Khamis, 29 Julai 2010

Isu ESQ: Siapa yang betul?





oleh: Md Asham Ahmad

Laporan akhbar  Sinar Harian bertarikh 8 Jun 2009 memetik kenyataan Mufti Perak, TanSri Harussani Zakaria bahawa kursus ESQ 165 tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh diteruskan dalam usaha membentuk modal insan demi pembangunan negara. Kira-kira setahun kemudian (10 Jun 2010) Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hj. Wan Zahidi Wan The mengeluarkan fatwa bahawa “ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh ESQ Leadership Training anjuran Ary Ginanjar Agustian dan apa-apa ajaran yang seumpama dengnnya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam kerana mengandungi ajaran-ajaran yang boleh merosakkan akidah dan syariah Islam.”

Pastinya masyarakat umum akan tertanya-tanya: siapa yang betul? Mufti WP atau Mufti Perak?

Mereka bertanya kerana mereka mahu mengikut pandangan yang betul, dan mereka percaya tidak semua pandangan itu betul. Ini adalah sikap yang waras dan wajar. Orang yang tidak tahu mesti bertanya kepada orang yang tahu. Inilah ajaran Islam. Namun apabila dua pihak yang pada pandangan orang awam pastinya cukup berwibawa untuk memberikan pandangan yang betul untuk diikuti oleh masyarakat mengeluarkan pandangan yang saling bertentangan pastilah mereka terkeliru. Sekarang siapa yang lebih betul? Dan siapa pula akan menentukan siapa yang lebih betul itu? 

Pada zaman di mana masyarakat begitu terdedah kepada berbagai-bagai sumber maklumat dan pendapat keadaan ini amatlah menyulitkan. Zaman ini tidak mengiktiraf perbezaan antara ‘ilmu’ dan ‘pendapat’. Apa yang dikatakan ‘benar’ atau ‘salah’, ‘baik’ atau ‘buruk’ hanyalah pendapat-pendapat peribadi yang bernisbah (relatif) kepada masa, tempat, kepentingan bangsa dan masyarakat tertentu. Inilah akidah semasa. Golongan yang berpegang kepada akidah ini akan cepat menunjukkan perbezaan pandangan mufti di atas sebagai bukti kebenaran akidah mereka, dan mereka akan menegaskan bahawa agama juga tertakluk kepada akidah berkenaan.

Cara berfikir yang sedemikian sudah menjadi berleluasa kerana yang menjadi pusat penyebarannya tidak lain dari universiti-universiti sendiri. Para pelajar diajar bahawa perbezaan pendapat adalah suatu ‘hak’, setiap orang berhak mengemukakan pandangan yang berbeza dari pandangan orang lain kerana setiap pandangan itu adalah subjektif dan relatif. Sikap sedemikian dipercayai akan menggalakkan percambahan ‘ilmu’, sejajar dengan akidah bahawa ‘ilmu itu tidak lain dari pendapat peribadi’. Dalam kerangka pemikiran sedemikian ‘keraguan’ dianjurkan dan ‘keyakinan’ dimomokkan. 

Apabila kita berbicara tentang masyarakat yang berpendidikan tinggi pada hari ini kita sebenarnya merujuk kepada masyarakat yang tiada memiliki keyakinan melainkan terhadap perkara-perkara yang mereka boleh lihat dan sentuh. Amalan-amalan agama, walaupun tidak ditinggalkan, tidaklah memberikan sebarang makna kerana ia hanyalah dilakukan secara ikut-ikutan. Semuanya menunggu masa untuk ditinggalkan sedikit demi sedikit bergantung kepada kepentingan-kepentingan yang boleh dilihat dan disentuh.  

Fatwa di atas dikeluarkan tatkala program ESQ mendapat sambutan yang amat luarbiasa dari masyarakat. Tentunya terdapat sesuatu yang dianggap istimewa hinggakan para pesertanya sanggup membelanjakan ribuan ringgit untuk mengikuti program yang memakan masa hanya tiga hari itu. Maklumbalas dari para peserta seperti yang dapat diikuti di internet menunjukkan keterujaan yang tinggi terhadap kesan yang dirasai mereka. Di kalangan mereka ialah tokoh-tokoh masyarakat yang terkenal yang terdiri dari para pemimpin agama, politik, korporat bahkan juga ahli akademik. Setelah mengikuti program ini sendiri mereka bukan sahaja memperakui kebaikannya bahkan turut galak menganjurkannya kepada masyarakat. Bagi orang awam nama-nama mereka yang terlibat ini sudah cukup untuk meyakinkan mereka tentang kebaikannya. Direktor Jeneral Departmen Agama Republik Indonesia, Profesor Dr. Nasarudin, seorang pendokong ESQ menegaskan bahawa berdosa bagi sesiapa yang cuba menghalang sesuatu yang baik seperti itu. Fatwa di atas, walaubagaimanapun, menyatakan sebaliknya. 

Cabaran terbesar Mufti WP ialah meyakinkan masyarakat terhadap kesahihan fatwanya. Mampukah sepuluh alasan yang diberikan itu meyakinkan orang-orang yang mendakwa merasai sendiri ‘kesan’ ESQ terhadap diri mereka? Bolehkah hujah ilmiah mengatasi hujah penganut faham pragmatisme yang percaya bahawa yang benar dan baik itu ialah yang berkesan? Para penyokong ESQ mendakwa program berkenaan memberikan mereka kesedaran yang amat ketara sehinggakan yang sebelum ini mencuaikan sembahyang kini taat mengerjakannya, yang tidak bertudung kini bertudung, yang tidak mengendahkan dosa pahala kini sudah insaf.

Dalam keadaan kekeliruan dan hawa nafsu yang berleluasa kita perlu lebih daripada fatwa untuk mengubah dan membetulkan masyarakat. Fatwa yang baik yang disertakan dengan hujah-hujah yang kuat sekalipun tidak memberikan apa-apa kesan sekiranya masyarakat secara umumnya tidak memiliki persediaan akliah untuk menerimanya. Masyarakat perlu disediakan melalui pendidikan yang betul tentang asas-asas pemikiran dan perundangan Islam. Jika tidak mereka amat mudah menerima apa-apa sahaja yang dilabelkan ‘Islam’ sama ada oleh golongan yang terkeliru ataupun yang sengaja mahu mengelirukan. 

Keinginan yang kuat untuk kembali kepada agama boleh dilihat sebagai kesempatan dan peluang keemasan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab bagi memenuhi agenda-agenda peribadi mereka. Perlu sentiasa diingati bahawa Islam dibina atas landasan ilmu, bukan ketaksuban melulu kepada individu atau puak. Kita diingatkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.  agar menuntut ilmu itu dari ahli-ahlinya yang adil pada setiap zaman. Merekalah ulama pewaris nabi yang memelihara agama dari penyelewengan tiga golongan manusia. Yang pertama adalah golongan pelampau yang ‘meminda’ makna nas. Yang kedua adalah golongan pemalsu yang ‘menokok-tambah’. Yang ketiga adalah golongan jahil yang ‘menta’wilkan’ nas sesuka hati. Setiap golongan ini pada dasarnya masih merujuk kepada nas-nas al-Qur’an dan Hadith akan tetapi maknanya telah diselewengkan. Pada hari ini semua itu lebih mudah dilakukan. Dengan bantuan teknik audio-video yang terkini ayat-ayat al-Qur’an dan hadith dipersembahkan dengan cara yang membangkitkan emosi. Dalam keadaan sedemikian tiada lagi kewarasan, dan apa sahaja maksud yang dianjurkan mudah sahaja diterima oleh si jahil.

Md Asham Ahmad ialah graduan M.A ISTAC versi kepimpinan Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

Ahad, 18 Julai 2010

Islam & Secularism Colloquium






Another rare chance to meet and listen to Prof. Al-Attas LIVE next Saturday. For further information please browse www.wia.my.