikit
kesilapan yang boleh membuka retak pertahanan negara (chink in the armour) boleh mencetuskan krisis kedaulatan negara
baik berbentuk ekonomi dan lebih bahaya politik yang mana 1MDB berpotensi untuk
dijadikan retak yang menanti belah kepada sabotaj ekonomi seperti yang telah
berlaku ke atas Argentina dan negara-negara Afrika.
Persoalan dan senario ini hanya terpakai
kalau mana kita sendiri mengizinkan 1MDB untuk DIGAGALKAN dengan menghalang
hutangnya diselesaikan oleh kita sendiri iaitu kerajaan Malaysia dengan cara
membuka ruang untuk musuh-musuh negara (enemies of the state) mengambil
kesempatan ke atas peluang dan ruang yang kita sendiri buka dan gagal untuk
kesan kerana EGO POLITIK KEPARTIAN.
Jalan keluar dan cara menanganinya krisis 1MDB

Daripada penjelasan di atas kita sedar bahawa kritikan dan siri-siri pelondehan semata-mata belum cukup menjaminkan masalah ini betul-betul dapat ditangani dan diselesaikan.
Kita juga harus jelas bahawa serangan
bermotifkan politik kepartian semata-mata akan menghijab usaha dan misi paling
mustahak dan terdesak iaitu menyelamatkan ASET 1MDB seterusnya menutup
ruang-ruang yang boleh melemahkan kedaulatan negara.
Dalam usaha menyelamatkan aset 1MDB,
kita harus menerima hakikat bahawa dalam jangka masa pendek dan terdekat,
sebarang usaha mengurus beban hutang 1MDB akan tetap membawa kepada kerugian nilai.
Antara perancangan awal pihak pengurusan
1MDB untuk mengurus krisis aliran tunai 1MDB dan pengurusan hutang ialah dengan
‘mengapungkan’ (float) pegangan
syarikat (shares) melalui pengluaran
Tawaran Awam Awal atau lebih dikenali sebagai “Initial Public Offering” (IPO).
Dengan adanya IPO, 1MDB akan dapat mengisi kantung perbendaharaanya dengan
modal yang baru (fresh capital)
seterusnya menjadikan 1MDB kurang terdedah kepada masalah aliran tunai.
Tapi kita harus tahu bahawa IPO selalunya ditawarkan oleh syarikat yang benar-benar punya potensi untuk bergerak ke hadapan, bukan syarikat yang lemah dan sarat dengan beban hutang.
Tapi kita harus tahu bahawa IPO selalunya ditawarkan oleh syarikat yang benar-benar punya potensi untuk bergerak ke hadapan, bukan syarikat yang lemah dan sarat dengan beban hutang.
IPO hanya boleh ditawarkan kalau mana syarikat tersebut terbukti ada
kemampuan untuk menghasilkan pendapatan yang stabil (income generation).
Kalau tidak mampu, apa guna IPO ini dilanggan kerana para pelabur inginkan
pulangan yang setimpal atau lebih.
Sepertinya Alibaba yang tawarkan IPO atau senaraikan (listing) di bursa saham New York Stock Exchange (NYSE) tahun lalu yang berjaya meraih US$
21.8 bilion - IPO terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat.
Kita semua tahu 1MDB dengan pendedahan-pendedahan yang dibuat saban hari
ini, kalaupun seperti dirancang dari awal iaitu menawarkan IPO buat sayap
perniaagan tenaganya iaitu Edra Energy, adalah agak sukar untuk 1MDB menarik
minat pelabur dari dalam malah luar negara. Risikonya pulangannya tinggi dan
dilihat tidak menarik.
Malah bukan itu saja cabarannya, IPO tenaga 1MDB ini juga tidak menjamin
akan kemampuan nilai yang diperolehi daripada IPO tersebut untuk mengurus
semula beban hutang dan aliran tunai 1MDB.
Seperti
yang dijelaskan oleh Tony Pua dalam posting Facebooknya, kalaupun
1MDB dapat menyenaraikan Edra Energy, ianya belum tentu berjaya mendapat
pelaburan yang munasabah dan cukup untuk membayar balik hutang dalam masa
terdekat.
Terima kasih Tony Pua tapi kamu tak berikan penyelesaian sebaliknya hanya seronok membantai.
Ada risiko yang amat besar berhubung dengan IPO.
Bila kita senaraikan saja syarikat dengan tawaran IPO ke dalam Pasaran
Saham, kita secara harfiahnya membuka seluas-luasnya syarikat itu kepada
peluang dan sekaligus ancaman/risiko (opportunities and risk).
Selalunya ada TIGA golongan yang akan melanggani IPO:
(1) Institusi dana awam seperti Khazanah Nasional, Tabung Haji, EPF, KWAP, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan mana-mana badan yang punya dana yang besar.
(2) Institusi dana antarabangsa seperti Temasek dari Singapura, kumpulan wang simpanan pekerja dari UK, US, "Vulture Fund", Hedge Fund, syarikat-syarikat insurans gergasi etc.
(3) Pelabur runcit (retail investors) atau orang kebanyakan (MITS - Men in The Streets)
Kalau kita setuju dengan Rafizi (yang nak saman pengurusan KWAP yang telah melabur dalam anak syarikat 1MDB) dan momokan puak pembangkang yang hanya
melihat dari satu sudut yang sempit dengan tidak mengizinkan IPO 1MDB dilanggan
(baca: bailout) oleh institusi dana di Malaysia seperti EPF, KWAP, Tabung
Haji, LTAT yang dikatakan "DUIT RAKYAT", maka bersiap sedialah 1MDB akan jatuh ke
tangan pelabur jenis (2) dan (3) yang mana ANCAMAN dan RISIKO yang terdedah
kepada golongan asing samada berbentuk institusi atau orang perseorangan yang
mungkin terdiri daripada golongan pelabur jenis "Vulture Fund".
Mereka boleh saja menyamar dengan membuka syarikat di Malaysia dan menggunakan orang tempatan untuk melabur bagi pihak mereka. Ada banyak cara untuk lakukannya!
Puak mereka yang hanya tahu mengkritik dan tidak menawarkan penyelesaian
kecuali usaha untuk menghalang Institusi Dana tempatan seperti Khazanah, Tabung
Haji, LTAT, EPF dan KWAP daripada melanggani IPO 1MDB yang nazak atas alasan "duit
rakyat", sejauh mana mereka bersedia untuk kita lepaskan penguasaan
majoriti ke atas pengurusan Edra Energy dibawah 1MDB?
IPO 1MDB melalui Edra Energy ini juga bakal berhadapan dengan beberapa
peruntukan perundangan yang telah digariskan oleh Kementerian Kewangan dan Suruhanja Sekuriti Malaysia (Securities
Commission) dan juga syarat yang diletakkan oleh panel pelabur yang melibatkan cara Institusi Dana tempatan. Antara
halangannya ialah:
(1) Had pelaburan ke atas sektor tertentu (sectoral limit).
Badan-badan seperti LTAT, Tabung Haji sudah diberi garis panduan yang ketat dalam panel pelaburan (investment panel) masing-masing bahawa pelaburan yang ingin dibuat haruslah bersifat berserakan agar kadar pendedahan risiko pelaburan (investment risk exposure) dapat dikurangkan. Dalam erti kata lain, jangan letak semua telur dalam satu bakul (do not put all the eggs in one basket) untuk elak semuanya pecah kalau mana satu-satu sektor pelaburan itu dilanda masalah.
Contoh: kalau mana KWAP sudah ada pelaburan dalam sektor tenaga, katakanlah pelaburan dalam syarikat janakuasa Malakoff, dan pelaburannya itu pula sudah mencapai hadnya, maka KWAP tidak boleh melabur atau melanggan mana-mana IPO yang dikeluarkan oleh syarikat tenaga yang lain.
(2) Had pelaburan tunggal ke atas entitit tertentu (single investee limit).
Institusi dana tempatan juga punya panduan yang ketat untuk tidak melabur ke dalam mana-mana entiti melampaui had yang diizinkan.
Contoh: Katakanlah had pelaburan EPF ke atas syarikat minyak PETRONAS hanya RM200 juta, maka EPF tidak boleh melabur lebih daripada itu. Antara sebab syarat ini diletakkan ialah agar peluang untuk melabur dapat dilakukan dan dikongsi denga pelabur institusi dana yang lain.
Di sini cabaran yang memerlukan badan-badan penguatkuasa (regulators)
seperti Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara termasuklah Kementerian Kewangan
untuk bertindak bijak, waras dalam mengurus krisis ini.
Kita harus ingat kemampuan untuk 1MDB membayar balik hutang -- baik asas
dan juga bunganya -- agar ianya tidak jatuh muflis (bankrupt) sehingga
terpaksa kehilangan aset, ianya amat bergantung kepada sejauh mana IPO Edra Energy itu
dapat meraih pelaburan dan langganan yang amat besar nilainya.
Dan sekali lagi kita harus
bertanya kepada kerajaan, pembangkan dan rakyat Malaysia: siapakah ancaman dan
risiko terbesar yang akan kita hadapi melalui krisis 1MDB? Adakah kumpula
penyanggak hutang "Vulture Fund" yang sedang menangguk di air yang
keruh atau kita rakyat Malaysia yang bersedia untuk "melaburkan" duit
kita (baca: bailout) ke atas 1MDB demi
menyelamatkan aset kita yang amat-amat penting itu?
Kita juga, sekali lagi saya
peringatkan harus jelas bahawa di saat ini episod salah-menyalahkan hendaklah
kita letak ketepi dahulu dan harus jelas dan faham bahawa kita bukan ingin
selamatkan mereka yang bersalah tetapi ASET dan NEGARA daripada dijadikan umpan
untuk penjajahan bentuk baru.
Kerajaan Malaysia yang
berdaulat harus menjadi PENJAMIN kepada hutang 1MDB atau KITA RAKYAT MALAYSIA
akan bukan saja hilang aset malah terdedah kepada campur tangan asing seperti
di Argentina dan negara-negara yang sudah disambar Dana Burung Bangkai.
Apportioning of blame must
come later. We are not saving the people who are guilty. Saving 1MDB it's not a winning game. Both ways will still incur losses.
Both ways require saving institutions to take part. It's a matter of the depth of the losses.
Like saving the
injured accident victim. He may lose his leg or arm (eventually replaced by
prosthetics) to save his life! So too 1MDB, THERE WILL BE SOME PAIN!
Baik saya mahu selamatkan
1MDB! Jadi bagaimana? Apa risikonya?
Tahniah kerana anda berjaya tiba ke bahagian ini
dengan penuh sabar. Saya harap anda berfikir sebagai seorang negarawan, bukan
politikus yang sibuk mencari salah dan niat untuk "score brownie points" dan berperangai "schadenfreude" (seronok melihat kesengsaraan orang lain).
Soalan penting yang kita semua perlu fikirkan: bagaimana kita hendak pastikan IPO Edra Energy itu benar-benar
mempunyai potensi yang besar dalam menjana pendapatan yang lumayan untuk satu
tempoh yang lama agar pelaburan rakyat Malaysia melalui institusi dana tidak mengalami
kerugian?
Cara #1:
Di samping aset janakuasa tradisional, antara cara
untuk meningkatkan nilai IPO Edra Energy dan juga menjana aliran tunai yang
stabil ialah dengan membawa masuk projek nuklear sebagai janakuasa untuk Edra
Energy.
Tempoh kosensi nuklear jauh lebih lama daripada
penjanakuasa bebas (IPP) yang biasa dan ianya tidak dipengaruhi dengan harga
minyak dan gas dunia yang senantiasa berubah-ubah. Pendek kata, dengan adanya
janakuasa nuklear kita dapat menjajikan nilai IPO Edra Energy dan 1MDB (IPO
valuation) pada tahap yang tinggi seterusnya menarik pelaburan yang besar
kerana "prospect" jangka panjang yang sangat baik buat para pelabur.
Ada juga yang akan bertanya bagaimana pula kita nak biayai projek nuklear yang sememangnya amat mahal? Itu pun jangan risau kerana model pendanaan projek nuklear secara usahasama (partnership) sudah pun diamalkan oleh contohnya ROSATOM yang merupakan syarikat nuklear Rusia dengan model "build-own-operate" (BOO).
Teka negara mana yang telah membuat usahama ini?
Cara #2:
1MDB ialah sejenis syarikat pembangunan strategik negara (strategic development company) yang ada mirip dengan Khazanah Nasional. Maka
tidaklah pelik kalau mana dalam keadaan tenat sebegini untuk 1MDB minta
pertolongan daripada Khazanah.
Lagipun kedua-dua entiti ini dipengerusikan dari atas
oleh Perdana Menteri sendiri yang mana dalam 1MDB beliau ialah pengerusi kepada
lembaga penasihat (chairman of board of advisors) manakalah dalam
Khazanah pula, Dato' Seri Najib ialah pengerusi lembaga pengarah (chairman
of board of directors) dan kedua-dua entiti ini mendapat jaminan daripada
MOF Inc. yang juga dipimpin oleh Dato' Seri Najib selaku Menteri Kewangan.
Apa yang boleh dibuat oleh Khazanah? Khazanah sebagai anchor untuk ambil alih aset 1MDB.
Kemudian lancarkan bon dengan matlamat yang digariskan
sebagai "usaha untuk menyelamatkan aset yang tenat tetapi mempunyai
potensi peningkatan sangat besar" (securing distress assets with lot of upside potential).
Untuk 1MDB sudah tentu asetnya berpotensi besar iaitu
tanah Tun Razak Exchange dan juga loji janakuasa.
Kedua-dua cara di atas hendaklah dibuat dengan SYARAT
YANG JELAS iaitu:
"Penyenaraian 1MDB melalui tawaran IPO dibuat untuk menyelamatkan aset-aset yang tenat BUKAN untuk menyelamatkan kapal karam 1MDB semata-mata, BUKAN untuk cari duit dan buat untung atas angin dan paling penting untuk MENDAPATKAN SEMULA ASET-ASET tersebut daripada berhadapan dengan sitaan (foreclosure). Sebarang keuntungan yang diperolehi daripada usaha ini akan dikongsi secara telus kepada semua pelanggan (subscriber) yang terdiri daripada MAJORITI institusi dana tempatan khususnya dan pelanggan awam lain amnya."
Sebaik sahaja ianya dapat - Insha-Allah - diselesaikan
dengan melangsaikan hutang-hutang tertunggak 1MDB, penyenaraian ini juga perlu merancang "exit strategy" (strategi untuk
keluar daripada penyenaraian) yang mana pelaburan-pelaburan awal tadi dipulangkan
semula kepada para pelabur dan pelanggan.
Ringkasnya, selepas kita selamatkan 1MDB daripada
jatuh muflis, kita terus tutup (wind down) dan pulangkan balik duit
rakyat dan kerajaan kepada tabung dan institusi dana masing-masing dan kalau ada rezeki
tambahan, dapat keuntungan daripadanya.
Betul ke boleh buat?
Insha-Allah, boleh buat walaupun politikus seperti Rafizi dan Tony Pua tak percaya.
Kenapa? Sebab ianya pernah dilakukan oleh kerajaan UMNO dan Barisan Nasional
sebelum ini!
Silalah lihat kembali bagaimana kes Tabung Haji pada tahun2002 yang mengalami krisis dalam pelaburan kelapa sawit di Riau. Ianya telah
pun berjaya diselamatkan malah dapat juga menjana keuntungan melalui penyenaraian TH Plantations di Bursa Malaysia. Kerugian di atas
kertas (paper loss) akibat "asset shuffling" akhirnya
berjaya juga ditukar menjadi keuntungan yang sebenar (real profit) yang
mana kemudiannya Tabung Haji dapat menjual ladang kelapa sawit dan mendapat semua nilai pelaburan yang rugi.
Sama juga dengan 1MDB. Selesai
semua hutang, aset dah bertukar tangan kepada entiti yang lebih layak
memegangnya seperti Khazanah maka ianya perlu dijual semula untuk dapatkan
semula pelaburan awal yang digunakan untuk elak 1MDB daripada default hutang dan foreclosure.
Ini belum kita lihat bagaimana
Tun Dr Mahathir melalui penasihat khas ekonominya ketika itu Tan Sri Nor
Mohamed Yakcop bersama pasukannya yang banyak membantu menyelesaikan krisis
mata wang dan juga cabaran menaikkan semula ekonomi negara.
Banyak daripada
kerja-kerja penstrukturam semula hutang dan syarikat-syarikat berkaitan
kerajaan yang rugi (GLC) dibuat melalui wahana tugas khas (special purpose vehicle [SPV]) seperti Pengurusan Danaharta Nasional Bhd (Danaharta) dan
juga Danamodal Nasional Bhd (Danamodal).
Akta dibuat. Kerajaan masukkan
duit (pump money) bila dah perkemas, susun dan cantikkan
syarikat-syarikat bermasalah (contoh macam rangkaian media seperti Renong, Time Engineering, Perwaja, Crest Petroleum, juga TV3, NSTP
yang telah disusun-rangkum menjadi konglomerat Media Prima) dijual semula dan
kerajaan dapat balik duit pinjaman berserta keuntungan.
Kesemua usaha ini tidak melibatkan LANGSUNG bantuan
dan campur tangan kuasa asing yang sememangnya mahu membantu dengan ulterior
motive seperti Vulture Fund. Walaupun
dikatakan bailout, tiada satu syarikat syarikat strategic negara jatuh ditangan
luar! We must understand that a bailout is a consequence of any action of
saving!
Gambar yang menghantui rakyat Indonesia. Pada 1998, Pengarah Urusan IMF, Michael Camdessus melihat Presiden Suharto menandatangani pakej pinjaman baru (bailout package) yang memaksa Indonesia menstruktur semula dasar ekonomi negara yang tidak berpihak kepada rakyat.
Alhamdulillah Malaysia dapat bangun semula daripada
kemelut krisis kewangan dan ekonomi pada masa yang sama melindungi kedaulatan
negara kita daripada cengkaman IMF dan Bank Dunia berserta proksi-proksi mereka
yang lain yang malangnya telah berjaya mencengkam Indonesia melalui
"Structural Adjustment Program" (SAP) itu.
Kesimpulan
Ya 1MDB boleh dan wajib diselamatkan demi melindungi
kedaulatan negara dalam apa jua bentuk dan ancaman khususnya ancama berupa
geopolitik.
Selesai saja hal ini maka kita boleh fikir bagaimana
untuk menghukum pihak yang bersalah.
Yang pasti bak kata dalam Bahasa Inggeris: some heads will roll.
Just like the
accident scenario at the beginning of this article, the blameworthy will
receive punishments in the form of criminal and/or civil judgments.
10 ulasan:
Kurang setuju dengan perenggan di bawah, kerana pihak yang dinyatakan seolah lebih cenderung kepada pilihan (2).
====
Kita semua tahu ahli politik pembangkang seperti Tony Pua dan Rafizi Ramli sudah dalam mode menyerang 1MDB habis-habisan. Dan pilihan mereka sudah pasti berkenaan pilihan (1) yang mana kesan berantainya ialah menjatuhkan Dato’ Seri Najib dan juga UMNO/BN.
Saya dah betulkan. Tersilap label. Terima kasih!
Masalah di Malaysia ialah politik menjatuhkan antara satu sama lain. Manusia2 spt rafizi dan tony pua dan yang sebakul dengannya sebenarnya tidak mempunyao apa2 ideapun bagi mengatasi masalah kecuali kebobrokan otak yang gilakan kuasa. Seharusnya sebagai rakyat Malaysia mereka sama2 mencari dan mencadangkan penyelesaian (yang tidak pernah terjadi dalam sejarah) demi kelangsungan negara di mana mereka memijak buminya. Alangkah indahnya jika kita mempunyai kumpulan pemikir yang tidak mementingkan tembolok sendiri. Yang ada sekarang adalah pemusnah bangsa dan tanahnair dengan bertopeng politik songsang. Semoga krisis 1MDB ini bukan permulaan kemusnahan negaraku tercinta. Semoga DS Najib akan dapat mencari penyelesaian konkrit tanpa menggadaikan maruah tanah air.
Ada beberapa perkara yang nyata yang mana kepimpinan negara telah ditegur untuk tidak melakukan sesuatu namun tidak dengar nasihat dan teguran pihak pembangkang yang hanya dilihat sebagai ap sahaja yang dicadangkan oleh pembangkang itu sebagai membangkang. Sudah diingatkan berkali-kali jalan didepan itu ada selekoh dan licin jangan pandu laju. Namun oleh kerana yang memberikan nasihat itu ialah mereka yang bukan dari parti memerintah maka mereka pula dituduh pennkhianat negara.
Sehinggalah bila Tun M sebut perkara yang sama baru lah beberapa mata terbuka dan sedar apa yang dibisingkan oleh pihak pembangkang itu ada kebenaran.
Saya setuju 1MDB harus atau wajib diselamatkan demi kepentingan aset negara. Namun dengan masih memberikan kepercayaan kepada pasukan yang sama umpama tikus membaiki labu. Apakah orang yang sama yang membuat onar akan diberikan kepercayaan untuk membaikinya. Ini sesuatu yang mustahil. Dalam masyarakat dan budaya melayu apabila membuat kesilapn albeit sudah ditegur pun dengan segala fakta, mereka masih belum mahu menerima hakikat dan berundur dan beri ruang kepada orang lain yang berupaya untuk memulihkan keadaan. Selalunya kita cenderung untuk kill the messanger rather than punishing the culprit and take stock to remedy the situation.
Satu soalan yang paling penting adakah mereka yang memimpin hari ini mahu memberi ruang dan peluang kepada golongan yang benar berkelibar dan berintegriti untuk menyelesaikan isu 1MDB ini. Juga soalan saya kepada penulis adakah tuan dengan analisa dan anology yang munasabah akan diberikan ruang untuk menjadi sebahagian dari team penyelamat 1MDB?.
Ramai dan ada beberapa scientist keturunan malaysia yang mempunyai beberapa paten yang boleh dipasarkan dan dari hasil pemasaran itu dapat menjana pendapatan luar negara, namun apakah kepimpinan bersedia untuk memberikan ruang kepada mereka menerajui beberapa perniagaan teras yang dapat menjanabhasil seterusnya menyelamatkan aset2 1MDB.
Macai bodooo baru nk keluar gua ke setelah lama mengeram telor busuk hg tu .Hg punya sembang byk kencang ayat semua mau bajet indah konon patriotik eee najis .Sebelum sembang hg p tatap dulu muka abah kesayangan kau tu(najib albino) adakah dia ni pemimpin yg mementingkan tembolok sendiri atau tidak .Terkejut aku masih wujud lg kaki jilat pungkoq abah najib albino ni .Semoga kau blh pegi mereput sana bersama mama rosmah buah betik jeruk kau .
terbaik tuan ...sy harap tuan dpt kupas tentang kejayaan dana harta dan dana modal secara khusus.kerana sy minat nk tau cara mereka mengatasi syarikat2 yg nazak ni
tq tuan
Tuan.. amat menarik sekali. Mmg adalah lebih baik 1mdb diselamatkan seperti yg terkandung dlm penulisan tuan. Namun, ini akan menyebabkan pemerintah akan mengulangi perkara yg sama iaitu mengambil wang rakyat. Duit sudah dihilangkan oleh 1mdb atau mof atau pm sendiri. Kenapa setiap kali kerugian/songlap duit rakyat berlaku , duit raakyat juga digunakan utk bailout? Org yg bertanggungjawab??? Saya tak mampu terima kerana org yg bertanggungjawab lepas dgn berbillion wang rakyat dan rakyat menanggung hutang melalui pembayaran cukai yg tinggi gst dsb...
Ulasan yg detail dan menarik. Sayangnya agak berat sebelah.
Tekanan diberi kepada pembangkang semata2 utk menjaga kedaulatan negara sedangkan pihak kerajaan tidak ditekan sedangkan yg melakukan kesalahan "grave mistake" pada pihak kerajaan/pemimpin tertinggi yg menjadi punca.Mudah utk menyalahkan mereka padahal bila ade teguran mereka akan disaman,didakwa dan ditahan.
Sekurang2nya PM perlu berehat dan bukannya badan siasatan repot kepadanya, barulah dilihat lebih telus.
The head rots and what can we expect from the others?
Now they charged the despatch???
JIka tuan tidak berhati2, akhirnya blog ni akan terkena tempias dari PAID blogger yg lain...Stick to integrity and truth...
Saya faham atikel ini, tapi berat sebelah.. sedangkan punca yang menjadikan masalah tidak dikeluarkan. kita bukan tolak UMNO atau BN, tapi individu tersebut perlu dikeluarkan sebelum masalah 1MDB hendak diselesaikan. Ramai lagi orang yang berkeliber utuk memimpin negara.
Catat Komen