Isnin, 29 Ogos 2011

Apa kata Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang golongan Wahhabi dan Modenis/Reformis







*keseluruhan penjelasan ini dipetik dalam perenggan 60 dan 61, yang termuat dalam bab Masalah Kegentingan Kaum Muslimin: Sebab-sebab Dalaman, dalam adikarya - "Risalah Untuk Kaum Muslimin"  yang beliau tujukan khusus untuk kaum Muslimin di 'Alam Melayuyang telah di-imlak-kan pada tahun 1973.

**frasa yang dihitamkan untuk penegasan adalah daripada saya sendiri.

-------------------------------------------------------------------------------------------

*Perenggan 60*

Meskipun dapat diakui benar bahawa ulama-ulama penggugat seperti ibn Taimiyyah dan beberapa ratus tahun kemudiannya, ibn 'Abd al-Wahhāb, yang bawaannya gemar  mencabar kewibawaan yang sah dan menyamaratakan darjat yang cukup sempurna ke taraf yang kurang sempurna, dalam ajarannya masing-masing tiada mengajurkan perpisahan dari faham bermazhab. Bahkan mereka tetap mengisbatkan ajaran para imam dalam gelanggang Ahluʾl-Sunnah waʾl Jamāʿah, yang berpegang kepada ajaran sunnah dan para Sahabat dan Tabiin dan para Pengikut Tabiin. Akan tetapi kita lihat bagaimana perkembangan pengaruhnya, yang dibantu pula dengan terebutnya kuasa oleh para pengikutnya di negeri Arab lebih kurang dua ratus tahun ini, dan dengan timbulnya aliran baharu di Mesir akibat ajaran al-Afghani dan Muḥammad Abduh, maka semakin terjadi deras aliran yang mengajurkan perpisahan dari ajaran-ajaran ulama lama yang merupakan pelbagai pelita agung yang telah menerangi suasana Umat Islām berabad-abad.

Dengan ajaran al-Afghani dan Abduh mulai menyeludup masuk pengaruh-pengaruh dari jurusan luar yang merupakan sebab-sebab tambahan yang membawa akibat keruntuhan adab di kalangan kita. Meskipun benar tujuannya demi mempertahankan Islām serangan-serangan  Barat, dan maksudnya untuk menyerang-balas kebudayaan dan tamadun Barat dengan senjata-senjata ilmiahnya sendiri, namun demikian senjata-senjata ilmiah olahan Barat yang digunakannya itu demikian halusnya cara-gaya mengelirukan yang mensifatkannya sehingga tiada terdaya pelopor-pelopor aliran baharu itu menguasai serta mengawalnya - kerana kelengkapan ilmiah yang ada pada dirinya memang tiada menyamai taraf mutu yang dimiliki oleh para agung mujtahidin zaman lampau.

Maka akibatnya bukannya kebudayaan dan tamadun Barat yang terkena serang-balas dengan senjata-senjata ilmiahnya sendiri, akan tetapi yang menyalahgunakannyalah yang terkena derita 'senjata makan tuan'.Faham-faham asing yang telah dipupuk ke  dalam pemikirannya kemudian menjadi semakin menerap pada pemikiran para pengiktunya dan antara lainnya dan yang terutama termasuk:

(1) faham keutamaan dan kelebihan akal hayawani, yaʿni reason yang berpuncakan ratio, dalam meneroka kebenaran dan hakikat, dan keutamaan diri hayawani. Ini menimbulkan pula faham:

(2) kebebasan manusia yaʿni diri perseorangan, yang juga cenderung ke arah mengisbatkan diri hayawani, yaʿni freedom dan liberty, untuk menentukan nasibnya sendiri; untuk mengemukakan pendapat serta pandangan sendiri. Ini bernisbah rapat dengan faham:

(3) hak-hak asasi manusia, yaʿni human rights, justeru kerana melindung serta mengukuhkan (1) dan (2) di aas. Kemudian faham:

(4) kesamaan taraf manusia, yaʿni equality dan egalitarianism dalam rangka masharakat dan negara di sisi undang-undang yang direka oleh manusia. Faham-faham seperti ini semua memanglah membayangkan penerimaan faham:

(5) evolusi manusia dan sejarah dan duniannya, yaʿni evolution - gerak-daya tabii yang mendorong ke arah perubahan kepada keadaan yang lebih baik, ke arah kesempurnaan  yang juga senantiasa berubah demi menjelmakan lagi kesempurnaan lain pula terus-menerus. Kemudian dengan pengaruh kemenangan serta kejayaan faham sosialisme di negara-negara Barat, ditambah lagi pula dengan faham:

(6) sosialisme Barat mahupun juga demokrasinya sebagaimana difahamkan dan dikelirukan dengan faham-faham kemasharakatan dan politik Islām oleh setengah daripada golongan cerdik-pandai yang beraliran modenis dan juga yang lainnya.

Pemikiran pelopor-pelopor yang menimbulkan aliran yang digelar 'baharu' itu, dan yang bertujuan untuk memulihkan ajaran Islām kepada kemurnian yang asal, sesungguhnya sudah jauh terkebelakang jikalau diperbandingkan dengan pemikiran pengikutnya golongan yang menda'wa diri sebagai 'modenis'.

Sebenarnya faham-faham yang dikemukakan oleh Abduh mahupun yang lain sebelum zamannya sampai kepada ibn Taimiyyah sendiri tiadalah 'baharu'. Bahawa faham-faham it tu dianggap baharu sudah dengan sendirinya membayangkan pemisahan pengetahuan Kaum Muslimin dari perbendaharaan ilmu ang telah dikumpul-simpan oleh ulama lama yang secara lebih mendalam telah menyelami masalah tafsiran Al-Qurān dan Sunnah dan penyelesaian kekeliruan Kaum Muslimin. Faham-faham itu tampak baharu oleh yang jahil yang tiada sedar tahu bahawa yang disebut baharu itu sudahpun dijelaskan mengikut masalahnya.

Yang benar- baharu dalam faham-faham yang dianjurkan oleh pelopor-peolpor pengikutnya hanyalah yang asing pada Islām yang diseludupkan masuk menyamarinya. Ulama-ulama yang kewibawaannya kurang sempurna, yang menggugat dan menolak-nafikan faham serta ajaran yang lama, dan pelopor pembaharuan serta pengikutnya golongan modenis dan lain-lain yang sealiran dengannya di negeri Arab dan di Asia Barat, Timur dan Tenggara semuanya tiada berhasil mengemukakan faham baharu sendiri yang dapat menggantikan yang lama yang dilaberaknya itu, dan hakikat ini menunjukkan bahawa mereka tiada berkemampuan membimbing Kaum Muslimin ke arah kefahaman dan kehidupan Islam yang sejati. Tanpa berpandukan ajaran ulama  lama dan para imam mujtahidin, tanpa merujuk kepada hasil pemikirannya dan mengamalkan tafsiran agungnya - yang semuanya berdasarkan penerokaan akali dan nakali terhadap Al-Qurʾān dan Sunnah - maka golongan yang beraliran dari ibn Taimiyyah, yang terbahagi kepada golongan ulama yang kurang sempurna kewibawaannya, dan golongan pembaharu yang dipelopori oleh yang menyeludupkan faham-faham asing ke dalam Islām, sesungguhnya tiada berkemampuan untuk menafikan sahnya pelbagai mazhab yang sah, dan mendirikan mazhab baharu yang berdasarkan faham sendiri merujuk terus kepada kedua Sumber Agung Islām itu.

Mereka menuduh ulama-ulama sejati dan para imam mujtahidin telah membekukan dayaciptanya, telah membantutkan akal dan pemikirannya dengan faham taklid - padahal tiada sekali-kali benar tuduhan itu, sedangkan yang benar hanyalah bahawa mereka sendiri yang beku dayaciptanya dan bantut akal serta pemikirannya; dari itu maka tiada mereka berkelayakan untuk berijtihad. Mereka ashik dalam mempersoalkan perkara-perkara remeh, yang menganggapkan seolau-olah para imam mujtahidin itulah yang mempersoalkan keremehan - padahal kekecilan pandangan dan tanggapan mereka sendirilah yang memperlihatkan pada fahamnnya bahawa yang kecil itu besar sehingga yang benar besar itu tiada terlihat langsung!

Mereka telah melakukan jauh lebih banyak kesilapan-kesilapan yang besar pula - dari kesilapan-kesilapan yang terdapat pada yang lama. Dan walaupun mereka jenuh memuja-muja keistimewaan akal nazari sebagai alat utama penerokaan hakikat serta kebenaran, tiada pula satupun di kalangnnya yang melebihi - mahupun mendekati - hasil akal nazari ulama lama yang dikecam dituduhnya konon telah menindas faham kesamaan serta kesealiran atau kesejajaran pencapaian akal nazari itu dengan wahyu. Padahal memang benar bahawa pencapaian akal nazari itu tiada mungkin dapat disamakan dengan wahyu.

*Perenggan 61*

Tiada banyak perbezaan dalam faham-faham dasar serta cara-cara mengemukakan masalah, dan dalam tabiat serta gaya-mutu kefahaman, yang terdapat antara golongan ulama pembaharu yang digelar modenis itu dengan pantarannya golongan ulama sezaman yang berpegang kepada sumber-sumber nakali Islām tanpa mengutamakan faham-faham luar yang bersumberkan pemikiran Barat.Ulama-ulama sezaman ini, yang menyaru sebagai mujtahidin dan juga ingin digelar pembaharu meskipun berpegang kepada sumber-sumber nakali, namun demikian hanya mengakui sah sumber-sumber yang tertentu yang pada akhirnya berpunca jua pada ibn Taimiyyah dan yang bersealiran dengannya. Dan meskipun mereka tiada mahu mengambil faham asing ke dalam pemikirannya, justeru masuk juga ke situ faham asing itu menerusi aliran pemikiran golongan modenis yang mempengaruhinya jua.

Kedua golongan ini - yang modenis dan yang berpegang kepada sumber nakali, yang keduanya mendaʾwa sebagai pembaharu di zaman kita - telah kugabungkan sebagai bersealiran kerana keduanya menarik tauladannya daripada pertuturan yang sama dari kalangan ulama yang kurang sempurna kewibawaannya, yang berkebiasaan menggugat mencabar-kecam serta memperkecilkan ulama agung yang sezaman dengannya, atau yang mendahului zamannya. Semua ini cenderung pada menyamaratakan yang lain, yang sebenarnya melebihinya, nescaya sama taraf dengannya. Mereka berbuat begini dengan tiada menyedari kenyataan bahawa sekalipun di sisi Allāh Taʿālā semua tiada sama dan setaraf.