Memandangkan hari ini
cuti umum sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agung yang baru, saya sempat
menziarahi Prof. Abdullah Zakaria Ghazali yang merangkap pakcik saya di
rumahnya tadi. Beliau merupakan Profesor di Jabatan Sejarah Universiti Malaya.
Seperti biasa, pertemuan tersebut sarat dengan perbincangan yang berat-berat
juga mencerahkan.
Kebetulan saya baru
pulang daripada Khazanah Fataniyah semalam dan sedang menekun beberapa lembaran
turāth karangan ʿālim
dan āmir terkenal Riau kurun ke-19 Masihi, Raja ʿAlī Hāji yang bertajuk
“Thamaratu al-Muhimmah Ḍiyāfatu li al-ʾUmarāʾ wa al-Kibriyāʾi li ʾĀhli
al-Maḥkamah” ( Buah-buahan yang Dicita-citakan Hal
Keadaan Jadi Jamuan bagi Raja-Raja dan bagi Orang Besar-Besar yang Mempunyai
Pekerjaan di dalam Tempat Berhukum/ Fruits
of Mission in Entertaining the Leaders and Majesty that occupy the Court of
Power).
Sempat menunjuk kitab
itu kepada beliau dan terus tercetus pelbagai perbahasan ilmiah berkaitan
sejarah dan khazanah ilmu Alam Melayu.
 |
Tekun Prof. Abdullah Zakaria menyiapkan tulisannya di rumah. |
Prof. Abdullah
menyarakankan kepada saya sepanjang-panjang perbincang itu berlaku bahawa amat
perlu kita, golongan ilmuan mengkaji secara tekun kitab Sulālat al-Salāṭīn atau lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu yang ditulis
oleh Tun Sri Lanang dalam kerangka yang lebih ilmiah.
Ini kerana mengikut
beliau, banyak karya-karya agung Melayu dikaji oleh golongan yang berpucuk dari
aliran sastera. Sudah tentu golongan ini seperti kata Prof. Zakaria yang masih
banyak mengendong faham yang dijaja Orientalis Inggeris terbesar Alam Melayu –
Sir Richard Olaf Winstedt (1878-1966) yang mengatakan bahawa banyak karya-karya
besar Melayu ini sarat dengan Mitos, Lagenda dan Cerita Dongeng. Tidak dinafikan walaupun sudah banyak golongan
sarjana ini menyumbang kepada penjenamaan semula karya-karya agung ke dalam
bentuk yang lebih moden khususnya dalam tulisan Melayu rumi, masih terdapat
banyak ruang-ruang kosong yang tidak mampu diisi (atau sengaja disempitkan)
oleh mereka.
Mendengar hujah ini
kelibat ingatan saya kembali ligat cuba menilik latar hujah tersebut dengan
memuatkan pengalaman penting mahaguru saya, Prof. Syed Naquib Al-Attas. Bagi yang sudah membaca karya-karya awal
beliau seperti Origin of Malay Shaʿir atau paling tidak pun sharahan pengukuhan
pelantikan jawatan Profesor Bahasa dan Kesusasteraan Melayu UKM yang bertajuk Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu:
Suatu Mukaddimah mengenai Peranan Islam dalam Perabadan Sejarah Melayu-Indonesia,
dan kesannya dalam sejarah pemikiran, bahasa, dan kesusasteraan Melayu
(1972), pasti pembaca akan terhimbau betapa lantang dan berani Prof. Al-Attas radd ke atas sekalian Orientalis yang
menyemai shakk dan ẓann dalam kajian mereka berkenaan turāth
dan karya-karya agung Melayu.
Saya juga terhimbau
akan kesungguhan Prof. Al-Attas yang kemudiannya dipikul dengan berani dan
lantang oleh Tn. Haji Affandi Hassan yang terkenal sebagai pendokong Gagasan Persuratan Baru betapa
sebenarnya penerbitan faham kesusasteraan dan pembedaannya dengan persuratan
sekitar pertengahan abad ke-20 adalah satu kesilapan yang berbahaya dan
merugikan umat Melayu. Golongan sastera seperti yang dikritik Prof. Al-Attas
dan Tn. Hj Affandi Hassan telah mengesampingkan kedudukan sebenar persuratan
Melayu yang didasari dengan faham ilmu yang betul dan sebaliknya diangkat faham
kesusasteraan moden yang bercorak daya khayali yang poros ilmu yang mana sebenarnya banyak daripada golongan sasterawan ini asal usul mereka hanyalah sebagai pengarang (rujuk asal usul ASAS 50). Dikotomi ini akhirnya
semakin menebal dengan pengwujudan gelar Sasterawan Negara yang dinobat sekadar
menepati syarat-syarat yang ditunjangi faham kesusasteraan moden khayali yang
banyak dari Barat.
Kesan daripada ini
telah membentuk pandangan alam masyarakat Melayu moden yang hanya mampu secara
kasar menanggap yang Bahasa Melayu moden
mutaʾakhir hanya berdaya maju dengan karya-karya
sastera contra persuratan. Sikap ini
yang tertanam dan subur secara separa sedar telah meneggelamkan faham
persuratan Melayu yang sebenar dan tidak mustahil oleh sebab yang sedemikian
cara pandang sarjana Melayu khasnya dan orang kebanyakkan amnya melihat
sebarang hikayat-hikayat besar seputar karya sastera agung, seolah-olah kontang
isi ilmiah yang bersifat thabit adanya. Boleh ditelusuri perbahasan ini dengan
membaca tulisan Tn. Hj Affandi Hassan dalam karyanya “Medan-Medan Dalam Sistem Persuratan Melayu: Sanggahan Terhadap Syarahan
Perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh” (Penerbit Tiga Puteri, 1994).
Ada banyak yang kami
bicara dan untuk menjimat masa, izinkan saja saya menulisnya dalam bentuk
beberapa butiran penting:
- Selain
Raja Ali Haji, kata Prof. Zakaria, perlu juga ditelaah Misa Melayu karangan Raja Chulan. Saya pasti ramai anak muda hanya
kenal Raja Chulan sebagai salah satu nama stesen monorail.
- Ada beza
antara “titah” dan “ucapan” seorang Raja/Sultan. Mengikut Prof. Zakaria
bilamana Sultan bertitah ianya adalah suatu arahan yang wajib diikuti. Daulat
Sultan yang ʿadil pasti berasaskan tuntutan Shariat. Kalau
titah Sultan tidak diikuti dan dilanggar maka jatuh sudah Daulat Sultan sekadar
menjadi ucapan. Peribahasa Melayu menjelaskan “Raja yang ʿAdil
disembah, Raja yang Zalim disanggah”. Saya secara peribadi melihat konsep
Daulat Sultan ini jikalau ditimbang mengikut mizan Pandangan ʿAlam
Islam tidak jauh beda dengan konsep al-walāʾ wa
al-baraʾ. Dan kita semua maʿlum bahawa kitab ketatanegaraan atau Mirror for Princes yang dikarang para
ulamaʾ amat menekankan perihal mentaati pemimpin yang
ʿadil itu sebahagian daripada pegangan ʿaqidah
seperti yang termuat dalam ʿAqāʾid
al-Nasafī yang tersebar luas
dan disharah panjang oleh ʿulamaʾ di Alam Melayu. Sama juga Daulat Sultan itu yang ʿAdil
itu bertepatan jika dihubung jalinkan dengan konsep al-walāʾ wa al-baraʾ tidak akan menimbulkan sebarang kekeliruan dan
kedangkalan dalam memahami bagaimana orang Melayu zaman silam memahami
perlambangan Ẓillul-Lah fiʾl-ʿālam – “Raja sebagai Bayangan Tuhan di muka bumi”.
- Dalam
Undang-Undang Tubuh Terengganu juga ada konsep “Kata Pengikat dan Pemutus” yang
dizahirkan dalam bentuk Dewan Diraja yang dahulunya sebelum kedatangan penjajah
dianggotai oleh Mufti yang diberi gelar Datuk Bentara Guru. Dikatakan ʿalim
besar Tok Ku Paloh juga pernah duduk dalam Dewan ini. Kalau diteliti ini bukan
konsep asing sebaliknya teras kepada sistem shura yang sebenar berdasarkan
konsep Ahl’l-Hal wa’l-Aqad. Konsep
ini tidak lagi difahami kerana bahana faham demokrasi yang mencairkan susun
atur mereka yang sebenar-benar layak memberi nasihat kepada para Sultan
antaranya ialah para ʿulamāʾ yang berwibawa.
- Pengarang
karya-karya besar Melayu bukan orang biasa. Banyak mereka ialah orang bangsawan
yang terdidik (learned man) dan dalam banyak penulisan mereka kata
Prof. Zakaria ianya ditulis dengan banyak perlambangan yang perlu ditafsir
secara halus. Ini kerana zaman tersebut di mana Daulat Sultan masih kuat
sebarang kritikan dan sanggahan harus dibuat secara halus bagi tujuan mendidik
dan mengelak sebarang pergolakan yang lebih besar. Maka sudah tentu
cerita-cerita berbentuk Puter Gunung Ledang dan Singapura dilanggar todak menjadi
taruhan buat pengarang Melayu ini menyampaikan nasihat dan sanggahan dengan
cara yang halus tetapi berbekas di benak hati para pemimpin dan masyarakat.
- Banyak
orang-orang persendirian di Alam Melayu yang masih berusaha secara
kecil-kecilan menyimpan dan mengurus khazanah ilmiah berupa manuskrip. Ini
kadangkala mengundang masalah kerana ketiadaan kepakaran tertentu yang akhirnya
mengakibatkan manuskrip tersebut mudah rosak dimamah masa. Kata Prof. Zakaria,
perlu ada usaha yang lebih khusus dalam membantu kumpulan-kumpulan kecil ini
agar warisan kita tidak luput ditelan zaman.
- Yayasan
Karyawan sedang usaha menerbitkan semula karya-karya agung Melayu dan kata
Prof. Zakaria, terpulang kepada anak muda masani untuk mengkajinya dengan lebih
ilmiah. Jangan sekadar harapkan sarjana sastera saja yang mengangkat teks sedemikian
rupa.
Perbincangan dengan
beliau walaupun kadang kala saya diusik dengan beberapa kritikan terhadap Prof.
Al-Attas, tidak mengundang rasa tidak hormat Prof. Zakaria akan kejayaan Prof.
Al-Attas mewujudkan “school of thought”
beliau yang menjadi bualan ramai dikalangan para sarjana sehinggalah hari ini.
Saya selaku anak murid kepada anak murid Prof. Al-Attas, tumpang sefikrah dengan
mereka dan Insha-Allah semua ini akan mendorong saya untuk bekerja lebih kuat
bagi memakmurkan kembali karya dan turāth cendekiawan Melayu lampau.
Inferiority Complex untuk menyantuni sejarah bangsa saya bak
terhapus sudah dari kamus pemikiran saya malah membuatkan saya berasa lebih
tawaduʾ kepada orang-orang terdahulu yang sememangnya
hebat belaka berbanding kita pada masani yang jahil bangat tentang apa dan
siapa itu Bangsa Melayu.