Ahad, 28 Februari 2010

Gagasan ilmu perlu dalam kebudayaan, tamadun



Oleh Dr Zaini Ujang

Budaya  ilmu adalah antara teras konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Menerusi budaya ilmu, masyarakat Malaysia berpotensi menjadi lebih dinamik, bermaruah, berinovasi dan berdaya saing. Antara program pengisian utama budaya ilmu ialah tradisi menghargai sumbangan dan meneladani tokoh ilmuwan.

Tradisi ini sangat penting bukan kerana tokoh ilmuwan wajar diberi penghormatan kerana ketokohannya tetapi sumbangan dalam memajukan masyarakat menerusi komitmen dan pengembangan ilmu. Realitinya tokoh ilmuwan sering kali tidak difahami apatah lagi diiktiraf masyarakat sewaktu hayatnya. Malah kebanyakan tokoh ilmu seperti Imam Malik, Ibnu Taymiyyah, Syeikh al-Mutawalli Sya'rawi, Hamka, Galileo Galilei, Leonardo da Vinci dan sebagainya pernah dipenjara kerana komitmen yang ditunjukkan oleh mereka terhadap ilmunya.

Masyarakat biasanya lebih nampak dan takjub dengan pemaparan luaran dan sumbangan berbentuk material yang sering mengelirukan. Apatah lagi jika individu itu mempunyai harta, aura dan penonjolan media yang menyerlah. Kalau hartawan, kita nilai kedermawanannya. Kalau penguasa, kita nilai keadilannya. Kalau pujangga, kita nilai kehalusan citranya. Dan kalau sarjana, kita nilai tahap hikmahnya.


Justeru, pada 23 Februari lalu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan majlis pelancaran buku Knowledge, Language, Thought and the Civilization of Islam: Essays in Honour of Syed Muhammad Naquib Al-Attas oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.

Buku suntingan Wan Mohd Nor Wan Daud dan M Zainiy Uthman itu adalah kumpulan 22 makalah tulisan 24 sarjana antarabangsa dalam menilai sumbangan serta pemikiran Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

Dalam titahnya, Raja Nazrin menghargai sumbangan Syed Naquib sebagai ‘insan istimewa, memiliki watak intelek, jiwa intelek, daya intelek dan roh intelek seorang Muslim, perintis dalam mempelopori idea mengIslamkan ilmu’. Selain itu, Raja Nazrin berkenan mengupas isi buku itu secara intelek dan memperihalkan pengalaman bersama Syed Naguib dalam satu pertemuan selama dua jam ketika beliau menjadi Pengarah di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC).


Titah Raja Nazrin lagi, pertemuan singkat yang satu-satunya itu - ‘berjabat tangan, bertentang mata, disusuli dengan renungan kata dan perbualan kata’ - memberi nilai baru akan erti dan makna pertemuan ‘bahawa pertemuan bernilai itu tidak memerlukan masa yang lama.’

Secara peribadi, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972) adalah karya Syed Naquib yang pertama saya baca. Ketika itu, saya masih mahasiswa jurusan kejuruteraan kimia yang kehausan idealisme. Awalnya memang sukar memahami pemikiran menerusi laras ilmu bahasa tinggi Syed Naquib. Perenggan pertama halaman pertama saja mengambil masa lebih setengah jam untuk saya berjinak-jinak dengan pelbagai istilah dan nama besar seperti Voltaire dan Macaulay; dan mengenai pengalaman Gulliver di negeri Brobdingnag yang didiami manusia tinggi dan besar seperti raksasa.

Tidak tepat jika saya membicarakan ketokohan Syed Naguib kerana Prof Wan Mohd Nor dan Dr Zainiy Uthman lebih layak, akrab dan simbiotik. Saya sekadar melahirkan rasa syukur kerana dalam hidup saya sempat mengenali dan cuba berdampingan dengan seorang tokoh ilmuwan tempatan - dan sempat turut sedikit sebanyak terbabit menerbitkan buku menghargai sumbangan keilmuannya - yang mendapat perhatian dan sanjungan antarabangsa.

Sumbangan Syed Naquib cukup bermakna bukan saja menjelaskan konsep dan asas pemikiran mengenai tema besar kehidupan, seperti Islam sebagai satu cara hidup, sejarah dan kebudayaan Melayu, pendidikan, sains, kemajuan, pembangunan, tamadun dan seumpamanya; tetapi turut terbabit dalam penubuhan pelbagai institusi berteraskan ilmu seperti Institut Bahasa, Kebudayaan dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan ISTAC.


Beliau juga antara pemikir ulung yang terawal membicarakan gagasan pengislaman ilmu dan universiti Islam yang berteraskan kepada konsep ilmu yang tidak bersifat bebas-nilai. Gagasan dan perkembangan ilmu mestilah selaras dengan sesuatu pandangan hidup, kebudayaan dan tamadun.

Justeru cendikiawan Muslim dan institusi pengajian tinggi bertanggungjawab menyebarkan ilmu berasaskan pandangan hidup Islam. Inilah yang memperkuatkan jati diri dan idealisme umat Islam mengharungi pelbagai proses dalam membangunkan negara dan tamadun; dan sebagai perisai menghadapi gelombang globalisasi.

Program pelancaran buku menghargai Syed Naguib oleh Raja Nazrin meninggalkan impak tersendiri kerana menyedarkan kita mengenai resam budaya ilmu yang sentiasa memuliakan kesarjanaan dan memartabatkan ilmuwan yang mempunyai pelbagai pandangan, idea dan gagasan yang kadangkala tampak sedikit percanggahan. Tetapi itulah hakikat perkembangan ilmu yang semakin subur dengan sifat kepelbagaian dan kerencaman.

Dalam konteks kenegaraan, Raja Nazrin bertitah: “Kejatuhan sesebuah negara bermula dengan kemunduran negara disebabkan budaya dan persekitaran politik yang membunuh perkembangan intelek kerana sifat takut dan gentar pimpinan yang sedang berkuasa yang merasakan kedudukan mereka mungkin tercabar... Pimpinan yang stabil dan negara yang maju senantiasa memilih pendirian untuk mendampingi dan bekerjasama dengan ilmuwan dan menyediakan persekitaran politik yang tidak memusuhi kumpulan ilmuwan.” 


Jumaat, 26 Februari 2010

Ucapan wakil pengkarya 'festschrift' Prof. SMN Al-Attas

Bismillahir Rahmanir Rahim

Ucapan Wakil Pengkarya

Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM

ALHAMDULILLAHI RABBIL ʿALAMIN
 WASSALATU WASSALAMU ʿALA SAYYIDNA MUHAMMADIN,
WA ʿALA ALIHI WA SAHBIHI AJMAʿIN,


Assalam alaykum warahmatu Allah wa barakatuhu!

Mengadap Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbudin Shah

Sesungguhnya, kesudian Duli Yang Teramat Mulia Tuanku  berangkat hadir mencemar duli untuk bertitah dan melancarkan buku ‘Knowledge, Language, Thought and the Civilization of Islam: Essays in Honor of Syed Muhammad Naquib al-Attas

menyatakan iltizam dan istiqamah Tuanku kepada perihal ilmiah amnya,
dan penghormatan kepada seorang ahli fikir, dan pembaharu pendidikan yang amat disegani khasnya.

Patik semua sentiasa mengikuti titah-titah penting tuanku dalam pelbagai perkara.   Tuanku seorang cendekiawan diraja berpendidikan tinggi,
seumpama sebutir bintang berkilau gemerlapan,
dari tradisi kepimpinan bangsa yang beradab dan bertamadun tinggi,
yang amat patut dibanggakan dan dicontohi.

Ampun Tuanku
Sembah patik harap diampun

Patik menjujung kasih sekali lagi kepada Tuanku atas kesudian Tuanku berangkat bagi menyempurnakan majlis pada petang ini.

Izinkan Patik sebagai wakil pengkarya buku yang bakal Tuanku lancarkan ini,
berucap kepada tetamu yang hadir bersama untuk mendengar titah Tuanku.

Ampun Tuanku.

Yang Mulia Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas,

Yang Berbahagia Tan Sri Dato Sri Dr Abdullah Ayub, Pro Canselor UTM,
Yang Berhormat Dato Dr Ridzuan Hj Salleh, Pro Canselor UTM
Yang Berbahagia Prof. Dato Dr. Zaini Ujang, Naib Cancelor UTM

Dhif-dhif kehormat
Hadirin dan hadirat sekalian!

Allah SWT berfirman dalam kitab Suci al-Qur’an Surah al-Mujadalah, ayat 11 yang bermaksud: “Allah akan mengangkat tinggi beberapa darajat orang-orang yang beriman dari kamu, dan orang-orang yang berilmu: Sesungguhnya Allah maha mengetahui segala yang kamu lakukan.”

Kita semua berhimpun di dalam Dewan ini bagi melancarkan
sebuah buku yang menyanjung sumbangan pelbagai dimensi seorang ilmuan pembaharu ulong, Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Beliau  terbukti berwibawa dalam pelbagai bidang seperti ilmu kalam, falsafah, metafizika, sejarah dan kesusateraan Islam khususnya yang berkaitan dengan Alam Melayu. Dalam bidang-bidang ini beliau telah menyumbang beberapa fikiran pokok yang asli, berdaya cipta dan berpengaruh.

Pembaharu dan ilmuan ulong dirakam abadi dalam sejarah manusia melalui buah-buah fikiran mereka yang berjaya membantu mencerahkan alam pemikiran dan memberi nilai tinggi kepada kehidupan dan tamadun manusia. Kebanyakan mereka dikenal dan diiktiraf sewajarnya lama selepas mereka meninggal pentas dunia.

Hanya sebahagian kecil dari mereka yang dikenal dan diiktiraf dengan adil semasa hayat masing-masing. Sesungguhnya pengenalan dan pengiktirafan sebenar akan sumbangan para pembaharu dan ilmuan ulong dalam sejarah sesuatu bangsa nyata mencerminkan ketinggian martabat ketamadunan bangsa tersebut.

Bangsa yang hampa dan rendah darjat ketamadunannya tidak akan mengenal dan tidak berupaya mengiktiraf para pembaharu dan ilmuan ulong dari kalangannya, yang sememangnya boleh dibilang dengan jari.

Sebahagian dari sumbangan Profesor al-Attas dalam pelbagai bidang keilmuan dan ketamadunan Islam dibicarakan dengan bertanggungjawab oleh sebarisan ilmuan dan pengkaji serius dari pelbagai negara. Mereka mewakili sebahagian ilmuan yang memahami sumbangan beliau yang asli dan berdaya cipta bukan sahaja di peringkat pemikiran, tetapi juga di peringkat institusi.

Ramai ilmuan dari seluruh dunia mahu menyumbang tulisan mereka kepada buku ini, tetapi permintaan mereka tidak dapat dipenuhi kerana kesuntokan masa dan keterbatasan ruang.
           
Kami percaya keseluruhan sifat dan hasil perjuangan keilmuan tokoh yang dira’ikan dalam buku ini boleh dinamakan sebagai Pergerakan Teguh atau Dynamic Stabilism.

Ini kerana sifat dan hasil perjuangannya meneguh semula pandangan hidup Islam yang disepakati para luluhur agung sekian lama, serta mengukuhkan keyakinan kepada struktur dan dasar akhlak dan perundangannya dalam menghadapi cabaran cabaran semasa. Ini dilakukan dengan penuh wibawa keilmuan, tegas dan berdaya cipta dengan memahami unsur-unsur kekal dan berubah dalam tradisi Islam dan dalam tradisi Moden.


Keadaan ini berbeda dengan perjuangan kaum konservatif yang umumnya bersifat teguh menetap, tetapi tidak bergerak mencipta pembaharuan menyebabkan kelemahan memalukan; juga berbeda dengan kaum modernis dan pasca modernis, yang sentiasa bergerak mengekori pembaharuan, tetapi merongkai akar-akar kebudayaan yang berdiri teguh sekian lama sehingga menimbulkan kekeliruan mendalam.

Kesemua makalah dalam buku ini mencerminkan keluasan minat dan sumbangan Profesor al-Attas. Kami kaitkan dalam beberapa bidang saling bertaut yang juga mengambarkan kegiatan ilmiah di International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), satu lembaga pendidikan tinggi Islam unik yang beliau asaskan dan pimpin secara menyeluruh, dan terbilang bijaksana dari  tahun 1987  sehingga tahun 2002.

Para ilmuan serius dan berwibawa sedar dan insaf bahawa karya-karya Profesor al-Attas yang telah juga diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa orang2 Islam dan bahasa-bahasa Barat melambangkan satu titik penting dalam sejarah Alam Melayu.

Bahawa inilah kali pertama dalam sejarah Alam Melayu di mana karya-karya ilmuannya mempekayakan khazanah pemikiran dan ketamadunan Islam di peringkat global. Malah terdapat institusi berprestij yang mengiktiraf sumbangan beliau sebaris dengan pemikir dan pembaharu dunia seperti Plato, Kong Fu Tze, St. Augustine, Immanuel Kant, Edward Said, Nelson Mandela dan sebagainya.

Saya mahu mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan terima kasih kepada penyunting bersama saya, Prof Madya Dr Muhammad Zainiy Uthman yang amat banyak membantu usaha ini. Kami berdua menyanjung sumbangan semua para penulis makalah dalam buku ini. Beberapa orang dari mereka ---Prof Dato Salleh Yaapar, Prof Murat Cizakca, Dr Ismail Marcinkowski, Dr Tatiana Denisova, dan Dr Hisham Helyer--- hadir bersama kita pada hari ini. Bagi pihak semua penulis, kami amat menghargai sokongan berharga Naib Canselor UTM, Prof Dato Dr Zainiy Ujang, yang juga seorang penulis prolifik. Jutaan terima kasih juga kepada seluruh kakitangan Penerbit UTM, terutama Prof Hishamuddin dan sdra Khalid Mazlan, dan semua yang menjayakan buku ini serta pelancarannya pada hari ini.

Kami juga sangat menghargai sokongan dan dorongan keluarga kami, dan para sahabat di Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM, di Universiti Islam Antarabangsa dan di mana saja mereka kini berada.

Akhir sekali, dan yang paling utama, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada guru yang kami kagumi dan cintai Professor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Kesungguhan perjuangan dan keberaniannya dalam bidang ilmu, agama dan akhlak di peringkat tinggi, dengan segala pahit dan lelahnya, adalah contoh teladan buat kami semua.  Rakaman terima kasih ini tidak lengkap jika tidak juga ditujukan kepada isterinya, penyokong terkuatnya dan paling setia Puan Latifah al-Attas. Kami doakan agar tuan-tuan berdua serta seluruh keluarga dan kami semua juga akan terus dipanjangkan umur, mendapat kejayaan dan kebahgiaan di dunia dan akhirat.

WabiLlahi al-tawfiq wa’l-hidayah
Wassalam alaykum warahmatuLlahi wabarakatuhu
Ampun Tuanku
Sembah Patik mohon diampun

(23 Feb 2010/ Dewan Besar UTM International Campus KL)



Khamis, 25 Februari 2010

Teks penuh ucapan penghargaan kepada Prof. Al-Attas oleh. YM Raja Dr. Nazrin Shah.


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaikum wrt wbrkt dan salam sejahtera.

Alhamdulillah dengan kebesaran Allah yang maha esa, majlis pelancaran buku Knowledge, Language, Thought and the Civilization of Islam: Essays in honour of Syed Muhammad Naquib al-Attas, dapat dilangsungkan.

Beta bersyukur kerana bersempena majlis pelancaran ini dengan ketentuan Ilahi juga beta turut di angkat ke satu martabat kemuliaan apabila dipilih sebagai insan yang digandingkan dengan usaha mulia untuk memuliakan seorang sarjana Islam berwarga Malaysia.

Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas diiktiraf, disegani dan dihormati di serata dunia sebagai pohon ilmu yang asli teguh berakar di Taman Ilmu.

Syed Muhammad Naquib adalah insan istimewa memiliki watak intelek, jiwa intelek, daya intelek dan ruh intelek seorang muslim perintis dalam mempelopori idea mengislamkan pengetahuan (The Idea of Islamization of Knowledge).

Beliau telah menghasilkan 29 penerbitan dalam pelbagai aspek pemikiran dan tamadun Islam khususnya subjek-subjek menyentuh kosmologi, metafizik, falsafah, bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Beliau telah menyampaikan lebih 400 syarahan umum di negara-negara Asia, Amerika Syarikat dan Eropah.

Knowledge, Language, Thought and the Civilization of Islam adalah penerbitan berkualiti tinggi mengandungi 22 esei hasil penyelidikan 24 sarjana bertujuan merakamkan pengiktirafan kepada seorang ilmuan Malaysia bertaraf dunia. 22 esei tersebut telah dihasilkan oleh para sarjana dari serata dunia. Dari Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Bahrain, Egypt, Gambia, Iran, Iraq, Jerman, Macedonia, The Netherlands, Russia, Turkey dan United Kingdom di samping sarjana-sarjana dari Malaysia.

Setiap esei mengandungi kupasan dan huraian tersendiri bersandarkan sudut kajian dan aspek analisis yang diberikan fokus. Namun setiap seorang dari mereka walaupun apa sub-disiplin kajiannya mencapai satu titik pertemuan mengiktiraf dan menghargai ketokohan, pemikiran dan kebijaksanaan Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Beta berpeluang mendapat naskah awal penerbitan yang akan dilancarkan ini yang telah diutus kepada beta bersama warkah jemputan ke majlis ini. Beta tertarik mengikuti kupasan-kupasan mengenai adab. Huraian tentang adab merangkumi elemen-elemen kemanusiaan, kebajikan, kasih-sayang serta sifat menghormati ibu-bapa, orang tua dan kanak-kanak,  juga jiran tetangga dan pemimpin masyarakat. Ditegaskan betapa pentingnya bagi seseorang insan memahami kedudukan masing-masing. Beliau menekankan bahawa adab itu adalah ketertiban budi (intellectual discipline). Menghormati guru dan orang berilmu adalah manifestasi adab terhadap ilmu. Tidak ketinggalan peringatan adab terhadap alam semulajadi, terhadap bahasa dan pentingnya alam spiritual dihormati dalam hasrat mahu mencecah darjat keluhuran dan adab itu sewajibnya memperlihatkan keadilan, mencerminkan hikmah serta mempertahankan hak dari segi realiti dan kebenaran. Adab dikaitkan dengan pendidikan manusia yang luhur bahawa apabila kuasa dan sumber diserahkan kepada individu yang tidak memahami idea induk, akan berlakulah penyalahgunaan kuasa dan pembaziran sumber. Diikuti dengan suasana kekeliruan intelek dan kekeliruan moral. Salah urus sumber mengakibatkan berlakunya kemiskinan yang berpanjangan dan kemusnahan institusi-institusi penting yang begitu berkesan dan dihormati pada zaman kolonial. Justeru itu, adab adalah penentu kepada jatuh bangunnya pemimpin di dalam sesebuah masyarakat. Adab memperingatkan bahawa taraf kemuliaan seseorang itu bukan ditentukan oleh faktor-faktor kemanusiaan dari sudut kuasa, kekayaan mahu pun keturunan tetapi ditentukan oleh kriteria-kriteria yang terkandung di dalam al-Quran dari segi penetahuan, kecerdasan otak dan sifat murni.

Setelah berpeluang menyelami huraian Syed Muhammad Naquib tentang adab, beta amat insaf akan betapa kerdilnya diri beta dalam aspek pencapaian ilmu berbanding dengan tahap yang telah beliau capai. Membawa beta bertanyakan diri sendiri apatah beta selayaknya dianugerahkan dengan kemuliaan pada petang ini untuk melancarkan sebuah penerbitan yang bertujuan memuliakan seorang insan. Seorang insan yang telah sedia lebih awal diangkat oleh Ilahi ke martabat kemuliaan ilmu yang begitu tinggi. Beta tidak dapat lari dari bertanyakan diri adakah Syed Muhammad Naquib al-Attas seorang yang beta kenali atau seorang yang tidak beta kenali. Pertanyaan tersebut membawa ingatan beta kembali mengembara kepada peristiwa ketika beta berangkat melawat ISTAC. Lawatan yang beta pinta diaturkan setelah disembah maklumkan tentang keistimewaan institusi tersebut. Itulah pertemuan pertama dan sehingga majlis pelancaran ini, merupakan satu-satunya pertemuan beta dengan Syed Muhammad Naquib al-Attas. Pertemuan untuk tempoh masa sekitar 2 jam adalah satu peratusan waktu yang amat kecil dalam hayat beta yang telah meraut usia lebih 53 tahun. Namun pertemuan singkat itu memberi fahaman dan nilai baru kepada beta akan erti dan makna pertemuan. Bahawa pertemuan bernilai itu tidak memerlukan masa yang lama.

Sewaktu mengunjungi ISTAC beta berpeluang menemui Syed Muhammad Naquib, berjabat tangan, bertentang wajah disusuli dengan renungan mata dan perbualan kata,  beta datang dan pergi dengan minda yang mengakui hakikat bahawa, pertama : beta adalah seorang anak muda yang sedang mengunjungi seorang dewasa yang usianya hampir sama dengan usia Paduka Ayahanda beta. Sewajarnyalah beta menyedari diri berada di taraf yang lebih rendah dan sewajibnya beta menghormati beliau.  Kedua: Beta masih seorang musafir dalam pengembaraan mencari ilmu, masih daif, sedang berada di kaki gunung dalam pendakian menemui seorang sarjana, seorang mahaguru, seorang pendeta yang bukan sahaja telah sedia berada di puncak gunung pengetahuan tetapi telah sekelian lama mengalirkan pemikirannya ke serata lembah dan wadi ilmu.

ISTAC adalah hasil dari himpunan usaha yang mengutamakan kualiti. ISTAC melambangkan himpunan idea terbaik dari terbaik, dipilih lalu diubahsuai dari contoh-contoh keindahan yang telah pernah beliau temui dari serata dunia. Ia bukan sahaja memiliki keindahan fizikal tetapi keindahan itu dilengkapi dengan fungsi dan memenuhi matlamat. ISTAC memperlihatkan satu prasarana yang dihasilkan melalui pemikiran yang serius dan komitmen yang tinggi hingga terbangun sebuah kampus pengajian yang dinamik bertenaga menghidupkan budaya berfikir, berupaya membina tabiat rindukan ilmu. ISTAC memiliki persekitaran yang mengandungi lirik cinta dan simfoni kasih. Selepas berpeluang melihat ISTAC, beta sering mengimpikan untuk melihat lebih banyak institusi, terutama institusi pengajian di negara ini dapat menjadikan ISTAC sebagai contoh dari aspek pembangunan prasarana bermula dari peringkat falsafah dan konsep, perancangan, pembiayaan, pembinaan, pengurusan dan penyelenggaraan. Betapa produktifnya dan betapa kemungkinan ketua-ketua eksekutif institusi pengajian tinggi di negara ini diberikan lebih autonomi dalam memenuhi amanah membangunkan taman-taman ilmu yang setanding dengan ISTAC bersandarkan amalan ‘let the manager manage’. Beta kagum melihat ISTAC yang telah beliau bangunkan tetapi beta lebih kagum dengan insan yang telah mengabadikan pemikiran dan jiwa raganya untuk membangunkan ISTAC. Melihat ISTAC beta merumuskan bahawa beta sebenarnya berhadapan dengan seorang seniman yang sangat teliti, sangat jauh, mendalam dan luas wawasannya, sangat komited dan amat terlibat memenuhi visinya.

Masih segar dalam ingatan beta akan 3 wawasan utama yang beliau suarakan kepada beta. Pertama: ISTAC adalah taman ilmu. Justeru itu bangunan dan kampus, kelengkapan dan peralatan, lanskap dan hiasan dalamannya tidak sekadar untuk memenuhi keindahan fizikal tetapi menyediakan satu persekitaran yang mendorong semangat kecintaan ke arah membina budaya untuk meminati dan menghargai ilmu. Kedua: ISTAC wajib mendapatkan sarjana tebaik dari serata dunia di peringkat tenaga pengajar dan penyelidik, demikian  juga pelajar. Dan Ketiga: Memastikan ISTAC mempunyai pusat sumber rujukan yang dilengkapi dengan koleksi karya agung dan penerbitan berkualiti tinggi dari seluruh dunia.

Kunjungan ke ISTAC yang hanya sekali berlaku dan pertemuan dengan Syed Muhammad Naquib yang juga hanya sekali berlaku, telah lama berlalu. Namun ia tetap meninggalkan ingatan berkekalan dalam diri beta. Beliau adalah seorang sarjana yang memiliki kuasa intelek yang hebat. Berjaya meninggalkan impak kepada pemikiran muridnya walaupun hanya berpeluang berinteraksi seketika dengannya. Dengan kehalusan dan kesantunan budi pekertinya beliau telah memberikan keselesaan kepada beta untuk berinteraksi walaupun beta laksana kail sejengkal yang mahu memancing di laut ilmu milik beliau yang sangat dalam lagi luas. Beliau bersifat rendah diri laksana padi semakin berisi semakin tunduk. Beliau adalah bukti hidup seorang insan yang berpegang kukuh kepada prinsip. Beliau teguh dalam tindakan untuk menegakkan kebenaran.

Syed Muhammad Naquib al-Attas adalah satu khazanah amat berharga. Beliau adalah hasil adukan keturunan ulamak dan aristokrat, turut dibesarkan dan didewasakan dalam persekitaran budaya Islam dan melalui kehidupan harian di taman aristokrasi. Pengalaman-pengalaman yang ditempuhi sepanjang perjalanan hidup telah menambah-kukuhkan keperibadian beliau yang sebenarnya telah sedia kukuh. Antaranya, kandungan elemen-elemen mematuhi disiplin, mematuhi perintah dan kesetiaan semasa mengikuti latihan ketenteraan mempunyai pengaruhi terhadap pandangan dan budaya kerja beliau sebagai ilmuan dan pentadbir. Beliau memenuhi amanah dengan penuh disiplin, mentaati perintah dan mengabdikan kesetiaan secara mutlak kepada Pemerintah Teragung atau Supreme Commander yang tidak ada dua baginya iaitu Allah yang Maha Esa. Segala yang diwarisi dan setiap liku pengalaman hidup yang dilalui telah membina satu watak yang memiliki kekuatan dan keunggulan. Beliau adalah satu keistimewaan, satu keluarbiasaan, hebat dari segi intelek, hebat dari segi personaliti, hebat dari segi kesenimanan dan hebat dari segi keimanan kepada Yang Maha Pencipta.

Syed Muhammad Naquib al-Attas memiliki daya fikir yang berupaya menghidupkan pemikiran-pemikiran berteraskan Islam, memperlihatkan kehebatan Islam melalui hujah-hujah yang amat intelek, mempercayai lalu memilih untuk Islam itu dibangunkan secara membangunkan masyarakat Islam dan bukannya terburu-buru memilih kaedah politik dengan retorik yang membina Negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam. Beliau yakin dengan undang-undang Islam tetapi tidak yakin dengan orang-orang yang memiliki dan diberikan kuasa untuk mentafsir dan melaksanakannya di Negara ini. Beliau meragui sama ada mereka benar-benar telah memiliki kesederhanaan, hikmah, keadilan dan keberanian untuk melaksanakannya. Kepada beliau pendekatan yang mengutamakan Islam itu harus dikembangkan dari dalam dan membesar secara organik, dan bukannya secara mengenakan tekanan dari atas kepada masyarakat . Contoh kehebatan daya keintelektualan beliau berhujah dapat dipetik dari catatan dalam dialog beliau ketika memberikan respon kepada soalan berkaitan dengan polemik penggunaan kalimah Allah semasa berlangsungnya seminar Worldview of Islam anjuran The Assembly of Muslim Intellectuals pada 13 Disember 2009 yang lalu.

Petikan: “ Allah is not from  Bahasa Malaysia, it is not a National Language. It belongs to the Language of the Muslims all over the world. Therefore your argument using this for the word ‘Allah’ does not fit into your idea of God because Allah does not have a son. It is not one of three. That is why, out of respect to Allah we can’t allow you to use this. We agree you want to use God then use ‘Tuhan’ as we also use that. But we understand in the Malay language ‘Tuhan’ is not a translation of Allah. That is why we say, ‘Tiada tuhan melainkan Allah’ not, ‘Tiada tuhan melainkan Tuhan’. So Allah cannot be translated as no language has translated Allah. But if they use it and they say in Indonesia they have used it, why can’t we here. It is because of the Muslims. If Muslims don’t care, they will go on and use it, and in Indonesia they are using not only that but other things too. They even call it choir for selawat. Choir is not a Selawat as selawat is for the Prophet. It is not singing a hymn”.

Demikian keintektualan beliau berhujah dan kehebatan beliau berdebat dengan memberikan hujah-hujah secara rasional dan faktual, secara ringkas, secara jelas telah mempertahankan kesucian nama Allah dari disalahgunakan, yang dibimbangkan boleh menggelincirkan akidah.
Beliau mengikuti pengajian tertiari di Singapura, di Kanada dan di United Kingdom. Bahasa Inggeris adalah bahasa pengantar di ketiga-tiga institusi pengajian tinggi di tiga Negara berkaitan. Penguasaan bahasa Inggeris beliau berada di tahap par excellence. Pada hukum adatnya, beliau tidak perlu bersusah payah untuk menobatkan Bahasa Melayu dijadikan bahasa ilmu di pusat pengajian tinggi negara tetapi beliau memilih mengambil tanggung jawab besar mendaulatkan bahasa ibundanya dengan menyedari bahawa lebih ramai anak bangsanya akan mendapat akses kepada ilmu jika Bahasa Melayu dapat dinobatkan sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian tinggi.

Semangat nasionalisme Melayunya terbukti dalam usaha gigih beliau untuk menobatkan bahasa Melayu. Perlu diingatkan bahawa menobatkan bahasa Melayu merupakan salah satu dari 7 wasiat raja-raja Melayu dalam kontrak sosial yang dimaktubkan menjelang kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Beliau gigih berusaha melaksanakan program untuk membolehkan Bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa pengantar di Universiti Malaya walaupun mendapat tentangan hebat dari ramai pensyarah. Beliau adalah antara pendokong utama kepada penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia.  Penulisan-penulisan beliau dalam Bahasa Melayu memberikan nilai ilmu kepada Bahasa Melayu apabila beliau memperkenalkan gaya penulisan baru Bahasa Melayu di peringkat intelek dan falsafah.

Hanya Allah yang Maha Mengetahui akan gelora rasa yang beliau alami kerana pada hari ini sudah ada suara yang semakin berani hendak menggugat mertabat bahasa bangsa Melayu. Bahasa ibunda pribumi yang telah diterima sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.
Dapatkan naungan politik untuk melonjakkan kedudukan tidak pernah dijadikan opsyen kerana beliau tidak mahu pemikirannya terikat atau terantai dengan mana-mana kumpulan politik. Beliau tidak reda kejernihan tasik pemikiran beliau dicemari oleh pelbagai polemik dan persengketaan politik atas hasrat untuk mendapat kuasa, mengguna atau menyalahguna kuasa serta mempertahankan kuasa.

Syed Naquib mentafsirkan kemerdekaan itu mempunyai pelbagai peringkat. Kemerdekaan politik hanyalah tahap pertama. Bahawa kemerdekaan yang lebih tinggi bermula dengan kemerdekaan minda untuk berupaya berfikir dan bertindak bersandarkan prinsip ilmu dan pengetahuan serta tradisi bernilai sesebuah Negara. Pada hemat beliau bila berlaku perselisihan pandangan atau kelainan tafsiran di antara seorang sarjana dengan kerajaan dalam perkara-perkara tertentu, kerajaan jangan terlalu cepat menganggap mereka sebagai ahli politik pembangkang yang memang lazimnya mencari kesalahan untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan tetapi hendaklah dihargai bahawa minda seorang sarjana itu merasakan dirinya bertanggung jawab mendidik masyarakatnya di samping memiliki keberanian serta ketegasan memaklumkan kepada kerajaannya tentang fakta dan hakikat yang berlaku. Baginya seorang sarjana tidak harus sama sekali memiliki sifat untuk mendapat sokongan atau kedudukan politik.

Pendirian neutral yang dijadikan prinsip pegangan telah membebaskan beliau untuk berupaya terbang mencapai awan di langit yang lebih tinggi. Membolehkan beliau berupaya singgah di pepohon yang lebih segar, subur dan hijau rendang dari satu taman ilmu ke satu taman ilmu di seluruh alam semesta. Adalah lazim bagi insan yang telah dianugerahkan kehebatan minda yang luar biasa untuk mendahului eranya, meletakkanya berada jauh di hadapan pemikiran bangsa dan warganya. Namun sifat istimewa luar biasa bukannya mudah difahami malah seringkali meletakkan beliau berhadapan dengan cabaran lebih berat untuk dapat dihargai. Seringkali pula mengundang kepada salah tafsiran lalu berlaku penilaian yang tidak semestinya bersifat adil dan positif ke atas diri beliau. Demikian harga yang perlu dibayar dan pengorbanan yang perlu dilakukan oleh seorang sarjana yang berani menegakkan kebenaran dan bertegas menegur kebatilan.

Syed Muhammad Naquib yang telah diangkat oleh Ilahi berada di altar lebih tinggi dalam dunia dia didewasakan telah juga dianugerahkan daya lihat yang amat tajam dan mata hati yang amat terang. Beliau adalah satu-satunya sarjana di negara ini yang telah dianugerahkan penghormatan menduduki kursi-kursi utama akademik dalam pelbagai disiplin. Beliau pemegang pertama Kursi Pemikiran Islam Abu Hamid al-Ghazali di ISTAC. Syed Muhammad Naquib memiliki keistimewaan yang luar dari biasa lalu memerlukan sebenar-benar jauhari untuk dapat menilai mutu manikamnya. Manikam yang sangat asli tidak mudah luntur dan tidak senang hancur. Biar di mana ia jatuh, biar sejauh mana ia dilontar, ia terus bercahaya malah semakin memancarkan sinar cahaya menerangi benua dan alam semesta. Ia menjadi buruan para jauhari yang bestari.

Seorang ilmuan itu sebenarnya memiliki kehebatan yang lebih istimewa dan lebih tulen. Pengiktirafan yang diabadikan lebih berkekalan, lebih berpanjangan dan lebih berterusan hingga jauh melangkau pasca hayatnya, dan tidak sekadar semasa dia masih bernyawa atau sedang menyandang jawatan tertentu. Berbanding dengan penghormatan seorang raja ataupun ratu, seorang presiden atau seorang perdana menteri yang boleh sementara sifatnya didewakan bagaikan dewata ketika berada di tampuk kuasa kemudiannya terhenti dan begitu cepat dan mudah dilupakan setelah muncul pengganti yang baru.

Usaha memuliakan ilmuan adalah usaha yang amat konstruktif. Usaha sebegini dapat membantu membina kekayaan intelek dan khazanah intelek negara. Kekayaan intelek negara harus terus ditambah melalui usaha-usaha yang memberikan dorongan dan keyakinan kepada ilmuan. Kejatuhan sesebuah negara bermula dengan kemunduran negara disebabkan daya dan persekitaran politik yang membunuh perkembangan intelek kerana sifat takut dan gentar pemimpin yang sedang  berkuasa yang merasakan kedudukan mereka mungkin tercabar. Pemikiran politik sedemikian amatlah destruktif.

Pimpinan yang stabil dan negara yang maju senantiasa  memilih pendirian untuk mendampingi dan bekerjasama dengan ilmuan dan menyediakan persekitaran politik yang tidak memusuhi kumpulan ilmuan.

Semoga kebijaksanaan pemikiran Prof. Dr.  Syed Muhammad Naquib al-Attas akan terus berkembang dan disuburkan. Semoga anak didik beliau akan berperanan secara berkesan menjadi duta ilmu menyebarkan pemikiran beliau. Dalam hubungan tersebut, inisiatif Wan Mohd Nor Wan Daud dan Muhammad Zainiy Uthman serta Universiti Teknologi Malaysia adalah salah satu misi dan amanah yang amat murni dan perlu dipuji.

Ke mana pula tumpahnya kuah kalau tidak di pinggan nasi. Ungkapan tersebut khusus beta tujukan kepada Dr. Syed Ali Tawfik al-Attas, anakanda kepada Syed Muhammad Naquib al-Attas untuk terus menyalakan obor keluarga dalam kegiatan penulisan dan kehidupan.  Dalam kapasiti beta memenuhi amanah sebagai Raja Muda Perak, sebagai Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat  Melayu Perak, begitu juga sebagai Pro Canselor Universiti Malaya, selanjutnya sebagai seorang anak, suami dan ayah, esei-esei yang terkandung dalam koleksi buku ini sangat relevan untuk beta jadikan rujukan terutama dari segi memahami falsafah dan konsep berkaitan Islam, kesejahteraan, evolusi, adab, pengetahuan, dialog ketamadunan, pendidikan, institusi wakaf, kapitalisme dan dunia Melayu. Semoga apa jua ilmu yang beta timba akan dapat beta manfaatkan untuk kesejahteraan ummah. Dengan kalimah Bismillahirrahmani beta dengan sukacitanya melafazkan pengistiharan pelancaran Knowledge, Language, Thought and the Civilization of Islam: Essays in honour of Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Wabillahitaufiq wal hidayah…Wassalamu’alaikum wrt. wbt.


Rabu, 24 Februari 2010

A due recognition to Prof. Al-Attas



The Star, 24 February 2010

‘Allow intellectual development’


KUALA LUMPUR: Leaders who fear intellectuals and stifle intellectual development will eventually cause the nation’s decline, said the Raja Muda of Perak Raja Dr Nazrin Shah.
“Stable governments and advanced nations always choose to associate with intellectuals and provide them with a friendly political environment,” he said at the launch of the book titled Knowledge, Language, Thought and the Civilisation of Islam: Essays in Honor of Syed Muhammad Naquib al-Attas at Universiti Teknologi Malaysia yesterday.

It is a compilation of 22 articles from international scholars on al-Attas’ thoughts on a variety of topics. Published by UTM Press, the hardcover is priced at RM108 while the paperback edition costs RM80.

Raja Nazrin praised al-Attas’ belief that an Islamic approach must first be developed from within and allowed to flourish instead of forcing it upon society.

At the launch: Raja Nazrin going through the book while author Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas and his representative, Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Wan Daud explain the writings. Looking on (left) is UTM’s Vice Chancellor Datuk Ir. Dr Zain Ujang — Bernama
 
He also commended al-Attas’ politically neutral stance to avoid his thoughts being used to gain political power.

“Syed Naquib defines independence as having different levels, with political independence being the first stage. A higher independence begins with the freedom of the mind to think and act based on one’s principles and a nation’s values.

“He says governments should not be too quick to label scholars as opposition politicians whenever there is a conflict of views between a scholar and the government of the day,” said Raja Nazrin.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------



RAJA Dr Nazrin Shah berkenan melihat buku Knowledge, Language, Thought and The Civilization of Islam Essays In Honor of Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Kuala Lumpur, semalam. Turut memerhati, Syed Muhammad Naquib (dua dari kanan), Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud (kanan) dan Muhamad Ridzuan.

 

Berita Harian 24 Februari 2010

'Pemimpin stabil dampingi ilmuwan'


KUALA LUMPUR: Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, bertitah pimpinan negara yang stabil dan maju sentiasa mendampingi dan bekerjasama dengan ilmuwan serta menyediakan persekitaran politik yang tidak memusuhi kumpulan itu.

Baginda bertitah, kejatuhan sesebuah negara bermula dengan kemunduran disebabkan budaya dan persekitaran politik yang membunuh perkembangan intelek kerana sifat takut serta gentar pimpinan yang sedang berkuasa yang berasa kedudukan mereka mungkin tercabar.

"Pemikiran politik sedemikian amatlah destruktif. Pimpinan yang stabil dan negara maju sentiasa memilih pendirian untuk mendampingi dan bekerjasama dengan ilmuwan. Ini akan membantu membina kekayaan intelek dan khazanah negara," titah baginda
Baginda bertitah demikian selepas melancarkan buku Knowledge, Language, Thought and The Civilization of Islam Essays In Honor of Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, semalam.

Buku setebal 566 halaman itu memuatkan 22 esei daripada 24 sarjana seluruh dunia bertujuan merakamkan pengiktirafan kepada Syed Muhammad Naquib, seorang ilmuwan Malaysia bertaraf dunia. Buku itu berharga RM108 bagi kulit tebal dan RM80 bagi kulit biasa.

Hadir sama, Pro Canselor UTM, Tan Sri Dr Abdullah Ayub dan Datuk Dr Muhamad Ridzuan Muhamad Salleh, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Zaini Ujang dan Syed Muhammad Naquib.
Raja Nazrin bertitah, seseorang ilmuwan sebenarnya memiliki kehebatan yang lebih istimewa dan tulen berbanding penghormatan serta pengiktirafan yang diberikan kepada seorang Raja atau Ratu dan seorang Perdana Menteri.
"Pengiktirafan yang diabadikan kepada ilmuwan lebih berkekalan, berpanjangan dan berterusan hingga jauh melangkau pasca hayatnya dan tidak sekadar semasa dia masih bernyawa atau sedang menyandang jawatan tertentu," titah baginda.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Berita Harian 24 Februari 2010

Dampingi bukan musuhi ilmuan: Raja Nazrin

KUALA LUMPUR: Kekayaan intelek negara harus terus ditambah melalui usaha yang memberikan dorongan dan keyakinan kepada ilmuan dan bukannya mewujudkan persekitaran politik yang memusuhi kumpulan itu, titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Baginda bertitah, kejatuhan sesebuah negara bermula dengan kemunduran disebabkan budaya dan persekitaran politik yang membunuh perkembangan intelek kerana sifat takut dan gentar pimpinan yang sedang berkuasa yang merasakan kedudukan mereka mungkin tercabar.

"Pemikiran politik sedemikian amatlah destruktif. Pimpinan yang stabil dan negara yang maju sentiasa memilih pendirian untuk mendampingi dan bekerjasama dengan ilmuan," titah baginda pada pelancaran buku "Knowledge, Language, Thought and the Civilisation of Islam: Essays in Honor of Syed Muhammad Naquib Al-Attas" di sini hari ini.
Buku setebal 566 muka surat itu memuatkan 22 esei daripada 24 sarjana seluruh dunia itu dan berharga RM108 bagi kulit tebal dan RM80 bagi kulit biasa.

Raja Dr Nazrin Shah bertitah, usaha memuliakan ilmuan adalah usaha yang amat konstruktif kerana seseorang ilmuan itu memiliki kehebatan yang lebih istimewa dan lebih tulen.

Titah baginda pengiktirafan yang diabadikan kepada ilmuan adalah lebih berkekalan, lebih berpanjangan dan lebih berterusan sehingga melangkah ke pasca hayatnya dan ia tidak sekadar semasa ilmuan itu masih bernyawa atau sedang menyandang jawatan tertentu.
"Berbanding dengan penghormatan seorang Raja ataupun Ratu, seorang Presiden atau seorang Perdana Menteri yang boleh sementara sifatnya, didewakan bagai dewata ketika berada di tampuk kuasa, kemudiannya terhenti dan begitu cepat serta mudah dilupakan setelah muncul pengganti yang baru," titah baginda.

Baginda juga berharap semoga kebijaksanaan pemikiran Prof Syed Muhammad Naquib akan terus berkembang dan disuburkan.

"Beliau telah diangkat oleh Ilahi berada di altar lebih tinggi dalam dunia dan didewasakan, telah juga dianugerahkan daya lihat yang amat tajam dan mata hati yang amat terang," tambah baginda.

Prof Syed Muhammad Naquib pernah menghasilkan 29 penerbitan dalam pelbagai aspek pemikiran dan tamadun Islam, khususnya subjek menyentuh kosmologi, metafizik, falsafah dan bahasa, selain telah menyampaikan lebih 400 syarahan umum di negara Asia, Amerika Syarikat dan Eropah. - Bernama
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Utusan Malaysia 24 Februari 2010

Kemunduran politik punca kejatuhan negara

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mengingatkan semua pihak bahawa kejatuhan sesebuah negara bermula dengan kemunduran akibat budaya dan persekitaran politik yang membunuh perkembangan intelek.
Baginda bertitah, perkara negatif itu berpunca daripada perasaan takut dan gentar di kalangan pemimpin yang merasakan kedudukan mereka mungkin tercabar.
Titah baginda, pemikiran sedemikian amat destruktif kerana ilmuwan sepatutnya terus dimuliakan bagi membina kekayaan dan khazanah intelek negara.

"Pimpinan yang stabil dan negara yang maju sentiasa memilih pendirian untuk mendampingi dan bekerjasama dengan ilmuwan dan menyediakan persekitaran politik yang tidak memusuhi kumpulan ilmuwan.

"Kekayaan intelek negara harus terus ditambah melalui usaha-usaha yang memberikan dorongan dan keyakinan kepada ilmuwan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian sewaktu melancarkan buku Knowledge, Language, Thought And The Civilization Of Islam: Essays In Honor Of Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Kampus Antarabangsa, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah sarjana Islam terkemuka, Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas; Pro Canselor UTM, Tan Sri Dr. Abdullah Ayub serta Datuk Dr. Muhamad Ridzuan Muhamad Salleh dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang.

Buku terbitan UTM Press itu mengandungi 22 esei hasil penyelidikan 24 sarjana dengan tujuan merakamkan pengiktirafan terhadap Syed Muhammad Naquib selaku ilmuwan bertaraf dunia.
Penulis esei berkenaan terdiri daripada sarjana dari serata dunia seperti Afrika Selatan, Amerika Syarikat (US), Bahrain, Mesir, Gambia, Iran, Iraq, Jerman, Macedonia, Belanda, Russia, Turki, United Kingdom (UK) di samping sarjana tempatan.

Terdahulu sewaktu mengulas pemikiran Syed Muhammad Naquib, Raja Nazrin bertitah bahawa ilmuwan itu tidak pernah mendapatkan naungan politik untuk melonjakkan kedudukan kerana tidak mahu pemikirannya terikat dengan mana-mana kumpulan politik.
Baginda bertitah, pendirian berkenaan adalah kerana ilmuwan terbilang itu tidak reda kejernihan tasik pemikirannya dicemari oleh pelbagai polemik dan persengketaan politik atas hasrat mendapat, mengguna, menyalahguna mahupun mempertahankan kuasa.

Titah baginda, Syed Muhammad Naquib juga mentafsirkan bahawa kemerdekaan sebenar bermula dengan kemerdekaan minda untuk berfikir dan bertindak bersandarkan prinsip ilmu, pengetahuan dan tradisi bernilai sesebuah negara.

"Pada hemat beliau, bila berlaku perselisihan pandangan atau kelainan tafsiran di antara seorang sarjana dengan kerajaan dalam perkara-perkara tertentu, kerajaan jangan terlalu cepat menganggap mereka sebagai ahli politik pembangkang yang memang lazimnya mencari kesalahan untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan.

"Tetapi hendaklah dihargai bahawa minda seseorang sarjana itu merasakan dirinya bertanggungjawab mendidik masyarakatnya di samping memiliki keberanian serta memaklumkan kepada kerajaannya tentang fakta dan hakikat yang berlaku," tegas baginda.
Dalam perkembangan berkaitan, baginda turut memuji Syed Muhammad Naquib kerana komited menobatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu walaupun mendapat pendidikan tinggi dalam bahasa Inggeris.

Baginda bertitah, Syed Muhammad Naquib juga amat gigih berusaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di Universiti Malaya (UM) walaupun mendapat tentangan hebat dari pensyarah lain di samping menjadi pendukung utama penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Penulisan-penulisan beliau dalam bahasa Melayu memberikan nilai ilmu kepada bahasa Melayu apabila beliau memperkenalkan gaya penulisan baru di peringkat intelek dan falsafah.

"Hanya Allah yang maha mengetahui akan gelora rasa yang beliau alami kerana pada hari ini sudah ada suara yang semakin berani mahu menggugat bahasa Melayu, bahasa ibunda pribumi yang telah diterima sebagai bahasa kebangsaan di negara ini," titah Raja Nazrin.

Selasa, 23 Februari 2010

Ucapan penghargaan oleh Prof. Dr. SMN Al-Attas sempena pelancaran' festschrift' "Knowledge, Language, Thought and Civilization of Islam: Essays in Honour of SMN Al-Attas"

Yang Teramat Mulia Raja Dr. Nazrin Shah menyampaikan ucapan pelancaran dan penghargaan festschrift Prof. Al-Attas.


Alhamdulillah, alladzii arsala rasuulahu bil huda wa dinil haq, liyudhhirahu Ăala diini kullih wa ssolatuwassala muĂala saidina Muhammadinillazi al-muzhir kalimat at-Tauhid. Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Yang teramat mulia, Raja Dr. Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, kepada yang ternama, yang mempunyai darajat keistimewaan beringkat jasa[1] masing-masing dan para hadirin yang dihormati sekalian.

Sesuai bagi saya di sini mengucapkan setinggi penghargaan kepada isteri saya Latifah teman hidup saya selama lebih setengah kurun yang selama ini telah memberi zuriat yang membanggakan dan dengan sabar lera diri dan kasih sayang sejati telah menyediakan suasana tenang dan damai, yang meredakan alunan gelora kehidupan yang kami tempuh bersama.

(tepukan gemuruh daripada para hadirin)

Daripada-nyalah saya terhutang budi dan berjaya dalam usaha menjalankan tugas serta tanggungjawab agama dan ilmu yang hasilnya kini sedang dinilai dunia. Bagi melaksanakan dengan sempurna tugas serta tanggungjawab agama dan ilmiah yang  saya maksudkan, saya perlukan khidmat seorang ilmuan yang telah berguru dengan ilmuan ternama yang saya kenali[2] dan yang layak menerima amanah saya.

Kini menjelaskan bagi ilmuan itu harus memiliki sifat-sifat serta perilaku akhlaq yang tertentu, iaitu ikhlas pada diri,percaya kepada kewibawaan dan kejujuran saya sebagai ilmuan sejati[3],taat setia kepada saya dengan kasih yang ikhlas, mengenali dan mengakui hak[4] saya dan meletakkan-nya pada tempat yang wajar. Sifat-sifat dan perilaku akhlaqiah yang terpuji ini, saya dapati pada diri Profesor Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud yang telah lama mendampingi diri dan pemikiran saya selama lebih 20 tahun sebagai sahabat dan telah menemani pengembaraan saya ke balai-balai keilmuan di merata dunia. Kepada-nyalah saya aturkan penghargaan teristimewa.

Kepada para ilmuan ternama dari serata dunia yang telah menyumbangkan risalah pengĂitirafan yang dirayakan ini saya sungguh berterima kasih. Kepada mereka dikalangan murid saya yang telah banyak berbakti[5] dan mereka yang telah menjalankan penelitian serta pengumpulan pelbagai risalah ilmiah yang terkandung dalam buku yang dilancarkan ini dan juga mereka dikalangan para pegawai[6] yang telah lama berkhidmat di bawah arahan saya kepada-nya semua saya ucapkan penghargaan ikhlas.

Penerbitan buku ini telah dilaksanakan dengan begitu baik oleh penerbit Universiti Teknologi Malaysia (UTM) atas anjuran Naib Canselor Profesor Dato’ Ir. Dr. Zaini bin Ujang, seorang ilmuan yang berhemah tinggi, kepadanya saya mengucapkan berbanyak terima kasih.

Dan sembah salam saya terhadap tuanku yang teramat mulia Raja Dr Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, raja yang Ăarif lagi budiman yang atas kesudiannya bukan sahaja melancarkan buku ini malah menilai kandungannya dengan tilikan bijaksana, saya menjunjung kasih.

Catatan akhir

Kami cuba dapatkan rakaman dan teks ucapan perasmian dan penghargaan daripada Yang Teramat Mulia, Raja Dr. Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah yang sangat menarik lagi bijaksana dalam menilik mahaguru kita Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

Sebarang salah dan silap dalam saya menukilkan kembali ucapan penghargaan mahaguru kita, Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas adalah kerana kekurangan dan kelemahan saya dalam menanggapi semula rakaman ringkas yang ada.


[1] Saya lama merenung ungkapan Prof. Al-Attas ini, yang agak “unik” buat para hadirin sehingga mereka tertawa kerana menilai ungkapan tersebut. Bagi saya yang menilik secara dhaif ini, ungkapan ini sebenarnya bukan mainan bahasa tanpa maāna kerana Prof. Al-Attas, seperti yang saya sering dengar daripada anak murid beliau yang berwibawa bukanlah ilmuan yang tidak beradab pada bahasa yang diguna pakai oleh beliau. Setiap suku kata malah tanda baca yang digunakan oleh beliau dalam bertutur, khususnya dalam penulisan Ăilmiah beliau mempunyai maāna tertentu sesuai dengan adab setiap huruf dan tanda baca tersebut dalam menyampaikan isi kandungan hujah beliau. Dalam hal ungkapan “unik” ini, pada hemat saya yang dhaif ini, Prof. Al-Attas menjelaskan salam hormat buat para aristokrat seperti Tan Sri, Puan Seri, Dato’, Datin, Profesor, Profesor Madya yang masing-masing pada hakikatnya dianugerahi darjah kehormat sebegitu rupa sesuai dengan sumbangan dan jasa dalam bidang masing-masing. Mungkin para hadirin yang tiada biasa mendengar ucapan beliau akan berasa sedikit kelakar kerana amat jarang sekali kita dapat mendengar dalam majlis rasmi laras Bahasa Melayu klasik tinggi yang menjadi sine qua non cara-gaya kognitif Prof. Al-Attas.

[2] Allahyarham Prof. Fazlur Rahman (University of Chicago)

[3] Pada hemat saya yang dhaif ini, cara-gaya Bahasa Melayu yang diguna pakai Prof. Al-Attas ini merupakan cara-gaya Bahasa Melayu klasik. Perkataan “sejati” yang diguna pakai oleh Prof. Al-Attas ini merujuk kepada kefahaman dan Ăamal beliau dalam memperakui tugas dan amanah beliau sebagai seorang ilmuan tulen (bukan kerana KPI etc.) yang tiada boleh disalah ertikan sebagai “angkuh” atau “berlagak” seperti yang sering dituduh oleh para penghasad-dengki yang telah sekian lama merosak punahkan gagasan beliau, khususnya ISTAC.

[4]Adab is the discipline of body, mind and soul; the discipline that assures the recognition and acknowledgement of one’s proper place in relation to one’s physical, intellectual and spiritual capacities and potentials; the recognition and acknowledgement of the reality that knowledge and being are ordered hierarchically according to their various levels (marĀtib) and degrees (darajĀt). Since adab refers to recognition and acknowledgement of the right and proper place, station, and condition in life, and to self-discipline in positive and willing participation in enacting one’s role in accordance with that recognition and acknowledgement, its actualization in one and in society as a whole reflects the condition of justice (Ăadl). Justice itself is a reflection of wisdom (Ąikmah), which we have already defined as that God-given knowledge which enables the recipient to discover the right and proper place for a thing or a being to be. The condition of being in the proper place is what we have called justice; and adab is the method of knowing by which we actualize the condition of being in the proper place. So adab, in the sense I am defining here, is also a reflection of wisdom; and with respect to society adab is the just order within it. Adab, concisely defined, is the spectacle (mashhad) of justice as it is reflected by wisdom.”       SM Naquib Al-Attas,  The Concept of Islamic Education, the keynote address delivered by Professor Naquib al-Attas at the “First World Conference on Muslim Education” held in Makkatul MuĂaĉĉamah in March 1977.  p11-12

[5] Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud (ATMA-UKM),  Prof. Madya Dr. Zainiy Uthman (IIUM), Prof. Alparslan Acikgenc (Fatih University), Dr. Mustafa Ceric (Grand Mufti of Bosnia-Hezergovina), Dr. Zaidi Ismail (IKIM), Dr. Sani Badron (IKIM), Dr. Wan Azhar (IKIM), Dr. Farid Shahran (mantan Timbalan Presiden ABIM, Pengerusi HAKIM, IIUM) Dr. Wan Suhaimi Wan Abdullah (UM), Dr. Azizan Sabjan (USM), Dr. Adi Setia (IIUM ) Ustaz Asham Ahmad (IKIM), Ustaz Nik Roskiman (IKIM), Dr. Aliza Elias (IIUM), Dr. Megawati Moris (IIUM), Dr. Bazli Shafie (UMT), Ustaz Roslan Jelani, Dr. Syed Ali Tawfiq Al-Attas, Prof. Dr. Kamar Oniah,  dan juga dari Indonesia seperti Dr. Syamsuddin Arif (IIUM, INSISTS), Dr. Hamid Fahmy Zarkasyi (Gontor, INSISTS), Dr. Adian Husaini (INSISTS), Dr. Khalif Muammar (ATMA-UKM), Ustaz Adnin Armas (INSISTS), Dr. Ugi Suharto (INSISTS) dan banyak lagi yang mungkin saya belum kenal atau tiada teringat berkenaan mereka khususnya dari luar negara.

[6] Antara contoh kesan terbaik menjalarnya budaya ilmu telah digambarkan oleh Encik Sabri yang dahulu-nya merupakan pemandu Prof. Al-Attas sewaktu di ISTAC yang kini sering menghadiri hampir ke semua wacana HAKIM yang mana dipandu arah oleh anak-anak murid Prof. Al-Attas sendiri.