Ahad, 20 Februari 2011

Seyyed Hosein Nasr and Sayyid Qutb once met at Harvard...

 “Or take those commentaries that come from a Salafi background, such as the commentary of Sayyid Qutb and people like that. There are some interesting things in those works but also a sense of anger and a very shallow understanding of West and even of much the Qur’an itself. When Sayyid Qutb came to America I was at Harvard, president of the Harvard Islamic Society; we met and spent several days together. He was interested in learning about the West, but the poor man did not have the intellectual preparation to understand what was really going on intellectually in the West. So his analysis of the West was to a large extent superficial, looking critically at girls’ dress and boy and girls talking together in cafes. It was reduced to a critique along those lines. Today we have all sorts of modern and “fundamentalist” commentaries that I do not consider to be relevant in terms of what I am talking about here.” 

- page. 122, “Muslim and Western Studies of the Qur’an: The Qur’an in the Contemporary World” Muzzafar Iqbal interviewed Seyyed Hosein Nasr. Islam & Science journal, volume 8, no. 2, Winter 2010.

Sabtu, 5 Februari 2011

Akar masalah lanun Somalia



Peta lokasi perairan Somalia yang diracuni sisa toksik haram (sumber: sailanmuslim.com)


Oleh Rausyanfikir

Kejayaan Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia yang telah berjaya menyelamatkan 23 krew kapal dan merampas semula kapal tangki kimia Malaysia yang dirampas oleh lanun di perairan Teluk Aden, Somalia, minggu lalu wajar diberi penghargaan. Seperti yang kita ketahui, insiden ini bukanlah yang pertama kali berlaku malah hampir ke semua kapal yang melalui Teluk Eden telah menerima nasib yang sama semenjak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sayang sekali, acap kali media massa memaparkan berita sebegini, yang menjadi fokus utama ialah anggota penyelamat dan mangsa. Perkara lanjut berkenaan kumpulan lanun itu seolah-olah tiada menjadi persoalan penting untuk kita kaji dan fahami mengapa mereka berani mempertaruhkan nyawa biarpun berkali-kali ditangkap, dan sesetengah daripada mereka terbunuh dalam insiden-insiden tersebut.

Realiti yang menyelubungi Teluk Eden adalah jauh lebih teruk berbanding insiden rompakan tersebut. Seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Al-Jazeera pada tahun 2008, sekumpulan lanun menuduh konglomerat-konglomerat Eropah telah membuang sisa toksik di perairan Somalia dan meminta sejumlah wang tebusan untuk membiayai kos pembersihan sisa toksik di kawasan itu. Januna Ali Jama, wakil daripada kumpulan lanun tersebut menjelaskan bahawa tindakan mereka meminta wang tebusan bertitik tolak daripada “reaksi kesinambungan aktiviti pembuangan sisa toksik secara berleluasa di perairan Somalia yang telah berlaku hampir 20 tahun”

Biarpun objektif utama insiden rampasan kapal-kapal itu amat berkait kepada faktor wang, dakwaan kumpulan lanun berkenaan malapetaka alam sekitar berupa pembuangan sisa toksik haram di sekitar perairan Somalia acap kali tidak dipedulikan oleh pihak berkuasa maritim di sekitar kawasan tersebut.

Wakil Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Somalia, Ahmedou Ould-Abdallah, dalam wawancara bersama Al-Jazeera telah mengesahkan maklumat berkenaan kongolmerat-konglomerat dari Eropah dan Asia telah membuang sisa toksik mereka secara haram di sekitar perairan Somalia. Kata beliau lagi, bahawasanya jenayah ini tidak mendapat sebarang sokongan daripada negara-negara dunia sebaliknya merupakan tindakan peribadi oleh konglomerat-konglomerat tersebut.

Bukti jenayah ini makin terserlah apabila tsunami berlaku ke atas perairan utara Somalia pada tahun 2004 di mana banyak bekas simpanan sisa toksik yang sudah berkarat tersadai di pantai Puntland. Menurut Nick Nuttall, wakil Program Alam Sekitar PBB (UNEP), ombak besar daripada tsunami telah memecahkan bekas-bekas simpanan sisa toksik tersebut sehingga tertumpah keluar ke dalam perairan dan juga telah merebak hinnga ke persisiran pantai Puntland.

Jenayah ini amat senang dilakukan kerana keadaan negara Somalia sebagai “negara gagal” (failed state) akibat perang saudara yang berpanjangan semenjak 1990-an lagi telah membuka ruang yang luas untuk konglomerat-konglomerat luar menjadikan Somalia sebagai tempat pembuangan sisa toksik yang utama atas faktor kos yang rendah. Dikatakan kos pelupusan satu tan sisa toksik di Somalia hampir 1000 kali lebih rendah berbanding kos pelupusan sisa toksik di Eropah yang menelan belanja hampir 1000 USD bagi setiap satu tan.

Menurut Nutall, sisa toksik yang dibuang terdiri daripada pelbagai jenis bahan kimia dan radioaktif yang berbahaya. Uranium, merkuri, kadmium, sisa buangan industri malah sisa buangan dari hospital juga turut ditemui di sekitar perairan Somalia. Dampak pembuangan terbuka ini telah mengakibatkan banyak warga Somalia yang hidup berhampiran kawasan pembuangan tersebut mengalami pendarahan mulut dan usus, sakit kulit yang serius serta penyakit lain yang tidak pernah dialami oleh mereka sebelum berlakunya pembuangan sisa toksik secara haram ini. Lebih parah, sisa radiokatif seperti uranium sememangnya mengundang maut yang pasti buat warga Somalia dan juga kawasan laut yang merupakan sumber pendapatan utama mereka selama ini.

Jenayah haram ini turut mendapat bantuan daripada menteri-menteri kerajaan peralihan persekutan (transitional federal government) Somalia yang korup, di mana konglomerat-konglomerat tersebut telah membayar mereka untuk melakukan kerja-kerja terkutuk ini. Struktur pemantauan kerajaan transisi yang lemah kerana perang saudara yang berpanjangan serta birokrasi kerajaan yang terdiri daripada banyak suku bangsa telah memburukkan lagi situasi ini. Adakalanya konglomerat-konglomerat tersebut mengambil peluang untuk terus saja membuang sisa toksik tersebut tanpa melalui sebarang semakan daripada kerajaan peralihan Somalia.

Pada tahun 1992, dikatakan satu kontrak untuk pelupusan sisa toksik telah ditandatangani antara syarikat perkapalan Itali dan Switzerland, iaitu Progresso dan Achair Partners dengan Nur Elmi Osman yang merupakan wakil kerajaan Ali Mahdi Mohamed, salah seorang ketua pemberontak yang telah menggulingkan Mohamed Siad Barre, mantan presiden Somalia. Atas permohonan kerajaan Itali dan Switzerland, UNEP telah melakukan siasatan ke atas syarikat-syarikat itu tetapi telah disangkal keras oleh mereka begitu juga Osman berhubung kewujudan kontrak tersebut.

Menurut Mustafa Tolba, mantan Pengurus Eksekutif UNEP, telah memberitahu Al Jazeera bahawa beliau telah menyiasat akan penubuhan syarikat-syarikat “palsu” yang ditubuhkan oleh konglomerat-konglomerat industri untuk menguruskan kerja-kerja pelupusan sisa toksik.

“Pada waktu itu, kami berasa seperti sedang berurusan dengan kumpulan mafia atau kumpulan jenayah yang terancang, yang berkemungkinan besar berkerja untuk konglomerat-konglomerat tersebut” tambah beliau lagi.

Dikatakan mafia Itali menguasai hampir 30 peratus syarikat-syarikat yang menguruskan sisa buangan di seluruh Itali, termasuklah sisa buangan toksik daripada industri. Pada tahun 1998, majalah mingguan Itali beranama Famiglia Cristiana telah melaporkan bahawa aktiviti pembuangan sisa toksik di Somalia ini bermula jauh lebih awal sebelum perang saudara tahun 1991 tercetus, seawall 1989 sewaktu pemerintahan Presiden Barre.

Jika tuduhan ke atas syarikat-syarikat Itali dan Switzerland itu disabitkan bersalah, ianya bakal mengundang padah kerana telah melanggar perjanjian antarabangsa yang telah ditandatangani oleh Itali dan Switzerland begitu juga negara-negara Kesatuan Eropah (EU) dan 168 negara lain dalam Konvensyen Basel perihal kawalan pergerakan sisa toksik trans-sempadan yang telah berkuat kuasa mulai tahun 1992.

Konvensyen tersebut melarang sebarang pertukaran/perdagangan sisa buangan antara negara-negara yang telah menandatangani konvensyen tersebut dan juga dengan negara-negara yang tidak menandatangani kovensyen tersebut melainkan ianya dilakukan melalui perjanjian dua-hala antara negara yang membuang dan yang menerima sisa buangan tersebut. Turut sama ditegah sama sekali dalam kovensyen tersebut ialah pelupusan sisa buangan di kawasan perang.

Kisah ini masih lagi tidak mendapat perhatian dan tindakan yang wajar oleh pihak maritim bagi negara-negara di sekitar Teluk Aden. Semua ini seperti menuang minyak ke atas api bagi rakyat Somalia yang tersepit sekian lama dengan kegagalan kerajaan mereka, kini ditambah pula dengan kerakusan konglomerat luar negara yang mengambil kesempatan untuk melakukan kerja-kerja terkutuk melalui pembuangan sisa toksik secara haram. Sisi gelap ini wajar diambil peduli oleh negara kita dan juga Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) agar nasib yang sama tidak berulang di negara-negara umat Islam yang masih dilanda pelbagai krisis politik dan alam sekitar.

Tersiar dalam akhbar 'Kabar' edisi 1-14 Februari 2011




Video daripada Al-Jazeera: