Sastera Ilmi sebagai pemangkin budaya intelektualisme dalam peradaban ummah:
satu renungan awal*
Oleh Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal, pelajar tahun
akhir jurusan Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi PETRONAS.
Dalam sejarah peradaban Islam, konotasi perkataan sastera itu
sendiri melambangkan sesuatu yang cukup penting dalam masyarakat. Sastera dalam
Islam didefinisikan sebagai adabbiyyat yang mana bertitik
tolak dari perkataan adab. Kedudukan makna adab itu
sendiri paling signifikan tercermin dalam sejarah kesusasteraan Islam seperti
yang diterangkan oleh ahli sejarah tamadun Islam, Marshal S. Hodgson:
“A central position in adab was held by Arabic literature:
especially the poetry and the rhyme prose, which held a position of honour not
accorded to any other arts. The spoken word well put moved cultivated men as
nothing else in life was permitted to, and its refinements were explored by a
galaxy of remarkable verbalists.” (Hodgson, 1958:452)
Seorang adib (insan yang beradab, terdidik,
berbudaya tinggi) bilamana beliau mempelajari bidang ilmu di luar bidang
sastera seperti contoh bidang biologi, selalunya beliau tidak akan mengkajinya
dalam keadaan khusus dan literal semata-mata, sebaliknya mereka turut sama
memberi penumpuan kepada aspek kesesuaian estetik dalam pelbagai cara untuk
dijadikan rujukan kepada penulisan kesusasteraan dan persuratan. Semua ilmu
yang dipelajari akan digunakan dengan baik untuk memperkayakan lagi kualiti
penulisan mereka khususnya sastera. (Hodgson, 1958: 454)
Dalam membicarakan perihal sastera ilmi yang dirantaikan dengan
konsep kesusasteraan Islam, konsep penting yang diketengahkan oleh perkataan adab ini
perlu diperjelaskan dengan lebih teliti untuk menggapai hakikat sebenar sastrera
ilmi.
Istilah adab dalam sejarah kebudayaan Islam
pernah mempunyai makna yang jauh lebih luas dan mendalam sebelum disempitkan
hanya kepada sebahagian kecil makna-makna yang terdapat di dalamnya seperti
persuratan, tatasusila profesional dan perilaku sosial (Al-Attas: 1980:36).
F.Gabrieli, dalam kajiannya yang ringkas mengenai adab menyatakan
bahawa pada abad pertama Hijrah, istilah adab mengandungi
makna ilmiah, akhlak, dan sosial. Dalam abad-abad berikutnya, ada membawa makna
semua ilmu pengetahuan yang mampu melahirkan manusia yang berbudi tinggi dan
“berbudaya”. Menjelang abad ke-10 Masihi, adab telah
disempitkan maknanya kepada suatu bidang ilmu pengetahuan, yakni persuratan (adabiyyat).
(Gabrieli, 1986)
Perkataan adab, seperti yang difahami sewaktu zaman
Arab jahiliah membawa makna seperti undangan ke suatu jamuan istimewa atau
bankuet yang telah terkandung andaian bahawa, terdapat di dalamnya pergaulan
dan perbincangan yang mulia (Wan Mohd Nor, 2006: 151).
Setelah Islam tiba dalam kehidupan masyarakat Arab, makna
perkataan adab itu telah berubah dari segi semantiknya dengan
dimasukkan unsur-unsur kerohanian dan keilmuan yang mana proses ini dinamakan
sebagai proses islamisasi bahasa Arab. Proses Islamisasi perkataan adab ini
jelas tergambar dalam hadith yang diriwayat oleh Ibn Mas’ud yang menerangkan
al-Quran disebut sebagai jemputan Allah SWT ke bankuet di atas muka bumi ini (ma’dabat
Allah fi’l ard) dan kita dianjurkan untuk menikmatinya dengan memperoleh
ilmu pengetahuan mengenainya (fa ta’aalam, min ma’dabatih). (Al-Attas,
1980: 24)
Di samping itu, terdapat juga hadith yang menerangkan aspek
kesalingkaitan ilmu, pendidikan dengan perkataan adab itu
sendiri yang berbunyi:
“Tuhanku telah menyemai dan mengukuhkan adab ke dalam diriku (addabani
Rabbi) kerana itulah adabku paling unggul (fa ahsana ta’dibi).”
Mengikut Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, perkataan addaba iaitu
menyemai dan mengukuhkan adab ke dalam diri boleh diertikan
juga sebagai mendidik. Makna pendidikan yang dimaksudkan oleh al-Attas bukanlah
seperti mana yang kita biasa fahami bersifat satu dimensi tetapi merangkumi
amal dan juga proses mendidik yang menekankan penggunaan dan pengamalan ilmu
secara baik dalam masyarakat. Para ilmuan Islam terdahulu telah mengikat kemas
kata kunci ‘ilm (ilmu), ‘amal (amal) dan adab untuk
menggambarkan konsep pendidikan yang sebenar dalam Islam iaitu ta’dib. (Al-Attas,
1980:25)
Kesebatian makna antara konsep adab dengan ilmu
yang benar dan berguna, dengan amalan yang ikhlas dan betul telah dijelaskan
dengan tuntas berkenaan takrif adab yang dikemukakan oleh
al-Attas sebagai:
“Adab ialah pengenalan dan pengiktirafan hakikat
bahawa ilmu dan segala yang wujud teratur bertingkat-tingkat mengikut martabat
dan darjatnya masing-masing. (Serentak dengan itu) adab juga
ialah pengenalan dan pengiktirafan tempat yang wajar bagi seseorang berhubung
dengan hakikat tersebut serta kebolehan dan potensi jasadi, akli dan rohani
diri masing-masing.” (Al-Attas, 1980:26)
Oleh sebab itu kefahaman sastera yang tercermin daripada kata asal adabiyyat haruslah
disulami dengan kefahaman ilmu yang betul agar nilai diri dan masyarakat dapat
diletakkan pada tempat yang betul sehingga lahirnya tamadun atau peradaban
dalam masyarakat tersebut seperti dijelaskan oleh al-Attas:
“Jikalau dalam Islam kesusasteraan itu diberi nama adabiyyat,
maka kenyataan itu menjelaskan bahawa kesusasteraan itu dianggap sebagai
penyimpan peradaban, penampung ajaran-ajaran serta kenyataan-kenyataan yang
mendidik diri dan masyarakat nescaya menyerapi adab, sehingga dapat
mengangkatnya naik dari taraf rendah manusia liar ke taraf luhur insan adabi.
Jadi kesusasteraan mempunyai tujuan serta tugas yang berangkap dengan
pendidikan umum; dia mecara-senikan ajaran-ajaran serta kenyataan-kenyataan
yang memupuk adab menerusi bahasa luhur, yang menegaskan keadaan serta
kedudukan hakiki pada cita-rasa insani.” (Al-Attas, 2001:121)
Penjelasan dan perkaitan sastera Islam yang menjadi asas kepada
sastera ilmi tidaklah bermakna ianya beku dan jumud dari segi aspek
estetitkanya, malah ianya turut menekankan aspek “indah dan bermakna” yang
menjadi matlamat akhir sesebuah karya dalam sastera ilmi. Di sini Mohd. Affandi
Hassan memetik contoh daripada al-Quran berkenaan cerita yang tersemat dalam
Surah Yusuf. Menerusi ayat yang melambangkan “kesabaran yang indah” (sabrun
jamilun, 12:18) ianya menggambarkan kekuatan iman dan keteguhan hati dengan
sifat tawakkal yang murni dan ikhlas. Sifat cinta kepada Allah yang dilakarkan
oleh Nabi Yaakub timbul daripada iman yang sempurna dan cinta kepada anak
(kepada Nabi Yusuf) cerminan daripada kasih sayang seorang bapa sekaligus
melahirkan “sabrun jamilun” tersebut. Direnungi makna cinta kepada anak
yang menimbulkan penderitaan sambil dipertentangkan dengan cinta kepada Allah
yang menimbulkan tawakkal dan harapan, ianya berhasil melahirkan kesan yang
berbeza, dan ini sekaligus memberikan makna yang positif kepada kedua-duanya
pada masa yang sama memberi gambaran berkenaan konsep taqwa. Perihal bapa yang
kehilangan anaknya seperti satu kejadian biasa yang mungkin tidak menarik atau
mengharukan tetapi diberi makna yang mendalam dan indah dengan penggunaan
bahasa yang tepat dan indah dan isi atau perutusan yang benar seterusnya
mengetengahkan maksud indah dan bermakna yang seharusnya menjadi hakikat dan
fungsi sastera dalam Islam (Mohd. Affandi Hassan, 2005: 28).
Hujah yang dikemukakan oleh Mohd. Affandi Hassan ini senada dengan
apa yang al-Attas tegaskan berkenaan puisi bersifat keislaman berkenaan aspek
“indah dan bermakna”:
“Puisi bersifat keislaman bukan hanya yang sekadar berdaya
menyelipkan di sana-sini kalimat-kalimat keagamaan seolah-olah yang demikian
itu sudah cukup menunjukkan keislaman sifat dan bentuknya. Ciri-ciri yang
menandakan puisi bersifat keislaman, antara lainnya, harus memabayangkan
kebenaran yang ditayangkan oleh budi dan rasa. Kebenaran yang tercermin dalam
akal dan kalbu itu pula harus dijelmakan dalam bentuk rupacita yang menepati
kisah keadaan dan yang diperjelas menuturi cerita mithali memadai perkara yang
dimaksudkan. Ia juga harus mengandung pelajaran dan nasihat, memurnikan
martabat ilmu dan amalan akhlakiah, menuntut penerapan keadilan serta perangai
adabi dalam diri dan masyarakat insani. Penulis puisi bersifat keislaman
tentunya harus mendalami kefahaman akan Islam dan sejarah pemikiran serta
tamaddun Islam; sebab dengan kefahaman demikian sahajalah baharu boleh dia jadi
sedar akan keadaan zamannya, akan permasalahan pokok yang terdapat dalamnya,
dan akan pelajaran dan nasihat yang harus diambil darinya. Dia harus mengambil tauladan dari karya
luhur pujangga lama, memahami sejarah lama serta cerita-cerita bidalan bijaksana.
Dan dalam hal peka akan keadaan semasa tiada harus dia membiarkan kejahilan dan
kezaliman berleluasa tanpa teguran. Pandangan hidup serta pertimbangan rasa dan
penilaian akalnya harus dikemukakan dalam bentuk puisi menuturi percakapan
berirama menepati bawaan bahasanya.
Sesungguhnya ciri-ciri puisi yang disebut
bersifat keislaman itu merupakan ciri-ciri puisi dan persajakan yang kulli –
yakni universal dan juga terdapat dalam kesusasteraan kebudayaan-kebudayaan
yang bertamadun tinggi.” (Wan Mohd Nor, 2004: ix)
Kehilangan adab dalam sastera.
Menurut al-Attas, akar permasalahan kepada
umat Islam bertitik tolak dari dua sudut iaitu kelemahan dalaman umat serta
unsur luaran yang berpusat pada cabaran daripada kebudayaan dan tamadun Barat.
(Al-Attas, 1973: 6-7)
Al-Attas melihat terdapat tiga punca yang saling berkaitan dalam
menzahirkan masalah dalaman umat Islam iaitu:
1. Kekeliruan dan
kesilapan menanggapi makna ilmu dan pengamalannya.
2. Kehilangan
adab.
3. Kelahiran
pemimpin yang tidak layak memikul tanggungjawab dalam pelbagai lapangan
kehidupan beragama dan masyarakat. (Al-Attas, 1973: 6-7)
Dan ketiga-tiga punca ini mampu membentuk satu lingkaran yang
ganas di mana cara untuk menamatkannya haruslah ditangani masalah kehilangan adab itu
dahulu kerana pelbagai ilmu tidak dapat diajar dan pendidikan tidak dapat
dilaksanakan dengan sempurna jikalau setiap lapisan masyrakat tidak mempunyai adab yang
betul terhadap ilmu dan ilmuwan mengikut martabat dan darjatnya masing-masing.
Ketiadaan adab ini akan membuat manusia merungkai pemahaman
dan definisi yang telah betul dan sah dan menggantikannya dengan slogan-slogan
kabur yang disebarkan sebagai konsep; hilang kebolehan mengenal makna sesuatu
konsep dan keupayaan mentakrif, mengenal pasti masalah-masalah, dan ketiadaan
upaya menyelesaikan masalah. (Wan Mohd Nor, 2006: 162)
Masalah kehilangan adab ini turut menimpa disiplin ilmu
kesusasteraan moden yang sangat terpengaruh dengan faham ilmu dan pengamalannya
dari pengaruh pandangan alam Barat.
Ini bermakna sastera dalam Islam, khususnya sastera ilmi tidaklah
sama seperti sastera dalam fahaman tamadun Barat yang berunsurkan nilai
estetika semata-mata. Sastera Barat seperti yang telah dikonsepsikan dan
dipraktikkan adalah sempit dan mengelirukan, terbatas hanya kepada aspek
lahiriah dan luaran, untuk memuaskan nafsu, emosi dan daya intelek yang
ukurannya terlalu relatif dan sementara yang membuat manusia gagal mengenal
hakikat dirinya. (Mohd. Affandi Hassan, 2005: 24)
Secara ringkasnya sastera Barat
kebiasaannya sangat sarat dengan falsafah utilitarianisme, romantisime,
idealisme, realisme dan hedonisme.
Banyak sasterawan dari Nusantara
terperangkap dalam pandangan alam Barat yang mendefinisikan pembaharuan budaya
itu bertitik tolak dari ketidakfahaman mereka dalam apa yang cuba digagaskan
dalam dunia kesusasteraan dan persuratan Melayu. Kehampaan kefahaman berkenaan
sejarah silam dan juga kebergantungan mereka terhadap bimbingan sarjana-sarjana
kolonial Barat yang menentukan penilaian sejarah serta kesusasteraan Melayu
telah menimbulkan kekeliruan yang serius. (Al-Attas, 1972: 53)
Menurut al-Attas, unsur-unsur baru yang
telah timbul dalam kesusasteraan Melayu-Indonesia banyak mengutamakan nilai
tragedi, nilai kesengsaraan dalam lakonan kehidupan insan. Faham tragedi dalam
dunia seni dan budaya Melayu-Indonesia “moden” ini tidak lain tidak bukan
merupakan cerminan kepada kesan kebudayaan Barat yang mendakyahkan suatu
pandangan hidup yang bertitik tolak daripada keraguan dan falsafah dalam mencapai
Kebenaran di samping kekecewaan daripada pengalaman beragama (Kristian dan
Yahudi) yang akhirnya dizahirkan secara berleluasa dalam dunia kesusasteraan
mereka yang berjiwa tragedi. Faham dan pandangan alam Barat ini telah disalah
erti oleh sasterawan dan sarjana sastera Melayu-Indonesia “moden” sebagai satu
bentuk “baru” dalam dunia kesusasteraan kita.
Kekeliruan dan kesalahfahaman konsep
sastera yang bertitik tolak dari masalah kehilangan adab telah
dijelaskan dengan tuntas oleh al-Attas dalam syarahan pengukuhan pelantikan
jawatan Profesor Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Universiti Kebangsaan
Malaysia pada tahun 1972 yang bertajuk Islam dalam Sejarah dan
Kebudayaan Melayu:
“Golongan pujangga dan penulis yang
mensifatkan dirinya mewakili sesuatu yang ‘baru’ dalam kesusasteraan
Melayu-Indonesia sebenarnya terdiri dari orang-orang yang tiada benar-benar
mendalami kefahaman mengenai sifat-sifat asasi kebudayaannya sendiri;
orang-orang yang dari segi kebudayaan mewakili masyarakat perpinggiran atau marginal
society yang kedudukannya dalam kebudayaan itu tiada jelas tidak
mendalam. Penganut-penganut golongan
inipun mereka yang terkeliru, yang kebanyakkannya terdiri dari masyarakat
Bandar yang sungguhpun terpelajar sedikit cara Barat tetapi tiada benar-benar
menyerapi kebudayaan Barat itu, mahupun kebudayaan sendiri dan dari itu
nilai-nilai kebudayaan yang terbayang dalam kesusasteraan ‘baru’ ini sebenarnya
nilai-nilai yang dinilai oleh mereka yang keliru yang tiada dapat membedakan
yang benar dan palsu.
Jiwa ‘baru’ yang kononnya terbayang dalam kesusasteraan kita
sekarang, pada pendapat saya ditinjau dari segi falsafah, tiada selaras dengan
sifat persendirian bangsa dan kebudayaan kita yang berdasarkan kebudayaan
Islam.” (Al-Attas, 1972: 55)
Al-Attas turut menegaskan akan peri penting konsep kesusasteraan
itu direnungi dari banyak sudut dan lapangan ilmu yang saling berkaitan:
“Konsep kesusasteraan itu sebenarnya harus direnungkan sebagai
merangkum tulisan yang meliputi bidang kebudayaan termasuk hasil agama,
falsafah, sejarah, hukum dan undang-undang serta adapt-adat istiadat, kesenian;
ia menjelaskan sifatnya dalam mitos, dongeng, hikayat, baikpun dalam bentuk
epik, roman atau lain-lain lagi; dalam prosa dan puisi dan tentu juga memasuki
bidang-bidang pemikiran politik dan pendidikan – pendek kata ia meliputi
bidang-bidang ilmiah yang dikaji dalam rangka ilmu-ilmu kemanusiaan dan
kemasyarakatan. Kesusasteraan itu mencerminkan tamadun, yang merupakan
kehidupan intelek”. (Al-Attas, 1972: 65)
Antara contoh masalah kehilangan adab dalam
sastera khususnya disiplin ilmu kritikan sastera mengikut penjelasan Gagasan
Persuratan Baru yang menumpukan kajian mereka terhadap buku Sejarah
Kesusasteraan Melayu Moden: Esei Kritikan (DBP, 2003) adalah:
1. Kegagalan kritik sastera dalam memberi arah.
Buku yang dijadikan kayu ukur kepada kritik terhadap kesusasteraan
Melayu moden (Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden: Esei Kritikan) tampak
bermasalah dalam menentukan sempadan ilmiah dalam bidang kritikan. Oleh kerana
buku tersebut hanya memberi tumpuan terlalu sempit dalam bidang “sastera”
sahaja, maka tokoh seperti Za’ba yang telah cukup banyak memberi sumbangan
bermakna kepada kritikan persuratan Melayu tidak diiktiraf oleh buku sejarah
kritikan tersebut. Menurut Mohd. Affandi Hassan, perihal sebegini menunjukkan
bagaimana makna kata kunci “sastera” itu telah mengenepikan ilmu dalam bentuk
wacana ilmiah dan hanya memberi perhatian kepada aspek kreatif dalam bentuk
cerita. (Mohd. Affandi Hassan et al, 2008: 13)
Penyempitan makna sastera kepada aspek estetika sebegini
sebenarnya mencerminkan pencemaran semantik perkataan “sastera” itu sendiri.
Perkara sebegini tidak asing dan pernah berlaku dalam sejarah ketamadunan Islam
di mana “Hujjatul Islam” Imam al-Ghazzali sendiri pernah menerangkan perihal
pencemaran kata kunci penting yang berlaku dengan serius pada zamannya seperti
‘ilm, dan fiqh dalam magnum opus beliau
iaitu Ihya’ Ulum al-Din.
2. Kecelaruan kefahaman konteks kritikan sastera Melayu.
Laporan panel Anugerah Sastera Negara mencerminkan kekeliruan
penilaian sesebuah karya kreatif dan sumbangan seorang sasterawan diasaskan
kepada pandangan umum yang tidak ditunjang kepada ukuran yang mantap berasaskan
konsep ilmu yang benar. Mohd Affandi Hassan memberi contoh seperti yang
dilaporkan dalam Laporan Panel Anugerah Sastera Negara 1985 yang menilai
karya-karya A. Samad Said, bahawa panel menegaskan karya-karya A. Samad Said
tidak didaktik, tidak mempunyai perutusan tertentu, tidak ada matlamat untuk
dicapai, tidak menekankan aspek moral dan pendidikan malah karya-karya itu
menjadi bermutu tinggi dan istimewa kerana meniru teknik dan gaya penulisan
Barat.
Penilaian sebegini sudah tentu bertentangan dengan fungsi sastera
dalam tradisi persuratan Melayu tradisional (yang Islami dan ilmiah sifatnya),
yang menekankan sidat didaktik, yang mempunyai tujuan dan matlamat untuk
mengajar masyarakat menjadi cerdik dan beradab. (Mohd. Affandi Hassan et
al, 2008: 16)
3. Hanyut dalam khayalan subjektif.
Para sasterawan, pengkritik dan sarjana sastera hampir sepakat
mengatakan bahawa tiada siapa pun, dan tidak ada sebarang teori, yang boleh
mentukan arah perkembangan sesuatu kegiatan kreatif seperti penulisan novel,
sajak dan lain-lain. Para sasterawan bebas memilih aliran mana sekali pun yang
mereka gemar dan setiap sasterawan bebas menulis dalam bentuk dan tenang apa
sekali pun. (Mohd. Affandi Hassan et al, 2008: 18)
Faham makna kebebasan yang terlakar dalam dunia kesuasteraan masa
kini tidaklah sangat bertitik tolak dari faham sebenar kebebasan yang
dianjurkan dalam Islam tetapi lebih kepada kelangsungan hawa nafsu semata-mata.
Dalam konteks epistemologi Islam, kebebasan hanya terdapat apabila manusia
memilih kebaikan bukan memilih kejahatan. Penyakit penisbian hala tuju
kesusasteraan sebegini juga bertitik tolak daripada kebejatan faham
epistemologi ilmu iaitu penyakit aliran sofis jenis indiyah yang
bersifat relativisme atau yang lebih ekstrim, nihilisme iaitu penghampaan
nilai.
4. Khayalan liar dalam penggunaan “bunga bahasa”.
Terdapat kecenderungan besar untuk menggunakan “bunga bahasa” yang
berlebihan dikalangan sasterawan yang tidak memahami kedudukan bahasa dalam
Islam. Karya-karya kreatif sangat mewah dengan “bunga bahasa”, tetapi miskin
dengan makna yang mendalam. Seharusnya, konsep keindahan bahasa dalam Islam,
seperti yang diajarkan bahasa kepada manusia oleh Allah SWT ialah untuk
mengenal tanda-tanda kebesaran Allah di dunia. Bahasa yang tidak diletakkan
pada hakikatnya yang betul, sifatnya tersebut hanya menjauhkan manusia dari
mengenal kebenaran akibat kesan “bunga bahasa” yang melalaikan atau memberi
gambaran palsu yang kaya dengan ilusi yang boleh menyesatkan. (Mohd. Affandi
Hassan et al 2008: 21)
Kita lihat daripada semua hujah di atas, bahawasanya masalah
kehilangan adab itu sangat berleluasa dalam dunia
kesusasteraan tanah air. Jikalau disiplin ilmu kritikan sastera sebegini
bermasalah bagaimana hendak kita majukan dunia kesusasteraan yang berpaksikan
faham agama Islam dan keilmuan yang betul? Kekeliruan disiplin ilmu kritikan
sastera ini hanya menimbulkan lagi lingkaran yang ganas seperti yang
diterangkan tadi.
Sejarah dan contoh sastera ilmi.
Konsep yang diutarakan dan dikupas panjang
lebar oleh ilmuan berwibawa berkenaan sastera ilmi bukanlah tertegak atas
lamunan kosong sebaliknya digali dan difahami dengan betul berhubung kait
dengan kekayaan budaya intelektual dan seni menulis ketamadunan Islam yang
wujud sampai hari ini serta telah mempengaruhi ketamadunan manusia baik di
Timur mahupun di Barat.
Contohnya Masnavi yang
merupakan magnum opus ahlli sufi agung, Mawlana Jalaluddin
Rumi merupakan karya sastera ilmi yang paling mendapat sambutan di dunia Barat
berbanding karya-karya penulis Barat yang lain. Tidak kurang juga polemik yang
berlaku terhadap karya sastera ilmi yang disalah tafsir (satu lagi contoh
kehilangan adab) oleh penterjemah Barat seperti The
Essential Rumi yang diterjermah semula oleh Coleman Barks mengikut
acuan “New Age” dan pasca moden telah mengakibatkan makna sebenar
karya agung Jalaluddin Rumi yang sarat dengan faham agama Islam dan ilmu yang
betul, menjadi satu karya yang sarat dengan makna berahi dan nisbi sifatnya.
(Naficy, 2002:1)
Dalam sejarah ketamadunan Islam turut
memuatkan karya sastera ilmi yang sarat dengan pengajaran dan pendidikan aqliah
dan akhlakiah seperti al-Jahiz menulis Kitab al-Bukhala yang
menerangkan kisah-kisah manusia yang tamak dalam bentuk satira. Kisah-kisah
yang dimuatkan dalam karya tersebut sangat berguna untuk pengajian bidang ilmu
psikologi. Karya-karya agung puisi berbentuk qasidah seperti al-Burdah oleh
Imam al-Busiri, Farid al-Din Attar dengan karya Manteq-a-Tayr (Persidangan
Burung) dan Tadhkirat al-Awliya’ (Sejarah Para Awliya’), Shah-namah (Buku
Para Raja) karangan Firdawsi yang menjadi karya syair agung buat sejarah
ketamadunan Parsi, Diwan yang ditulis oleh Hafiz dari Shiraz, Gulistan (Taman
Bunga Ros) dan Bustan (Taman) yang ditulis oleh Sa’di dari
Shiraz juga karya sufi intelektual seperti Kitab al-Hikam oleh
sufi agung Ibn Ata’Allah al-Iskandari, yang mana semua karya tersebut telah
berjaya ditulis dengan “indah dan bermakna” sesuai dengan hakikat ilmu, dan
seni budaya yang didokong oleh tradisi kesusasteraan Islam. Semua ini merupakan
cerminan kepada ruh kesusasteraan Islam yang menekankan konsep keilmuan
daripada sumber al-Quran dan hadith. (Nasr, 1994:107)
Pengaruh sastera ilmi yang digarap
daripada tradisi kesusasteraan Islam juga dapat ditinjau dalam karya-karya
ulama’ Nusantara seperti Hamzah Fansuri yang menulis Sharabu’l Ashiqin (Minuman
Segala Orang yang Asyik) dan Asraru’l Arifin (Rahsia Orang
yang Bijaksana), begitu juga dengan Nuruddin al-Raniri yang menulis karya Bustan
al-Salatin (Taman Para Raja) mirip dengan karya al-Ghazzali yang
bertajuk Nasihat al-Muluk (Nasihat untuk Raja-Raja) begitu
juga Bukhari al-Jauhari yang menulis Taj al-Salatin (Mahkota
Raja-Raja).
Tidak lupa juga karya sastera falsafi
seperti Hayy ibn Yaqzan yang ditulis oleh failasuf Muslim dari
Andalusia, Ibn Tufayl telah menjadi pemangkin kepada revolusi pemikiran
saintifik dan falsafah tamadun Eropah sewaktu abad Pertengahan yang telah
diterjemahkan kepada bahasa latin sebagai Philosophus Autodidactus (Attar,
2007).
Selain daripada karya Ibn Tufayl, Rasa’il Ikhwan al-Safa’ turut
memuatkan kisah falsafah dan sufi di dalamnya. Begitu juga dengan Risale-i
Nur karangan mujaddid Turki abad ke-20, Said
Bediuzzaman Nursi yang mengolah pelbagai tema sentral berkenaan al-Quran
sebagai satu kalam baru dalam berhadapan dengan serangan idea
dan pemikiran falsafah materialis dan ateis.
Contoh sastera ilmi hasil masa kini dapat ditinjau dalam sajak Di
Bawah Selimut karangan Wan Mohd. Nor Wan Daud, di mana beliau
memberikan syarah ke atas karya Sa’di dari Shiraz:
“Muslihuddin Sa’di mengajarkan hikmat padat berisi,
Di bawah selimut semua disangka cantik, menawan hati
Bila selimut diangkat, bila mata jelas
melihat
Ternyata seorang tua tidak langsung memikat!
Justeru itu, kebanyakan pasangan pintar
Lampu syurga duniawi sengaja dipasang
samar
Pipi wanita ditampungi, rongak dan rongga
tak kelihatan
Agar lelaki impian tidak terganggu dalam
keasyikan.
Lama kelamaan lampu akan dinyalakan terang juga
Pipi akan disapu bersih, segala rongga ‘kan terbuka
Ronggak ‘kan ternampak semua
Tidak lagi berpura-pura, meraba-raba
Semuanya akan jelas ketara
Sa’di sesungguhnya bukan membicarakan
selimut kain
Bermaksud lebih mendalam, tentang selimut batin:
Jika ilmu dalam dada tidak seberapa
Tidak dinasihati pula ahli ikhlas,
sederhana
Insan mudah tertipu dengan zahirnya
perkara
Dimangsa sesiapa yang pandai mengatur kata
Yang pintar menukar warna jiwa, mengikut
suasana.”
(Wan Mohd Nor, 2004: 54)
Kesimpulan
Genre sastera ilmi bukanlah sesuatu yang
baru muncul tetapi merupakan penerusan daripada tradisi kesusasteraan Islam yang agung. Gagasan Persuratan Baru merupakan satu usaha murni
yang cuba ‘menyelamatkan’ ruh kesusasteraan Islam daripada ditelan badai
falsafah modeniti dan pasca modeniti agar ianya kembali berpaksikan hakikat
insan dan hakikat ilmu yang selari dengan konsep adab dalam
Islam. Ianya juga sebenarnya merupakan satu usaha proses pengislaman kembali
kesusasteraan Melayu kerana Gagasan Persuratan Baru menekankan kepada faham
ilmu yang benar dan bermanfaat berlandaskan ajaran Islam. (Wan Mohd Nor, 2009)
Maka genre sastera ilmi seharusnya menjadi fokus penting buat
karyawan muda di negara ini dalam usaha memartabatkan kembali dunia persuratan
dan kesusateraan Melayu di samping menjadi pemangkin kepada proses penyuburan
budaya intelektualisme dalam masyarakat.
Bibliografi
Al-Attas ,Syed Muhammad Naquib 1972. Islam dalam Sejarah
dan Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan
Malaysia.
_______. 1973. Risalah untuk Kaum Muslimin,
_______. 1978. Islam and Secularism. Kuala
Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
_______ .1980. The Concept of Education
in Islam: A framework for an Islamic Philosophy of Education. Kuala
Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM.
Attar, Samar 2007. The
Vital Roots of European Enlightenment: Ibn Tufayl's Influence on Modern Western
Thought, Lexington Books.
Gabrieli. F. 1986 Encyclopedia of Islam. Edisi
Baru. Leidden. E.J Brill.
Hodgson. Marshall G.S 1958. The Venture
of Islam: Conscience and History in a World Civilization. Vol. 1 The Classical
Age of Islam. Chicago: The University of Chicago Press.
Mohd. Affandi Hassan 2005. Pendidikan
Estetika daripada Pendekatan Tauhid. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Mohd. Affandi Hassan, Ungku Maimunah Mohd.
Tahir, Mohd. Zariat Abdul Rani 2008. Gagasan Persuratan Bartu:
Pengenalan dan Penerapan. Bangi: Institut Alam dan Tamadun Melayu
(ATMA).
Nasr, Seyyed Hossein 1994. A Young Muslim’s Guide to the Modern World. Kazi Publications.
Naficy, Majid 2002. Coleman Barks
and Rumi’s Donkey yang dimuatkan dalam jurnal “Nameh-ye Kanoon"
vol.15. Iranian Writers' Association in Exile
Wan Mohd Nor Wan Daud 2003. Mutiara
Taman Adabi: Sebuah Puisi mengenai Agama, Filsafat dan Masyarakat. Kota
Bharu: Dian Darulnaim Sdn. Bhd.
_____________________. 2004. Dalam
Terang: Sebuah Puisi mentafsirkan tuntutan Amanah yang diterima Insan serta
Peranan Ilmu dan Akhlak dalam Masyarakat. Petaling Jaya: Tradisi Ilmu Sdn.
Bhd
_____________________. 2006. Masyarakat
Islam Hadhari: Suatu tinjauan Epistemologi dan Kependidikan ke arah Penyatuan
Pemikiran Bangsa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
_____________________.
2009 pesanan mesej ringkas (sms) pada 8 Mei 2009, jam 6.30 petang.
1 ulasan:
Assalamualaikum,
Terima kasih di atas perkongsian kertas kerja ini. Sangat bermanfaat dan mudah difahami oleh saya dan pembaca lain, InshaAllah.
Allah yubarik fik.
Wassalam.
Catat Ulasan