Isnin, 5 April 2010

Menelaah Robert Fisk dari dekat


Lama sudah jari jemari ini tidak menekan punat papan kekunci dek kerana terikat dengan komitmen baru setelah bergelar orang korporat. Dengan amanah baru ini, rausyanfikir.com mungkin akan berhadapan dengan pelbagai kekangan dalam melontarkan sebarang pandangan yang sensitif khususnya berkaitan politik. Walaubagaimanapun, kekangan ini bukanlah satu penamat buat usaha pembudayan ilmu secara kecil-kecilan ini. 


Memegang amanah kerjaya dalam dunia minyak dan gas membuka satu dimensi baru untuk saya benar-benar mengaplikasikan seberapa boleh kerangka falsafah yang telah saya bina melalui tunjuk ajar dan didikan para guru yang dedikasi khususnya oleh para anak murid Prof. Al-Attas. Falsafah bukan lagi di peringkat teoretikal tetapi saya harus berusaha membumikan kerangka tersebut ke tempat yang sewajarnya agar tertayang di benak minda kita akan transformasi syumul yang kita inginkan selari dengan kerangka ru'yat al-Islam lil wujud.


Untuk mendapat sedikit inspirasi  tentang bagaimana ahli falsafah moden mengaplikasikan kerangka mereka ke dalam lapangan kontemporari, saya telah bertandang ke IAIS pada hari Ahad lepas untuk mendengar syarahan daripada Dr. Robert Fisk yang merupakan seorang investigative journalist yang paling saya kagumi yang mana beliau merupakan pakar berkaitan isu-isu penting di Timur Tengah.

 Robert Fisk

Kenapa saya katakan beliau sebagai seorang ahli falsafah dalam ruang lingkup yang selayaknya iaitu dunia kewartawanan? Memang sedia maklum bahawa para wartawan yang hebat sebenarnya merupakan prototaip ahli falsafah kontemporari atau lebih segar dilabel sebagai public intellectual. Terdapat banyak nama-nama hebat yang mewarnai dunia kewartawanan penyiasatan ini seperti Chris Hedges, Arundhati Roy, Naomi Klein, Greg Palast, Amy Goodman, George Monbiot, John Pilger dan Robert Fisk merupakan antara yang terhebat pernah dilahirkan pada abad ini.


Beliau yang menulis untuk The Independent UK  merupakan seorang intelektual awam yang empunya daya taakulan yang tajam dalam menganalisa isu-isu besar yang merajai dunia kewartawanan yang sebenarnya mempunyai pengaruh yang besar terhadap penentuan dasar luar sesebuah negara khususnya berkenaan Dunia Islam dari perspektif Barat.


Dalam syarahan tersebut, saya dapat menanggap beberapa isi penting yang beliau kupas dalam gaya bahasa dunia kewartawanan tetapi sebenarnya merupakan antara alat penting dalam berfalsafah. Robert Fisk menjelaskan bahawa media massa yang dimilki korporat khususnya oleh Rupert Murdoch telah acap kali bertindak memutar belitkan berita dengan melakukan de-semanticizing dan de-contextualizing berita-berita yang berlaku di Dunia Islam bagi memenuhi agenda hegemoni Barat khususnya Amerika Syarikat di Timur Tengah.


Robert Fisk memberi contoh bahawa dalam media massa korporat di Barat sering kali cuba sedaya upaya menggambarkan peperangan sebagai sesuatu yang bloodless agar masyarakat awam tiada dipengaruhi sentimen yang mampu membawa kepada penolakan dasar peperangan tersebut secara tegar. Penyalah gunaan semantik perkataan tertentu juga kerap kali berlaku di mana Robert Fisk memberikan contoh berkaitan tembok besar yang dibina Israel dalam menyekat pergerakan rakyat Palestin telah disalah ma'nakan sebagai pagar (fences) dalam media massa walhal gambaran tersebut amat tidak tepat. Begitu juga beliau menerangkan bagaimana Presiden Obama sendiri dalam ucapan beliau kepada Dunia Islam di Kaherah tahun lalu amat berhati-hati untuk tidak menggunakan langsung perkataan pelarian (refugees), penjajahan (occupation), dalam mengolah pandangan beliau berkenaan konflik Israel-Palestin.


Penelitian kritis daripada Robert Fisk ini amat jarang dilakukan oleh kita umat Islam yang selalnya memborong bulat-bulat berita yang dikeluarkan daripada sindiket berita antarabangsa seperti Reuters dan AFP untuk dimuatkan dalam akhbar harian kita.  


Untuk memahami lebih lanjut akan kewibawaan Robert Fisk sebagai seorang wartawan penyiasatan dan intelektual awam, adalah amat baik jikalau para pembaca dapat memeliki karya-karya beliau khususnya yang terbaru The Age of the Warrior dan The Great War of Civilizations: The Conquest of Middle East bagi menikmati sendiri sajian falsafah dalam dunia penulisan awam.

1 ulasan:

Mohd Fadzli Mohd Zin berkata...

Salam sahabat,
Baru2 ini saya ada mengikuti temuramah beliau di Astro Awani (sudut pandang) dan ternyata beliau mempunyai sisi pandangan alternatif yang sangat menarik dikupas dan dikaji terutamanya oleh orang Islam.

Saya berkata demikian kerana pengacara sendiri pun kelihatan seperti "tak boleh ikut" atau terpanah dengan pandangan2 beliau.

Terus saya terpanggil untuk mendapatkan buku-buku beliau. Namun masih belum berpeluang. Insyaallah.

kakikawa.blogspot.com