Selasa, 21 Jun 2011

Rihla Osmanlı İmparatorluğu


Salaam, 

Tinggal lebih kurang 24 jam sebelum saya berangkat ke bumi bersejarah tanah tumpah Osmanlı İmparatorluğu (Khilafah Uthmaniyyah). Jemputan yang agak mengejut kira-kira 2 minggu lepas oleh rakan-rakan Turki (biarpun sebenarnya entah kali ke berapa dijemput oleh mereka) untuk mengikuti rombongan "istimewa" ke tanah air mereka akhirnya saya sambut jua. Lebih mengejutkan, guru İslam Felsefesi saya, Dr. Adi Setia juga ingin turut serta walaupun baru diberitahu lebih kurang seminggu yang lalu.

Ianya "istimewa" kerana rihlah ini bukan saja ingin mengunjungi warisan sejarah Osmanlı tetapi turut sama meninjau para pewaris mereka yang bekerja keras dalam meneruskan risalah da'wah Bediüzzaman Said Nursî, antara gerakan Nurcu yang paling berjaya iaitu Hizmet Fethullah Gülen.

Oleh yang demikian sudah tentu rihlah ini tidak semata "makan angin" kerana persiapan ruhaniyyah, jasmaniyyah dan 'aqliyyah perlu dilakukan oleh kami semua dalam usaha memahami sebanyak mungkin latar sejarah Khilafah Osmanlı, gerakan Nurcu dan Hizmet Gülen agar perjalanan kami di sana kelak bakal memperolehi rahmat ilmu dan pengalaman berharga akan mawdu' tersebut.

Pada awalnya saya bersemangat membaca buku karangan John Freely - Istanbul: The Imperial City tetapi setelah membaca berbab-bab buku tersebut saya berasa agak "loya" kerana terlampau banyak fakta yang berat sebelah akan sejarah Osmanlı (disebut Osman-le). 



Untuk membalas kekecewaan yang terbuku maka pada hari ini saya tetap laburkan kira-kira RM200 untuk membeli dua buah buku yang saya kira dapat membantu saya lebih bersedia untuk berhadapan dengan hakikat sebenar warisan sejarah Osmanlı di Istanbul kelak. Dua buah buku tersebut ialah A Brief History of the Late Ottoman Empire (2008 - baca resensinya disini, sini dan sini) oleh Prof. M. Şükrü Hanioğlu dan Sinan oleh Prof. J.M. Rogers.

Selama hari ini saya agak memandang sepi buku yang dikarang oleh Prof. Hanioğlu itu di Kinokuniya, tetapi hari ini setelah membelek hampir setengah jam saya yakin dan pasti buku itu adalah salah satu permata baru untuk saya miliki dalam usaha memahami dinamika perubahan yang berlaku di hujung usia Khilafah Osmanlı. Ini kerana Prof. Hanioğlu merujuk banyak sumber primer dalam bahasa Osmanlı dan Turki - seterusnya membolehkan beliau mentafsir dan menganalisa persoalan sejarah penghujung Khilafah Osmanlı dari dalam berbanding John Freely yang sarat dengan semangat Romantisisme dan Orientalisme tadi. 

Buku Prof. Hanioğlu itu pada hemat saya mampu melengkapi analisis mapan buku Prof. David Fromkin, A Peace to End All Peace: The Fall of the Ottoman Empire and the Creation of the Modern Middle East (1989 - baca resensinya disini) yang banyak mentafsir dan mengupas saat-saat akhir Khilafah Osmanlı dari luar melalui kajian rekod rasmi British yang telah di buka kepada pengetahuan umum (declassified) akan perancangan mereka merangka latar geopolitik yang kita kenali kini sebagai "Timur Tengah" (Middle East).

Tidak lupa juga buku Prof. Halil Inalcik, The Ottoman Empire: The Classical Age 1300 - 1600 yang sememangnya bersifat autoritatif disamping terjemahan Prof. Leon Carl Brown akan adikarya "Ibn Khaldun abad ke-19" - Khayr al-Din al-Tunisi - bertajuk Aqwam al-Masalik  li Ma'rifat Ahwal al-Mamalik ( The Surest Path to Knowledge Concerning the Conditions of Countries)  yang banyak membetangkan cadangan tanzimat yang lebih intim dengan semangat shari'ah Islamiyyah. Beliau juga merupakan seorang 'amir yang disegani (pernah menjawat banyak jawatan penting dalam Khilafah Osmanlı antaranya sebagai wazir kepada Sultan  Abdülhamid II).

Sudah tentu buku tentang arkitek Agung Osmanlı, Mimar Sinan adalah bacaan wajib sebelum menjenguk hasil binaan beliau yang agung tersebut di Istanbul, Bursa dan Edirne.

Tidak lupa juga karya Prof. Helen Rose Ebaugh, The Gülen Movement: A Sociological Analysis of a Civic Movement Rooted in Moderate Islam (2009 - tonton video temubual beliau disini) yang perlu ditinjau sebanyak mungkin.

Masih banyak lagi yang perlu dibaca. Semoga Allah SWT memberkati rihlah kami dengan ilmu dan pengalaman yang bermanfaat untuk diri dan ummah. Doakan perjalanan pergi dan pulang kami.

Wallahua'lam.
  

Ahad, 19 Jun 2011

Ungku Aziz, minda dan sekularisasi


Salaam,

Saya terpanggil untuk menulis sedikit komentar berkenaan tulisan Dato' Johan Jaaffar tentang Prof. Diraja Ungku Aziz atau lebih senang dikenali sebagai Pak Ungku. Dalam tulisan tersebut saya amat tertarik dengan peng'itirafan Johan Jaaffar ke atas Pak Ungku:
Not surprisingly, too, it was Ungku Aziz who made the word minda (mind) part of the Malay lexicon. No other Malay literary creation explains the Malay mind better than the pantun. For more than 700 years of its existence as part of the Malay oral tradition, the pantun has always been the manifestation of the genius of Malay creativity and a storehouse of the Malay mind.
Tesis ini bukanlah sesuatu yang asing kerana Dr. Lim Kee Hui juga telah membuktikan hujah tersebut dalam tesis PhD Universität Hamburg beliau "Budi as the Malay Mind: A Philosophical Study of Malay Ways of Reasoning and Emotion in Peribahasa".

Apa yang menarik perhatian saya ialah kenyataan bahawa Pak Ungku merupakan ilmuan yang bertanggungjawab memasukkan perkataan "minda" yang amat pasti telah dicedok daripada perkataan Inggeris mind ke dalam korpus Bahasa Melayu seterusnya digunakan secara meluas dalam lapangan ilmu masyarakat kita.

Amat menarik untuk dikaji dan difahami apa motif sebenar yang telah membuatkan Pak Ungku bertindak memasukkan perkataan "minda" - sesuatu yang asing dalam Bahasa Melayu, seterusnya turut sama mempengaruhi Pandangan Alam Islam masyarakat Melayu kerana jikalau kita kaji secara rambang penggunaan perkataan "minda" jauh lebih popular - baik dalam lapangan ilmiah mahupun bukan ilmiah - berbanding perkataan yang lebih intim dan tepat dengan Pandangan Alam Islam dan disalah tafsir oleh mereka yang keliru sebagai satu perkataan yang bersifat "archaic" dan "antiquated", iaitu "akal", atau lebih tepat secara etimologi Bahasa 'Arab-nya - 'aql.

Sudah pasti penggunaan perkataan "minda" secara meluas samada secara khusus dalam erti kata sebagai satu konsep teknikal sesebuah lapangan ilmu atau sekadar secara longgar bagi merujuk kepada persoalan "pemikiran", telah sedikit sebanyak menenggelamkan peranan dan kedudukan perkataan "akal" dalam wacana ilmiah zaman ini khususnya dalam perbahasa ilmu jiwa (psikologi) yang sememangnya sarat dengan faham-faham ilmu jiwa Barat baik Freud, Jung atau Adler dan tidak lupa juga kini bidang ilmu sains neuro (neuroscience) yang semakin mendapat tempat untuk menjadi penafsir tentang fakulti pemikiran insan. 


Tidak lupa juga kesan limpahan daripada penggunaan kata dasar asing sebegini telah menerbitkan dan mengukuhkan lagi hujah "minda tertawan" yang sering kali menjadi kritikan oleh Prof. Syed Husein Alatas seperti yang beliau jelaskan dalam The Myth of Lazy Natives: A Study of the Image of the Malays, Filipinos and Javanese from the 16th to the 20th Century and Its Function in the Ideology of Colonial Capitalism (1977) dan paling sengit dalam radd beliau ke atas buku Revolusi Mental (1973) melalui karya Siapa yang Salah: Sekitar Revolusi Mental dan Peribadi Melayu (1974) dimana dalam kritikan-kritikan tersebut, Prof. Alatas memperlihatkan kita akan kebobrokan pemikiran pemikir Melayu pada waktu itu yang meneruskan lagi hujah-hujah yang sering didendangkan oleh penjajah terdahulu seperti Stamford Raffles dan lain-lain. Sudah tentu semua ini tidak akan berhasil tanpa wujud-nya kata-kata dasar yang asing bagi melatari hujah-hujah tersebut seterusnya cuba diangkat menjadi satu hakikat sejarah dan masani berkenaan orang Melayu. Arus pemikiran ini akhirnya mencambahkan suasana 'ilmiyyah (intellectual atmosphere) yang menjurus kepada penerbitan dasar-dasar pincang, sekular yang mungkin Pak Ungku sendiri mempunyai "saham intelektual" di dalamnya (paling jelas buku Revolusi Mental itu sendiri.)* 

Walaupun mahaguru 'ilm al-kalam Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas tidak menjelaskan perihal mind dengan jelas dalam adikarya beliau Islam & Secularism (1978) tetapi beliau telah menerangkan dengan jelas kekeliruan yang timbul dalam sistem pemikiran Barat berhubung dengan pendua-an (dualism) yang timbul dalam teologi Kristian berkenaan kedudukan intellectus dan ratio yang telah mencapai kemuncak melalui penyatuaan Thomistik (Thomistic Synthesis) hasil arus deras faham Aristotelianisme pada abad ke-13 masihi oleh pemikir besar Katolik, St. Thomas Aquinas. Seperti yang kita tahu, dengan meresap masuk faham Aristotelianisme ke dalam teologi Katolik, ianya telah membuka ruang sekularisasi yang maha dahsyat seperti yang terakam dalam pelbagai peristiwa getir dalam sejarah 'aqliyyah tamaddun Barat khusus pada era yang mereka sendiri gelarkan Zaman Gelap (Dark Ages) dan Zaman Pertengahan (Middle Ages). (Sila rujuk bab ke-3, "Secular-Secularization-Secularism" dalam adikarya Prof. Al-Attas, Islam & Secularism )

Mungkin bagi orang kebanyakkan, polemik samada perkataan "minda" itu salah atau benar bukanlah sesuatu yang perlu mereka renungkan sedalam mungkin tetapi buat para insan yang mengerti kepentingan memelihara konsep dasar dalam Pandangan Alam Islam, ianya wajar diberi perhatian yang serius kerana Prof. Al-Attas telah menjelaskan dengan panjang lebar dalam ucaptama beliau di Persidangan Antarabangsa Ulung Pendidikan Kaum Muslimin di Jeddah, Arab Saudi pada tahun 1977 akan jalinan mesra konsep-konsep dasar seperti 'aql, adab, 'ilm, nutq etc. bagi men-tajdid-kan kembali faham pendidikan dalam Islam yang telah dirobek oleh faham sekularisme saban hari ini.

Perkara ini membuatkan saya terpanggil untuk melontarkan soalan, khususnya kepada diri saya dan insan-insan yang yang sedang menggeluti mawdu' pemikiran Prof. Al-Attas bahawa apakah Pak Ungku, samada beliau sedar ataupun tidak, merupakan salah satu agen sekularisasi di Tanah Melayu ini?

Persoalan ini boleh saja berpotensi untuk dijadikan tesis PhD agar kita dapat fahami asal usul seperti apa yang Prof. Al-Attas acap kali tekankan masalah "kekeliruan dan kesalah-fahaman ilmu" (confusion and error in knowledge) seterusnya melahirkan masalah kehilangan adab yang akhirnya menimbulkan kitaran ganas kejahilan yang sampai kini masih membelenggu kaum Muslimin.

Pak Ungku bukan ilmuan kecil. Sumbangan beliau bukan sedikit malah cukup bermakna buat rakyat Malaysia khususnya orang Melayu seperti contoh dengan pembentukkan Dewan Bahasa dan Pustaka, Tabung Haji dan ANGKASA. Sudah pasti juga banyak dasar negara  kita ini pernah mendapat sentuhan dasar daripada buah fikiran beliau. Tetapi apakah tidak mustahil beliau yang secara umumnya diketahui amat intim dengan pemikiran Barat, tanpa sedar ataupun tidak, telah membuat kesilapan dalam perkara-perkara asasi khusus berkaitan dengan Pandangan Alam Islam?

Saya tiada jawapan yang menyeluruh tetapi jikalau kita kaji tulisan Johan Jaffar di atas juga dengan membaca beberapa temu bual yang terdapat di sini, sini dan sini, bagi pembaca yang sudah biasa dengan kerangka pemikiran Prof. Al-Attas pasti mampu menilai secara kritis berhubung dengan "jalur" dan "cara-gaya" pemikiran Pak Ungku yang berbau ke-Barat-an dan sekular (dalam erti kata ta'rif yang Prof. Al-Attas jelaskan panjang lebar dalam Islam & Secularism).

Saya fikir sudah sampai masanya kita kaji pemikiran Pak Ungku secara kritis untuk memahami sumbangan beliau samada baik atau buruk agar dapat kita ketemui apakah tajuk penulisan saya ini masih perlu diakhiri dengan tanda soal ataupun noktah.

Saya alu-alukan sebarang komen 'ilmiyyah dalam usaha untuk menjelaskan kekaburan yang wujud dalam mawdu' ini.

Wallahu'alam.


Nota tambahan

*Untuk memahami latar hujah ini, sila rujuk karya Prof. Alparslan Acikgenc dalam Islamic Science: Towards a Definition(1996) berkaitan scientific conceptual scheme juga makalah beliau "The Environmental Context for the Advancement of Sciences", Islamic Studies edisi 39 (2000)


Baca juga komentar tentang ucaptama Prof. Al-Attas bertajuk "Some Reflections on the Philosophical Aspects of Iqbal's Thought" yang mengkritik beberapa ketidak-cermatan Allama Iqbal dan golongan yang keliru akan pemikiran Allama Iqbal yang sebenar.


Juga rujuk kupasan Zainal Abidin Baqir tentang kritikan Prof. Fazlur Rahman dan Prof. Al-Attas terhadap gagasan "Reconstruction" Iqbal dalam makalah beliau "Iqbal's Method of Reconstruction"


Semua rujukan ini membuka vista baru untuk memahami polemik Ungku Aziz di atas.

Kemas kini, 21 Mac 2013

Seperti dijelaskan Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam syarahan Saturday Night Lecture bertarikh 24 November 2012, perkataan "mind" boleh dan lebih tepat di sandarkan kepada perkataan "zihin" (dhihn - ذهن) yang telah saban hari digunakan oleh para ʿulamāʾ Melayu dalam banyak karya-karya mereka khusus dalam kitab kitab kuning yang diajar di pondok-pondok. 

Dalam Tāj al-ʿArūs min Jawāhīr al-Qāmūs karangan Shaykh Murtaḍā al-Zabīdī (terkenal dengan kitab Itḥāf al-Sādah al-Muttaqīn bi-sharḥ Iḥyāʼ ʻUlūm al-Dīn syarah ke atas magnum opus Imām al-Ghazālī), - dhihn boleh diertikan sebagai kefahaman (al-fahmu) dan juga aqal (al-ʿaql). Ianya dijelaskan sebagai satu fakulti (quwwah) yang wujud dalam diri insan yang berfungsi untuk mencerap ilmu (iktisābi'l-ʿulūm) juga merangkumi dan berfungsi sebagai saluran zahir dan batin (tashmalu al-ḥawās al-ẓāhīrah wa'l-bāṭinah- ya'ni indera zahir (external senses) dan indera batin (internal senses). 

Indera zahir yang lima (al-ḥawās al-khamsah/al-ḥiss al-khārij) terdiri daripada deria sentuh, pendengaran, penglihatan, bau dan rasa. Indera batin seperti ‘sensus communis’ (al-ḥiss al-mushtarak), kuasa penggambaran (al-quwwah al-khayāliyyah), kuasa pertimbangan (al-quwwah al-waḥmiyyah), kuasa peringatan (al-quwwah al-ḥāfiẓah), kuasa cita-reka (al-quwwah al-mutakhayyilah atau al-mufakkirah).


Kekuatannya adalah berupa satu kecerdasan (al-dhakāʾ) dan kemampuan untuk merumuskan faham (conceptualizing - taṣawwur) terhadap sesuatu benda/perkara yang terpamer padanya (mā yaridu ʿalayhā)  dan kemampuannya untuk membanding-beda (discernment - al-faṭanah).

Untuk huraian yang lebih terpadu lagi autoritatif, rujuk karya Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam Prolegomena to The Metaphysics of Islām dalam bab Nature of Man and Psychology of Human Soul.