Sabtu, 23 Januari 2010

Pemerhatian: Diskusi Isu Kalimah Allah Bersama Politikus


Malam semalam (18 Januari 2010), saya berkesempatan menghadiri satu sesi perbincangan tertutup berkenaan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di kediaman Ketua Umum PKR. (Berita di sini) Turut hadir pada malam itu adalah para pemimpin PKR dan PAS. Perbincangan yang berlanjutan hampir tiga jam itu berjalan dengan agak baik, tetapi saya dan rakan-rakan agak kecewa dengan banyak hal, terutamanya yang berkaitan dengan ‘mentaliti’ dan ‘sikap’ orang-orang politik. Saya rumuskan perbincangan yang berlangsung pada malam tersebut dalam beberapa perkara penting yang saya senaraikan di bawah;


1)
Hujah-hujah yang bersifat ilmiah dan intelektual, khususnya yang melihat daripada aspek teologi, falsafah bahasa, serta latar sosio-budaya, ternyata sukar diterima oleh ahli perbincangan pada malam itu yang rata-ratanya sudah membuat keputusan masing-masing. Sikap yang ditunjukkan oleh beberapa pemimpin politik yang memperlekeh pandangan intelektual, menolak pandangan dari sudut falsafah bahasa dan mengenepikannya mentah-mentah ternyata mengecewakan. Malah, lebih mengecewakan kerana majoriti pandangan yang dikemukakan oleh orang-orang parti politik yang terlibat pada malam itu lebih bersifat ‘pandangan’ dan ‘pendapat’ yang seolah-olah dibuat tanpa melakukan penelitian, kajian, serta pembacaan yang lebih meluas dan mendalam. Banyak hujahan yang simplistic dilontarkan, semata-mata untuk mempertahankan pandangan kelompok mereka.



2)
Sikap segelintir kecil orang-orang politik yang terlibat di dalam perbincangan tersebut yang gemar menggunakan hujah daripada nas Al-Qur’an dan Al-Hadith, walaupun mereka bukanlah orang yang berkelayakan dalam bidang agama atau tidak pernah mempelajari agama secara serius melalui sistem pengajian yang serius (bukan melalui bacaan satu-dua buku, bukan melalui kajian Internet, bukan melalui ceramah-ceramah, tetapi melalui kelas-kelas pengajian yang ada gurunya), membayangkan keangkuhan mereka. Ayat-ayat yang digunakan, serta sanggahan terhadap penggunaan ayat itu sebagai dalil membenarkan penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam, telah disentuh oleh Mohd. Aizam bin Mas’od di dalam artikel bertajuk “Hujah Menolak Penggunaan Kalimah ‘Allah’ Oleh Kristian”.



3)
Pendirian ‘tidak rasmi’ Pakatan Rakyat seperti yang diumumkan oleh DSAI pada permulaan sesi perbincangan, yakni untuk menyokong penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negara ini, antara lain – menurut DSAI – dikukuhkan dengan pandangan yang diterima daripada Dr. Yusuf Qardhawi dan Dr. Wahbah Zuhaili. Hal ini ternyata mengecewakan dan membayangkan seolah-olah orang-orang politik tersebut ‘miskin’ dengan jaringan para ‘ulama. Mendengar pandangan daripada dua orang tokoh tersebut, dan kemudian terus membuat suatu keputusan (saya katakan keputusan kerana kenyataan telah dikeluarkan dalam media) adalah merupakan perkara yang tidak sihat dan sebenarnya telah menutup pintu untuk menerima pandangan-pandangan lain. Ya, kedua-dua tokoh itu adalah tokoh besar di dalam dunia Islam tetapi dunia Islam mempunyai ribuan ‘ulama. Di Malaysia sahaja kita mempunyai begitu ramai ‘ulama yang hebat dan luas ilmunya. Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, sebagai contoh, seorang ‘ulama muda tempatan yang kitab-kitab karangan dan terjemahannya sudah mencapai 300 buah, malah ada di antara kitab-kitab beliau yang digunapakai di universiti-universiti dan pusat-pusat pengajian di Mesir.



4)
Sesi perbincangan tersebut dilihat agak ‘tidak adil’ dan bersifat ‘syok sendiri’. Hal ini demikian kerana ahli perbincangan tersebut tidak cukup ‘diverse’. Majoriti ahli perbincangan adalah merupakan orang-orang parti politik masing-masing. Beberapa orang ahli akademik yang menghadiri perbincangan tersebut pula adalah merupakan kenalan lama kepada para pemimpin parti politik tersebut, sehingga menjadikan pandangan dan pendapat mereka agak ‘reserved’ dan terlalu berhati-hati. Agak mengecewakan kerana banyak di kalangan individu-individu yang autoritatif di dalam hal ehwal agama, terutama di kalangan ilmuan yang membantah penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam, tidak dipanggil dan dilibatkan sekali. Seolah-olah, yang mereka iktiraf sebagai ‘ulama dan ilmuan hanyalah daripada circle mereka sahaja. Sedangkan, ada ramai ‘ulama dan ilmuan yang mampu memberikan pandangan secara ilmiah dan bernas – dan jika benar mereka mahu menegakkan semangat muzakarah demi mencari kebenaran, maka seharusnya mereka dilibatkan sekali.



5)
Sikap politik kepartian yang tidak matang ternyata masih menebal. Biarpun sesi perbincangan tersebut – menurut yang difahamkan kepada kami – adalah sesi perbincangan ilmiah yang bertujuan untuk membincangkan isu tersebut secara sihat demi mencari penyelesaian kepada dilema yang sedang berlaku, tetapi ternyata orang-orang politik yang terlibat di dalam perbincangan tersebut – tua atau muda – semuanya masih ‘terperangkap’ dalam kerangka politik kepartian yang tidak matang. Biarpun beberapa kali disebutkan agar isu ini tidak dijadikan sebagai isu politik, tetapi ternyata pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh orang-orang politik pada malam itu majoritinya berdasarkan kepada kacamata ‘politik menang-kalah’; soal populariti parti, soal memenangi undi masih lagi menjadi timbang tara yang melebihi timbang tara ilmiah. Malah, perbincangan yang seharusnya ilmiah itu acapkali menjadi sesi mengutuk UMNO dan kerajaan. Ketua Umum PKR sendiri, pada hemat saya, agak emosional dan sangat terikat dengan pertimbangan politik dalam menilai pandangan-pandangan yang dikemukakan. Keadaan ini ternyata mengecewakan kerana sikap sebegini merugikan umat, kerana sikap ini menjadikan seolah-olah segala yang datangnya daripada UMNO itu dilihat oleh PAS-PKR sebagai ‘najis’ dan begitulah sebaliknya.



6)
Apa yang agak mengecewakan dan merisaukan juga adalah apabila DSAI mengeluarkan kenyataan supaya isu penggunaan nama Allah ini tidak dipanjangkan kerana banyak isu lain yang ‘lebih penting’ seperti isu kezaliman pemerintah, rasuah dan sebagainya yang perlu diberikan penumpuan serius. Saya agak terkesima dengan kenyataan tersebut, yang membayangkan satu kecelaruan dalam pandangan alamnya. Isu nama Allah ini berkait rapat (jika pun tidak berkait secara langsung) dengan usuluddin, dengan asas agama – kerana yang dibincangkan di sini adalah nama Tuhan kita! – justeru persoalan yang berkaitan dengan ‘aqidah umat Islam (walaupun mungkin tidak berkaitan secara langsung) haruslah diberikan keutamaan. Kenyataan DSAI itu membayangkan seolah-olah untuk ‘bertarung’ dengan orang Islam (kerajaan UMNO) itu lebih penting daripada bersatu bersama umat untuk ‘bertarung’ menentang orang bukan Islam (gereja Katolik).



Agaknya, memang sukar untuk merubah masyarakat menjadi masyarakat yang benar-benar berbudaya ilmu. Agaknya juga, masih ramai yang tidak memahami bahawa politik bukanlah penyelesaian terbaik kepada segala permasalahan umat yang wujud pada hari ini. Mungkin juga, ramai yang masih belum memahami bahawa asas kepada penyelesaian permasalahan umat, dan seterusnya untuk membina tamadun umat Islam yang terbaik, adalah pada persoalan ‘aqidah – soal pembentukan pandangan alam Islam yang benar dan jelas.


Saya pasti ulasan ini tidak popular. Mohon maaf jika ada sesiapa yang terasa. Semoga Allah mengurniakan hidayah-Nya kepada kita semua dan melimpahi Rahmat-Nya kepada kita tanpa putus.


Komentar:


Walaubagaimanapun, dalam Muzakarah pakar isu nama Allah anjuran IKIM yang dihadiri oleh Dr. Mohd Nor Manuty (PKR) dan Tuan guru Hj Abdul Hadi Awang (PAS) telah memutuskan untuk menolak penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam. Berita di sini.


Lihat juga "cara" DSAI "ulas" isu ni di bawah: 




11 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Perjanjian Hudaibiah mestilah dimulakan dgn Bismillah sebab perjanjian tu dibuat antara org Nabi Muhammad SAW) & bukan islam. Dah Nabi kita percaya kepada Allah takkan dia nak mula dgn tuhan lain pulak. Bila baginda menyampaikan dakwah kepada pembesar Rom dsbnya dia guna nama Allah, bukan nama tuhan sebab kalau setakat percaya kepada Tuhan, orang Kristian masa dulupun mmg dah percaya dgn tuhan.

Tanpa Nama berkata...

Anda yang dangkal ilmu, kalau di tempat kami dengan bahasa lembut lagi dipanggil 'bodo piang' atau 'bodoh sombong' tak boleh diajar...kesian,berpeluang duduk dlm perbincangan ilmuan tu pun tak diberi hidayah lagi,mintak la ampun banyak2..mintak hidayah kat Allah,nak halai dan mudah semua pila tanya ulama2 Malaysia yang agung macam hamid othman, zainal kadir, yusof noor, abdullah mat zin,asyraf wajdi, jamil khir dll..

CosmicBoy berkata...

Hang ni kelakar betui, utk membahas pengunaan kalimat Allah,semua pandangan harus diambil kira,selain pandangan Islamdan bukan Islam (Kristian), pandangan ahli2 politik juga harus dimabli kira, selain itu PR juga membawa pandangan historikal, aspek budaya, aspek bahasa dan akhir sekali sudut pandangan akidah. Yang hang ini asyik berpegang dengan pandangan akidah saja, itukan jumud namanya, padahal PR dengan membawa pelbagai pandangan & disiplin ilmu, maka keadilan dapat ditegakkan, keseimbangan & kesederhanaan dapat dilihat,jadi bukan soal benar-salah, kalau benar-salah hancurlah kerana Islam di Malaysia juga terbahagi kepada pelbagai pandangan dan pendapat. Hang nak semua org percaya yg hang (pemilik blog dan koncu2nya) bahawa semua pendangan kamu 'wahyu' dari Allah, pasti benar!!! Ini membahayakan dan tidak boleh dibiarkan kerana kelak akan menghasilkan golongan ekstrem.

Rausyanfikir berkata...

Ini soal aqidah bukan furu'. Majlis Fatwa dan Muzakarrah IKIM pun dah jelaskan pendirian tegas TAK BOLEH.

Siapa claim hujah kami wahyu? Ni melampau sangat. Apa kami tak jelaskan dari semua aspek budaya, bahasa dan sejarah sebelum ini?

Tolong jangan naif.

Tanpa Nama berkata...

@rausyanfikir
tinggalkan saja perbincangan dgn org2 yg dah tertutup mata hati kerana telah dikelabui dgn politik. Bukan politiknya yg salah, tapi mereka2 ini yg desperate sebenarnya. Mereka telah mati akal dan tidak tahu bagaimana lagi nak bertindak krn terlalu rakus untuk berkuasa.

Kalau mereka kembali pada sejarah, ketika perang Uhud, tentera Islam konfiden dgn bilangan yg lebih ramai, tapi kemudian tewas dalam peperangan sehingga Rasul sendiri mengalami byk kecederaan. Pengajaran dari kisah ini jelas, kuasa, bilangan dan apa saja tidak akan memberi apa jua jaminan.
Hanya taqwa saja senjatanya. Dan taqwa berasaskan kepada aqidah yg benar. Keyakinan siapa Tuhan yang disembah.

Mereka2 yg telah terjerat dgn perangkap politik barat ini berangan2 untuk satu hari dapat kuasa, dapat nama, dapat pangkat. itulah yang mendorong mereka terusan menyokong.

Kasihan pd mereka yang sudah tidak lagi tahu membezakan keutamaan. Masalah aqidah dibahas menggunakan pendekatan sejarah, budaya, bahasa, politik, dll.

Yg lebih pedih lagi, mereka sudah tak tahu pun apa constitute aqidah -nama, sifat dan af'al Tuhan. Jadi persolaan nama itulah yang menjadi isu ketika ini. tapi itu pun mereka sudah tidak dapat terima lagi.

Kasihan sungguh pengikut2 taqlid yg telah dibrain-wash. Sama-samalah kita doakan mereka. After all, mereka masih mengucap syahadah. cuma mungkin bila mereka kata "asyhadualla ill ha illah ALlah" mungkin dalam hati mereka akn terdetik "aku maksudkan Allah orang Islam bukan Allah orng Kristian".

CosmicBoy berkata...

Dengan mengatakan bahawa Allah Islam bukan Allah org Yahudi & Kristen secara tidak membenarkan kepercayaan Yahudi-Kristen bahawa Islam bukan lanjutan dari agama langit, mengerti kawan?

Kalau pandangan seseorang digolongkan sebagai satu2nya pandangan yg benar dan tanpa khilaf, bukankah itu sudah setaraf 'wahyu'@ Nabi? Maaf kawan, itulah kamu.

Nurturing The Ummah berkata...

anda banyak ilmu, tapi anda tidak tahu banyak perkara.

anda tahu banyak perkara, tapi anda tidak merasai banyak perkara.

anda merasai banyak perkara, tapi anda tidak nampak perkara disebalik.

anda nampak perkara disebalik, tapi anda kurang berpijak pada realiti semasa.

anda lantang menyuarakan pendapat, itulah yang sepatutnya.

Tapi anda dan saya masih kekurangan 'cara' bagaimana memahami dan menghalusi isu ini sebagai seorang pelajar selayaknya.. inilah kita yang mahu mengulas semua isu...

pemenang2 berkata...

ape la korang ni lemah btol jangan la mudah2 tuduh orang buta hati la ape la taksub politik la....jelaskanla kefahaman kamu pada mereka yang kamu kate tak paham tu...haih



susah la perbincangan x fokus nih

ahli berkata...

@pemenang yg disayangi
saya faham frustrasi sdra itu. dalam berbincang perlulah ada adab. lebih2 lagi kita orang Melayu, kaya dengan adap dan bahasa.

@cosmicboy yg dihormati
memang sejak dari zaman Nabi Adam a.s. risalah Tuhan yang dibawa adalah sama,iaitu menyembah tuhan yang satu dan setiap Nabi mengenalkan kepada Allah, sebagai Tuhan yang Esa.
Tapi, konsep tuhan ini telah dicemari dgn berbagai pandangan, kurafat, tahyul dan macam2 lagi. Konsep tuhan yang asal, telah dijadikan 3 dan ada pula membataskan kuasa Tuhan kepada bidang tertentu saja. Konsep Tuhan terus dikelirukan oleh ahli2 falsafah dan juga teologist.
Cuba sdra tonton balik cereamah Dr Ashamd Ahmad.
Selain itu, bila Islam datang, agama2 yang lain secara otomatis perlu tunduk kepada agama baru ini.
Maka sudah tiada lagi agama2 yang sewarjanya diiktiraf selain agama Islam.
Dalam Al-Quran, agama baru ini diberi nama Islam. Sebelumnya, nama ini tidak diberikan oleh Tuhan kepada mana-mana agama.
Dalam surah Al-Maidah, Allah jelas menyatakan Dia hanya menerima agama Islam, yang telah disempurnakan. Maksudnya, Allah hanya ingin dikaitkan dengan agama Islam dan bukan agama-agama lain
Jadi, tak bolehlah kita paksa Allah untuk dikaitkan dgn agama-agama lain.
Apa yang mereka lakukan selama ini, tidak sejajar dengan apa yang Allah perintah dalam Al-Quran. Jadi kita tidak perlu terima apa pun alasan mereka selagi kita yakin dengan kitab Al-Quran.
Walaupun mereka tidak menerima AL-Quran, kita sebagai umat Islam, tetap tegas ini kehendak Allah. Allah hanya ingin dikaitkan dengan agama yang telah disempurnakanNya iaitu Islam.
Apa juga claims selain itu, secara otomatik sudah jadi tak valid. Contoh, sdra sendiri ingin dikenali sebagai lelaki sejati, sdra yakin sdra lelaki sejati, sdra boleh buktikan sdra lelaki sejati, jadi, sesiapa saja yang kata anda gay anda tidak perlu layan walaupun sebelumnya ada lelaki yang mengaku sejati tapi turut berpakaian perempuan dan berlagak sebagai perempuan. Kita kena ada prinsip yg jelas dan memberi hak kepada Allah yang ingin dikenali sebagai Tuhan agama Islam.

Tentang kenyataan sdra sekiranya hanya satu pandangan saja dianggap betul, maka itu wahyu. Nampak jelas sdra berhujjah menggunakan emosi dan bukan secara rasional. Pertama, sdra kena faham makna wahyu itu. Kedua, sebagai orang Islam, kita sentiasa perlu ada prinsip. Contoh, kita tahu rukun Islam itu 5 dan rukun Iman itu 6 dan solat fardhu itu 5 kali dalam sehari. Maka, jika ada orang yang cuba mengatakan sebaliknya, kita tolak. Walau apa pun hujjah yang dibawanya.
Bila kita mengukur, kita berpandu kepada dasar ini. selagi pandangan tersebut tidak bercanggah dengan ajaran asal, kita boleh terima. Kita kena faham, dalam agama ada beberapa perkara yang fundemental yg tidak boleh diubah dan perlu diterima oleh seluruh umat Islam. Ada perkara furu' yng boleh diijtihad oleh mrk yg layak. Jadi, faham perkara2 asas ini dahulu.

Muhammad berkata...

Kajian (nama Allah) bawa paderi kepada Islam ! : http://wp.me/piAx4-15P

KALIMAH ALLAH : BUKAN BERMAKNA ‘GOD’ SEMATA-MATA : http://wp.me/piAx4-15A

Bolehkah Kristian Guna Kalimah Allah di Malaysia? : http://wp.me/piAx4-15t

Isu Penggunaan Kalimah ALLAH Bagi Orang-orang Kristian : http://wp.me/piAx4-14w

Hamba Dhaif, dalam luka dunia berkata...

pertama,maaf sy bukan org bijak pandai.cuma ingin berkongsi jiwa yang ingin hijau nan basah.apa perjanjian yang konkrit antara org Islam dan pihak kristian jika mengidam perlaksanaan sah umumkan Allah? apa modus operandi kita di pihak pengguna Allah y berwarna Islamic tawheedic untuk menghadapi segala kebakalan natijah?dan apa yang telah kita nuat selama ini sebelum sah umumkan Allah ini 'on air'? apa y para politikus telah berjaya operasikan sebelum ini dalam gejala2 negotiation dgn bukan Islam? the hidden values yang terketis oleh kita, sebenarnya, apa???jgn biarkan hijau ini layu dan basah ini kering.kerana sangat ringan untuk melayukan dan mengeringkan hati2