Sabtu, 17 Mac 2012

Makan malam bersama Orientalis



Kami bertiga bersama Dr. Witkam. Beliau yang belanja kami makan malam.

Siapa sangka setelah berhempas pulas di sebelah pagi membentangkan kandungan buku karangan Robert Irwin, For Lust of Knowing: The Orientalist and their Enemies dalam kelas Research Methodology di CASIS yang dipimpin oleh Prof. Zainiy Uthman – saya, Syed Muhyiddin dan Syafiq telah dijemput untuk makan malam bersama seorang Orientalis terkemuka dari Universiti Leiden, Belanda.

Orientalis tersebut ialah Prof. Dr. Jan Just Witkam yang kini merupakan ketua penyunting (editor-in-chief) Journal of Islamic Manuscripts di bawah penerbitan E.J Brill di Leiden. Dari tahun 1974 hingga 2005 beliau merupakan pegawai selenggara khazanah (curator) koleksi Oriental di perpustakaan Universiti Leiden. Pada tahun 2001, beliau telah dilantik menjadi Profesor Ilmu Kaji Tulisan Silam (Paleography) dan Ilmu Kaji Naskhah Lama (Codicology) sehingga tahun 2010.  Kehadiran Dr. Witkam ke Malaysia kerana memenuhi undangan pihak UIA untuk memberi beberapa siri syarahan berkenaan Ilmu Kaji Naskhah Lama yang telah berlangsung sekitar seminggu lalu.

Sebelum saya pergi berkongsi lebih banyak tentang perbulan makan malam kami dengan Dr. Witkam, elok benar saya jelaskan siapa itu Orientalis.

Dalam pembentangan ringkas buku For Lust of Knowing pada pagi Jumaat lalu, saya menjelaskan ada dua sebab Robert Irwin menulisnya. Pertama, ianya ditulis seperti satu ṭabaqāt al-mustashriqiyyah (biographical literature of the Orientalists). Sebab kedua ialah sebagai satu radd ke atas adikarya mendiang Edward Said – Orientalism yang amat berpengaruh dalam lapangan ilmu Kemanusiaan (Humanities) sampai masani.

Menarik di sini untuk kita kupas kata akar (etymology) Orientalis.

Orientalisme adalah satu cabang ilmu pengkajian tentang Asia – agama, bangsa, budaya dan banyak lagi. Walaubagaimanapun, Orientalisme yang telah lama wujud di Barat sebenarnya banyak berkisar mengenai kajian segala-gala tentang umat Islam seawal Zaman Pertengahan di Eropah lagi. Orientalis adalah pengkaji tegar akan mawdu’ ini.

Yang lebih menarik, dalam bahasa Arab, perkataan Orientalis diterjemah sebagai al-mustahsriq yang mana mengambil bentuk wazn istafʿala yang secara umum salah satunya memberi maksud “keteringinan untuk menjadi”. Seperti mana golongan sufi palsu dalam bahasa Arab dipanggil sebagai al-mustaṣwifūn daripada bentuk istaṣwafa – yang mana seperti dijelaskan Prof. Syed Naquib al-Attas melalui nukilan Syeikh Nur al-Din al-Raniri sebagai golongan yang “bersufi-sufian”. Lagak serban tajam, berjubah labuh lengkap dengan kain di atas bahu tetapi hakikatnya tidak mempunyai ilmu taṣawwuf yang betul.

Maka golongan Orientalis juga sebenarnya kalau ditilik secara halus melalui karya For Lust of Knowing itu menggambarkan maksud yang sama – kepingan untuk menjadi seperti orang-orang Timur yang lebih eksotik, maju dan bertamadun (pada zaman kegemilangan Islam). 

Ianya menarik untuk difikirkan kerana orang Arab dahulunya tidak menggunakan perkataan al-mustahsriq untuk mengkisarkan "orang-orang Timur" – seperti digunakan oleh Ibn Sīnā dan Imam Fakhr Dīn al-Rāzī yang masing-masing menulis karya yang menggunakan nama “The Easterners” ya’ni Ibn Sīnā dengan Manṭiq al-Mashriqiyyin (The Logic of the Easterners) dan juga al-Rāzī dengan al-Mabāḥith al-Mashriqiyya  (The Eastern Studies).

Melalui perbincangan yang larut sampai 2 jam, saya kira Dr. Witkam juga mempunyai sifat yang sama seperti dijelaskan oleh Robert Irwin dalam For Lust of Knowing akan kepingan yang teramat untuk mengkaji, mengetahui dan memahami khazanah ilmu dan budaya orang-orang Timur khususnya kaum Muslimin.

Walaupun umur beliau sudah hampir mencecah 70 tahun, kegigihan untuk mencari, mengumpul dan menkatalogkan manuskrip tidak pernah padam. Malah perkongsian ilmu yang beliau ingin lakukan amat luar biasa daripada para pengkaji  “biasa-biasa” dikalangan kaum Muslimin yang pernah saya jumpa. Lihat saja laman web beliau untuk mengetahui tahap kesungguhan dan penjiwaan beliau dalam kerja-kerja akademik berkaitan manuskrip tersebut.

Banyak soalan-soalan menarik yang kami kemukakan kepada beliau dan Dr. Witkam langsung tidak kedekut untuk menyatakan pandangan beliau.

Sebagai warga Universiti Leiden dari waktu muda sampailah sekarang, beliau sememangnya terdedah dengan tradisi Orientalisme yang utuh. Kami tidak sangka yang beliau merupakan anak murid kepada Orientalis besar Belanda - Profesor Gerardus Willebrodus Joannes Drewes atau lebih dikenali sebagai G.W.J Drewes

Mungkin bagi yang tak biasa dengan kajian sejarah ilmu dan budaya Melayu atau tidak banyak membaca karya-karya Prof. Syed Naquib Al-Attas, nama ini akan terasa asing. Tetapi bagi kami, anak muridnya kepada gagasan Prof. Naquib Al-Attas, nama Drewes merupakan nama besar yang telah disanggah secara lumat oleh Prof. Naquib Al-Attas à la Tahāfut al-Falāsifah dalam monograf Comments on the Re-Examination of al-Rānīrī’s Ḥujjatulʾl-Ṣiddīq: A Refutation. (Muzium Negara, Kuala Lumpur: 1975)

Dr. Witkam sendiri memperakui bahawa Prof. Syed Naquib Al-Attas merupakan seorang ilmuan yang visionary.  Beliau juga memuji yang Prof. Al-Attas telah berjaya membina perpustakaan Oriental yang “sebenar” di ISTAC – sesuatu yang amat jarang ditemui di rantau ini.

Dalam perbincangan kami, Dr. Witkam menzahirkan perasaan kekecewaan beliau terhadap ketiadaan sifat pengurusan dan pengkajian secara serius akan khazanah turāth khusus berkaitan manuskrip di dunia Islam, yang juga tidak begitu mendapat perhatian berbanding yang terdapat di univerisit-universiti besar Barat seperti Oxford, Cambridge, Yale, Chicago, McGill dan Leiden. Beliau mendakwa terdapat ramai sarjana-sarjana yang berbakat di dunia Arab tetapi oleh kerana kekangan politik dan ekonomi yang mencengkam, bakat-bakat mereka hanyut ditelan badai zaman.

Walaubagaimanapun beliau kata ada juga dikalangan pemimpin mereka yang memahami semangat profesionalisme dalam pengkajian dan pengurusan sumber khazanah turāth antaranya ialah Yang Berhormat Shaykh Dr. Zaki Yamani, pengasas dan pengarah Al-Furqan Islamic Heritage Foundation.  Shaykh Dr Zaki Yamani merupakan bekas Menteri Sumber Minya Arab Saudi dari 1962 hingga 1986. Saya pertama kali mengenali Dr. Zaki Yamani melalui karya Daniel Yergin – The Prize: The Epic Quest for Oil, Money and Power di mana beliau merupakan antara wakta utama dalam krisis embargo minyak OPEC 1973. Dr. Zaki Yamani juga merupakan salah seorang ahli lembaga penasihat antarabangsa ISTAC zaman pimpinan Prof. Al-Attas.

Dr. Witkam telah berkhidmat selama 15 tahun dengan Al-Furqan sebagai penasihat saintifik dan Dr. Witkam memperakui betapa terhutang budinya beliau kepada Dr. Zaki Yamani kerana memberi peluang dan ruang yang banyak untuk mengkaji dan mengurus koleksi manuskrip di serata dunia di bawah bantuan Al-Furqan.

Sikap pustakawan dan pengkaji dunia Islam yang acuh tidak acuh, malu-malu kucing untuk menulis surat kepada perpustakaan di luar dunia Islam turut menyumbang kepada ketidak majuan pengkajian manuskrip di dunia Islam. Dr. Witkam memberi contoh akan sikap “malas” sesetengah penerbit kitab di dunia Islam yang sekadar berpuas hati dengan beberapa jenis edisi manuskrip yang tidak begitu baik keadaan fizikalnya, terus di-tahqīq dan dicetak keluar ke pasaran dalam keadaan tergesa-gesa dengan kualiti suntingan yang lemah dek kerana merujuk kepada kualiti edisi manuskrip yang tidak seberapa tersebut. Walhal boleh saja mereka bersifat rajin untuk mencari salinan-salinan lain manuskrip tersebut yang mungkin keadaannya lebih baik dan jelas untuk disunting dan dapat diterbitkan secara kemas dan berkualiti.

Di sini beliau memberi pujian melangit kepada Vatican kerana mempunyai sistem dan kaedah penjagaan manuskrip yang terbaik di dunia (bukan kerana Pope kata Dr. Witkam secara berseloroh). Kami mengiakan kerana pernah menonton babak yang memuatkan perpustakaan manuskrip di Vatican dalam filem Angels & Demons

Disebabkan beliau amat aktif menghadiri forum, seminar dan bengkel berkaitan manuskrip di seluruh dunia, saya bertanyakan samada beliau pernah pergi ke lubuk manuskrip Islam di Timbuktu, Mali. Dr. Witkam dengan nada hampa mengatakan tidak pernah dan beliau amat teringin untuk ke sana tetapi keadaan keselamatan yang runcing buat orang Barat mengakibatkan beliau tidak dapat ke sana buat masa ini. Dr. Witkam kata beliau juga selesa benar untuk membuat kerja-kerja beliau di Kaherah, Mesir walaupun cabaran birokrasi di sana luar biasa sekali.

Ringkasnya, Dr. Witkam seperti yang saya katakan di awal tulisan, mempunyai sifat-sifat yang sama seperti para Orientalis besar yang lain. Pandangan negatif terlampau, seperti yang diukirkan oleh Edward Said dalam magnum opus beliau Orientalism telah sedikit sebanyak menutup ruang-ruang positif yang boleh digarap oleh kaum Muslimin akan kesungguhan orang bukan Islam seperti Dr. Witkam untuk mengkaji dan melestarisasikan sumber khazanah turāth Islam.

Disamping sisi gelap Orientalis ternyata mereka juga turut sama menyumbang kepada penerusan tradisi khazanah turāth Islam. Yang menjadikan mereka begitu hebat dan tekun pasti juga kerana kita sendiri kaum Muslimin tidak lagi memahami dan menghargai warisan kita sendiri seterusnya membuka ruang kepada bangsa lain untuk menyantuninya semula mengikut selera mereka. 

Apa-apa pun kita kaum Muslimin, seperti pesan Prof. Zainiy Uthman kepada kami di CASIS, jangan menyombong diri terhadap mereka yang dipanggil Orientalis. Ketidak persetujuan kita dengan mereka atas dasar ilmu yang benar tidak harus diheret sampai memusnahkan ruang dan peluang untuk jalinan kerjasama yang munasabah khususnya dalam hal-hal berkaitan pengurusan sumber khazanah turāth yang sememangnya mereka di Barat lebih maju berbanding kita di dunia Islam. Ambil saja contoh mudah yang ditayangkan oleh The Islamic Manuscrip Association (TIMA). Jauh lebih profesional dan mesra sarjana berbanding perpustakaan di dunia Islam juga di negara kita yang tercinta ini. Masakan kita impikan Budaya Ilmu yang tulen jikalau sumbernya saja kita pandang enteng.

2.02 pm, 17 Mac 2012


*Untung juga tak sangka Profesor Kajian Malaysia saya di UTP, Profesor Ahmad Murad Merican telah menulis satu makalah dalam NST pada hari ini yang menyinsing seputar perbahasan Orientalisme iaitu berkenaan “The Other” dalam ruang lingkup nyata negara kita, Malaysia.  Selamat membaca dan mengkaji.