Selasa, 12 Januari 2010

Teologi cetek?



Forum semalam memang "Full house" (sumber gambar: themalaysianinsider.com)


Selesai sudah forum yang "panas" tapi berjaya dikemudi dengan baik oleh semua individu yang terlibat secara rasmi atau pun tidak . Bagi saya, forum semalam yang dianjurkan oleh PMIUM dan Free Public Forum (FPF) jauh lebih baik dan terurus berbanding forum berkenaan Lina Joy yang diadakan di Hotel Armada, Petaling Jaya kira-kira 3 tahun lepas.

Seperti biasa dalam kebanyakkan forum, terdapat dua kem yang saling kontra antara satu sama lain dalam menegakkan hujah masing-masing. Kem yang melarang penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam diwakili oleh dua guru saya, Dr. Farid Shahran dan Dr. Khalif Muammar, yang juga merupakan anak didik Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas sendiri serta saudara Shah Kirit yang terkenal sebagai penceramah perbandingan agama di Malaysia.

Kem yang menyokong pula terdiri daripada Eddin Khoo, seorang budayawan, YB Khalid Samad, Hasmin Hashim dari jalantelawi.com serta Dr. Azwira A. Aziz, Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga merangkap bekas ahli Majlis Fatwa negeri Perlis.

Ramai yang bertanya kepada saya selepas selesai forum kenapa tidak bertanya soalan (mungkin ramai dah biasa melihat saya menjadi orang paling awal bertanyakan soalan dalam kebanyakkan forum awam) kepada para panelis. Bagi saya forum ini bukanlah tempat untuk mencari jawapan tuntas dalam erti kata lain "mendidik" hal yang Benar berkenaan isu ini dan lagi pun Alhamdulillah saya sendiri telah memahami the crux of this issue dalam beberapa siri perbincangan secara tertutup bersama guru-guru saya dan secara terbuka bersama rakan-rakan Facebook yang lain.

Jadi tiada banyaklah yang boleh saya olah perihal forum ini dari sudut membantah penggunaan nama Allah, melainkan sisi sudut yang lain sedikit iaitu berkenaan "kekeliruan" yang timbul dari kem yang menyokong penggunaan nama Allah ini.

Keliru? Ya, keliru itu besar ma'na-nya tapi saya tidak perlu bersikap apologetik terhadap mereka yang saya labelkan sebegini. Kalau kita kaji dan renungi latar belakang para penyokong kem yang menyokong hujah penggunaan nama Allah buat orang bukan Islam, rata-rata mereka ini sama ada membawa fahaman dasar liberal atau fahaman dasar literal, dalam erti kata lain fahaman Salafiyyah. Dasar liberal disini dari erti kata tiada memahami dan mengenal pasti dasar penghujahan mengikut lunas ilmu tersebut, dalam hal ini ilmu 'aqidah dan usul fiqh dalam memutuskan kebenaran sesuatu perkara. Islam tiada menerima konsep hermeneutika seperti mana pentafisran teks Injil yang menjadi teras epistemologi golongan Islam liberal dalam memahami teks Al-Qur'an dan Hadith.

Eddin Khoo acap kali membuat kritikan terhadap forum semalam yang difahami-nya sebagai perbincangan "teologi yang cetek". Malang sekali, beliau tidak pula menjelaskan apa yang difahami beliau sebagai teologi cetek kerana bagi saya forum semalam memang perlu diperbahaskan daripada segi teologi dek kerana isu ini dari segi asas-nya berupa persoalan teologi atau usul al-din.  

Hujah yang dilontarkan oleh Eddin Khoo dan Hasmi Hashim berkisar beating around the bushes dengan memperbesarkan skop perbincangan kepada aspek sejarah dan sosiologi, yang saya kira kurang relevan dalam forum tersebut kerana hatta dengan membuka ruang wacana seluas itu pun mereka masih gagal untuk menjustifikasikan mengapa orang Kristian layak dari sudut teologi menggunakan nama Allah dalam menggantikan perkataan God dan Lord yang diterjemahkan kepada Bahasa Melayu. Seperti kata Dr. Farid Shahran, kita harus membezakan antara fakta dan kebenaran. Tiada semestinya sesuatu fakta itu benar jikalau diletakkan pada tempat yang salah sehingga menggambarkan kepalsuan hakikat fakta itu. 

Bagi Hasmi Hashim pula, beliau cuba menegakkan benang yang basah dengan meletakkan Abdullah Munsyi, sebagai penterjemah awal kitab Injil kepada Bahasa Melayu sebagai "autoriti" dalam menyokong pendirian menyokong penggunaan nama Allah ini. Saya lihat hujah beliau amat lemah kerana disamping tiada mampu beliau jelaskan hujah tersebut dengan baik, Abdullah Munsyi ini pun tidak pernah diletakkan sebagai autoriti dalam hal usul al-din umat Melayu Muslim di Nusantara. Malah terjemahan kitab Injil beliau itu sekali pun tidak pernah diangkat mempengaruhi korpus kefahaman semantik Bahasa Melayu yang diterima pakai oleh umat Melayu Muslim selama ratusan tahun. Pendek cerita, Abdullah Munsyi bukan autoriti dalam ilmu 'aqidah dan dampak penterjemahan kitab Injil tersebut tiada mempengaruhi Bahasa Melayu sebagai Bahasa Islam pun dek kerana tiada berlakunya perubahan semantik yang jelas penerimaan konsep ketuhanan dalam agama Kristian ke dalam konsep semantik nama "Allah" itu.

Melihat YB Khalid Samad berucap pertama kali secara "live", baru saya faham mengapa golongan konservatif dalam PAS sering kali tidak duduk senang dengan mereka yang tergolong dalam firqah Erdogan. Rasanya teguran daripada saudara baru yang bertanya dalam forum semalam berkenaan kekeliruan YB Khalid Samad cukup menggambarkan hujah-hujah beliau yang bukan sahaja keliru malah dipolitikkan sebegitu rupa. Saya syorkan Dato' Dr. Haron Din menggagaskan proses ta'dib kepada wakil rakyat PAS yang sebegitu rupa.

Hujah Dr. Azwira bagi saya mewakili golongan literalis ataupun lebih tepat amat menyerupai golongan Salafiyyah. Dalam sangkalan beliau terhadap Dr. Khalif Muammar berkenaan metodologi tafsir, saya harap paling koman pun beliau patut memberi kupasan berkenaan asbabun nuzul (sebab turun ayat) terhadap ayat Al-Qur'an yang dijadikan hujah. Malangnya beliau tidak membuat sedemikian. Macam biasa, hujah Dr. Azwira mirip hujah Dr. Asri. Tiada banyak beza.

Saya harap sesiapa yang merakamkan forum tersebut semalam dapat memuat naik ke dalam Youtube untuk perkongsian ramai. 

Bagi saya, dalam usaha mendidik masyarakat berkenaan al-Haqq (Truth and Real), forum sebegini bukan tempatnya. Eddin Khoo yang acap kali melontarkan cliche "teologi cetek" seharusnya menjawab secara ringkas paling koman pun satu persoalan berkenaan teologi bukan sekadar mengkritik tanpa asas. Kalau benar beliau mahu membahaskan soal teologi tanpa "mencetekkan" perbahasan semalam, beliau sendiri patut menjawab persoalan-persoalan yang dilontarkan oleh para panelis yang menyokong pengharaman penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam.

Walaubagaimanapun, forum tersebut saya kira berjaya dalam mempromosikan wacana-wacana yang serius sebegini biarpun kualiti perbahasan di sebelah kem yang menyokong nama Allah untuk penggunaan orang bukan Islam kerap kali tersasar jauh daripada isu teras yang harus diperbahaskan.

Untuk mengetahui kupasan ringkas yang kritis dalam memahami cara dan kefahaman

yang berbeza dalam merungkai isu ini, saya ingin jemput para pembaca sekalian membaca tulisan saudara Noor Eqbal bertajuk "Isu nama Allah: Dua kesimpulan, empat jalan".

Juga rujuk penulisan terbaru berkenaan isu nama Allah oleh Panel Penyelidik Yayasan Sofa di sini.


2 ulasan:

PEMENANG berkata...

maafkan saya...atas komen yang mungkin x berakhlak di atas...

lepas ini saya akan komen dan kritik dengan cara berakhlak

-sebenarnye saya meminati penulisan2 anda..apa yang saya setuju saya diamkan sahaja dan apa yang saye kurang setuju sahaja saya tinggalkan jejak.....HARAP MAAFKAN SAYA

cuma saya ingin tekankan bahawa dari sudut fekah tiada masalah pon menggunakan kalimah Allah seperti fatwa ulamak2 besar .....

cuma dari sudut falsafah mahupun pemikiran mungkin ada kontra

oleh sebab itu PAS mengeluarkan kenyataan sedemikian......pada dasarnya Islam tak melarang tapi menggunaknnya secara keliru sewajarnya dielakkan

salah ke kenyataan sedemikian?

yang saya amat tak setuju ialah anda memanaskan isu ini secara berlebihan ...sehingga masalah terus jadi masalah bukan masalah jadi peluang....sepatutnya anda tulis masalah akidah orang kristian
..mengambil peluang berdakwah
kepada org kafir..bukan semua kafir itu kafir harbi.....jangan prejudis dan men'generalize'kan semua orang kafir

hurm...

dreamerofdreams berkata...

Assalaamualaikum,

Sejak timbulnya isu penggunaan nama Allah ini, sya sering membaca blog saudara. Dengan itu dapat saya kembali meneroka pemikiran-pemikiran drp Prof Al-Attas dan ISTAC yang saudara sampaikan berdasarkan kefahaman saudara dan juga penulisan-penulisan langsung yang dipautkan saudara drp graduan ISTAC. Maklumlah sudah masuk tahun ke-5 saya bertualang di luar negara mencari ilmu. Untuk itu saya ingin mengucapkan terima kasih pada saudara.

Namun pada masa yg sama, saya bersetuju dengan pendapat saudara PEMENANG di atas. Saya rasa cara saudara melabel saudara seIslam kita yg tidak bersependapat dgn saudara dlm hal nama Allah ini keterlaluan.

Lebih-lebih lagi umat Islam dr negara lain, yang juga bahasa Arab bukan bahasa ibunda mereka tidak menjadikan hal ini sebagai masalah baik bagi aqidah mereka, juga bagi hubungan sesama masyarakat.

Bagi saya, tiada masalah jika saudara tetap berpegang dengan pendapat saudara. Tapi ia pasti menjadi masalah jika saudara mempersoalkan aqidah, manhaj, firqah, tasawwur, dsb. pada mereka yg tidak sehaluan dgn saudara. Sedangkan ulama' berbeza pendapat, apatah lagi kita yg belajar daripada mereka?

Kita harus ingat. Hidup ini bukan sekadar utnuk menjaga hubungan kita dengan Allah, tetapi jua hubungan kita dengan manusia. Hubungan kita dengan Allah hanya Allah yang boleh tentukan, sama ada kita telah menjaganya atau tidak. Dan itu juga kita hanya akan ketahui di Akhirat kelak.

Tetapi hubungan kita dengan manusia, kesannya dapat kita lihat dengan mata kepala kita sekarang! Nilailah sendiri, sama ada kita sedang menjaga hubungan ini atau tidak!