Sabtu, 15 Mac 2014

CAN THE MALAYS THINK SCIENTIFICALLY? (BOLEHKAH ORANG MELAYU BERFIKIR SECARA SAINTIFIK?): SATU SOROTAN RINGKAS TERHADAP ʿIBRAH DISEBALIK “MISTERI” KEHILANGAN MH370


Ada 3 industri teknologi tinggi yang senantiasa terkehadapan dari segi kajian dan penghasilan ciptaan terbaharu dan termaju: 
1) Indusri Minyak dan Gas (O&G) 
2) Aeroangkasa (Aerospace) 
3) Nuklear
Saya berpeluang dengan izin-Nya setelah selesai 5 tahun mengaji Kejuruteraan Kimia untuk menyertai syarikat minyak negara dan menjadi eksekutif di Divisyen Teknologi dan Kejuruteraan yang bertanggungjawab mengurus-selia kajian-kajian berkaitan teknologi minyak dan gas baik diperingkat huluan (upstream) dan hiliran (downstream).

Sifat industri sebegini adalah sangat pesat dengan penemuan-penemuan teknologi baharu (technological breakthrough) yang kadang-kala kalau kita ikuti secara dekat laporan-laporan di jurnal-jurnal khusus, banyaknya tak masuk akal.

Tak masuk akal kerana, bak kata guru kami Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, sains dan teknologi punya sifat yang mirip "sihir" kerana bagi insan yang tiada biasa, akan terpacak kaku kagum melihat segala macam ciptaan dan inovasi saintifik.

Hal yang sama berlaku dalam industri aeroangkasa.

Industri pembinaan kapal terbang merupakan contoh “oligopoli sempurna” (perfect oligopoly) atau lebih tepat – “duopoly”, yakni satu keadaan perniagaan yang terhad kepada dua pengeluar sahaja yang menguasai keseluruhan pasaran.

Dan kita sedia maklum ada dua nama besar yang buat kapal terbang untuk semua airlines: Boeing dan Airbus.

Boeing berpusat di Amerika Syarikat dan mendapat bantuan dan sokongan kerajaan AS dan Airbus berpengkalan di Perancis yang mendapat bantuan dan sokongan padu konsortium negara-negara EU seperti Perancis, Jerman, UK dan Sepanyol.

Tahun lalu saya ke Turki sempat berbincang dengan beberapa penasihat ekonomi kerajaan Turki. Mereka menyatakan bagaimana sukarnya untuk syarikat Turki yang mempunyai kemampuan teknologi yang sama hebat dan kos pengeluaran yang lebih murah yakni dalam membuat kerusi kapal terbang, hatta dengan lobi kerajaan Turki ke EU pun mereka masih tak berupaya menembusi pasaran dan industri penerbangan yang berpusat di Dunia Barat.

Dan dalam industri inilah kita dapat lihat muka tempayan penyokong “free market” yang kerana ianya tidak terpakai dalam industri sebegini tetapi bila mereka mahu “jual” kepada kita, semua jenis dasar yang kita letak dicop sebagai “protectionism”. Nifaq yang nyata.


Kenapa macam begitu sekali sukar untuk negara-negara bukan Barat untuk menembusi pasaran mereka? Jauh sekali hendak bicara “technology transfer”.

Ya, salah satu yang penting selain “greed, greed, greed, greed” ialah “DEFENCE”.

Yup, you heard that well: PERTAHANAN.

Ini kerana sektor O&G, Aeroangkasa, dan Nuklear adalah adik kembar “modern military industrial complex” khususnya Aeroangkasa.

Banyak sekali teknologi yang dicipta pada asalnya bertujuan dan untuk “client” utama mereka yakni Kementerian Pertahanan.

Apa yang disajikan kepada kita ialah sisa-sisa teknologi saja walhal yang paling “ngetop” dan “super-advance” yang tak tertimbul dalam benak akal kita masih tersimpan rapi dan hanya terbatas dalam penggunaan oleh pihak Kementerian Pertahanan mereka.

Kalau begitulah, kita seharusnya, khusus buat peneliti yang serius, menyemak semula “andaian-andaian” yang kuat berhubung teknologi yang berupaya untuk memintas isyarat antara kapal terbang dan menara kawalan (dalam istilah teknikal: radar jamming) atau pendek kata berupaya mewujudkan satu keadaan yang bersifat “stealth” yakni sukar dikesan oleh radar atau sonar.

Untuk mereka yang tak belajar ilmu sains dan teknologi, hal ini seolah-olah magic dan tak masuh akal tapi bagi mereka yang biasa buat kajian lebih atau terlibat dalam bidang ini ianya langsung masuk akal.

Ya, teknologi sebegini sudah wujud dan sudahpun beroperasi iaitu AWACS juga dunia sudah menyaksikan kewujudan Stealh Bomber: semuanya milik negara-negara Besar itu khususnya Negara Polis Dunia.




Kalau kita faham hakikat duniawi ini, sepak terajang political economy ini, kita tidak akan cepat-cepat melatah dan membuat kesimpulan yang bersifat “pemutus” kepada takdir Ilahi semata.

Seolah-olah penjelasan kita kalau dalam pendalilan mantiq-qiyas (syllogism) itu lompong “middle-term”-nya (qarāʾin qiyāsiyya/al-ḥadd al-awsāṭ) sebaliknya terus terjun kepada kesimpulan. Maka huraian dan penjelasan kita itu seakan-akan tergantung tidak bertali. Tiada dalil aqli, tiada dalil burhani.

Agama Islam mengajar umatnya berfikir dan menimbal segala-galanya dengan aqal yang sihat, menggunakan hukum aqal dengan betul seperti yang diajar ʿulamā’. Apa yang ḥaqq itu pasti tiada bercanggah dengan aqal walaupun ada hal-hal tertentu yang bersifat “supra-rasional” yakni tiada boleh dibatasi dengan idrak aqliyah semata (contoh persoalan ghaybiyāt). Agama Islam punya ciri dan sifat yang saintifik – yakni menekanan kepentingan dan kesahihan pembuktian dan pendalilan dengan kesepaduan ilmu naqli dan aqli dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Para ʿulamāʾ uṣūli khususnya golongan mutakallimūn memanfaatkan dan membangunkan kerangka penyiasatan saintifik berhubung sebarang kejadian yang mawjud dalam ʿalam ṭabiʿī melalui prinsip-prinsip kesebaban (causality) yang empat (al-ʿilal al-arbaʿah) seperti: sebab akhir (al-ʿillah al-ghāʾiyah), sebab benda (al-ʿillah al-mādiyyah), sebab bentuk (al-ʿillah al-ṣuriyah) sebab pelaku (al-ʿillah al-fāʿilah).

Kalau kita berfikir sekurang-kurangnya berasaskan kerangka ini, kita boleh sedikit sebanyak mentertibkan dan mentashihkan samada ianya konspirasi murahan ataupun benar-benar konspirasi hakiki.

Contoh, seharusnya kita jelas menyemak dan membentangkan semua sebab yang mungkin (baca: masuk akal; ini tidak termasuk MH370 dirampas oleh UFO, Spaghetti Monster, Gargoyles walaupun kesemuanya boleh dicitakan dalam zihin-minda-khayalan kita) sesuai dengan kaedah mantiq "min al-maʿlūm ilā al-majhūl": bermula dengan yang JELAS menuju kepada yang tidak jelas. Dan ternyata setelah kita ketepikan pelbagai kemungkinan yang ishkali (dubious).

Kehilangan yang asal itu bukannya kehilangan lesap masuk ke alam ghayb tetapi kegagalan kita mengesan apa yang “intercept” atau “pemutusan” jalur komunikasi antara pesawat dan radar di menara kawalan. Maka yang harus diselidik dan dicari sebab berlakunya itu bukanlah pada sebab bentuk (al-ʿillah ṣūriyah) dan sebab benda (al-ʿīllah al-mādiyah) – yang nyata tiada menunjukkan sebarang bukti seperti serpihan “debris” dan segala macam petanda yang termuat dalam ruang lingkup pertanyaan asbab tersebut; sebaliknya siasatan dan tumpuan awal dan utama harus diberikan pada sebab pelaku (al-ʿillah al-fāʿilah) – yakni sebab langsung yang mengubah sifat asali (penerbangan dan perhubungan pesawat dengan menara kawalan) perkara tersebut yang telah berlaku “anomaly” (shudhūdh) ke atasnya yang berupa “sebab terputusnya 'ping' daripada pesawat dengan radar di menara kawalan secara semerta”.

Seperti dijelaskan di atas tadi, ternyata sebenarnya kemungkinan yang kuat (kini pihak berkuasa negara telah mengesahkan “hijack” [rampasan] adalah satu yang “conclusive” rujuk laporan) jikalau kita padankan kepingan-kepingan jigsaw ini dengan mencantumkan asbab yang tepat mengikut tertib berfikir mantiqi yang betul seperti yang diajar oleh para ʿulamāʾ kita dahulu.

Tapi dalam kes MH370 yang hilang ini, kelihatan ramai daripada orang Melayu tidak berupaya berfikir dengan teratur dan dengan tertib yang betul khususnya dikalangan yang sudah belajar sampai ke universiti. Alih-alih, golongan kita, walaupun berpendidikan tinggi, lebih suka dan teruja dibuai dengan kebodohan bomoh-bomoh palsu dan “sarkis media” yang menyajikan desas-desus semata.


Oleh yang sedemikian, janganlah kita, begitu cepat membuat kesimpulan dan mempermudah-mudahkan masalah yang memang sebenarnya sangat rumit. Bagi golongan agamawan, peranan anda ialah memberikan indhār (peringatan) kepada sekalian manusia untuk memperkuatkan keimanan kepada-Nya tidak kira dalam apa jua keadaan, pada masa yang sama mengiktiraf dan merujuk kepada AHLI dalam bidang-bidang yang terlibat dengan masalah MH370 ini agar masyarakat tahu dan dididik untuk mengenali autoriti.

Wallahuaʿlām