Isnin, 24 Ogos 2009

Disebalik jendela Ramadhan: pengamatan ringkas pengsekuleran dan pengkudusan falsafah ruang dan masa


Ramadhan al-Mubarak melahirkan ruang kudus yang cukup luar biasa seperti solat tarawih ini di Mesir.


Ramadhan al-Mubarak. Bulan yang teristimewa, suci lagi mulia dan penuh keberkatan. Bulan tarbiyah dan ta'dib dalam mengangkat diri insani ke malakut yang lebih tinggi, mengatasi juzuk diri haiwani. Inilah bulan yang benar-benar mendefinisikan hakikat diri insaniyah yang bergelar 'khalifah', yang jauh berbeda berbanding ciptaan Ilahi yang pelbagai jenis sifatnya.


Sedar atau tidak, umat Islam biarpun menjalani kehidupan beragama, masih terperangkap dalam jaringan ruang dan masa yang bersifat sekular dan kebendaan. Ini kerana pergerakan jasad dalam aktiviti tabi'ie (makan, minum, tidur) dan aktiviti ruhi ( berfikir, belajar) beroperasi dalam kerangka ruang dan masa (spatial-temporal).


Idea atau falsafah ruang dan masa yang mendominasi ketamadunan manusia moden pada hari ini tidak lain tidak bukan iaitu faham masa dan ruang daripada ketamadunan Barat yang boleh diertikan juga sebagai cabaran serangan falsafah sekularisme.


Kefahaman berkenaan masa dan ruang dalam diri umat Islam telah diubah suai tanpa sedar, atau mungkin juga sedar kerana kita takjub dengan 'kejayaan' tamadunan Barat dalam mempengaruhi hampir segenap sudut kehidupan insan di dunia ini khususnya dalam era globalisasi teknologi maklumat dimana konsep perkampungan global (global village) benar-benar telah terjadi dan dirasai oleh umat manusia yang terjalin dalam jaringan perkampungan ini.


Makalah ini cuba mengajak para pembaca untuk menyelami masalah ini ke samudera yang lebih mendalam dalam usaha memanfaatkan satu penyelesaian khas daripada Ilahi iaitu kewujudan bulan Ramadhan al-Mubarrak sebagai 'agen pembersih' fahaman songsang berkenaan masa dan ruang ini.



Pengsekuleran masa dan ruang (secularization of time and space)


Kupasan paling mendalam dan jelas berkenaan fenomena pengsekuleran masa dan ruang ini telah dilakukan dengan cemerlang oleh pemikir ulung tanah air, Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Tinjuan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam (USM, 2007:50-56):

" ...ma'na asal faham sekular, dari faham saeculum, membawa pengertian yang merujuk pada ruang dan masa, ya'ni tempat dan tempo, yang boleh difahami dari cara kata itu digunakan dalam sejarah perkembangannya; tetapi kini, susunan keutamaan dua wajah ruang dan masa yang merencanakatakan penduaan ma'nawi itu, telah berubah menjadi masa dan ruang dengan memberi penekanan pada wajah 'masa' atau 'tempo' dan bukan wajah 'ruang' atau 'tempat'. Tinjauan ma'nawi yang asal mengutamakan 'ruang' atau 'tempat, dan menayangkan pandangan alam yang terjadi dari pengalaman sejarah dan kesedaran dalam pemkiran agama Kristian Barat yang telah diserapi oleh adunan adat kebiasaan pemikiran dan kepercayaan Yunani-Rumawi dan Ibrani (Yahudi)...pemikiran serta kepercayaan Yunani-Rumawi melihat kewujudan sebagai ruang bertempat, sedangkan pemikiran serta kepercayaan Ibrani kononnya melihat kewujudan sebagai masa yang beranjakan.


Faham sekular yang membawa dua ma'na yang tadinya menekankan keutamaan tempat dan selepasnya masa, harus kini ditukar penekanan keutamaan ma'nawinya kepada masa atau tempo dan kemudian tempat: masa merujuk kepada maksud kini di sini, dan tempat merujuk kepada maksud dunia dan keduniaan. Saeculum ditafsirkannya sebagai membawa erti zamani atau masani, dan zamani atau masani merujuk kepada keadaan yang berlaku dalam dan pada dunia kini, ya'ni keadaan sezaman, semasa. Penekanan ma'nawi diberikan pada zaman atau masa tertentu dalam dunia ditinjau sebagai satu gerak-daya sejarah. Faham sekular merujuk kepada keadaan dunia pad zaman atau masa tertentu "

Al-Attas menjelaskan lagi:

" ...oleh kerana dua ma'na tempat dan masa itu merupakan faham asas bagi faham saeculum, yang memang sendirinya sudah mengandung bibit-bibit ma'nawi menuturi bawaan mantiknya sendiri, menjelmakan keadaan masani yang sedang merebak menular dengan hebatnya, dan oleh kerana faham 'tempat dan 'masa' itu merujuk kepada keadaan 'di sini' dan 'kini' menurut gilirannya, maka adalah lebih tepat dan benar bagi memperikan 'sekularisme' dengan kata majmuk kedisinikinian, ya'ni huna'l-aniyyah, dari kata-kata huna (di sini) dan al-an (kini), kerana 'kedisinikinian' yang timbul dari pengertian ma'nawinya jelas menayangkan suatu pengertian tentang dunia dan kehidupan duniawi yang menolak kedaaan alam lain di Sana; yang menafikan keadaan yang lampau kecuali sejauhmana ia mengikrarkan keadaan yang semasa; yang mengikrarkan masa hadapan terbuka tanpa sempadan; yang secara kesuluruhannya menafikan agama dan pandangan alam dan kehidupannya, nan mengandung ketetapan mu'tamad perihal akan berakhirnya segala kewujudan zahiri."

Berdasarkan penjelasan al-Attas ini, amat jelas sekali falsafah sekularisme yang menyerang umat manusia melalui hegemoni ketamadunan Barat baik dari segi budaya, keilmuan dan politik telah "mengelirukan" kita bermula dengan kefahaman mendasar seseorang insan berkenaan konsep ruang dan masa yang dimilikinya.


Konsep ruang yang timbul dalam faham ruang sekular hanya bertindak dalam parameter keduniaan tanpa diikat dengan kemas dengan parameter yang lebih kekal iaitu yawm al-akhirah. Penyempitan dan pendangkalan ma'na faham ruang sebegini menimbulkan pula bibit-bibit kesalafahaman dalam memahami konsep ruang dalam pelbagai juzuk pemikiran insan seperti faham kebahagiaan yang difahami dalam ruang lingkup kesakitan (pain) dan keni'matan (pleasure) fizikal ataupun nama lainnya faham kegunaan (utilitarianism) tanpa mengambil kira aspek ruhani insan yang mampu menanggapi faham kebahagiaan yang lebih tinggi martabatnya.


Begitu juga dengan
faham masa. Masa bukan lagi satu entiti yang kudus dan berjalan terus ke akhirat tetapi "diberhentikan" atau "disekat" perjalanannya kepada aspek masani. Ma'na metafizika masa telah dibuang daripada benak pemikiran masyarakat moden yang akhirnya mempengaruhi kefahaman mereka dalam banyak juzuk konsep pemikiran yang lain seperti kesan ma'na kebahagiaan yang telah disempitkan kepada aspek masani, bukan lagi diperpanjangkan kepada aspek ukhrawi yang bertalian rapat dengan persedian ruhani masani.


Pengaruh kerangka kefahaman berkenaan konsep masa dan ruang sebegini ada kaitannya juga dengan faham konsep masa dan ruang yang digagas oleh Isaac Newton, seorang ahli falsafah alam tabi'ie. Dalam Philosophiae Naturalis Principia Mathmetica, Newton menjelaskan tentang ke-mutlak-kan (
absolute) masa (time) dan ruang (space):

" Absolute space, in its own nature, without regard to anything external, remains always similar and immovable."


" Absolute, true, and mathematical time, of itself and by its own nature, flows uniformly, without regard to anything external"

Dalam faham realiti Newton, ke-mutlak-an masa dan ruang ini dihuni oleh zarah-zarah material yang juga boleh dikatakan bersifat atomistik. Pergerakan zarah bagi Newton adalah kerana adanya kesan daya tarikan graviti yang bertindak secara langsung dalam satu jarak. Newton merumuskan bahawa zarah dan daya tarikan graviti merupakan ciptaan Tuhan yang tidak perlu dijelaskan secara mendalam seperti yang diterangkannya dalam Opticks:

" It seems probable to me that God in the beginning formed matter in solid, massy, hard impenetrable, movable particles, of such sizes andfigures, and with such other properties, and in such proportion to space, as most conduced to the end for which he formed them; and that these primitve particles being solids, are incomparably harder than any porous bodies compounded of them; even so very hard, as never to wear or break in pieces; no ordniary power being able to divide what God himself made one in the first creation"

Dalam teori mekanik Newton, semua fenomena fizikal dipermudahkan kepada pergerakan zarah-zarah material yang bertindak balas dengan kesan daya tarikan graviti dan telah dirumuskan dalam Hukum Pergerakan Newton yang kita pelajari sewaktu di sekolah diguna pakai sehinggalah dalam kelas kejuruteraan sekalipun. Hukum ini diterima sebagai satu dogma yang muktamad dalam memahami sebarang fenomena perubahan dunia fizikal dalam korpus ilmu sains moden.


Mengikut pandangan alam Newtonian, Tuhan menciptakan zarah, daya tarikan antara zarah-zarah serta hukum asasi pergerakannya. Dengan konsep sebegini, seluruh alam telah digerakkan dan terus bergerak seperti mesin yang dikendalikan oleh hukum yang tidak boleh langsung berubah
(immutable).


Pandangan mekanistik sebegini, yang menjadi teras kepada banyak disiplin ilmu sains moden daripada ilmu fizik hinggalah kepada ilmu ekonomi yang memperlihatkan faham tentu-isme tegar (
rigourous determinism) dimana kosmologi alam ini hanya berfungsi dalam jalur sebab-akibat. Apa yang berlaku empunya sebab yang tetap (definite cause) dan menghasilkan kesan yang tetap (definite effect) dan aspek keberangkalian sesuatu fenomena/peristiwa, berdasarkan prinsip ini, boleh diteka dengan keyakinan mutlak jikalau butiran penting fenomena/peristiwa itu dapat diperolehi.


Ringkasnya, konsep alam Newton ini seolah-olah memperlihatkan Tuhan 'lepas tangan' dalam menentukan fenomena/peristiwa yang berlaku dan akhirnya menjadi teras kepada pengukuhan faham kebendaan (
materialism) dalam banyak lapangan ilmu dan juzuk kehidupan masyarakat Barat. Penghakisan peranan Tuhan semakin lama semakin mengakar dalam tradisi sains moden selepas era Newton yang mana faham dualisme Cartesian yang memisahkan antara ruh dan jasad masih diwarisi oleh para saintis dan pemikir di Barat yang seterusnya 'meng-halal-kan' konsep sekularisme dalam bidang ilmu.


Alam ini, manusia serta flora dan fauna bagi Descartes dan Newton wujud seperti sebuah mesin yang efisyen, boleh disiat-bedah dan dicerakinkan kepada juzuk-juzuk yang lebih kecil untuk mengkajinya. Inilah antara punca hilangnya nilai kekudusan (
sacredness) alam. Dimensi ruang dan masa, yang menjadi parameter utama dalam mengkaji "perubahan", "pengakhiran", "pembangunan" dan segala macam lagi semantik bahasa yang menjelaskan fenomena gerak-daya difahami dalam kerangka duniawi (profane) yang sekular sifatnya; tiada kuasa dan pengaruh Ilahi dalam menilai fenomena/peristiwa tertentu.


Sudah tentu perbahasan ini telah lama dijawab dengan tuntas apabila Hujjatul Islam Imam al-Ghazali meng-
tahafut-kan konsep sebab-akibat (causality) yang digagaskan oleh para ahli falsafah Masha'i (Peripatetics/Aristotelian) khususnya di bawah Ibn Sina dalam karya agung-nya Tahafut al-Falasifah tetapi apabila bidang ilmu sains itu menjadi semakin kompleks dan berkembang, ianya menjadi lebih sukar untuk kita kesan asas falsafah teori-teori yang timbul daripada pemikir dan saintis Barat.


Ada baiknya kita tinjau kajian yang dilakukan oleh Dr. Adi Setia dalam tesis Ph.d (ISTAC) 'The Physical Theory of Fakhr al-Dinr al-Razi' khususnya bab 3: Time, Motion, Distance and Change:

Dalam Matalib al-'Aliyyah (Lofty Researches), al-Razi menjelaskan kekeliruan para failasuf aliran Aristatalis (Aristotle) khususnya Ibn Sina yang melihat masa sebagai entiti yang bersifat wajib al-wujud seterusnya menampakkan persamaannya, ya'ni masa dengan Tuhan:


" The closest [to the truth] from among these views [is the view in which] it is said: The evidences show that the necessarily self-subsistent is one, and it is established that the necessarily sel-subsistent is necessarily existent in all its aspects (wajib al-wujud min jami' al-jihatihi). This negates His being a substrate (mawrid) for changes and alterations. But duration (muddah) or time (zaman) is a substrate for changes and alterations with regard to the successive arrival (tawarud) upon it of the priorities (al-qabliyyaht) and the posteriorities (al-ba'diyyaht), thus it is not necessarily self-subsistent in all respects, hence not necessarily existent with respect to its essence but [only] possibly existent in its essence. As for Allah, He is the Existent Sanctified from [all] changes, Aloof from being touched by anything potential. This is what we say and upon it we are resolved, and Allah is the Guide"


Bagi al-Razi, masa bukanlah pengukur kepada pergerakan atau perubahan, maka ianya tidak bergantung kepada pergerakan atau perubahan dan masa mempunyai kewujudan sendiri yang tidak bergantung kepada kewujudan pergerakan dan perubahan tetapi masih bergantung kepada Tuhan.


Ini bermaksud, masa bukan bersifat qadim (eternal) dan bersifat wajib al-wujud (necessary existent) tetapi dicipta sewaktu penciptaan alam semesta (cosmos) sebagai entiti yang penting tapi pada masa yang sama bersifat sebagai satu komponen alam yang bebas (autonomous). Malah dalam Mafatih al-Ghayb (The Keys to the Unknown) al-Razi menjelaskan masa merupakan satu entiti yang dicipta, sama seperti ruang dan hanya bersifat mumkin al-wujud (possible existent).


Ini memaparkan bukti al-Razi tentang tidak selanjarnya ( tidak bersambung-sambung) dan tidak terpisahnya masa dan ruang: kediskretan yang satu setara dengan yang satu lagi. Kediskretan masa dan ruang ini tentunya berbeza dengan tabii masa-ruang dalam Teori Kenisbian (Theory of Relativity) Einstein yang menganggap masa-ruang itu bukan sahaja selanjar bahkan berkait.


Pengamatan ini penting kerana Einstein, selaku figura utama dunia sains bertindak mempunyai pengaruh yang cukup besar pada abad ke-20, hampir sama dengan pengaruh Newton dan teori mekanik klasikalnya pada era Pencerahan. Di tambah dengan sokongan Einstein terhadap falsafah kebendaan Mach yang meletakkan jirim menentutkan segalanya khususnya dalam menentukan tabi'ie ruang-masa yang memisahkan seseorang dengan pengalaman persepsinya.


Mengikut teori Einstein, yang dipengaruhi oleh pandangan Mach itu, sifat-sifat metrik (konsep panjang atau jarak alam semesta ini) ditentukan oleh jirim dan ruang-masa "meleding" (warped) oleh jirim; "kelengkungan" (curvature) ruang-masa berubah mengikut kehadiran jirim. Inilah yang paling disukai oleh para kebendaanis/materialis (Shaharir,2007).


Pengkudusan masa dan ruang ( sacralization of time and space)

Melihat hujah-hujah yang disampaikan di atas, jelas sekali falsafah masa dan ruang yang wujud dalam benak pemikiran majoriti manusia pada hari ini berteraskan aspek sekular dan bersifat kebendaan. Kegiatan ekonomi, politik, pendidikan dan bermacam-macam lagi wujud dan beroperasi dalam kerangka masa-ruang yang bertentangan dengan aspek sebenar kewujudan entiti tersebut.


Tanpa menolak bahawa aspek kekudusan itu masih wujud dalam diri setiap insan tetapi ditekan hebat (supress) oleh faham sekular dan kebendaan yang tegar dalam setiap lapangan kehidupan,
bulan Ramadhan yang hadir mampu menghasilkan kesan berganda (multiplier effect) kepada pengalaman kudus diri insani.


Ramadhan bukan sekadar bulan ibadah tetapi satu dimensi ruang dan masa yang cukup istimewa untuk menangkis pengaruh sekular dan kebendaan yang mengakar hebat dalam kehidupan asasi masyarakat moden khususnya dikalangan umat Islam. Ibadah yang dilakukan berteraskan ilmu yang sahih dan yakin dapat menimbulkan rasa kehambaan hakiki terhadap pencipta, dan kekudusan terhadap ciptaan Ilahi dan ini termasuklah entiti ruang dan masa tersebut yang mana kurang jelas terbayang berbanding bulan-bulan lain.


Semua ibadah khusus seperti puasa,solat sunat terawih, membayar zakat dan tadarus al-Qur'an seharusnya melahirkan kefahaman tersebut yang seterusnya membawa diri insan ke peringkat taqwa yang lebih syumul.


Masjid yang dipenuhi jemaah,ruang awam yang senantiasa terbuka untk kegiatan infaq/sedekah menjadikan ruang kehidupan Muslim lebih kudus daripada nilai-nilai sekular yang sering menjadi teras aktiviti manusiawi masyarakat moden. Semuanya cuba dilakukan kerana Allah S.W.T dalam keadaan jauh lebih sedar daripada hari-hari biasa kerana Ramadhan membaluti ruang dan masa dengan aspek kudus tersebut.


30 hari berpuasa zahir dan batin, dengan 'hadiah' istimewa daripada Allah S.W.T untuk para hamba-Nya yang taat pada perintah dan menjauhi larangan-Nya seperti yang tertera dalam surah al-Qadr merupakan manifestasi perbezaan martabat masa yang selalu kita alami dalam konteks yang lebih sekular atau lebih tepat 'kedisinikinian' seperti kata al-Attas, kepada mengejar habuan yang berkali ganda lebih baik dan kekal ya'ni akhirat melebihi daripada biasa seperti kebaikkan seribu bulan ( alfi syarh) yang tidak wujud pada faham masa diluar bulan Ramadhan.


Ramadhan berpotensi besar menjadi satu dimensi ruang dan masa untk proses de-sekularisasi atau Islamisasi diri insan dengan memahami matlamat akhir adalah pengislahan jiwa ruhi setelah dipersiapkan jiwa haiwani. Tapi semua ini tidak akan berlaku tanpa persediaan ilmu yang benar dan yaqin dalam memahami kedudukan diri insan dan kaitannya dengan Pencipta dan ciptaan-Nya.


Maka marilah sama-sama kita menambah baikkan kefahaman kita terhadap keunikkan dan kebesaran bulan Ramadhan dengan menghayati kekuasaan dan potensi ruang dan masa yang disediakan oleh Allah S.W.T dalam menjadi hamba-Nya yang lebih baik daripada hari-hari biasa yang tegar dengan falsafah ruang-masa yang sekular.

Sekadar berpendapat.


Wallahua'lam.


*Rujuk juga makalah bertajuk The Divine Name, al-Samad and Fasting tulisan Dr. Zaidi Ismai, Felo di IKIM yang juga merupakan anak murid Prof. al-Attas untuk memahami dimensi kalam-tasawwuf (theological-metaphysical) dalam ibadah berpuasa di bulan Ramadhan.


Rujukan lanjut berkenaan falsafah ruang-masa secara lebih mendalam:

1) Beberapa judul dalam fizik matematik: Perspektif acuan sendiri oleh Shaharir bin Mohamad Zain dalam Jurnal Kesturi (ASASI) Keluaran Januari-Disember 2007. Jil 17 (1 & 2)

2) Time according to Fakhr al-Din al-Razi oleh Adi Setia dalam Jurnal Kesturi (ASASI) Keluaran Januari-Disember 2006. Jil 16 (1 & 2)

3) Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas (USM, 2007)


Jumaat, 21 Ogos 2009

Berforum di Universiti Malaya



Saya, Ustaz Hisommudin, Dr Abu Hassan, dan moderator, akh Razak


2 minggu yang lalu, ketika Universiti Malaya (UM) sebok ber-FESKUM ( semacam Convofair di UTP tapi lebih besar), saya dijemput oleh AJK FESKUM untuk menyertai forum berkenaan mahasiswa dan negara sebagai seorang panelis. Sudah tentu yang jemput itu pun kawan-kawan se-aktivisme yang berbeda rupa dan isi berbanding kawan-kawan di UTP.


Saya digandingkan buat kali kedua dengan Prof. Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah, pensyarah kanan Jabatan Pengajian Media dan juga Ustaz Hisommudin daripada ILHAM Center yang juga merupakan mantan YDP MPMUM aliran PMIUM yang terakhir sebelum kemenangan terbaru.


Bertempat di gazebo, berdekatan Pekan Buku, tempat saya menyelongkar buku-buku Zed Books kalau sempat singgah di UM, kehadiran para mahasiswa dan siswi agak memuaskan pada malam itu. Apakah yang hadir itu rata-rata golongan penyokong dan pendokong Pro-Mahasiswa UM atau banyak yang hadir awal untuk menunggu Raihan mendendangkan nasyid-nya yang dijadualkan berlangsung selepas forum kami pada malam itu.


Bercakap dihadapan para mahasiswa UM, bagi saya selaku pelajar IPTS apatah lagi daripada UTP yang baru meniti sedekad usia merupakan satu nikmat yang saya syukuri. Ditambah pula status quo saya yang 'dikuarantin'@'dibuang' daripada JIK dan tidak memegang sebarang tampuk penguasaan dalam mana-mana proksi persatuan di kampus menjadikan peluang sebegini sebagai sesuatu yang pelik atau dalam bahasa inggerisnya 'awkward' dan 'ironic'.


Ini kerana bagi saya, bercakap di hadapan mahasiswa dan siswi UM seperti bercakap dengan satu golongan yang mewarisi tradisi dan roh UM yang sangat unik dalam melakar perjalanan negara ini. Entahlah saya tidak pasti sama ada golongan siswa dan siswi UM pada hari ini masih sedar atau tidak akan peranan dan kedudukan UM sebagai sebuah menara gading yang benar-benar berjasa dalam melahirkan kepimpinan negara serta para cendekiawan dan aktivis yang revolusinier sifatnya. Jikalau masih rasa begitu baguslah kalau tidak mungkin anda antara golongan yang layak memakai tag mahasiswa yang tertawan mindanya kerana melihat kampus sebagai pusat mencetak ijazah dan mencari kerja semata-mata.


Tradisi mewarisi sejarah dan prestij sesebuah unverisiti itu semakin hari semakin kurang dihormati dan dihargai pada hari ini setelah univerisit hanya menjadi pak turut kepada permintaan pasaran ekonomi. Berbeda dengan tradisi universiti di Barat seperti Cambridge, Oxford, Ivy League di AS, mereka masih berpegang kepada tradisi lampau yang boleh dikatakan unik, sama seperti apa yang tergambar dalam filem Harry Potter seperti di Hogwarts dengan makan beramai-ramai di dewan besar, pertandingan antara rumah-rumah dan terikatan kepada nilai sejarah yang tinggi. Semua itu masih dijaga dengan rapi di Barat dan mungkin di dunia Islam, Universiti Al-Azhar di Mesir dan Zaytuna di Tunisia merupakan antara yang masih mewarisi nilai sejarah yang tinggi (tak pasti siswa mereka faham ke tidak).



Seronok siswa UM mendengar forum, lawak panelis mana saya tak tahu.



Berbalik kepada forum tersebut, macam biasa Dr. Abu Hassan dengan gaya flamboyant-nya sangat pekat dengan kerangka
Wissenschaft (mungkin pengaruh Austria) dalam mengupas persoalan menjadi mahasiswa dan peranan terhadap negara. Saya rasa beliaulah panelis yang paling menjiwai forum tersebut kerana gaya beliau bercakap, nada dan kritikan-kritikan pedas semuanya ditujukan kepada golongan siswa dan siswi UM.


Ustaz Hisommudin pula berat kepada pengalaman silam beliau dalam memperjuangkan agenda mahasiswa yang sememangnya saya kira pada waktu itu amat berbeza dan berkualiti berbanding yang ada sekarang. Ustaz Hisommudin menekankan masalah AUKU dan perlunya mahasiswa kembali menyengat dalam berhadapan dengan masalah korupsi di universiti.


Saya berbeda pendapat dengan Ustaz Hisommudin dalam hal ini kerana bagi saya penjara fizikal seperti AUKU bukanlah masalah utama kepada kelesuan perjuangan mahasiswa pada masa kini sebaliknya penjara metafizikal seperti sindrom minda tertawan yang hinggap pada institusi bernama universiti dan ahlinya seperti pensyarah dan mahasiswa merupakan cabaran terbesar yang perlu golongan aktivis siswa perjuangkan. (Sila rujuk penulisan lampau saya berkenaan isu siswa dalam blog ini).


Secara keseluruhan, saya amat gembira dan bersyukur kerana dapat hadir dan menjadi panelis dalam forum yang menarik ini disamping berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman dengan rakan-rakan di UM. Sudah tentu sesi Raihan selepas forum kami lebih fullhouse tapi biasalah itulah realiti pada hari ini. Berat kerja adik-adik yang bakal mewarisi perjuangan kami ini dan saya percaya dengan bimbingan daripada abang-abang yang tidak tertawan mindanya dapat kita bangunkan semula peradaban ilmu di menara gading yang kita cintai ini.


ACHTUNG!

Pada malam ini saya akan ke udara (recorded) dalam rancangan Perpsektif Kita di Asto Awani bercakap berkenaan Sindrom Pelajar Kakak Tua pada jam 9 malam. Siapa tak berterawih bolehlah tengok kalau tak sempat, pagi esok, Ahad 23 Ogos, jam 8.30 pagi ada ulang siaran.



Rabu, 19 Ogos 2009

Kekeliruan SIS


Dalam tempoh 4 tahun saya terjun dalam bidang aktivisme siswa, saya berkesempatan bertemu dengan beberapa ahli Sisters in Islam (SIS). Mungkin tidak secara dekat dan mesra tetapi cukup sekadar cuba memahami kerangka hujah yang kerap mereka gunakan dalam kerja-kerja
advocay SIS.


Pada tahun lepas, saya berpeluang
face to face dari jauh dengan orang besar SIS, tak lain tak bukan Zainah Anwar sendiri dalam seminar Malaysian Student Leaders Summit anjuran UKEC.


Berikut adalah video hujah ringkas saya menyanggah kekeliruan Zainah Anwar dalam memutar belitkan logik masalah feminisme wanita Islam yang diwacanakan dalam seminar tersebut:







Seterusnya video-video awal berkenaan forum tersebut. Anda boleh kaji dengan teliti
fallacious logic yang digunakan oleh SIS dalam berhujah berkenaan feminisme wanita Islam.

siri 1

siri 2
siri 3
siri 6


*siri 4 dan 5 seperti yang tersiar lebih awal di atas tadi.



Khamis, 13 Ogos 2009

Pendidikan atau Pengsijilan?: Muhasabah buat para graduan


Pejam celik pejam celik, rupa-rupanya sudah tiba musim graduasi para mahasiswa di seluruh negara. Jelas kelihatan kelibat ahli keluarga yang riang dan gembira melihat anak-anak merangkul ijazah yang menandakan "kejayaan" anak mereka.


Tapi apakah benar segulung ijazah tersebut menandakan para graduan benar-benar telah terdidik atau sekadar menerima latihan sepanjang 5 tahun bergelumang dalam institusi yang dinamakan universiti ini?


Ada beza antara education atau lebih tepat peng-ta'dib-an dalam Islam, dan certification atau pengsijilan yang banyak berlaku dalam senario pendidikan moden pada hari ini.


Anda mungkin pelajar terbaik universiti dengan CGPA 4.0 tapi apakah anda sudah berjaya keluar dari belenggu penjajahan minda yang lebih bersifat nadir dalam era pasca-kolonial ini? Apakah anda benar-benar "terbuka" dan "kritis" dalam memahami haqiqah atau paradigma anda sekadar terperangkap dalam aspek waqi'iy semata-mata?


Lupakah anda bahawa baginda Rasulullah sendiri pernah berdoa untuk dijauhkan daripada ilmu yang tidak bermanfaat (allahuma inni auzubika min 'ilmi la yanfa')?


Apakah anda menerima "ilmu" atau sekadar "maklumat" sepanjang anda menjadi mahasiswa di kampus masing-masing?


Semua persoalan ini merupakan tugas khas setiap individu yang menuntut ilmu untuk melakukan muhasabah kembali apakah benar-benar kita telah "berjaya" dalam mendidik diri menjadi apa yang sepatutnya terjadi setelah bergelar graduan.


Ada baiknya kita sama-sama tinjau kembali nasihat seorang pemikir Islam dari Pakistan, Sayyid Abul 'Ala Mawdudi berkenaan nasihat beliau terhadap para graduan:

"‘Dear students! You have spent many years of your life at this institution to acquire education. You have eagerly been waiting for the day when you will reap the harvest of your labour in the form of a degree. I am aware of your emotions on this occasion, and that is why it pains me to express my thoughts so bluntly.


Frankly speaking, I consider this Alma Mater, in fact all Alma Maters of this kind, slaughter houses rather than educational institutions. The degrees to be awarded are in fact death certificates, issued when the murderer is satisfied that he has accomplished his task; fortunate are those who escape from this organised butchery with still some spark of life.


I have not come here to congratulate you on receiving these death certificates. I am, rather, overwhelmed with grief to see you in such a miserable plight. I am like someone seeking a person who might still be alive among a mass of corpses.’"

Terjemahan dalam Bahasa Melayu:

"'Wahai Pelajar! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat dimana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus terang kepada kamu pada saat ini.


Walau bagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik in, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.


Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti sesorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat disini."


Syarah:

Mungkin, tidak ramai orang kita yang mengenali sosok pejuang Islam dari Pakistan ini. Sejarah telah mengukir betapa sosok ini berupaya berdiri sama tinggi dengan Imam Hassan Al Bana dalam perjuangan menegakkan Islam sebagai Sistem Kehidupan di tanah air masing-masing.


Sayyid Abul Ala Maududi merupakan seorang pejuang, intelektual dan da'ie yang cukup disegani dalam abad ke-20. Namanya senantiasa meniti dibibir para pejuang Islam yang dahagakan tiupan semboyan daripada pemimpin sepertinya.


Beliau merupakan pengasas kepada Jamaat-e-Islami di Pakistan, sebuah gerakan Islam yang sama hebatnya dengan Ikhanul Muslimin dibawah Imam Hassan Al Bana.


Ungkapan yang tajam dan tersirat di atas merupakan salah satu ekspresi diri beliau terhadap realiti sistem pendidikan yang telah tumbuh seperti cendawan selepas hujan semenjak zaman kolonial hinggalah ke hari ini.


Kenapa begitu teruk sekali pandangan beliau terhadap universiti? Adakah pengorbanan mahasiswa tidak bererti dalam menimba ilmu?


Persoalan ini akan terjawab jikalau kita bersikap kritikal dalam menilai sejarah dan impak yang tersirat didalam masyarakat.


Memang benar. Universiti telah menjadi pusat penyembelihan kepada anak-anak muda yang suci pemikirannya. Disinilah mereka dikelar mindanya, dipatahkan tulang kesedarannya dan digantung maruah mereka selaku pengubah masyarakat.


Para penyembelih yang terdiri daripada golongan aristokrat pendidikan telah mengupah manusia-manusia yang kelu untuk menyiat potensi minda perjuangan anak-anak muda ini. Diasingkan daripada realiti dan diangkat menjadi fantasi.


Itulah keadaan sebenar pada hari ini. Golongan mahasiswa sudah dicincang dengan lumat sehingga tidak dapat dikenali lagi sebagai seorang 'insan' yang berguna pada rakyatnya. Terkurung daripada cahaya kebenaran, mahasiswa akhirnya dibutakan dengan lambakkan makanan berupa sampah untuk dibuntalkan perut minda mereka agar tidak ada apa lagi yang perlu dipersoalkan.


Akhirnya, kegemukkan minda menghasilkan sifat kemalasan dan kepekaan kepada sekeliling menjadi pudar. Buta hati mula melingkar menusuk kalbu. Itulah mahasiswa. Hanyalah haiwan sembelihan buat golongan kapitalis yang menyedut darah merah yang segar daripada otak beku mereka.


Selagi mana golongan mahasiswa terpisah dengan realiti masyarakat, kehidupan yang sempit didalam kampus hanya mampu menjadikan mereka daging pejal buat golongan kapitalis yang saban hari menyediakan hidangan daging mentah buat umat manusia. Mungkin, inilah yang ingin cuba disampaikan oleh Pejuang Islam ini. Pendidikan warisan penjajah yang membunuh.


ACHTUNG 1 !
Untuk penjelasan lanjut berkenaan masalah berkenaan hakikat menjadi mahasiswa dan universiti sila rujuk makalah saya bertajuk The University and The Captive Mind


ACHTUNG 2 !
Forum Youth to Youth for a Better Malaysia sudah berpindah tempat dari Sunway University College ke 3K Inn di Petaling Jaya. Saya amat menyarankan ahli gerakan mahasiswa Islam turun menghadiri forum ini bagi bersama-sama timba pengalaman dan membina hubungan dengan rakan-rakan lain yang berbeza fikrah baik Muslim ataupun yang bukan Muslim.



Isnin, 10 Ogos 2009

Rausyanfikir bersama masyarakat



Dalam 2 minggu ini, saya terpaksa berulang alik ke Kuala Lumpur. Banyak jemputan yang perlu saya sempurnakan. Dalam meniti usia pengakhiran status quo sebagai mahasiswa, Allah mengurniakan pelbagai peluang dan ruang untuk saya kongsikan seciput pengalaman dan sedikit ilmu bersama rakan-rakan lain di luar sana. Tahun depan, gelaran "mahasiswa" tidak lagi layak dimiliki saya maka oleh itu saya harap dengan kesempatan yang bakal diberikan ini dapatlah saya melakukan sesuatu untuk perjuangan kemahasiswaan.


Ada beberapa acara yang saya akan "turun", antaranya:


1) Forum Rejunevasi Minda Dimensi Malaysia Baru : Mahasiswa Sebagai Generasi Pelapis Kepimpinan”.


Tarikh : 11 Ogos 2009 (Selasa)

Tempat : Dataran Gazebo,Kompleks Perdana Siswa,Universiti Malaya

Masa : 8.00 -11.15 malam



TENTATIF FORUM REJUVENASI MINDA



08.00 malam : Ketibaan tetamu dan VIP

08.30 malam : Forum bermula


Moderator : Mohd Ridzwan Mohammad

Ahli panel :

Panel I : Profesor Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah

Pensyarah Jabatan Pengajian Media

Fakulti Sastera dan Sains Sosial

Universiti Malaya

Kuala Lumpur


Panel II : Ustaz Muhamad Hisommudin Bakar

Pengarah Eksekutif

Pusat kajian sistem sosial alternatif

ILHAM Centre


Panel III : Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

Koordinator kampus TERAS Pengupayaan Melayu &

Pelajar tahun akhir

Jurusan Kejuruteraan kimia

Universiti Teknologi PETRONAS



9.30 malam : Sesi soal jawab

10.00 malam : Persembahan oleh Raihan

11.00 malam : Penyampaian cenderamata

11.15 malam : Sesi fotograf dan autograf

11.30 malam : Majlis bersurai



2) Forum Young? (at heart) Save Malaysia



Saya akan berforum dalam tajuk pendidikan. Butiran lanjut di sini.



3) Seminar ASASI



ASASI akan menganjurkan Seminar ASASI-UTP dengan kerjasama Universiti Teknologi Petronas (UTP)

Tema : Pemikiran Budaya dan Teknologi
Masa : 9.00 pagi - 5:00 petang
Tarikh : 18 Ogos 2009 (Selasa)
Tempat : Undercroft, Chancellor Complex, Universiti Teknologi Petronas (UTP)
Anjuran : Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) dengan Kerjasama Universiti Teknologi Petronas (UTP)
Sasaran : Mahasiswa, Tutor, Pensyarah Muda, dan mereka-mereka yang berminat

Senarai Pembentang adalah seperti berikut;

1. Donal Malik G,. Bennett: “Sublimination vs Reification at the heat of the Sunna: How every Muslim is meant to be an Intellectual and “Scientific” (physically and metaphysically)
2. Muhammad Pisol bin Mat Isa: “The View of Imam al-Ghazali towards Science”

3.
Mohd. Nuri al-Amin Endut: “The Conceptual Definition of Islamic Critical Thinking”

4.
Ahmad Murad Merican: “‘Budi, Rasa and Jiwa’: Technology as Extension of Man”

5.
Wan Ahmad Fayhsal: “Propaganda and the distortion of Worldview: A Preliminary Analysis”

6. Prof. Ir. Dr. Hj. Wan Ramli bin Wan Daud: “Epistemologi Kejuruteraan”

Saya akan mengupas tajuk Propaganda dari aspek pemikir Perancis, Jacques Ellul dan kaitannya dengan teknologi dalam mencaca merbakan Pandangan Alam masyarakat yang dipropagandakan. Gabungan beberapa topik psikologi, falsafah dan teknologi.



4) Forum: “Equality in Islam: Are Muslim Women Behind?”

Date : 20th August 2009

Venue : Main Auditorium,

International Islamic University Malaysia

Time : 8.30 p.m. - 11.30 p.m.


Speakers:


1)Datuk Kamalia Ibrahim

Wanita UMNO Vice Chief


2)YB Senator Puan Hajah Mumtaz Md Nawi

Senate Member

Dewan Undangan Negeri Kelantan


3)Bro. Wan Ahmad Faysal Wan Kamal

Student Representative (Universiti Teknologi Petronas)


Melihat kesemua tajuk yang akan saya kupas selama 2 minggu akan datang ini, ternyata saya akan merasai 'intellectual fatiguness'. Semuanya berat-berat belaka ditambah pula saya digandingkan dengan personaliti yang jauh lebih senior dan berpengalaman daripada saya. Saya harap rakan pembaca dapat mendoakan agar saya mampu sampaikan yang terbaik dalam setiap acara yang akan saya sempurnakan ini.




P/S: Rakaman saya dalam rancangan "Perspektif Kita" Astro AWANI juga berkemungkinan disiarkan hujung minggu ini.