Rabu, 16 Mei 2012

Sedikit bingkisan berkenaan ulamaʾ haraki/siasah dan faham perubahan yang didakyah mereka



Kitab "al-Ḥaqq al-Mubīn" tulisan Shaykh Usamah al-Sayd Mahmud al-Azhari yang mengkritik faham-faham melampau dalam pemikiran tokoh gerakan Islām kontemporari.


Gelaran atau klasifikasi ulamaʾ haraki/siasah ini tidak pernah ada dalam sejarah Islam. Seperti yang dijelaskan olem Imām ʿAbd Qāhir al-Baghdādī dalam al-Farq bayna’l-Firaq[1], tidak disebut pun "Ulama Haraki/Siasah" sebagai salah satu kumpulan yang tergolong dalam Ahl Sunnah seperti yang lainnya ya’ni Sufiyyah (Sufis), Mutakallimun (Theologian), Fuqahaʾ (Jurists), Muhaddithun (Prophetic Traditionists), Mufassirun (Exegetes).

Adapun ulama' yang terlibat dan bercakap dengan hal-hal siasah itu pada masa lalu sebenarnya adalah para Fuqahaʾ par excellence seperti al-Māwardī, al-Ghazālī. Harus diingat disini yang berjuang menentang penjajah seperti Amīr ʿAbd al-Qādir al-Jazāʾirī[2], al-Sanusi[3] itu bukanlah ulama haraki/siasah kerana mereka berjuang dan berjihad bukan sebagai politikus. Pendek kata mereka tak bercakap sebagai seorang politikus apatah lagi mencalonkan diri untuk menjadi penguasa.

Pada hemat saya Ulamaʾ Haraki/Siasah seperti yang dicanang hebat kini – khusus dari kalangan golongan ilmuan agama yang terjun dalam parti-parti politik (harakah Islamiyyah) merupakan satu perkara baharu yang agak terkeluar daripada pengklasifikasian tradisi keilmuan Islam.  Ianya timbul daripada cabaran dan kesan zaman moden, bukan warisan sejarah dan tradisi kita.

Saya terfikir dan berusaha mencari jawapan apakah pengklasifikasian sebegini sesuatu yang baik atau sebaliknya? Ini kerana kalaulah ribuan tahun sudah berlalu sejarah kaum Muslimin tetapi tiada pula dikalangan ulamaʾ kita yang mengelaskan diri atau sebahagian daripada mereka sebagai “ahl-haraki/siasah”, masakan tidak kita yang baru ini memberanikan diri mewujudkan serta mengabsahkan (crystallization) klasifikasi sebegini?

Ingin saya tekankan di sini bahawa ulamaʾ kita yang terdahulu – seperti dijelaskan dan dipertahankan oleh Prof. Syed Naquib Al-Attas, bukan calang-calang insan. Mereka amat berhati-hati dalam menamakan sesebuah disiplin ilmu apatah lagi sesuatu hakikat kerana sifat Pengislaman itu memang amat menitik beratkan adab terhadap sesuatu. Ini amat kena dengan ayat 31 dalam sūrah al-Baqarah bahawa “Allah mengajar Nabi Adam kesemua nama” (ʿallama ʾĀdama al-āsmāʾa kullahā) – dan nama itu senantiasa merujuk kepada hakikat, bukan sekadar nama.  Sesuatu taʿrīf itu merujuk kepada ilmu bukan sekadar penamaan dan pendefinisian yang tiada asas dan batas.

Saya bukan ingin memberi penilaian berbentuk fiqhiyyah terhadap perkara ini cuma ingin benar-benar menilai apakah wajar klasifikasi sebegitu diperteguhkan dan menjadi sebahagian daripada “kumpulan” ulamaʾ yang tersegam atur dalam penjelasan-penjelasan oleh ulamaʾ terdahulu sepertinya Imām ʿAbd Qāhir al-Baghdādī.

Tidak cukupkah golongan fuqahaʾ, mutakallimun, sufi, muhaddithun, mufassirun itu untuk diangkat sebagai kumpulan-kumpulan ulamaʾ tanpa perlu mewujudkan lagi satu “label” baru tersebut? Bukankah pada hakikatnya seperti yang dijelaskan tadi bahawa yang memperjuangkan keadilan Islam dalam lapangan siasah sebenarnya adalah fuqahaʾ?

Antara perkara yang saya amat musykil ialah mengapa ribuan tahun lamanya para ulamaʾ kita, semacam mana teruk dan kegentingan keadaan umat Islam dalam berhadapan dengan penguasa yang zalim tidak pernah mendambakan diri mereka untuk menggantikan penguasa tersebut.

Ya, mereka menentang penguasa dan sebarang bentuk kezaliman tetapi tiada sesekali mereka menjadi ahl-haraki/siasah seperti yang ada pada hari ini – ya’ni golongan ulamaʾ yang mencalonkan diri mereka untuk bertanding menjadi pemimpin (umarāʾ).

Saya hairan hatta Shāh Walī Allāh yang hebat itu pun tidak pernah mengaku atau melabel diri beliau sebagai ahl-haraki/siasah. Walhal karyanya Hujjat Allāh al-Bāligha[4] yang menjelaskan kerangka islāh siasah-akhlaqiah-ʿilmiyyah itu luar biasa sekali khusus berhubung teori irtifāqat-nya[5].

Dan saya tertanya-tanya, mengapa mereka-mereka yang mengabsahkan diri mereka sebagai ulamaʾ haraki/siasah ini tidak mengangkat gagasan yang ditinggalkan ulamaʾ yang tidak menamakan mereka sendiri sebagai ulamaʾ haraki/siasi – seperti Shāh Walī Allāh, untuk diperjuangkan dilapangan siasah? Apa yang melayakkan mereka mendapat gelaran ulamaʾ haraki/siasah? Apa yang membezakan mereka dengan Shāh Walī Allāh yang serba unggul dalam pelbagai bidang agama hatta ilmu siasah yang sangat hebat hujjah dan huraian secara sistemik itu?

Saya bukan mempersoalkan kewibawaan mereka yang digolongkan atau mereka yang cuba mewujudkan seterusnya mengabsahkan satu lagi kelompok ulamaʾ dalam Ahl Sunnah yaʾni sebagai ulamaʾ haraki/siasah dari segi keilmuan tetapi saya benar-benar ingin tahu apakah amat-amat diperlukan untuk kita mewujudkan satu klasifikasi baru seperti itu yang dimana ulamaʾ terdahulu yang lebih hebat seperti Shāh Walī Allāh sendiri tidak mendambakan gelaran sebegitu walaupun beliau lebih layak untuk memiliki gelaran tersebut jika benar-benar boleh diwujudkan dan diabasahkan. Pasti ada sebab dan hujjah mengapa ulamaʾ dahulu tidak langsung mewujudkan dan mengabsahkan satu kelompok ulamaʾ yang digelar dan diklasifikasikan sebagai ulamaʾ haraki/siasah.

Mungkin ulamaʾ dulu sedar bahawa tugas mendapatkan kuasa sebenarnya membuka fitnah kepada “institutsi ulamaʾ”. Walaupun mereka kalau dikira kelayakkan ilmu dan pengalaman secara sebenar-benarnya sudah tentu terlebih layak daripada umaraʾ zaman mereka itu, tiada pula didambakan kekuasaan dalam apa bentuk alasan, hujjah sekalipun untuk mereka meletakkan diri mereka pada jalan perebutan kuasa daripada pemimpin-pemimpin yang bermasalah itu.

Harus difahami institusi ulamaʾ yang saya maksudkan ini jangan langsung disamakan dan disalah erti dengan peranan golongan Ayahanda (Fathers) dalam struktur Kegerejaan/Kerahiban (The Church) atau Kebrahaminan (Brahmin). Struktur ini yang menimbulkan fitnah kepada sekalian agama seperti pengalaman pahit-getir Gereja Katolik yang menatijahkan Reformasi dan mazhab Protestantisme dalam agama Kristian yang mana golongan agama menjadi pemerintah menghasilkan theocracy yang sama sekali tiada dalam Islam. Baca sajalah asal usul perpecahan agama Kristian dan kesannya dalam melahirkan faham sekularisme di dunia Barat ternyata anda akan memahami mengapa saya kritikal dengan ulamaʾ yang menuntut ingin jadi penguasa.

Saya katakan fitnah kerana peranan “institusi ulamaʾ” itu senantiasa berada di “atas” lapangan siasah. Dari segi kuasa memang Sultan, Wazir dan segala macam jawatan pemerintahan itu melebihi kuasa ulamaʾ dalam lapangan siasah tetapi hakikatnya ulamaʾ lebih tinggi daripada mereka semua kerana kemulian jawatan ulamaʾ itu tiada mampu diukur oleh harta dan kedudukan – apatah lagi masani dimana lapangan siasah demokrasi itu lebih membawa kepada perpecahan tanpa ada pihak yang mengemudi setiap perubahan yang sepatutnya ditunjangi oleh institusi ulamaʾ. Dengan mencampuri urusan siasah melebihi had yang sepatutnya, kecenderungan untuk berat sebelah dan campur aduk peranan, sama ada ulamaʾ itu bercakap sebagai seorang ʿalim atau sebagai seorang ahl-siasah itu akan senantiasa timbul.

Saya amat terhimbau dengan kisah Said Bediuzzaman Nursi yang amat terkenal dengan ungkapan istiʿādhah “aku berlindung daripada Syaitan dan politik”. Setakat yang telah saya telaah kisah hidup beliau ternyata ada benarnya apa yang didoakan tersebut. Said Bediuzzaman Nursi ceritakan bilamana sistem khilafah sudah tumbang dan demokrasi di Turki mula berpucuk, banyak ulamaʾ yang mula menganggotai parti-parti politik dan bersaing sesama mereka secara sengit.[6]

Sifir (atau lebih tepas calculus) di lapangan siasah apatah lagi dalam latar demokrasi moden ini senantiasa mewujudkan kecenderungan setiap perwakilan yang bertanding untuk saling menjatuhkan antara satu-sama lain. Said Nursi ketika itu melihat ulamaʾ yang dahulunya amat waraq dan berakhlaq telah bertukar menjadi “political animal” ketika di pentas politik seperti memburuk-burukkan pesaing/lawannya antara satu sama lain yang juga ulamaʾ!

Perkara seperti ini seolah-olah tidak dapat dielakkan kerana kerusi kekuasaan itu hanya satu dan tiada mampu dikongsi maka mereka harus berusaha untuk mendapatkan kerusi tersebut at all cost!

Atas alasan apa semua ini dilakukan? Sudah tentu untuk tegakkan agama, bangsa dan negara tetapi bila keadaanya sudah teruk begitu apakah mungkin niat mereka benar-benar tulus murni seperti awalnya atau benar-benar sudah menjadi satu “political animal”?

Dan kalau kita kaji latar persejarahan timbulnya arus ulamaʾ menyertai medan siasah ini sebagai ahl siasah atau politikus, banyak timbul selepas era wujudnya gerakan Pan-Islamisme seperti yang dibawa Shaykh Muhammad ʿAbduh dan al-Afghani. Golongan ini sering melaungkan slogan pembaharuan dalam pelbagai rupa dan agenda. Saya lihat golongan yang mempertahankan pembaharuan (bidʿah) ini, atau lebih tepat golongan Maqsadiyyun – golongan yang sering mengangkat hujjah maqāṣid  al-sharīʿah sebagai yang termutlak dengan memborong semua perkara seolah-olah boleh diperturunkan (reductionist) kepada juzuk itu semata-mata ingin memenuhi dan menuntut penyesuaian kepada perubahan zaman.

Walhal mereka tiada sedar yang arus perubahan yang dibawa ini sebenarnya, seperti kata Prof. Al-Attas bersifat ketamadunan[7], tiada ianya bebas nilai dan harus benar-benar cermat memahami dan membanding beza apa yang sebenarnya milik kita atau tiada mampu dimiliki kita[8] kerana perbezaan dasari yang amat luas malah bertentangan pula dengan pandangan alam Islam.

Golongan ini seperti yang ditempelak oleh Prof. Al-Attas sering memberi alasan dan mengambil enteng para ulamaʾ dan Imam terdahulu[9] yang disangka huraian mereka itu sudah tidak “relevan” kerana konteks berbeda dan hujjah-hujjah yang sewaktu dengannya. Golongan ini pada hemat saya tidak mempunyai pandangan alam Islam yang teguh khusus dalam memahami zeitgeist zaman moden dari pucuk akarnya yaʿni Ketamadunan Barat seterusnya bertindak “menyalahkan” sejarah lampau – menyalahkan taṣawwuf, menyalahkan pintu ijtihād telah tertutup, walaupun tidak dinafikan ada beberapa hal yang betul berkenaan dakwaan ini tetapi telah dianjalkan ke peringkat paling ekstrim yang kononnya menatijahkan kemunduran umat Islam masani.

Seolah-olah slogan “hum rijāl wa nahnu rijāl aiḍān” (they are men and we are men too) boleh dijadikan alasan untuk menyama ratakan ulamaʾ terdahulu ke tahap mereka kini yang sudah tentu lebih rendah daripada maqamat ulamaʾ terdahulu. Ini adalah maʿna kehilangan adab yang dihujjah panjang oleh Prof. Al-Attas.[10] Maka slogan “perubahan” itu sering didendangkan tetapi mereka ini tiada memahami benar apa itu perubahan pada hakikatnya.

Adakah dakwaan saya ini kosong tanpa bukti? Tidak, kerana saya sedang merenung secara mendalam memahami setiap tokoh-tokoh besar dikalangan ulamaʾ dan aktivis daʾwah yang mengaku sebagai pembawa perubahan (reformist) tatkala fajar modenisasi milik Barat baru menyinsing di dunia Islam bermula pertengahan abad ke-19 hinggalah awal abad ke-20 Masihi.

Saya sedang menelaah kisah Ibn ʿĀshūr[11] dalam makalah yang dikarang oleh Basheer M. Nafi, juga beberapa buah buku yang mengkaji pertembungan budaya antara kaum Muslimin ketika bermulanya arus modenisasi secara besar-besaran di dunia Islam seperti karyanya Rifāʻa Rāfiʿ al-Ṭahṭāwī,[12], Khayr al-Dīn Pasha al-Tūnisī[13], Ibrahim Abu-Lughod[14], juga tesis MA Dr. Bazlie Shafie tentang Muhammad Abduh[15].

Dapatan awal bagi saya setakat ini memang amat menarik dan benar-benar mengabsahkan kritikan Prof. Al-Attas terhadap golongan modenis ini. Cukup sekadar ini dan harap para pembaca dapat fikir-fikirkan.

Wan Ahmad Fayhsal
16 Mei 2012, 6.00pm


[1] Baghdādī, ʻAbd-al-Qāhi. al- Farq baina 'l-Firaq wa-Bayān al-Firqa al-Nājiyah minhum. (Bairūt: Dār al-Āfāq al-Ǧadīda, 1973) terj. Kate C. Seelye. Moslem Schisms and Sects: (al-fark Bain Al-Firak) Being the History of the Various Philosophic Systems Developed in Islam. (New York: AMS Press, 1966)

[2] Murād, Barakāt M. Al-Amīr ʿAbd al-Qādir Al-Jazāʼirī: Al-Mujāhid Al-Ṣūfī. Madīnat Naṣr [Cairo: al-Ṣadr li-Khidmāt al-Ṭibāʻah, 1990)

[3] Bayyūmī, Muḥammad A. Sanusiyyah: A Sociological Study of an Islamic Movement. (Beirut: Dar An-Nahda Al-Arabiya, 1981), rujuk juga El-Horeir, Abdulmola S. Social and Economic Transformations in the Libyan Hinterland During the Second Half of the Nineteenth Century: The Role of Sayyid Aḥmad Al-Sharīf Al-Sanūsī. (PhD Dissert. 1981), juga Vikør, Knut S. Sufi and Scholar on the Desert Edge: Muḥammad B. ʻalī Al-Sanūsī and His Brotherhood. (Evanston, Ill: Northwestern University Press, 1995)

[4] Walī, Allāh, and Marcia K. Hermansen. The Conclusive Argument from God: Shāh Walī Allāh of Delhi's Ḥujjat Allāh al-Bāligha. (Leiden: E.J. Brill, 1996) rujuk juga Muhammad, Ghazali. The Socio-Political Thought of Shāh Walī Allāh. (Islamabad: International Institute of Islamic Thought, 2001)

[5] Aislahi, Abdul A. Stages of Socio-Economic Development: Shah Wali-Allah's Concept of Al-Irtifaqat. , 1989. http://mpra.ub.uni-muenchen.de/29628/1/MPRA_paper_29628.pdf 

[6] Rujuk  Şükran, Vahide, dan Ibrahim M. Abu-Rabiʻ. Islam in Modern Turkey: An Intellectual Biography of Bediuzzaman Said Nursi. (Albany: State University of New York Press, 2005), juga Turner, Colin. I seek refuge in God from Satan and politics..."- A Nursian perspective on the role of religion in state and society. http://nursistudies.com/teblig.php?tno=447, juga Zeynep Akbulut Kuru, Ahmet T. Kuru. Apolitical Interpretation of Islam: Said Nursi's Faith-Based Activism in Comparison with Political Islamism and Sufism, Islam and Christian–Muslim Relations Vol. 19, Iss. 1, 2008

[7] “Prof. Al-Attas alluded to this shift of semantics happening due to us – the Muslims – are flowing in the same stream that ‘another civilization’ has created, swimming in the fast current of change. This ‘another civilization’ that is dominating in the world today is none other than Western civilization that made freedom as a ‘belief’ in itself. The human rights itself is the result of deification of Man – where man himself is the measure of all things.” rujuk Wan Ahmad Fayhsal, Revisiting “Meaning and Experience of Happiness in Islām” http://hakim.org.my/blog/?p=248

[8] Rujuk Goody, Jack. The Theft of History. (Cambridge: Cambridge University Press, 2006) yang menceritakan bagaimana ilmuan Barat khususnya Orientalis mendakyahkan faham kebenaran dan hakikat ke atas ilmu-ilmu dari tamadun lain seperti pendakyahan faham masa dan ruang dalam persejarahan ketamadunan dunia.

[9] Rujuk temubual Hamza Yusuf dengan Prof. Al-Attas di Youtube minit 8:02 http://youtu.be/L5pyXqZq4E0?t=8m22s

[10] Rujuk kritikan tajam Prof. Al-Attas dalam Risalah Untuk Kaum Muslimin (Kuala Lumpur: ISTAC, 2001) ms. 144-167; sebahagian daripadanya boleh dirujuk dalam nukilan blog saya ini: http://rausyanfikir.com/2011/08/keseluruhan-penjelasan-ini-dipetik.html, juga rujuk Islām and Secularism (Kuala Lumpur: ABIM, 1978) ms. 123-126.

[11] Basheer M. Nafi, Ṭāhir ibn ʿĀshūr: The Career and Thought of a Modern Reformist ʿālim, with Special Reference to His Work of tafsīr, Journal of Qur'anic Studies Vol. 7, No.1 (Edinburgh Univ. Press, 2005), ms. 1-32 boleh dibaca di sini: http://abdullahhasan.net/?p=130

[12] al-Ṭahṭāwī, Rifāʻa Rāfiʿ,  Takhlīṣ al-Ibrīz fī Talkhīṣ Bārīz aw al-Dīwān al-Nafīs bi-īwān Bārīs terjemahan Daniel L. Newman. An Imam in Paris: Account of a Stay in France by an Egyptian Cleric (1826-1831). (London: Saqi, 2004)

[13] Khayr al-Dīn al-Tūnisī, Aqwām al-masālik fi maʿrifat aḥwāl al-mamālīk (Tunis: Official Press, 1867). Rujuk juga terjemahan L C. Brown. The Surest Path: The Political Treatise of a Nineteenth-Century Muslim Statesman : a Translation of the Introduction to the Surest Path to Knowledge Concerning the Condition of Countries. (Cambridge MA: Harvard University Press, 1967) dan laman Saudi Aramco World “On The Surest Path” http://www.saudiaramcoworld.com/issue/201103/on.the.surest.path.htm

[14] Abu-Lughod, Ibrahim A. Arab Rediscovery of Europe: A Study in Cultural Encounters. (Princeton: Princeton University Press, 1963)

[15] Ahmad Bazli Shafie, “The Educational Philosophy of Shaykh Muhammad Abduh”, (Kuala Lumpur:  ISTAC-IIUM, 2004)

8 ulasan:

Mohamadazhan.com berkata...

salam sahabat

saya menymbut baik pandangan itu. Saya juga punya pandangan, sekiranya dibandingkan para ulama sila tidak terlibat dengan hal-hal politik secara langsung terutama memegang tampuk pemerintahan berbeza pula di zaman Rasulullah ribuan tahun lalu mencari kekuasaan utk memerintah sebuah negara utk mendaulahkan agama.

Pada hematnya saya perbandingan di zaman itu lebih sesuai disamping generasi itu adalah zaman gemilang dan generasi para sahabat yang terbaik. Justeru adalah tidak salah tetapi kurang tepat atas label apa sekalipun kerana rasul dan sahabatnya lebih dahulu menceritakannya =)

Rausyanfikir berkata...

Salam saudara,

Harap dapat fahami konteks bicara di atas. Adalah tidak tepat untuk kita menyamakan perjuangan siasah Rasulullah dan Khulafa' al-Rasyidin dengan perjuangan siasah moden di bawah payung demokrasi masani. Baginda dan para Sahabat tidak mendambakan itu semua berbanding kita pada hari ini yang mengheret siasah sehingga ke pintu perpecahan ummah.

abd Qayyum berkata...

mohon bertanya...apakah apabila bergelar ulama' itu tidak boleh terlibat dgn politik??

saya hormati penulisan anda tetapi pada hemat saya, penulisan anda ini seolah-olah meletakkan ulama' itu hanya untuk mengajar dikelas-kelas agama sahaja.

Boleh x tuan nukilkan alternatif bagi menentang penguasa zalim sekiranya ulama'2 ini tidak meletakkan diri mereka dalam kancah politik.??

Mohon penjelasan. Salam...=)

Seorang Ammu berkata...

Assalamualaikum saudara.

Ada baiknya perbincangan saudara digarap dan diperhalusi dengan beberapa kefahaman (fiqh) yang perlu lagi penting buat pendakwah di alaf baru ini seperti fiqh nusus, fiqh awlawiyat, fiqh muwazzanat, fiqh ikhtilaf, fiqh waqi' , fiqh taghyir dan banyak lagi fiqh yang berkaitan. Kurang berpijak dibumi awam ini kalau terlalu tinggi dilangit falsafah tanpa ada dasar aqidah yang pasti mahu dituju buahnya.

Mungkin ada yang terkeliru dengan label-label itu. Sedangkan kita tidak pernah melabel sesama sendiri. Kenapa dan bagaimana pula timbulnya istilah2 label sebegini? Sedangkan 'ulama adalah pewaris nabi dan kita semua menghormati semua para 'ulama. Tapi tempat perujukan kita perlulah mengikut bidang kepakaran seseorang 'ulama.

Ibrah dan pengajaran adalah pada apa yang dinamakan, bukan pada nama itu semata-mata.

Ada dalil tentang hukum hakam yang kita tidak ketahui, rujuklah para 'ulama. Tidak perlu untuk kita menambah polemik menjauhkan 'ulama dari masyarakat dengan menimbulkan lagi satu persoalan 'hebat' dan 'kritikal' dari insan yang saya hormati seperti saudara. Hukum hakam dari dalil itu adalah untuk menguji kehambaan kita kepadaNya. Terpulang kepada kita mahu menerima atau menolak. Tapi semoga kita tidak tergolong dalam kelompok yang mendahulukan akal daripada wahyu.

Berbeza pula dengan ibrah, hikmah, dan falsafah dari setiap dalil yang terbuka luas ruangnya untuk kita bincangkan dan perkembangkan dimensi kefahamannya. Dinamika pada tindakan tidak bermakna persoalan ta'abbudi (kehambaan) kita kepada Allah dan Rasul juga menjadi bahan persoalan minda kritikal kita. Tidak salah untuk bertanya dan menimbulkan persoalan, tapi seeloknya juga dilorongkan persoalan mahu dibawa kemana perbincangan ini. Juga, bagaimana natijah akhir yang sebenarnya ingin digarap oleh saudara?

Mohd Nuruddin, Kubang Kerian

Seorang Ammu berkata...

Pada saya, saya memberi komen diruang laman saudara ini kerana persaudaraan kita dalam Islam. Kerana persaudaraan kita dalam iman =)
Kerana saudara punya potensi besar untuk meninggikan kalimah Allah, bukan menjauhkan masyarakat dari para pewaris Nabi. Kerana saudara punya sudut pandang berbeza yang boleh menguntungkan Islam, tidak rela saya jika kehebatan saudara tidak memberi modal kepada meninggikan kalimah Allah. Kerana masih banyak sirah dan kisah para sahabat yang kita perlu pelajari. Kerana masih banyak ibrah dan kisah zaman sahabat yang menyokong hujah saudara dan juga menolak hujah saudara. Dua-duanya kerana mahu meninggikan Islam, untuk Allah dan mengikut cara Rasulullah. Kerana lebih elok jika lebih manis dan hadamnya kita dengan kisah perjalanan dan ibrah dari generasi terbaik itu, bukan sekadar dari pandangan kita dengan merujuk kepada beberapa orang 'ulama.

Apapun, perbezaan ini rahmat. Moga membuka jalan kita lebih mengenali dan lebih bersefahaman dalam meninggikan kalimah Allah, memberi keuntungan kepada Islam, bukan kepada golongan yang menentang Islam tak kira kuffar, munafiq mahupun fasiq.

Saya kira, saudara seorang yang cukup menghormati para 'ulama'. Seeloknya juga kita lebih mendalami dan cuba untuk mengenali para 'ulama hari ini yang sangat-sangat tawadhu' lagi menghormati akan jasa dan kehebatan para 'ulama yang terdahulu. Tidak adil jika kita menghukum pukul secara rata terhadap satu dua ustaz yang bermasalah pada pandangan kita dengan menimbulkan polemik yang boleh merugikan kebanyakan 'ulama yang tidak dikenali awam.

Walaubagaimanapun, para 'ulama yang benar-benar takutkan Allah tidak pernah takut, kisah dan terguris walau mereka dicerca, diugut dan dicela...terus dan terus mereka akan berjuang tanpa takutkan celaan. Moga kita jika mampu dari segi keilmuan dan pengorbanannya, maka persiapkanlah diri untuk membantu mereka. Jika tidak, jangan pula kita termasuk dalam yang melawan ataupun menyusahkan mereka. Perbezaan pandangan dikalangan para ulama sangat mengharukan, penuh harmoni, saling menghormati. Itu pun terkadang tidak kita ketahui dan tiada kita memahami.


Lalu terkadang ada pengikut yang emosi bangkit. Bangkit membanggakan 'ulama disegani sehingga terkadang tanpa disedari menghiris hati para pengikut dan anak murid 'ulama-'ulama yang lain. Ini terkadang berlaku bila proses pentarbiyahan itu belum sempurna ataupun sudah merasakan cukup dengan tarbiyah ilmi tanpa mahu menyerahkan diri untuk pentarbiyahan secara holistik, dinamik dan langsung mengangkat meninggikan lagi nilai falsafah. =)


Sungguh sekali lagi saya ulangi, adab dan akhlak dikalangan para 'ulama sudah cukup harmoni, indah dan penuh berakhlak. Cuma terkadang dicemari oleh anak murid ataupun pengikut yang taksub dan tidak menghormati orang lain yang berbeza pandangan dengannya, seperti mana gurunya berakhlak beradab dengan guru yang lain.

Maka kita sekalian anak murid yang menghormati sekalian 'ulama yang benar takutkan Allah, moga Allah beri hidayah, petunjuk dan kekuatan untuk kita bersama meninggikan kalimah Allah. Biar berbeza pangkat kepahlawanan mahupun senapang sekalipun, jangan pula menghalakan peluru kepada sesama tentera sendiri =).

Allah tujuan kita,
Rasul qudwah kita,
Al-Quran perlembagaan kita,
Jihad jalan kita,
Mati syahid cita tertinggi kita.

=)

Ini fikrah, bukan ciptaan mana-mana 'ulama haraki maupun siasi.

Ini fikrah yang dipermudah oleh 'ulama terdahulu hasil pemahaman dari Quran, Sunnah, jalan para Sahabat, tabi', tabi' tabi'in, ijma' para 'ulama, dan qias =)


Ini jalan kita mengajak orang kepada Allah.

salam hormat,
Salam ukhuwah,


Mohd Nuruddin =)

pejuang 21 berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
pejuang 21 berkata...

Ada sebuah kmpg, tanahnya sgt subur. sehingga pokok jagung, gandum dan padi dapat ditanam. oleh krn itu, msyrkt disana terdiri drpd peladang yg tanam jagung, peladang yg tanam gandum dan pesawah. pada suatu hari, JKKK ingin memberi anugerah kepada peladang yg cemerlang. para peladang sgt marah. mereka mengatakan JKKK telah membuat bid'ah (sesuatu yg baru) kerana sejak zaman nenek moyang mereka lagi, tak ada ssiapa pun yg menggelarkan para peladang dgn gelaran cemerlang. bergaduhlah mereka dgn JKKK sehingga JKKK itu dibuang negeri.

kesian sama dia

saya tdk bersetuju dgn pembahagian para Ulama yg kamu buat. Ibaratnya seperti kamu kata;
"Manusia tergolong kepada lelaki, perempuan, dan dewasa".

kerana,
Manusia, jika kita lihat dari sudut jantina, ia terbahagi kepada lelaki dan perempuan. Jika kita tgk pulak dari sudut umur, manusia trbahagi kpd kanak2, remaja, dewasa dan tua.

Tiba2 kamu kata, manusia terbahagi kepada lelaki, perempuan dan dewasa.

kan agak tersilap sikit disitu?

itu sahajalah. kamu pun mmg menulis utk dikritik bukan.? jadi terima kasih krn mmbuka ruang komen kritikan ini.

semoga kita bertemu kebenaran.

Ahmad Tarmizi - Pmtg Janggus,Penang

tokpakirkd berkata...

Salam,

MasyaAllah satu pembentangan yang berani dan telus.

Jarang-jarang anak Melayu yang berani meredah lautan yang penuh dengan periuk api serta jerung demi keMelayuannya.

Menjadi minoriti tidak bermakna majoriti yang betul. Ianya hanyalah buah dari kerdipan mata yang pejam dan celik dan pejam dan celik dan kemudiannya terus terkatup.

Asal pokok dedalu datangnya kadang-kadang dari najis burong yang menjadi medianya dan demi masa dedalu memenuhi pokok semeru. Dedalu tetap dedalu, semeru tetap semeru. Cuma semeru dikerumuni dedalu.

Tak akan sama takwil dengan falsafah sampai bila-bila. Takwil datang dari umbi falsafah datang dari buahnya. Hal yang sedang dibincang ini bukan skop falsafah walaupun sang filosof yang sedang berkata. Ianya adalah takwilan yang berterusan yang berisikan umbi kalimah.

Musa dan Firoun awalnya tiada setanding. Musa hanya membawa tongkat sedang Firoun berserta dengan teknologi.

Teruskan perkongsian ini.

InsyaAllah ada manfaatnya di zaman yang hampir berakhir.

Wassalam
TokPakirKD