Kami bertiga bersama Dr. Witkam. Beliau yang belanja kami makan malam. |
Siapa sangka setelah
berhempas pulas di sebelah pagi membentangkan kandungan buku karangan Robert
Irwin, For Lust of Knowing: The Orientalist and their Enemies dalam kelas Research
Methodology di CASIS yang dipimpin oleh Prof. Zainiy Uthman – saya, Syed
Muhyiddin dan Syafiq telah dijemput untuk makan malam bersama seorang
Orientalis terkemuka dari Universiti Leiden, Belanda.
Orientalis tersebut
ialah Prof. Dr. Jan Just Witkam yang kini merupakan ketua penyunting
(editor-in-chief) Journal of Islamic
Manuscripts di bawah penerbitan E.J Brill di Leiden. Dari tahun 1974 hingga
2005 beliau merupakan pegawai selenggara khazanah (curator) koleksi Oriental di
perpustakaan Universiti Leiden. Pada tahun 2001, beliau telah dilantik menjadi
Profesor Ilmu Kaji Tulisan Silam (Paleography)
dan Ilmu Kaji Naskhah Lama (Codicology)
sehingga tahun 2010. Kehadiran Dr.
Witkam ke Malaysia kerana memenuhi undangan pihak UIA untuk memberi beberapa
siri syarahan berkenaan Ilmu Kaji Naskhah Lama yang telah berlangsung sekitar
seminggu lalu.
Sebelum saya pergi
berkongsi lebih banyak tentang perbulan makan malam kami dengan Dr. Witkam,
elok benar saya jelaskan siapa itu Orientalis.
Dalam pembentangan
ringkas buku For Lust of Knowing pada
pagi Jumaat lalu, saya menjelaskan ada dua sebab Robert Irwin menulisnya.
Pertama, ianya ditulis seperti satu ṭabaqāt
al-mustashriqiyyah (biographical literature of the Orientalists). Sebab
kedua ialah sebagai satu radd ke atas
adikarya mendiang Edward Said – Orientalism
yang amat berpengaruh dalam lapangan ilmu Kemanusiaan (Humanities) sampai masani.
Menarik di sini untuk
kita kupas kata akar (etymology)
Orientalis.
Orientalisme adalah
satu cabang ilmu pengkajian tentang Asia – agama, bangsa, budaya dan banyak
lagi. Walaubagaimanapun, Orientalisme yang telah lama wujud di Barat sebenarnya
banyak berkisar mengenai kajian segala-gala tentang umat Islam seawal Zaman
Pertengahan di Eropah lagi. Orientalis adalah pengkaji tegar akan mawdu’ ini.
Yang lebih menarik,
dalam bahasa Arab, perkataan Orientalis diterjemah sebagai al-mustahsriq yang mana mengambil bentuk wazn istafʿala yang secara umum salah satunya memberi maksud
“keteringinan untuk menjadi”. Seperti mana golongan sufi palsu dalam bahasa
Arab dipanggil sebagai al-mustaṣwifūn
daripada bentuk istaṣwafa – yang mana
seperti dijelaskan Prof. Syed Naquib al-Attas melalui nukilan Syeikh Nur al-Din
al-Raniri sebagai golongan yang “bersufi-sufian”. Lagak serban tajam, berjubah labuh lengkap
dengan kain di atas bahu tetapi hakikatnya tidak mempunyai ilmu taṣawwuf yang
betul.
Maka golongan
Orientalis juga sebenarnya kalau ditilik secara halus melalui karya For Lust of Knowing itu menggambarkan
maksud yang sama – kepingan untuk menjadi seperti orang-orang Timur yang lebih
eksotik, maju dan bertamadun (pada zaman kegemilangan Islam).
Ianya menarik untuk difikirkan kerana orang Arab dahulunya tidak menggunakan perkataan al-mustahsriq untuk mengkisarkan "orang-orang Timur" – seperti digunakan oleh Ibn Sīnā dan Imam Fakhr Dīn
al-Rāzī yang masing-masing menulis karya yang menggunakan nama “The Easterners”
ya’ni Ibn Sīnā dengan Manṭiq
al-Mashriqiyyin (The Logic of the Easterners) dan juga al-Rāzī dengan al-Mabāḥith al-Mashriqiyya (The Eastern Studies).
Melalui perbincangan
yang larut sampai 2 jam, saya kira Dr. Witkam juga mempunyai sifat yang sama
seperti dijelaskan oleh Robert Irwin dalam For
Lust of Knowing akan kepingan yang teramat untuk mengkaji, mengetahui dan
memahami khazanah ilmu dan budaya orang-orang Timur khususnya kaum Muslimin.
Walaupun umur beliau
sudah hampir mencecah 70 tahun, kegigihan untuk mencari, mengumpul dan
menkatalogkan manuskrip tidak pernah padam. Malah perkongsian ilmu yang beliau
ingin lakukan amat luar biasa daripada para pengkaji “biasa-biasa” dikalangan kaum Muslimin yang
pernah saya jumpa. Lihat saja laman web beliau untuk mengetahui tahap
kesungguhan dan penjiwaan beliau dalam kerja-kerja akademik berkaitan manuskrip
tersebut.
Banyak soalan-soalan
menarik yang kami kemukakan kepada beliau dan Dr. Witkam langsung tidak kedekut
untuk menyatakan pandangan beliau.
Sebagai warga
Universiti Leiden dari waktu muda sampailah sekarang, beliau sememangnya
terdedah dengan tradisi Orientalisme yang utuh. Kami tidak sangka yang beliau
merupakan anak murid kepada Orientalis besar Belanda - Profesor Gerardus
Willebrodus Joannes Drewes atau lebih dikenali sebagai G.W.J Drewes.
Mungkin bagi yang tak
biasa dengan kajian sejarah ilmu dan budaya Melayu atau tidak banyak membaca
karya-karya Prof. Syed Naquib Al-Attas, nama ini akan terasa asing. Tetapi bagi
kami, anak muridnya kepada gagasan Prof. Naquib Al-Attas, nama Drewes merupakan
nama besar yang telah disanggah secara lumat oleh Prof. Naquib Al-Attas à la
Tahāfut al-Falāsifah dalam monograf Comments on the Re-Examination of
al-Rānīrī’s Ḥujjatulʾl-Ṣiddīq: A Refutation. (Muzium Negara, Kuala Lumpur: 1975)
Dr. Witkam sendiri
memperakui bahawa Prof. Syed Naquib Al-Attas merupakan seorang ilmuan yang visionary. Beliau juga memuji yang Prof. Al-Attas telah
berjaya membina perpustakaan Oriental yang “sebenar” di ISTAC – sesuatu yang amat
jarang ditemui di rantau ini.
Dalam perbincangan kami, Dr.
Witkam menzahirkan perasaan kekecewaan beliau terhadap ketiadaan sifat pengurusan dan pengkajian secara serius akan khazanah turāth khusus berkaitan manuskrip di dunia Islam, yang juga tidak
begitu mendapat perhatian berbanding yang terdapat di univerisit-universiti
besar Barat seperti Oxford, Cambridge, Yale, Chicago, McGill dan Leiden. Beliau
mendakwa terdapat ramai sarjana-sarjana yang berbakat di dunia Arab tetapi oleh
kerana kekangan politik dan ekonomi yang mencengkam, bakat-bakat mereka hanyut
ditelan badai zaman.
Walaubagaimanapun
beliau kata ada juga dikalangan pemimpin mereka yang memahami semangat
profesionalisme dalam pengkajian dan pengurusan sumber khazanah turāth antaranya ialah Yang Berhormat
Shaykh Dr. Zaki Yamani, pengasas dan pengarah Al-Furqan Islamic Heritage Foundation. Shaykh Dr Zaki Yamani
merupakan bekas Menteri Sumber Minya Arab Saudi dari 1962 hingga 1986. Saya pertama
kali mengenali Dr. Zaki Yamani melalui karya Daniel Yergin – The Prize: The Epic Quest for Oil, Money and Power di mana beliau merupakan antara wakta utama dalam krisis embargo
minyak OPEC 1973. Dr. Zaki Yamani juga merupakan salah seorang ahli lembaga penasihat antarabangsa ISTAC zaman pimpinan Prof. Al-Attas.
Dr. Witkam telah
berkhidmat selama 15 tahun dengan Al-Furqan sebagai penasihat saintifik dan Dr.
Witkam memperakui betapa terhutang budinya beliau kepada Dr. Zaki Yamani kerana
memberi peluang dan ruang yang banyak untuk mengkaji dan mengurus koleksi
manuskrip di serata dunia di bawah bantuan Al-Furqan.
Sikap pustakawan dan
pengkaji dunia Islam yang acuh tidak acuh, malu-malu kucing untuk menulis surat
kepada perpustakaan di luar dunia Islam turut menyumbang kepada ketidak majuan pengkajian
manuskrip di dunia Islam. Dr. Witkam memberi contoh akan sikap “malas”
sesetengah penerbit kitab di dunia Islam yang sekadar berpuas hati dengan
beberapa jenis edisi manuskrip yang tidak begitu baik keadaan fizikalnya, terus
di-tahqīq dan dicetak keluar ke
pasaran dalam keadaan tergesa-gesa dengan kualiti suntingan yang lemah dek
kerana merujuk kepada kualiti edisi manuskrip yang tidak seberapa tersebut.
Walhal boleh saja mereka bersifat rajin untuk mencari salinan-salinan lain manuskrip tersebut yang
mungkin keadaannya lebih baik dan jelas untuk disunting dan dapat diterbitkan secara
kemas dan berkualiti.
Di sini beliau memberi
pujian melangit kepada Vatican kerana mempunyai sistem dan kaedah penjagaan
manuskrip yang terbaik di dunia (bukan kerana Pope kata Dr. Witkam secara
berseloroh). Kami mengiakan kerana pernah menonton babak yang memuatkan
perpustakaan manuskrip di Vatican dalam filem Angels & Demons.
Disebabkan beliau amat
aktif menghadiri forum, seminar dan bengkel berkaitan manuskrip di seluruh
dunia, saya bertanyakan samada beliau pernah pergi ke lubuk manuskrip Islam di Timbuktu, Mali. Dr. Witkam dengan nada hampa mengatakan tidak pernah dan beliau
amat teringin untuk ke sana tetapi keadaan keselamatan yang runcing buat orang
Barat mengakibatkan beliau tidak dapat ke sana buat masa ini. Dr. Witkam kata
beliau juga selesa benar untuk membuat kerja-kerja beliau di Kaherah, Mesir
walaupun cabaran birokrasi di sana luar biasa sekali.
Ringkasnya, Dr. Witkam
seperti yang saya katakan di awal tulisan, mempunyai sifat-sifat yang sama
seperti para Orientalis besar yang lain. Pandangan negatif terlampau, seperti
yang diukirkan oleh Edward Said dalam magnum
opus beliau Orientalism telah
sedikit sebanyak menutup ruang-ruang positif yang boleh digarap oleh kaum
Muslimin akan kesungguhan orang bukan Islam seperti Dr. Witkam untuk mengkaji
dan melestarisasikan sumber khazanah turāth
Islam.
Disamping sisi gelap
Orientalis ternyata mereka juga turut sama menyumbang kepada penerusan tradisi
khazanah turāth Islam. Yang
menjadikan mereka begitu hebat dan tekun pasti juga kerana kita sendiri kaum
Muslimin tidak lagi memahami dan menghargai warisan kita sendiri seterusnya
membuka ruang kepada bangsa lain untuk menyantuninya semula mengikut selera
mereka.
Apa-apa pun kita kaum Muslimin, seperti pesan Prof. Zainiy Uthman
kepada kami di CASIS, jangan menyombong diri terhadap mereka yang dipanggil
Orientalis. Ketidak persetujuan kita dengan mereka atas dasar ilmu yang benar
tidak harus diheret sampai memusnahkan ruang dan peluang untuk jalinan kerjasama yang
munasabah khususnya dalam hal-hal berkaitan pengurusan sumber khazanah turāth yang sememangnya mereka di Barat
lebih maju berbanding kita di dunia Islam. Ambil saja contoh mudah yang
ditayangkan oleh The Islamic Manuscrip Association (TIMA). Jauh lebih
profesional dan mesra sarjana berbanding perpustakaan di dunia Islam juga di
negara kita yang tercinta ini. Masakan kita impikan Budaya Ilmu yang tulen jikalau sumbernya saja kita pandang enteng.
2.02 pm, 17 Mac 2012
*Untung juga tak
sangka Profesor Kajian Malaysia saya di UTP, Profesor Ahmad Murad Merican telah
menulis satu makalah dalam NST pada hari ini yang menyinsing seputar perbahasan
Orientalisme iaitu berkenaan “The Other” dalam ruang lingkup nyata negara kita,
Malaysia. Selamat membaca dan mengkaji.