Jumaat, 23 Mei 2014

PERTAHANKAN "SEKOLAH BINA INSAN": MODEL SEKOLAH UNTUK UMAT ISLAM YANG TERBAIK DI MALAYSIA




Gambar menunjukkan ibu-bapa yang teramat ramai hadir bertemu dan berdialog dengan pihak pentadbir/pengurusan SBI pada hari Khamis, 22 Mei 2014 bertempat di Masjid Negeri Shah Alam.


Sebak. Sedih.

Di hadapan ratusan ibu-bapa, rakan-rakan pensyarah dan pentadbir, pertama kali dalam sejarah kehidupan saya yang singkat ini, terkedip-kedip saya memulakan ucapan.

Masih mahu menjaga air muka dan ego seorang lelaki, saya terpaksa genggam sekuat-kuatnya bucu rostrum untuk memulakan ucapan dengan salawat dan salam ke atas junjungan besar Baginda Rasulullah SAW.

"Saya bukan ibu-bapa, saya juga bukan pentadbir sekolah. Saya adalah "cohort" guru pertama yang dibawa masuk untuk mengajar di Sekolah Bina Insan sewaktu ianya mula-mula berjalan 2 tahun lalu."

Mungkin ramai sudah maklum atau sudah tonton video yang dilaporkan Harian Metro (http://youtu.be/Dg9qbwbHcTA?t=1s) berkenaan penutupan Sekolah Bina Insan (SBI) yang bertempat di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Satu keputusan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mana telah meremukkan hati-hati para guru, ibu-bapa dan anak-anak yang tiada bersalah.

Hari ini, di sebelah pagi, perjumpaan telah diadakan antara pihak pentadbir SBI dan ibu-bapa di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Saya sangka majlis hanya kecil tetapi yang datang - Subhanallah - ibu-bapa pelajar dari seluruh Malaysia. Mereka terus turun ke Selangor sebaik sahaja mendapat tahu berita penutupan SBI dalam media.

Saya pun hairan mengapa saya sebak. Tapi akhirnya saya sedar, ianya timbul kerana melihat betapa besarnya harga diri ibu-bapa Melayu Muslim, yang sanggup mengambil cuti, berpusu-pusu masuk ke dewan seminar yang tiada berhawa dingin bagi mengetahui dan memperjuangkan nasib anak mereka yang kini menjadi pelajar SBI.

Setelah beberapa ibu-bapa menyampaikan pandangan dan meluahkan perasaan, saya selaku mantan guru Sains KBSM Tingkatan 4 di SBI pada tahun 2012 (dipinjamkan dari KUIS yang mana saya adalah pensyarah), saya bangun dan naik di atas pentas.

Saya nyatakan secara tuntas bahawa SBI:

1. BUKAN sebuah sekolah, tapi ianya adalah IDEA, GAGASAN, MANHAJ dan PERJALANAN menutut ilmu "min al-mahdi ilā al-lahdi" (from cradle to the grave).

2. BUKAN sekolah agama kerana dalam sejarah peradaban Islam, TIADA APA YANG DIPANGGIL "SEKOLAH AGAMA". Yang ada hanya "SEKOLAH" - ya'ni Madrasah. Full-Stop!

3. BUKAN semata-mata "taḥfīẓ". Kalau nak taḥfīz, ibu-bapa tak perlu risau untuk pindah anak-anak ke serata tempat di Malaysia ini ada taḥfīẓ.

4. SBI diwujudkan dan direka bagi memenuhi falsafah pendidikan Islām dalam erti kata yang sebenar dan tepat yakni "TAʾDĪB" (bukan semata tarbiyah dan ta'lim) sepertimana yang telah digagaskan oleh guru kami, Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang mana pengasasnya, mantan Rektor KUIS, Profesor Dato' Dr. Aziuddin Ahmad telah berusaha dan melahirkan "blueprint" mentajdidkan "the full chain of education for Muslim" dari sekolah sampai ke peringkat sarjana dan pasca-sarjana dalam bidang-bidang ilmu yang bersifat khususnya Fard Kifayah. Dan beliau telah mengenal pasti dan mengkaji bahawa manhaj Al-Attas yakni Taʾdīb adalah yang TEPAT dan BENAR. Saya dan beberapa rakan saya dari CASIS, dengan restu guru besar CASIS, Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud telah menandatangani MOU untuk membantu KUIS untuk mengamal-laksanakan visi dan misi ini.

5. Oleh itu, SBI tidak menerima dan menyamakan sekolah ini dengan mana-mana manhaj "Sekolah Agama" persendirian mahupun negeri dengan jenama-jenama seperti IMTIYAZ, DINI dan banyak lagi yang mana rata-rata membawa manhaj yang dipanggil "INTEGRASI ILMU".

6. Masalah "Integrasi Ilmu" ini adalah salah satu manifestasi "SEKULARISASI SEBAGAI SATU RENCANA FALSAFAH" yang telah menyerap masuk dalam sistem pendidikan umat Islām selama 100 tahun sudah khusus selepas era Kolonial.

7. Sebab itu kalau kita teliti sistem dan silibus yang digunakan di "Sekolah Agama", walaupun dihidangkan mata pelajaran ilmu-ilmu duniawi seperti Sains, Matematik dll. ianya berjalan secara "PARALLEL" dan ditempel-tempel, di percik-percik "ayat-ayat al-Qur'an" dan "hadith-hadith Nabi SAW" untuk menjelaskan fenomena alam, fakta-fakta sains. Ini adalah bersalahan dengan falsafah pendidikan dalam Islam. Tetapi manhaj inilah yang banyak ada di Malaysia - hatta hampir di semua institusi yang mempunyai label "Islam" pada namanya.

8. Falsafah ilmu dalam Islam adalah "INTEGRAL" bukan "Integrasi". Ianya sepadu dan berasaskan apa yang Al-Attas istilah sebagai "tawḥīd method of knowledge". Maka SEHARUSNYA ilmu-ilmu Fard Ayn menjadi asas dan memandu ilmu-ilmu Fard Kifayah; bukan berjalan seiring. Untuk lakukan ini, kerja utama bukanlah melahirkan buku-buku teks baharu yang menempel-nempel ayat Qur'an dan hadith tetapi peranan guru yang punya Tasawwur dan pandangan Alam Islam yang JELAS, yang mahir mengesan dan memilah dan menafsirkan fakta-fakta ilmu duniawi menggunakan kerangka ilmu Fard Ayn secara bersepadu dengan Fard Kiayah seperti mana yang Al-Attas jelaskan.

9. Sesuai dengan namanya, "INSAN" yakni "al-haywan al-natiq" adalah satu hakikat manusia yang SBI amat-amat beri perhatian dalam proses Taʾdīb - sesuai dengan manhaj para ulama' rabbani zaman-berzaman yang memahami benar Ilmu Jiwa (psikologi) insan khusus dalam mendidik para pelajar.

10. SBI berusaha untuk menjayakan falsafah ini dan masih bertatih dengan serba-serbi kekurangan yang ada. Tetapi kini sudah mahu dibunuhnya.

Saya tidak sangka rupanya di luar sana, terlampau ramai ibu-bapa orang Melayu-Islam sedang mencari-cari sekolah yang terbaik yang mampu menekankan Akhirat DEMI kejayaan dunia dan akhirat sekaligus.

Mereka temuinya di SBI. Dan mereka berjanji dan sebulat suara untuk perjuangkan nasib SBI dan anak-anak mereka agar SBI dapat diteruskan. Usul dan rayuan akan diperpanjangkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Saya terharu. Sangat-sangat terharu melihat kesungguhan ibu-bapa dan para pentadbir SBI khusus mudir Ustaz Imran dan mudirah Ustazah Khairunnisa' yang berjuang sehingga kini - against all odds.

Bayangkan kelak setelah anak-anak daripada tadika Islami seperti Brainy Bunch yang sangat pesat itu semakin meningkat dewasa, mereka pasti mahu mencari sistem persekolahan yang mampu memeliharan "BIʿAH SOLEHAH" tanpa dicemari dengan "CORRUPTION OF KNOWLEDGE" yang kini semakin dahsyat.

Di mana kalau bukan SBI - sekolah yang BUKAN "Sekolah Agama" tetapi punya ruh dan falsafah yang meletakkan Agama Islam sebagai ASAS dan PEMANDU kepada pendidikan duniawi dan ukhrawi sekaligus.

Saya yakin tuan-tuan dan puan-puan berminat.

Silalah nyatakan sokongan tuan-tuan dan puan-puan ke laman Facebook SBI:https://www.facebook.com/pages/Sekolah-Bina-Insan/1425488584335651

Juga dijemput untuk meneliti dan membaca "blueprint" SBI yang rakan-rakan saya telah siapkan bagi memperjuangkan masa depan anak-anak orang Islam di Malaysia: http://sbi2013.blogspot.com/2014/05/view-sbi-inside-on-scribd_22.html?m=1

Ini bukan isu politik negeri Selangor harap jangan dipolitikkan.

Tiada ulasan: