Ahad, 29 April 2012

Aqidah Islam menentang realpolitik



ʿManuskrip Aqāid al-Nasafī

Dalam kitab ʿAqidah Ahl Sunnah yang amat masyhur - diguna diseluruh dunia Islam ratusan tahun sudah, karangan Imām Abū Ḥafṣ ʿUmar Najm al-Dīn al-Nasafī, dijelaskan dalam matn-nya: 

"Wa lā yanaʿzilu al-imām bi'l-fisqi wa'l-jaūri wa yajaūzu as-ṣalātu ḥalfa kulli birrin wa fājirin wa yuṣalli ʿalā kulli birrin wa fājirin

Ya'ni diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu tahun 1590 M sebagai: 

"Dan tiada maʿzul (yaʿnī dipachchat) raja-raja itu sebab fāsiq dan daruhaka dan harus sembahyang dibelakang segala ṣāliḥ dan fāsiq: dan sembahyang kita atas segala ṣaliḥ dan fāsiq (yaʿnī mayyit ṣāliḥ dan mayyit fāsiq)"

(rujukan - Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, The Oldest Known Malay Manuscript: A 16th century Malay translation of the ʿAqāid of al-Nasafī, 1988)

Sedikit renungan:

Pada hemat saya tatkala menghibau kekacauan yang berlaku dalam kaum Muslimin, matn ʿaqidah ini sebenarnya menegah secara keras bibit-bibit awal mahupun terkemudian yang membuka ruang kepada "realpolitik" dalam kancah krisis kepimpinan Kaum Muslimin. Bukan disuruh kita meredhai sebarang kesalahan itu tetapi ditegah keras membuka ruang kepada fasad yang lebih berbahaya daripada kezaliman pemimin fāsiq Muslim itu. 

Persoalannya: Benar dan pastikah sebarang ʿamal jamaʾie politik pakatan - baik BN dan PR - tidak ditusuk sebarang anasir realpolitik dari dalam hatta dari luar? 

Malaysia dan Turki, ini sahaja negara Muslim yang berfungsi dan tidak bermuara di daerah "failed states". Sudah nampakkah burung-burung nasar (vulture) yang bertenggek dari luar menunggu masa untuk memamah bangkai kita?

Mungkin kerana inilah Imam al-Ghazali dan Badiuzzaman Said Nursi cuba sedaya upaya untuk menjauhi dan menumpukan islah pada landasan yang paling asas - ʿilmu. Dan mereka berdua terang lagi bersuruh telah berjaya dunia-akhirat mengislahkan ummah yang jauh lebih jelek daripada UMNO dan sekalian isinya.

Perubahan yang didambakan kaum Muslimin tidak harus diselit pada roda Fortuna.

Ahad, 22 April 2012

Sastera yang poros Faham Ilmu





"Dalam sanggahan ini juga saya menekankan peri pentingnya dibezakan antara persoalan puitika dan retorika. Saya telah cuba menjelaskan perbezaan ini dalam tulisan ini, dan cuba juga menunjukkan kesa-kesannya dalam persuratan dan penelitian tentang "sastera". Hal ini menjadi semakin penting diberi perhatian kerana terdapatnya sejenis kegilaan kepada istilah-istilah baru atau konsep-konsep baru yang sedang giat diperkenalkan di Barat pada waktu itu. Jika kita membaca tulisan-tulisan mengenai "sastera" dan ukuran-ukuran yang dipakai untuk menilai hasil "sastera", kita akan menemui sejumlah istilah yang sering disebut-sebut, yang dijadikan ciri karya yang baik. Misalnya antara yang sering disebut ialah istilah-istilah pasca-modenisme, avant-garde, surrealisme, realisme magis, deconstruction, dialogic imagination, teori resepsi, dan banyak lagi. 
Terdapat sejenis keghairahan memperaga dengan sombongnya kejahilan akademik dengan bertopengkan nama-nama dan istilah-istilah itu. Hampir semua tulisan yang memperagakan kejahilan ini, yang saya baca, penuh dengan kekaburan dan kekacauan yang sungguh mengherankan, kerana semua ini datangnya daripada orang-orang yang menggelarkan diri mereka sarjana dan tokoh akademik. Yang paling ketara ialah mereka tidak sedar sedikit pun bahawa mereka sedang berusaha membawa fikiran dan pengaruh karut dalam "sastera" Melayu/Malaysia moden. Mereka tidak sedikit pun cuba menjelaskan makna dan implikasi konsep-konsep dan istilah-istilah itu dari segi worldview yang tersirat di dalamnya. Mereka begitu boros menggunakan istilah-istilah itu "out of context" untuk mencirikan karya-karya yang baik, menurut pandangan mereka. 
Hasilnya mereka dengan angkuh dan sombong menjulang karya-karya yang sebenarnya tidak bermutu, malah ada yang menyesatkan. Karya-karya yang sedangkal ini menjadi kelihatan hebat di dalam tangan ahli akademik dan pengkriitk sastera yang keliru konsep ilmunya ini. Sebagai bukti, silalah lihat bagaimana mereka menganalisis dan menilai karya-karya yang mereka anggap baik itu melalui laporan sebagai ahli panel berbagai peraduan atau dalam ulasan-ulasan buku yang mereka buat. Hampir semua mereka menyatakan mereka gemarkan pembaharuan, tetapi apa yang disebut sebagai pembaharuan itu tidak lebih daripad peniruan keada model-model yang telah sedia ada di Barat. Mereka pada hakikatnya melihat pembaharuan dari kecetakan pengalaman ilmiah dan keterbatasan citra rasa mereka sendiri. Jelasnya mereka menghargai pembaharuan jika apa yang disebut pembaharuan itu dapat dihuraikan dengan menggunakan istilah-istilah dan konsep-konsep yang mereka gemari dan yang dicedok bulat-bulat tanpa pemahaman yang mendalam, yang tidak mereka mengerti implikasinya terhadap ilmu. 
Kita sebenarnya tidak saja mempunyai penulis picisan dan karya picisan, malah kini lebih ramai lagi sarjana dan pengkritik picisan - yang melahirkan esei dan kritik picisan. Mereka ini akhirnya membuat peniliaian picisan pula! 
Dalam keadaan beginilah Prof. Dr;. Muhammad Hj Salleh melontarkan syarahan perdananya, yang segera ditelan bulat-bulat oleh murid-muridnya dan para sarjana yang malas berfikir dan yang picisan tadi. Maka itulah perlunya sanggahan ini." 
Mohd. Affandi hassan.4 Oktober 1994.

-Dipetik daripada  "Medan-Medan dalam Sistem Persuratan Melayu: Sanggahan terhadap Syarahan Perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh (Sarjana dan Sasterawan Negara)" oleh Tn. Hj. Mohd. Affandi Hassan, ms. x-xi

Rabu, 11 April 2012

Merenung nasib khazanah ilmiah Melayu

Memandangkan hari ini cuti umum sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agung yang baru, saya sempat menziarahi Prof. Abdullah Zakaria Ghazali yang merangkap pakcik saya di rumahnya tadi. Beliau merupakan Profesor di Jabatan Sejarah Universiti Malaya. Seperti biasa, pertemuan tersebut sarat dengan perbincangan yang berat-berat juga mencerahkan.

Kebetulan saya baru pulang daripada Khazanah Fataniyah semalam dan sedang menekun beberapa lembaran turāth karangan ʿālim dan āmir terkenal Riau kurun ke-19 Masihi, Raja ʿAlī Hāji yang bertajuk “Thamaratu al-Muhimmah Ḍiyāfatu li al-ʾUmarāʾ  wa al-Kibriyāʾi li ʾĀhli al-Maḥkamah ( Buah-buahan yang Dicita-citakan Hal Keadaan Jadi Jamuan bagi Raja-Raja dan bagi Orang Besar-Besar yang Mempunyai Pekerjaan di dalam Tempat Berhukum/ Fruits of Mission in Entertaining the Leaders and Majesty that occupy the Court of Power).

Sempat menunjuk kitab itu kepada beliau dan terus tercetus pelbagai perbahasan ilmiah berkaitan sejarah dan khazanah ilmu Alam Melayu.


Tekun Prof. Abdullah Zakaria menyiapkan tulisannya di rumah.


Prof. Abdullah menyarakankan kepada saya sepanjang-panjang perbincang itu berlaku bahawa amat perlu kita, golongan ilmuan mengkaji secara tekun kitab Sulālat al-Salāṭīn atau lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu yang ditulis  oleh Tun Sri Lanang dalam kerangka yang lebih ilmiah.

Ini kerana mengikut beliau, banyak karya-karya agung Melayu dikaji oleh golongan yang berpucuk dari aliran sastera. Sudah tentu golongan ini seperti kata Prof. Zakaria yang masih banyak mengendong faham yang dijaja Orientalis Inggeris terbesar Alam Melayu – Sir Richard Olaf Winstedt (1878-1966) yang mengatakan bahawa banyak karya-karya besar Melayu ini sarat dengan Mitos, Lagenda dan Cerita Dongeng.  Tidak dinafikan walaupun sudah banyak golongan sarjana ini menyumbang kepada penjenamaan semula karya-karya agung ke dalam bentuk yang lebih moden khususnya dalam tulisan Melayu rumi, masih terdapat banyak ruang-ruang kosong yang tidak mampu diisi (atau sengaja disempitkan) oleh mereka.

Mendengar hujah ini kelibat ingatan saya kembali ligat cuba menilik latar hujah tersebut dengan memuatkan pengalaman penting mahaguru saya, Prof. Syed Naquib Al-Attas.  Bagi yang sudah membaca karya-karya awal beliau seperti Origin of Malay Shaʿir atau paling tidak pun sharahan pengukuhan pelantikan jawatan Profesor Bahasa dan Kesusasteraan Melayu UKM yang bertajuk Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu: Suatu Mukaddimah mengenai Peranan Islam dalam Perabadan Sejarah Melayu-Indonesia, dan kesannya dalam sejarah pemikiran, bahasa, dan kesusasteraan Melayu (1972), pasti pembaca akan terhimbau betapa lantang dan berani Prof. Al-Attas radd ke atas sekalian Orientalis yang menyemai shakk dan ẓann dalam kajian mereka berkenaan turāth dan karya-karya agung Melayu.

Saya juga terhimbau akan kesungguhan Prof. Al-Attas yang kemudiannya dipikul dengan berani dan lantang oleh Tn. Haji Affandi Hassan yang terkenal sebagai pendokong Gagasan Persuratan Baru betapa sebenarnya penerbitan faham kesusasteraan dan pembedaannya dengan persuratan sekitar pertengahan abad ke-20 adalah satu kesilapan yang berbahaya dan merugikan umat Melayu. Golongan sastera seperti yang dikritik Prof. Al-Attas dan Tn. Hj Affandi Hassan telah mengesampingkan kedudukan sebenar persuratan Melayu yang didasari dengan faham ilmu yang betul dan sebaliknya diangkat faham kesusasteraan moden yang bercorak daya khayali yang poros ilmu yang mana sebenarnya banyak daripada golongan sasterawan ini asal usul mereka hanyalah sebagai pengarang (rujuk asal usul ASAS 50). Dikotomi ini akhirnya semakin menebal dengan pengwujudan gelar Sasterawan Negara yang dinobat sekadar menepati syarat-syarat yang ditunjangi faham kesusasteraan moden khayali yang banyak dari Barat.

Kesan daripada ini telah membentuk pandangan alam masyarakat Melayu moden yang hanya mampu secara kasar menanggap yang  Bahasa Melayu moden mutaʾakhir hanya berdaya maju dengan karya-karya sastera contra persuratan. Sikap ini yang tertanam dan subur secara separa sedar telah meneggelamkan faham persuratan Melayu yang sebenar dan tidak mustahil oleh sebab yang sedemikian cara pandang sarjana Melayu khasnya dan orang kebanyakkan amnya melihat sebarang hikayat-hikayat besar seputar karya sastera agung, seolah-olah kontang isi ilmiah yang bersifat thabit adanya. Boleh ditelusuri perbahasan ini dengan membaca tulisan Tn. Hj Affandi Hassan dalam karyanya “Medan-Medan Dalam Sistem Persuratan Melayu: Sanggahan Terhadap Syarahan Perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh” (Penerbit Tiga Puteri, 1994).

Ada banyak yang kami bicara dan untuk menjimat masa, izinkan saja saya menulisnya dalam bentuk beberapa butiran penting:
  • Selain Raja Ali Haji, kata Prof. Zakaria, perlu juga ditelaah Misa Melayu karangan Raja Chulan. Saya pasti ramai anak muda hanya kenal Raja Chulan sebagai salah satu nama stesen monorail.
  •  Ada beza antara “titah” dan “ucapan” seorang Raja/Sultan. Mengikut Prof. Zakaria bilamana Sultan bertitah ianya adalah suatu arahan yang wajib diikuti. Daulat Sultan yang ʿadil pasti berasaskan tuntutan Shariat. Kalau titah Sultan tidak diikuti dan dilanggar maka jatuh sudah Daulat Sultan sekadar menjadi ucapan. Peribahasa Melayu menjelaskan “Raja yang ʿAdil disembah, Raja yang Zalim disanggah”. Saya secara peribadi melihat konsep Daulat Sultan ini jikalau ditimbang mengikut mizan Pandangan ʿAlam Islam tidak jauh beda dengan konsep al-walāʾ wa al-baraʾ. Dan kita semua maʿlum bahawa kitab ketatanegaraan atau Mirror for Princes yang dikarang para ulamaʾ amat menekankan perihal mentaati pemimpin yang ʿadil itu sebahagian daripada pegangan ʿaqidah seperti yang termuat dalam ʿAqāʾid al-Nasafī yang tersebar luas dan disharah panjang oleh ʿulamaʾ di Alam Melayu.  Sama juga Daulat Sultan itu yang ʿAdil itu bertepatan jika dihubung jalinkan dengan konsep al-walāʾ wa al-baraʾ tidak akan menimbulkan sebarang kekeliruan dan kedangkalan dalam memahami bagaimana orang Melayu zaman silam memahami perlambangan Ẓillul-Lah fiʾl-ʿālam – “Raja sebagai Bayangan Tuhan di muka bumi”.
  • Dalam Undang-Undang Tubuh Terengganu juga ada konsep “Kata Pengikat dan Pemutus” yang dizahirkan dalam bentuk Dewan Diraja yang dahulunya sebelum kedatangan penjajah dianggotai oleh Mufti yang diberi gelar Datuk Bentara Guru. Dikatakan ʿalim besar Tok Ku Paloh juga pernah duduk dalam Dewan ini. Kalau diteliti ini bukan konsep asing sebaliknya teras kepada sistem shura yang sebenar berdasarkan konsep Ahl’l-Hal wa’l-Aqad. Konsep ini tidak lagi difahami kerana bahana faham demokrasi yang mencairkan susun atur mereka yang sebenar-benar layak memberi nasihat kepada para Sultan antaranya ialah para ʿulamāʾ yang berwibawa.
  • Pengarang karya-karya besar Melayu bukan orang biasa. Banyak mereka ialah orang bangsawan yang terdidik (learned man) dan dalam banyak penulisan mereka kata Prof. Zakaria ianya ditulis dengan banyak perlambangan yang perlu ditafsir secara halus. Ini kerana zaman tersebut di mana Daulat Sultan masih kuat sebarang kritikan dan sanggahan harus dibuat secara halus bagi tujuan mendidik dan mengelak sebarang pergolakan yang lebih besar. Maka sudah tentu cerita-cerita berbentuk Puter Gunung Ledang dan Singapura dilanggar todak menjadi taruhan buat pengarang Melayu ini menyampaikan nasihat dan sanggahan dengan cara yang halus tetapi berbekas di benak hati para pemimpin dan masyarakat.
  • Banyak orang-orang persendirian di Alam Melayu yang masih berusaha secara kecil-kecilan menyimpan dan mengurus khazanah ilmiah berupa manuskrip. Ini kadangkala mengundang masalah kerana ketiadaan kepakaran tertentu yang akhirnya mengakibatkan manuskrip tersebut mudah rosak dimamah masa. Kata Prof. Zakaria, perlu ada usaha yang lebih khusus dalam membantu kumpulan-kumpulan kecil ini agar warisan kita tidak luput ditelan zaman.
  • Yayasan Karyawan sedang usaha menerbitkan semula karya-karya agung Melayu dan kata Prof. Zakaria, terpulang kepada anak muda masani untuk mengkajinya dengan lebih ilmiah. Jangan sekadar harapkan sarjana sastera saja yang mengangkat teks sedemikian rupa.

Perbincangan dengan beliau walaupun kadang kala saya diusik dengan beberapa kritikan terhadap Prof. Al-Attas, tidak mengundang rasa tidak hormat Prof. Zakaria akan kejayaan Prof. Al-Attas mewujudkan “school of thought” beliau yang menjadi bualan ramai dikalangan para sarjana sehinggalah hari ini. Saya selaku anak murid kepada anak murid Prof. Al-Attas, tumpang sefikrah dengan mereka dan Insha-Allah semua ini akan mendorong saya untuk bekerja lebih kuat bagi memakmurkan kembali karya dan turāth cendekiawan Melayu lampau.

Inferiority Complex untuk menyantuni sejarah bangsa saya bak terhapus sudah dari kamus pemikiran saya malah membuatkan saya berasa lebih tawaduʾ kepada orang-orang terdahulu yang sememangnya hebat belaka berbanding kita pada masani yang jahil bangat tentang apa dan siapa itu Bangsa Melayu.