Sabtu, 25 Disember 2010

Belajar Cara Belajar Tradisi


Salaam,

Bagi mana-mana pembaca yang hadir ke kuliah Dr. Afifi al-Akiti semalam di UIA, jelas perkara utama yang beliau kongsi berkaitan mawdu' belajar cara belajar. Sememangnya kuliah yang beliau sampaikan amat menarik dan mengajak kita untuk terus tekun melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu alat seperti yang tersusun rapi dalam sistem pendidikan tradisi dalam Islam.

Apa yang Dr. Afifi katakan sebenarnya turut sama menjadi wacana hebat di dunia Barat.

Kalau dahulu di Amerika Syarikat kita ada sosok seperti Mortimer Adler dan Charles Van Doren yang gigih cuba menyegarkan kembali karya-karya agung dunia Barat melalui siri The Great Books of Western World, untuk memenuhi keperluan terpenting dalam mendidik sang pelajar iaitu "belajar cara belajar".

Lebih awal daripada itu, Dorothy Sayers, seorang penulis sastera dan pengkaji sejarah Zaman Tengah (Middle Age) Eropah yang rapat dengan pakar sejarah Zaman Tengah dan klasik seperti C.S Lewis (Narnia) dan JRR Tolkien ( Lords of the Rings) telah menyampaikan satu syarahan bertajuk "The Lost Tools of Learning" di Oxford pada tahun 1947.

Mawdu' utama yang dibicarakan oleh Sayers adalah berkenaan kepentingan yang teramat pada konsep trivium, falsafah pendidikan Zaman Tengah warisan Yunani yang merangkumi grammar (tatabahasa/ nahw wa sarf), logic (mantik) dan rhetoric (seni penyampaian/ balaghah).

Dalam syarahan tersebut, Sayers menekankan betapa pentingnya kita mendidik kanak-kanak "belajar cara belajar" melalui cara-gaya kurikulum asas Zaman Tengah kerana pada masani ya'ni zaman moden ini, pelajar diajar pelbagai mawdu' yang menarik KECUALI mawdu' cara belajar.

Usaha menggiatkan kembali gerakan manhaj pendidikan klasik di kalangan kaum Muslimin di Barat didokong hebat oleh Shaykh Hamza Yusuf bersama kakak-nya, Nabila Hanson melalui Kinza Academy.

Amatlah disarankan para pembaca budiman untuk membaca syarahan Dorothy Sayers di atas berserta menonton video syarahan Shaykh Hamza Yusuf di bawah dalam usaha memahami krisis pendidikan masani berserta penyelesaiannya:



Usaha sebegini masih terus wujud biarpun bersaing hebat dengan pendidikan sebagai mesin cetak tenaga manusia,  cuba dibangunkan atas manhaj pendidikan klasik baik dalam tradisi ketamadunan Barat, seperti yang ditonjolkan oleh Adler, Van Doren, Sayers dan lain-lain, mahupun dalam tradisi ketamadunan Islam seperti yang sedia ada di seluruh pelusuk dunia Islam, juga gabungan kreatif yang pernah wujud di ISTAC zaman Prof. Al-Attas dan Kinza Academy di bawah dokongan Shaykh Hamza Yusuf dan Nabil Hanson.


Semoga mendapat manfaat!


P/S: Entri akan datang saya akan cuba kongsi sedikit muhasabah daripada hiatus yang panjang ini.