Isnin, 14 November 2011

Yang kecil diperbesarkan, yang besar diperkecilkan. Inilah masalah keruntuhan adab dan terhijabnya kamu pada Al-Attas



Setelah lama aku bersuhbah dengan anak-anak murid beliau, sedikit-demi sedikit banyak sekali aku pelajari yang tiada tertera dalam karya-karya Al-Attas. Antara kemulian mahaguru ini yang melayakkan beliau bergelar mujaddid abad ini ialah kerana beliau bukan sahaja telah memperjelaskan segala perkara yang kabur berhubung mawdu' asas pandangan alam Islam ('aqidah) malah sepanjang hidup beliau sendiri telah meng'amalkan segala yang ditulis dan diucapkan. Dan antara ciri-ciri kewalian itu ialah istiqamah. Tiada dapat dinafikan tatkala orang lain ditaburi pangkat dan harta, pengaruh dan nama, Al-Attas tetap Al-Attas. Keutuhan ilmu dan 'amal tiada tolok bandingnya menjadi qudwah hasanah kepada generasi selepasnya.

Suka disini aku ingin mempertahankan mahaguru nan hebat ini daripada cemuhan dan fitnah kekeliruan yang dihamburkan kepada khalayak antaranya sering berbunyi Al-Attas hanya pandai menulis dalam Bahasa Inggeris, yang akhirnya menjadikan ideanya elit dan tidak me"rakyat" maka beliau tidak layak, sumbing untuk diangkat menjadi mujaddid dan lain-lain.

Untuk insan-insan seperti ini aku boleh maafkan jikalau mereka bertanya dengan husn dhann tetapi kalau acap kali masih melaungkan kritikan picisan yang tidak dibantu dengan kesabaran penelitian, harus saja ditempelak secara 'ilmiyyah agar lebih berhati-hati menilai sebelum mengukur baju di badan sendiri.

Balik kepada isu yang dibangkitkan. Apa hal Al-Attas menulis dalam Bahasa Inggeris lebih banyak daripada Bahasa Melayu? Apakah Al-Attas bodoh benar dalam memahami kepentingan Bahasa Melayu? Tidak logik langsung buat Al-Attas yang mengemukakan teori Bahasa Melayu sebagai Bahasa Islami, yang mengkaji karya nan agung Bahasa Melayu ciptaan Fansuri dan Raniri boleh menyepi saja terhadap Bahasa Melayu?

Aku malas menjawab secara panjang lebar sebab Al-Attas sendiri telah menjawabnya secara terang dan ringkas dalam prakata Risalah Untuk Kaum Muslimin muka surat (x). Keseluruhan muka surat itu kalau dibaca dengan TELITI dan penuh SABAR lagi HUSN DHANN maka tiada akan mereka itu bercakap sumbing terhadap Al-Attas dalam hal ini.

Walaubagaimanapun aku ingin mensyarahkan lagi untuk memuaskan hati dan aqli semua pihak yang masih kabur dan lebih teruk MALAS untuk berfikir lagi bertanya secara tepat lagi bersabar akan dalam memahami SIAPA ITU AL-ATTAS.

Bagi yang ikhlas dan yang sudah melakukan kerja rumah dengna baik, bukan sekadar membaca malah mujahadah bertemu dan berbincang dengan anak-anak muridnya, akan tersingkap jawapan-jawapan murni akan hakikat polemik yang ditimbulkan tidak sudah ini.

Kalian harus tahu cara-gaya dan isi kandungan Al-Attas menulis dalam Bahasa Inggeris itu tampak SAMA tetapi TIDAK SERUPA jua dalam Bahasa Melayu. Biarpun Risalah Untuk Kaum Muslimin itu "ibu" kepada Islam & Secularism, ada banyak jua perkara yang tiada sama diungkap dalam kedua-duanya. 

Melalui pembacaan diriku ini berserta perbincangan rapi dengan anak-anak muridnya, Risalah ditulis memang berhajat untuk ditujukan khusus kepada kaum Muslimin yang susur galur akliahnya tertayang pandangan alam-nya yang terbentuk melalui sibghah Bahasa Melayu yang menjalar ke peringkat budaya dan sejarah mereka jua.

Berbanding pula dengan Islam & Secularism yang ditulis dalam Bahasa Inggeris dan ditujukan KHAS kepada ANAK MUDA lebih bersifat 'alami (universal) lagi padat sifatnya.

Pada hemat aku, Al-Attas lebih banyak menulis dalam Bahasa Inggeris perihal mawdu' yang susur galurnya memang berasal usul daripada Ketamadunan Barat itu sendiri. Aku terkesan dengan ini melalui penaakulan aku terhadap penggunaan beberapa frasa dan perkataan yang tiada mampu terungkap dalam Bahasa Melayu itu sendiri seperti "Parmenidian" yang termuncul dalam bab pertama Islam & Secularism. Aku berasa Al-Attas memang sengaja menulis begitu dalam Bahasa Inggeris dan ditujukan kepada ANAK MUDA YANG LAYAK dan SUDAH BERSEDIA memahami RANAH PEMIKIRAN BARAT ITU MELALUI PINTU MASUK LOHONG AKLIAHNYA SENDIRI ya'ni daripada ranah sejarah budaya-bahasa-nya sendiri, melalui latar bahasa Ketamadunan Barat yang paling berpengaruh dan 'atiq (matured) sifatnya dalam bicara hal tersebut: Bahasa Inggeris. 

Islam & Secularism ditulis dengan PADAT agar MASALAH dan PENYELESAIAN AWAL yang ditujukan dalamnya lebih MUDAH DIHADAM OLEH ANAK MUDA yang sudah memenuhi persedian awal tersebut. Ianya lebih MUDAH diungkapkan dalam Bahasa Inggeris dalam mana hendak dikupas semula permasalahan Ketamadunan Barat itu sendiri. Cuba kalian fikirkan, satu contoh dalam Islam & Secularism, apakah cara-gaya untuk dijelaskan konsep "Parmenidian" itu secara TEPAT dalam Bahasa Melayu?

Islam & Secularism ditulis dalam Bahasa Inggeris bukan ditujukan hanya kepada da'ie kaum Muslimin yang mencari Pencerahan daripada Tradisi Keilmuan Islam malah juga ditujukan kepada golongan sekular Muslimin yang semakin bercambah di merata dunia Islam pada awal 70-an hingga kini agar mereka sedar bahawa apa yang mereka percaya dan agungkan itu adalah tidak senada dengan Pandangan Alam Islam. Aku teringat perihal ini bila anak-anak murid Al-Attas menceritakan kepada aku bagaimana Al-Attas sengaja menjemput Prof. Aziz Al-Azmeh ke ISTAC dalam satu persidangan untuk menunjuk dan mengajar kepada anak-anak murid beliau akan seorang Arab-Muslim Sekular yang mana adab terhadap bahasanya sendiri itu sudah puput dimamah wabak sekularisasi. Golongan ilmuan Muslim yang sekular sebegini hanya akan memandang "regunya" bilamana bahasa yang diungkapkan itu bertepatan degan acuan yang menjadi teras penilaiannya. Ini jua boleh kau fahami jikalau direnungi kisah mengapa Ibn Sina yang berbangsa Parsi itu menulis dengan banyak sekali dalam lingua franca Islami: Arab, walaupun beliau sering dicemuh kerana Bahasa Arabnya itu bersifat kurang kemas. Harus kau ingat bahawa Bangsa Parsi itu bangsa yang berjiwa besar, tiada takut akan bangsa-bangsa lain tetapi kerana Islam mereka tetap tunduk kepada Bahasa Al-Qur'an jua. 

Lain pula Risalah yang ditulis dengan penuh intim, bersifat 'imlak yang sudah tentu jua didaktik kepada anak bangsanya sendiri. Malah daripada situ jua Al-Attas sudah mula merencanakan idea-idea besar berhubung asas-asas penting negara-bangsa Malaysia ini seperti konsep Perpaduan Nasional, Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang menjadi teras kepada dasar-dasar negara ini dahulunya. Apakah bukti-bukti ini tidak cukup untuk meleburkan terus dakwaan-dakwaan tidak cermat oleh kalian kepada beliau yang kononnya tidak mencintai dan menghargai Bahasa Melayu?

Apa yang aku hujahkan ini mungkin hanyalah sekelumit daripada jawapan-jawapan lain yang lebih 'arif dijawab oleh anak-anak murid beliau sendiri yang lebih intim dan telah lama suhbah secara istiqamah tatkala masa senang dan susah memperjuangkan yang haqq dan menentang yang batil. 

Aku tidak hairan langsung dengan dakwaan kalian yang mengangkat pemikir-pemikir palsu yang ilmu fard 'ayn-nya baru setahun jagung nan keliru-selirat untuk bercakap dan bicara sesuatu yang hakikat dan ma'rifat dalam Bahasa Melayu yang Ibundanya itu. Ini kerana insan-insan beginilah seperti pepatah Melayu yang berbunyi "seperti tikus membaiki labu" dimana mereka merobek-robek Bahasa Melayu menjadi bahasa penyebaran dakyah wabak sekularisasi yang pada hakikatnya merupakan musuh kepada Bahasa Melayu itu sendiri.

Nasihat aku mudah: ikhlaskan diri dan kenali siapa ahl-ma'rifat melalui pintu zahir dan batin yang betul. Jangan diperbesarkan perkara yang kecil sehingga mengecilkan perkara yang besar nan pasti kau tiada mampu menghargai dan meletakkan Al-Attas pada tempat yang sewajarnya dan tempat yang sewajarnya itu hanya akan tersingkap buat insan-insan yang sudah bersedia lagi ikhlas dalam hendak memahami obor tajdid yang dibawa Al-Attas dan ulama' terdahulu, masani yang berpaksikan Al-Qur'an dan Sunnah Baginda Rasulullah s.a.w berserta tafsiran para awliya' dan mujaddidun yang telah lama meninggalkan amanah dan hikmah kepada bangsa yang bernama Melayu ini.

Wallahua'lam.

22 Oktober 2011.
1.20 pagi.

WAF

1 ulasan:

Sheena berkata...

Ya. saya juga sedang menghabiskan pembacaan buku risalah kaum muslimin. walaupun baru setahun mengenali Al-Attas melalui kelas prof Z Uthman, terasa begitu addicted dgn karya2 beliau yg telah berjaya saya miliki walaupun hanya suku daripadanya.
rakan fb - Am. Ha.