Ahad, 22 April 2012

Sastera yang poros Faham Ilmu





"Dalam sanggahan ini juga saya menekankan peri pentingnya dibezakan antara persoalan puitika dan retorika. Saya telah cuba menjelaskan perbezaan ini dalam tulisan ini, dan cuba juga menunjukkan kesa-kesannya dalam persuratan dan penelitian tentang "sastera". Hal ini menjadi semakin penting diberi perhatian kerana terdapatnya sejenis kegilaan kepada istilah-istilah baru atau konsep-konsep baru yang sedang giat diperkenalkan di Barat pada waktu itu. Jika kita membaca tulisan-tulisan mengenai "sastera" dan ukuran-ukuran yang dipakai untuk menilai hasil "sastera", kita akan menemui sejumlah istilah yang sering disebut-sebut, yang dijadikan ciri karya yang baik. Misalnya antara yang sering disebut ialah istilah-istilah pasca-modenisme, avant-garde, surrealisme, realisme magis, deconstruction, dialogic imagination, teori resepsi, dan banyak lagi. 
Terdapat sejenis keghairahan memperaga dengan sombongnya kejahilan akademik dengan bertopengkan nama-nama dan istilah-istilah itu. Hampir semua tulisan yang memperagakan kejahilan ini, yang saya baca, penuh dengan kekaburan dan kekacauan yang sungguh mengherankan, kerana semua ini datangnya daripada orang-orang yang menggelarkan diri mereka sarjana dan tokoh akademik. Yang paling ketara ialah mereka tidak sedar sedikit pun bahawa mereka sedang berusaha membawa fikiran dan pengaruh karut dalam "sastera" Melayu/Malaysia moden. Mereka tidak sedikit pun cuba menjelaskan makna dan implikasi konsep-konsep dan istilah-istilah itu dari segi worldview yang tersirat di dalamnya. Mereka begitu boros menggunakan istilah-istilah itu "out of context" untuk mencirikan karya-karya yang baik, menurut pandangan mereka. 
Hasilnya mereka dengan angkuh dan sombong menjulang karya-karya yang sebenarnya tidak bermutu, malah ada yang menyesatkan. Karya-karya yang sedangkal ini menjadi kelihatan hebat di dalam tangan ahli akademik dan pengkriitk sastera yang keliru konsep ilmunya ini. Sebagai bukti, silalah lihat bagaimana mereka menganalisis dan menilai karya-karya yang mereka anggap baik itu melalui laporan sebagai ahli panel berbagai peraduan atau dalam ulasan-ulasan buku yang mereka buat. Hampir semua mereka menyatakan mereka gemarkan pembaharuan, tetapi apa yang disebut sebagai pembaharuan itu tidak lebih daripad peniruan keada model-model yang telah sedia ada di Barat. Mereka pada hakikatnya melihat pembaharuan dari kecetakan pengalaman ilmiah dan keterbatasan citra rasa mereka sendiri. Jelasnya mereka menghargai pembaharuan jika apa yang disebut pembaharuan itu dapat dihuraikan dengan menggunakan istilah-istilah dan konsep-konsep yang mereka gemari dan yang dicedok bulat-bulat tanpa pemahaman yang mendalam, yang tidak mereka mengerti implikasinya terhadap ilmu. 
Kita sebenarnya tidak saja mempunyai penulis picisan dan karya picisan, malah kini lebih ramai lagi sarjana dan pengkritik picisan - yang melahirkan esei dan kritik picisan. Mereka ini akhirnya membuat peniliaian picisan pula! 
Dalam keadaan beginilah Prof. Dr;. Muhammad Hj Salleh melontarkan syarahan perdananya, yang segera ditelan bulat-bulat oleh murid-muridnya dan para sarjana yang malas berfikir dan yang picisan tadi. Maka itulah perlunya sanggahan ini." 
Mohd. Affandi hassan.4 Oktober 1994.

-Dipetik daripada  "Medan-Medan dalam Sistem Persuratan Melayu: Sanggahan terhadap Syarahan Perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh (Sarjana dan Sasterawan Negara)" oleh Tn. Hj. Mohd. Affandi Hassan, ms. x-xi

Tiada ulasan: