Ahad, 9 Jun 2013

Wacana Pasca PRU-13: Perpaduan Kebangsaan Melayu di tingkat Peradaban


Saya telah menyampaikan satu syarahan ringkas dalam Wacana Pasca PRU-13- Survival Bangsa dan Ummah anjuran GPMS pada 12 Mei 2013 bertempat di Bangunan MARA.

Video syarahan saya tersebut dapat ditonton di bawah, pada minit ke-35.

http://www.mobtv.my/talkshow-3327.html


Laporan Utusan adalah seperti berikut:

Jadikan Melayu teras perpaduan nasional

Sebahagian peserta Wacana Post Mortem PRU-13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 12 Mei - Melayu sebagai peradaban Islam perlu dijadikan teras kepada perpaduan nasional untuk menjadi identiti yang dapat dipegang oleh generasi muda negara.

Felo Himpunan Keilmuan Islam (Hakim), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata, beliau mendapati generasi muda amat terkeliru kerana adanya parti politik yang memisahkan bangsa Melayu dengan agama Islam.

"Anak muda tertanya-tanya adakah Melayu itu UMNO, adakah Melayu itu Pas, adakah Melayu itu kaum? Konteks Melayu adalah lebih besar daripada itu, Melayu adalah sebuah peradaban Islam.

"Dan sekiranya mereka berkata perjuangan Melayu itu rasis dan bertentangan dengan Islam, mereka sebenarnya silap, perjuangan Melayu sejak negara merdeka lagi mempunyai asas Islam yang kukuh," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai salah seorang panel dalam Wacana Post Mortem Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13): Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah di sebuah hotel di sini hari ini.

Menurut beliau, pendidikan mengenai Melayu sebagai peradaban Islam perlu ditekankan daripada usia muda lagi dan perpecahan tidak sewajarnya berlaku dalam konteks itu.
"Hadis Nabi Muhammad SAW juga telah mengangkat kedudukan kaum Quraisy, parti politik di Malaysia perlu keluar daripada pemahaman sempit kerana perjuangan perlu diteruskan generasi muda," katanya.

Tegas Wan Ahmad Fayhsal, perpaduan nasional perlu menjadikan bangsa Melayu teras utama agar ikatan itu kukuh dan tidak mudah terlerai.

"Sebagaimana di negara Switzerland, rakyat negara itu berkongsi empat perkara yang sama iaitu agama, bangsa, sejarah politik dan bahasa sebagai syarat perpaduan.
"Di Malaysia, mungkin agama dan bangsa kita berbeza, tetapi tiada istilah untuk bahasa Malaysia, yang sepatutnya menjadi 'autoriti' adalah bahasa Melayu, teras itu mesti Melayu, barulah boleh bersatu-padu," katanya.

Jelasnya, Dasar Bahasa Kebangsaan perlu dilaksanakan dengan lebih tegas agar perpaduan di Malaysia tidak lebih hanya dua buah objek yang diikat dengan dawai.
"Dua buah objek yang diikat dengan dawai besi itu adalah 'perpaduan solid (pejal)' iaitu perpaduan seperti di Malaysia yang boleh dibuka ikatannya, apa yang diperlukan adalah 'perpaduan liquid (cecair)' iaitu besi itu dileburkan untuk perpaduan yang padu," katanya.



Huraian wartawan kurang kemas berkaitan isi syarahan saya. Pohon dirujuk tulisan saya berkenaan Perpaduan Nasional di sini.