Oleh Wan
Ahmad Fayhsal
Masyarakat
dunia ketika ini sedang berhadapan dengan cabaran yang besar berhubung
pengagihan kekayaan. Pertumbuhan ekonomi yang pesat telah melahirkan golongan
yang diberi jolokan oleh penganalisis antarabangsa terkenal, David Rothkopf
sebagai "superclass" - golongan minoriti tetapi amat kaya dan
berpengaruh dalam struktur kekuasaan negara-negara dunia. Mereka menerajui
industri dan menghasilkan peluang pekerjaan serta menjana kekayaan peribadi
yang luar biasa dalam kadar pertumbuhan yang tidak pernah terlintas separuh
abad yang lalu.
Kemakmuran
ekonomi ini walaupun membawa dampak positif, ianya tetap dan masih dibayangi
oleh masalah pengagihan kekayaan yang masih menjalar hingga ke peringkat akar
umbi. Tidak hairanlah gerakan kesedaran ekonomi tumbuh seperti cendawan selepas
hujan yang tidak diterajui oleh mana-mana pemimpin seperti "Occupy Wall
Street" (Rampas Kembali Wall Street) yang mengakui mewakili golongan
"99%" yakni majoriti dalam menuntut hak mereka terhadap golongan
"1%" yakni "superclass".
Tidak
cukup dengan gerakan massa, terdapat juga gerakan intelektual yang mengarus
perdanakan semula wacana pengagihan kekayaan yang kini menjadi buah mulut
pemerhati ekonomi seperti buku "Capital in 21st Century"
karangan Thomas Pikkety, seorang sarjana Perancis yang telah membuka mata masyarakat dunia
berhubung jurang kekayaan yang semakin melebar dalam sejarah ekonomi, khususnya
di Barat.
Walaupun
sistem ekonomi kapitalisme dan politik demokrasi liberal menjanjikan semangat
kesamarataan (egalitarianism), natijah yang wujud dalam sejarah moden
Barat hinggalah saat ini tidak langsung mencerminkan hakikat itu. Sebaliknya
Pikkety dengan data-data ekonomi yang padat, telah membuat kesimpulan bahawa
pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan yang ada di Barat sepanjang
ratusan tahun ini hanya menyajikan habuan berlipat ganda kepada si kaya dan
kaum pemodal, dan golongan bawahan dan pekerja hanya mendapat kerak-kerak
daripada pertumbuhan ekonomi sahaja.
Arus ini
kini telah disambut di Malaysia melalui karya terbaru Dr Muhamed Abdul Khalid
bertajuk "The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth
in Malaysia" (2014). Beliau yang merupakan ahli ekonomi yang mendapat
gelar Kedoktoran daripada Institute d’etudes Politiques de Paris (SciencesPo)
di Perancis ini bukan sahaja mengangkat tema yang sama dengan karya Piketty
malah Dr Muhamed, di samping analisa dan olahan data sosio-ekonomi Malaysia
secara saintifik, telah berjaya juga membawa semangat dan jalan cerita yang
amat penting, yang telah melatari sejarah sosio-ekonomi orang Melayu khususnya,
dan juga kaum-kaum lain.
Sering
kali persoalan ini gagal dibahaskan secara ilmiah sebaliknya dijaja oleh
parti-parti politik sekadar modal politik. Kegagalan untuk meletakkan tajuk ini
secara adil agar mampu diterima oleh semua pihak tidak kira bangsa apa pun
telah menghantui pelbagai tajuk lain yang berkaitan dengannya khususnya
berhubung Hak Keistimewaan Melayu, Dasar Ekonomi Baru sampailah kepada yang
terbaru isu hutang PTPTN. Kehadiran karya Dr Muhamed ini seharusnya mampu
dijadikan pemandu arah buat pemikir-pemikir ekonomi dan ahli politik untuk
meluruskan kembali wacana yang amat penting ini.
Akar
masalah yang menjadi teras kepada perbahasan dalam karya ini ialah
"keadilan ekonomi" di Malaysia masih belum tercapai. Walaupun dampak
positif DEB telah dirasai oleh ramai orang Melayu, jurang pendapatan (income)
masih melebar pasca 1990-an dan dapatan Dr Muhamed dalam karya ini adalah lebih
menyedihkan bilamana jurang pendapatan warga kota dan desa (yang sudah tentu
ramainya Melayu) menyamai dengan jurang pendapatan sama yang wujud ketika
negara ini mendapat kemerdekaan daripada British pada 1957.
Kisah
di sebalik data
Data-data
terkumpul yang disusun atur oleh Dr Muhamed bagi menunjukkan ketidak setaraan
peluang dan pemilikan aset oleh golongan Bumiputra juga dapat disahkan kalau
mana kita membaca memoir dan biografi tokoh-tokoh Melayu yang hidup sebelum era
adanya DEB. Antara yang menarik dapat kita teliti kisah yang dirakam dalam
biografi Allahyarham Tan Sri Ainuddin Wahid, mantan Naib Canselor Universiti
Teknologi Malaysia (UTM) yang pertama bertajuk "Ainuddin Pejuang
'Degil' Melayu", tulisan Datin
Fatini Yaacob.
Antara
kisah yang melatari perjuangan beliau sebagai pendidik Melayu di era itu ialah
bagaimana anak-anak Melayu dipinggirkan secara sistematik (disenfranchised)
dalam sistem pendidikan di Universiti ketika itu. Bukan sahaja yuran belajar
yang mahal, pelajar Melayu ketika itu bersaing dalam satu padang yang tidak
rata.
Dikisahkan
oleh Ainuddin bahawa ketika menjelangnya musim peperiksaan, para pensyarah
ketika itu membawa pelajar-pelajar bukan Melayu ke tanah tinggi Bukit Fraser
tanpa pengetahuan pelajar Melayu di mana mereka diberi panduan dan tips untuk
menjawab kertas peperiksaan bagi mata pelajaran yang diajar oleh pensyarah
tersebut. Terdapat juga kes di mana para pensyarah amat tegas dan berusaha
mencari kesalahan agar pelajar Melayu gagal mendapat keputusan yang baik
ataupun lebih teruk 'digagalkan' secara sistematik.
Begitu
juga kisah yang dititipkan oleh Za'ba, Ungku Aziz, dan ini menunjukkan
kisah-kisah ini bukanlah sesuatu yang kejadian terpencil (isolated cases)
tetapi merupakan hakikat yang pernah berlaku sebelum dasar pengatur caraan
semula masyarakat melalui DEB dilaksanakan.
Negara
berpendapatan tinggi, makmur?
Menarik
sekali kalau ditinjau, apakah usaha kerajaan yang ada kini melalui Program
Transformasi Ekonomi (ETP) yang mendapat dokongan dan sokongan Program
Transformasi Kerajaan (GTP) benar-benar mengambil kira cabaran dan masalah yang
telah digaris lebarkan oleh Dr Muhamed?
Yang
sering dilaungkan kepada rakyat tempatan serta dunia ialah Malaysia bakal
menjadi sebuah negara maju yang "berpendapatan tinggi" (high
income nation). Tetapi melalui kajian Dr Muhamed, masalah sebenar bukan
pada isi pendapatan tetapi pemilikan aset atau ekuiti.
Jadi
kalaupun "key performance indicators" (KPI) yang digubah oleh
PEMANDU berjaya mencapai targetnya, apakah dengan pendapatan tinggi ini secara
mudah dapat diterjemahkan kepada hakikat pemilikan aset buat golongan yang terkebawah,
khusus dikalangan Melayu dan Bumiputera?
Hal ini
merupakan antara pengajaran utama yang dapat dipetik daripada karya Dr Muhamed:
perlunya pemimpin Melayu bermuhasabah kerana kegagalan orang Melayu mencapai
sasaran yang diletakkan DEB lebih banyak terletak pada bahu pemimpin Melayu
yang telah gagal membendung masalah "rent seeking" atau
"alibaba" yang sepatutnya membina kemampuan usahawan Melayu tetapi
tidak menjadi kerana sekadar menyerahkan peluang tersebut kepada bangsa lain
dalam melunaskan kerja-kerja dan kontrak-kontrak yang diperturunkan kerajaan
yang pada asalnya untuk membantu menaik taraf kebolehan usahawan Melayu, bukan
semata-mata sebagai habuan kekayaan bak bulan jatuh ke riba.
Kesan
daripada faham "musharahakah" (model kerjasama) yang tempang
ini telah meletakkan golongan usahawan Melayu kini pada tahap yang masih lemah
untuk bersaing dengan sihat dengan bangsa lain yang telah lama bersusah payah
mempelajari dan memanfaati peluang dalam perusahaan yang disediakan kerajaan.
Sesungguhnya
kita perlu berasa risau melihat pertembungan ragam pemikiran dalam persoalan
pengagihan kekayaan yang diperdebatkan di ruangan umum negara ketika ini. Sudah
ada suara-suara sumbang yang melihat ketirisan yang berlaku dalam DEB sebagai
alasan untuk memansuhkan terus segala macam bantuan terhadap orang Melayu dan
Bumiputera.
Lebih
ditakuti, golongan ini menjadikan agenda kerajaan seperti ETP sebagai landasan
untuk menyebarkan dakyah tersebut. Silap hari bulan, takut-takut kalau mana
menjadi pun ETP ini, yang kaya bertambah kaya dan yang miskin menjadi kurang
atau lebih miskin. Berdasarkan kesimpulan awal Dr Muhamed dalam karyanya
ini, tampaknya kekhuatiran ini semakin tersembul dan tiada mampu diselindung
lagi di balik nombor-nombor dan Powerpoint warna-warni yang zahirnya
tampak cantik akan tetapi sekadar fatamorgana di atas kertas.
Dengan
kadar kitaran ekonomi dunia yang semakin meruncing akibat pelbagai tekanan
geopolitik, perubahan iklim dan masalah kehausan sumber bumi cabaran pengagihan
ekonomi di Malaysia semakin mendapat himpitan daripada luar dan dalam. Strategi
untuk memberikan aset kepada usahawan bumiputera tanpa ada kefahaman yang jitu
berkenaan makna "amanah" dan "tanggungjawab" tidak jauh
seperti harapkan pagar, pagar makan padi.
"The
Colour of Inequality" menyajikan pesanan tersirat dengan mesej kritis
hormat kepada para pembesar negara bahawa dalam kesungguhan untuk menyama
ratakan padang permainan ekonomi, pendidikan serta lain-lain bidang demi
mencapai taraf negara maju pada tahun 2020 kelak, masalah dan amanah mengurus
bantu orang Melayu dalam hal pengagihan kekayaan adalah jihad yang masih
tertangguh.
Penulis
adalah Felo di Putra Business School, Malaysia
1 ulasan:
salam ziarah
Catat Ulasan