Kebetulan saya baru
pulang daripada Khazanah Fataniyah semalam dan sedang menekun beberapa lembaran
turāth karangan ʿālim
dan āmir terkenal Riau kurun ke-19 Masihi, Raja ʿAlī Hāji yang bertajuk
“Thamaratu al-Muhimmah Ḍiyāfatu li al-ʾUmarāʾ wa al-Kibriyāʾi li ʾĀhli
al-Maḥkamah” ( Buah-buahan yang Dicita-citakan Hal
Keadaan Jadi Jamuan bagi Raja-Raja dan bagi Orang Besar-Besar yang Mempunyai
Pekerjaan di dalam Tempat Berhukum/ Fruits
of Mission in Entertaining the Leaders and Majesty that occupy the Court of
Power).
Sempat menunjuk kitab
itu kepada beliau dan terus tercetus pelbagai perbahasan ilmiah berkaitan
sejarah dan khazanah ilmu Alam Melayu.
Tekun Prof. Abdullah Zakaria menyiapkan tulisannya di rumah. |
Prof. Abdullah
menyarakankan kepada saya sepanjang-panjang perbincang itu berlaku bahawa amat
perlu kita, golongan ilmuan mengkaji secara tekun kitab Sulālat al-Salāṭīn atau lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu yang ditulis
oleh Tun Sri Lanang dalam kerangka yang lebih ilmiah.
Ini kerana mengikut
beliau, banyak karya-karya agung Melayu dikaji oleh golongan yang berpucuk dari
aliran sastera. Sudah tentu golongan ini seperti kata Prof. Zakaria yang masih
banyak mengendong faham yang dijaja Orientalis Inggeris terbesar Alam Melayu –
Sir Richard Olaf Winstedt (1878-1966) yang mengatakan bahawa banyak karya-karya
besar Melayu ini sarat dengan Mitos, Lagenda dan Cerita Dongeng. Tidak dinafikan walaupun sudah banyak golongan
sarjana ini menyumbang kepada penjenamaan semula karya-karya agung ke dalam
bentuk yang lebih moden khususnya dalam tulisan Melayu rumi, masih terdapat
banyak ruang-ruang kosong yang tidak mampu diisi (atau sengaja disempitkan)
oleh mereka.
Mendengar hujah ini
kelibat ingatan saya kembali ligat cuba menilik latar hujah tersebut dengan
memuatkan pengalaman penting mahaguru saya, Prof. Syed Naquib Al-Attas. Bagi yang sudah membaca karya-karya awal
beliau seperti Origin of Malay Shaʿir atau paling tidak pun sharahan pengukuhan
pelantikan jawatan Profesor Bahasa dan Kesusasteraan Melayu UKM yang bertajuk Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu:
Suatu Mukaddimah mengenai Peranan Islam dalam Perabadan Sejarah Melayu-Indonesia,
dan kesannya dalam sejarah pemikiran, bahasa, dan kesusasteraan Melayu
(1972), pasti pembaca akan terhimbau betapa lantang dan berani Prof. Al-Attas radd ke atas sekalian Orientalis yang
menyemai shakk dan ẓann dalam kajian mereka berkenaan turāth
dan karya-karya agung Melayu.
Saya juga terhimbau
akan kesungguhan Prof. Al-Attas yang kemudiannya dipikul dengan berani dan
lantang oleh Tn. Haji Affandi Hassan yang terkenal sebagai pendokong Gagasan Persuratan Baru betapa
sebenarnya penerbitan faham kesusasteraan dan pembedaannya dengan persuratan
sekitar pertengahan abad ke-20 adalah satu kesilapan yang berbahaya dan
merugikan umat Melayu. Golongan sastera seperti yang dikritik Prof. Al-Attas
dan Tn. Hj Affandi Hassan telah mengesampingkan kedudukan sebenar persuratan
Melayu yang didasari dengan faham ilmu yang betul dan sebaliknya diangkat faham
kesusasteraan moden yang bercorak daya khayali yang poros ilmu yang mana sebenarnya banyak daripada golongan sasterawan ini asal usul mereka hanyalah sebagai pengarang (rujuk asal usul ASAS 50). Dikotomi ini akhirnya
semakin menebal dengan pengwujudan gelar Sasterawan Negara yang dinobat sekadar
menepati syarat-syarat yang ditunjangi faham kesusasteraan moden khayali yang
banyak dari Barat.
Kesan daripada ini
telah membentuk pandangan alam masyarakat Melayu moden yang hanya mampu secara
kasar menanggap yang Bahasa Melayu moden
mutaʾakhir hanya berdaya maju dengan karya-karya
sastera contra persuratan. Sikap ini
yang tertanam dan subur secara separa sedar telah meneggelamkan faham
persuratan Melayu yang sebenar dan tidak mustahil oleh sebab yang sedemikian
cara pandang sarjana Melayu khasnya dan orang kebanyakkan amnya melihat
sebarang hikayat-hikayat besar seputar karya sastera agung, seolah-olah kontang
isi ilmiah yang bersifat thabit adanya. Boleh ditelusuri perbahasan ini dengan
membaca tulisan Tn. Hj Affandi Hassan dalam karyanya “Medan-Medan Dalam Sistem Persuratan Melayu: Sanggahan Terhadap Syarahan
Perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh” (Penerbit Tiga Puteri, 1994).
Ada banyak yang kami
bicara dan untuk menjimat masa, izinkan saja saya menulisnya dalam bentuk
beberapa butiran penting:
- Selain Raja Ali Haji, kata Prof. Zakaria, perlu juga ditelaah Misa Melayu karangan Raja Chulan. Saya pasti ramai anak muda hanya kenal Raja Chulan sebagai salah satu nama stesen monorail.
- Ada beza antara “titah” dan “ucapan” seorang Raja/Sultan. Mengikut Prof. Zakaria bilamana Sultan bertitah ianya adalah suatu arahan yang wajib diikuti. Daulat Sultan yang ʿadil pasti berasaskan tuntutan Shariat. Kalau titah Sultan tidak diikuti dan dilanggar maka jatuh sudah Daulat Sultan sekadar menjadi ucapan. Peribahasa Melayu menjelaskan “Raja yang ʿAdil disembah, Raja yang Zalim disanggah”. Saya secara peribadi melihat konsep Daulat Sultan ini jikalau ditimbang mengikut mizan Pandangan ʿAlam Islam tidak jauh beda dengan konsep al-walāʾ wa al-baraʾ. Dan kita semua maʿlum bahawa kitab ketatanegaraan atau Mirror for Princes yang dikarang para ulamaʾ amat menekankan perihal mentaati pemimpin yang ʿadil itu sebahagian daripada pegangan ʿaqidah seperti yang termuat dalam ʿAqāʾid al-Nasafī yang tersebar luas dan disharah panjang oleh ʿulamaʾ di Alam Melayu. Sama juga Daulat Sultan itu yang ʿAdil itu bertepatan jika dihubung jalinkan dengan konsep al-walāʾ wa al-baraʾ tidak akan menimbulkan sebarang kekeliruan dan kedangkalan dalam memahami bagaimana orang Melayu zaman silam memahami perlambangan Ẓillul-Lah fiʾl-ʿālam – “Raja sebagai Bayangan Tuhan di muka bumi”.
- Dalam Undang-Undang Tubuh Terengganu juga ada konsep “Kata Pengikat dan Pemutus” yang dizahirkan dalam bentuk Dewan Diraja yang dahulunya sebelum kedatangan penjajah dianggotai oleh Mufti yang diberi gelar Datuk Bentara Guru. Dikatakan ʿalim besar Tok Ku Paloh juga pernah duduk dalam Dewan ini. Kalau diteliti ini bukan konsep asing sebaliknya teras kepada sistem shura yang sebenar berdasarkan konsep Ahl’l-Hal wa’l-Aqad. Konsep ini tidak lagi difahami kerana bahana faham demokrasi yang mencairkan susun atur mereka yang sebenar-benar layak memberi nasihat kepada para Sultan antaranya ialah para ʿulamāʾ yang berwibawa.
- Pengarang karya-karya besar Melayu bukan orang biasa. Banyak mereka ialah orang bangsawan yang terdidik (learned man) dan dalam banyak penulisan mereka kata Prof. Zakaria ianya ditulis dengan banyak perlambangan yang perlu ditafsir secara halus. Ini kerana zaman tersebut di mana Daulat Sultan masih kuat sebarang kritikan dan sanggahan harus dibuat secara halus bagi tujuan mendidik dan mengelak sebarang pergolakan yang lebih besar. Maka sudah tentu cerita-cerita berbentuk Puter Gunung Ledang dan Singapura dilanggar todak menjadi taruhan buat pengarang Melayu ini menyampaikan nasihat dan sanggahan dengan cara yang halus tetapi berbekas di benak hati para pemimpin dan masyarakat.
- Banyak orang-orang persendirian di Alam Melayu yang masih berusaha secara kecil-kecilan menyimpan dan mengurus khazanah ilmiah berupa manuskrip. Ini kadangkala mengundang masalah kerana ketiadaan kepakaran tertentu yang akhirnya mengakibatkan manuskrip tersebut mudah rosak dimamah masa. Kata Prof. Zakaria, perlu ada usaha yang lebih khusus dalam membantu kumpulan-kumpulan kecil ini agar warisan kita tidak luput ditelan zaman.
- Yayasan Karyawan sedang usaha menerbitkan semula karya-karya agung Melayu dan kata Prof. Zakaria, terpulang kepada anak muda masani untuk mengkajinya dengan lebih ilmiah. Jangan sekadar harapkan sarjana sastera saja yang mengangkat teks sedemikian rupa.
Perbincangan dengan
beliau walaupun kadang kala saya diusik dengan beberapa kritikan terhadap Prof.
Al-Attas, tidak mengundang rasa tidak hormat Prof. Zakaria akan kejayaan Prof.
Al-Attas mewujudkan “school of thought”
beliau yang menjadi bualan ramai dikalangan para sarjana sehinggalah hari ini.
Saya selaku anak murid kepada anak murid Prof. Al-Attas, tumpang sefikrah dengan
mereka dan Insha-Allah semua ini akan mendorong saya untuk bekerja lebih kuat
bagi memakmurkan kembali karya dan turāth cendekiawan Melayu lampau.
Inferiority Complex untuk menyantuni sejarah bangsa saya bak
terhapus sudah dari kamus pemikiran saya malah membuatkan saya berasa lebih
tawaduʾ kepada orang-orang terdahulu yang sememangnya
hebat belaka berbanding kita pada masani yang jahil bangat tentang apa dan
siapa itu Bangsa Melayu.
2 ulasan:
Assalamualaikum Warahmatullah
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Pertolongan Allah
Mitos dan dongeng, itulah tanggapan yang selalu disogokkan kepada kita bila berhadapan dengan sejarah Melayu.
cara pandang seperti ini perlulah dikaji semula. Jika kita waras dan bersangka baik, maka kita takkan sanggup mengatakan bahawa Datuk nenek kita adalah dikalangan orang-orang yang suka berkhayal dan penuh dengan dongeng dan karut marut. Apatah lagi pada waktu itu datuk nenek kita sudah beragama Islam dan banyak didampingi oleh ulama-ulama yang warak.
Mana mungkin seorang bapa sanggup mewariskan kepada anak bangsanya cerita dongeng dan karut serta bohong tatkala disekeliling mereka dipenuhi oleh orang-orang alim dan ulama. Jika tidak, kita perlu juga mengatakan bahawa ulama-ulama yang berdampingan dengan raja-raja Melayu pada masa itu semuanya korup
kerana membiarkan segala persuratan dan manuskrip karut dijadikan sebagai kitab tanpa hujah berdasarkan Al-Quran dan Sunnah.
Kitab-kitab Khazanah Fathaniyah itu kalau terbitannya lebih indah lebih molek ...
Catat Komen