Sabtu, 27 Jun 2009

Tiga Pengertian Sains Islam: Ke Arah Usaha Penyedaran Semula Misi Pengislaman Sains dan Teknologi Menurut Kerangka Faham S.M Naquib al-Attas (siri 2)

Adapun yang dimaksudkan dengan Faham Penghurai (FH, di mana H = Hurai), ialah usaha ilmiah untuk memberikan isikandungan tajribi/empiris (empirical content) kepada pelbagai segi KI kita, seperti KI mengenai kewujudan ruh/nyawa/nafsu/akal sebagai jatidiri atau hakikat keinsanan serta teras kepada kesedaran diri insan sebagai makhluk yang berdayacipta. Dalam soal ini, para ulama silam seperti al-ČĀkim al-Tirmidhą,[1] ibn SąnĀ[2] dan al-GhazĀlą[3] telah membina teori kejiwaan Islam (Islamic psychology) yang bersifat falsafi-tajribi demi menghuraikan lagi makna sebenar yang terkandung dalam istilah-istilah kejiwaan dalam al-QurāĀn seperti ‘aql, fu’ad, qalb, ruh dan nafs. Unsur-unsur asas dalam ilmujiwa Islam ini telah dirumuskan semula oleh al-Attas dalam The Nature of Man and the Psychology of the Human Soul (bab ke-4 dalam Prolegomena). Persoalan teori kejiwaan yang betul ini berkesan besar terhadap pembinaan semula teori tatailmu (epistemology), tatanilai (axiology), bidang kaji insan (anthropology) dan teori pendidikan Islam masakini (rujuk Wan Mohd Nor Wan Daud, Penjelasan Budaya Ilmu,[4] dan The Educational Philosophy and Practice of Syed Muhammad Naquib al-Attas[5]). Penguasaan berdayacipta ke atas kerangka induk ilmujiwa Islam ini akan memberikan suatu neraca untuk menentukan mana-mana teori kejiwaan Barat yang boleh atau tidak boleh diserapkan secara kritis dalam kerangka kejiwaan Islam. Contohnya, teori kejiwaan Gestalt dan teori Chomsky dan Jackendoff didapati lebih serasi dengan teori kejiwaan Islam berbanding teori B. F. Skinner dan Pavlov, ataupun E. O. Wilson dengan teori sosio-psikologi kedarwinannya yang tidak masuk akal sama sekali![6]


Contoh lain ialah KI kita tentang madu sebagai ubat, seperti yang termaktub dalam al-Qur’ān. Maka FH akan membina teori dan tatakaedah tertentu bagi mengarahkan rencana penyelidikan demi mengenalpasti lalu memperincikan secara tajribi sifat-sifat kemujaraban perubatan tertentu dalam pelbagai jenis madu (madu hutan, madu ladang, madu bela, madu bunga raya, madu bunga melati, madu liar, madu tualang, dan sebagainya), serta batas-batas kemujaraban pelbagai jenis madu bagi mengubati penyakit tertentu.[7] Tatakaedah penyelidikan ini turut akan mengarahkan penelitian dan pengujikajian semula atas teks-teks perubatan Islam klasik, termasuk teks-teks tibb Nabawą, oleh tabib-tabib Islam dahulu kala seperti karya al-QĀnĈn fą al-ďibb oleh Ibn SąnĀ,[8] termasuk juga teks-teks perubatan Melayu-Islam karangan ulama Melayu-Islam,[9] dan ilmu-ilmu perubatan yang diwarisi ulama kita secara lisan tanpa dirakam dengan tulisan (contohnya ilmu perubatan Melayu-Islam tradisional yang diwarisi oleh tuan guru saya, Tuan Guru Haji Hashim Abu Bakar, Mudir Pondok Pasir Tumbuh = Madrasah Diniah Bakriah, Kota Baru, Kelantan). Ini termasuk juga penyelidikan empiris terhadap budaya tibb tempatan warisan turun-temurun yang sekian lama terbukti kemujarabannya merawat pelbagai penyakit berat dan ringan.[10]


Contoh seterusnya, KI kita menyatakan bahawa siang hari ialah untuk bekerja manakala malam hari untuk berehat, seperti ynag tersebut dalam al-Qur’an;[11] maka kita sepatutnya boleh berdayacipta membina teori perubatan tabii (naturotherapy) yang berteraskan pendekatan “rawatan tidur” (sleep therapy) umpamanya, untuk menghilangkan rasa penat-lelah, tekanan jiwa dan gangguan jasmani atau emosi lain, yang mampu diamalkan oleh semua orang tanpa membazir wang beratus ringgit setiap bulan untuk membeli pelbagai jenis pil tidur kimia ciptaan syarikat farmasi gergasi Barat dengan pelbagai kesan sampingannya yang teruk, malah mengancam nyawa![12]


Contoh selanjutnya, KI kita menyatakan bahawa tidak wujud perkara sia-sia dalam alam tabii ciptaan Ilahi (rabbana ma khalaqta hadha batilan);[13] maka ini bermakna bahawasanya kita sepatutnya mampu berdayacipta, berinovasi membina kilang, industri, senibina dan sebagainya, termasuk merancang sistem pentadbiran pejabat berdasarkan teori dan tatakaedah sisa-sifar (zero-waste, waste-to-wealth) dan cemar-sifar serta buangan-sifar (zero-emissions) yang seterusnya membawa kepada penakrifan semula faham “kecekapan” (efficiency) dan “keuntungan” (profitability) yang lebih mesra alam dan mesra insan, lagi menyeluruh (holistic) sifatnya, sekaligus juga mesra-niaga (business-friendly) dalam ertikata sebenarnya, kerana apabila semua “input” (bahan asli bagi produksi) menjadi “output” (hasil, produk) berguna tanpa mencetuskan sisa buangan, untung tetap meningkat meskipun jualan tidak meningkat! Ini seterusnya akan membawa kepada pembinaan model makro-ekonomi berdasarkan kerangka “modal alam” demi kerana alam tabii harus dilihat sebagai modal yang perlu dipupuk dan dipulihara terus-menerus agar ia membuahkan hasil berpanjangan hingga ke anak cucu, bukan dihabisi secara rakus demi keuntungan jangka pendek menurut kepentingan peribadi yang sempit, seperti yang kini sedang berlaku dalam model pembangunan (“penghancuran”?) arus-perdana.[14] Maka faham “modal alam” boleh menjadi pelengkap kepada faham “modal insan,” serta digabungkan dengan faham teknologi mesria.[15] Ini amat serasi dengan faham khilafah yang tugasnya memelihara amanah menjaga alam tabii agar terus kekal memberi niĂmat kepada semua kehidupan insan dan haiwan sampai bila-bila selagi alam ini wujud.[16]


Contoh tambahan lagi, kerangka tatanilai induk kita dalam soal dasar etika terhadap alam tabii yang merupakan medan kajian sains ialah (wa ma arsalnaka illa rahmatan lil-‘Alamin = “tiada Kami utuskan engkau wahai Muhammad kecuali sebagai rahmat kepada sekalian alam”),[17] iaitu: rahmat kepada sekalian alam, termasuk alam galian, alam tumbuhan, alam haiwan dan alam insan, sama ada insan yang Muslim ataupun yang bukan Muslim. Jadi, dasar rahmat adalah dasar induk bagi mu‘amalah sesama insan dan juga bagi mu’amalah insan dengan alam sekitar. Maka kita sebagai ahli sains Muslim yang prihatin terhadap tatanilai agama anutannya sepatutnya mampu dan sanggup bersifat kritis terhadap mana-mana tatakaedah penyelidikan sains dan mana-mana tatakaedah penggunaan teknologi yang melanggar prinsip itu, serta berusaha bersungguh-sungguh dengan dayacipta tinggi untuk menghasilkan tatakaedah pengganti yang berteraskan etika rahmah. Misalnya, kaedah pertanian kimia arus perdana yang ditiru secara membuta-tuli daripada universiti Barat yang meracuni tanah, air, haiwan dan petani seharusnya ditukarganti dengan kaedah pertanian organik, seperti penggunaan baja organik, pempelbagaian tanaman secara bergilir, bioracun (biopesticide), pemuliharaan kawasan-kawasan hutan liar melalui sistem hima dan harim[18] dalam sistem perladangan demi menghalang pembiakan serangga perosak tak terkawal,[19] pengenalan tatakaedah tanitetap atau permatani (permaculture)[20] dan biointensif atau biogiat (biointensive agriculture), pertanian eko-sistemik (ecosystemic agriculture), pengitaran semula sisa pertanian—seperti jerami padi, guguran daun pokok, dan sebagainya—menjadi input pertanian semula dalam bentuk baja organik atau baja kompos, atau dijual sebagai bahan bagi membuat bioplastik atau biodiesel, atau membuat kertas tak bersumberkan pokok dara (virgin trees) tapi bersumberkan sisa perladangan dan perkebunan. Di samping itu, kita juga patut meneliti semula tatakaedah pertanian silam yang terbukti sungguh berjaya dalam tamadun Islam seperti dalam tamadun Islam Andalusia,[21] termasuk tamadun Melayu-Islam. Pendek kata, ahli sains pertanian Muslim seharusnya mampu bersifat kritis dan berdayacipta demi mengenalpasti dan memilih tatakaedah pertanian Barat ataupun bukan Barat yang serasi dengan tatanilai raahmatan lil-alamin ini serta menyesuaikan tatakaedah itu dalam ruanglingkup pertanian tempatan, lalu menyepadukannya dengan tatakaedah pertanian Islam umumnya (integrating the positive aspects of western and eastern agricultural science and practice into the general framework of traditional Islamic agriculture at the local, communal and national levelsl of socioagricultural organization).


Contoh terakhir, dalam bidang penyelidikan perubatan arus perdana yang ditiru secara membuta-tuli dari Barat, tanpa usul periksa, tatakaedah viviseksi (vivisection = ujikaji secara potong hidup-hidup atas pelbagai jenis haiwan makmal termasuk kera, monyet, tikus, anjing, kucing, ayam, burung, arnab untuk kononnya menemui “ubat” baru), perlu dikaji semula dan digantikan dengan kaedah lain yang serasi dengan tatanilai rahmah, lebih-lebih lagi apabila terbukti dari segi analisa tatailmu dan tatakaedah sains barat sendiripun bahawa amalan viviseksi ini tiada memiliki apa-apa nilai ilmu (have no cognitive value) maka tiada mengandung nilai perubatan langsung (have no medical value), kerana andaian tersirat akan wujudnya kesamaan atau keserupaan fisiologi (physiological resemblance) antara insan dan haiwan memang terbukti palsu, tidak bersandarkan penelitian empiris sebagaimana yang diakui sendiri oleh tokoh-tokoh pengamal viviseksi yang sudah “bertaubat” seperti Dr. Pietro Croce dalam bukunya Vivisection or Science: An Investigation into Testing Drugs and Safeguarding Health.


Seperkara lagi dalam soal ini, kini kita sudah lali dan menerima tanpa usul-periksa hakikat bahawa setiap ubatan dan rawatan moden mempunyai kesan sampingannya yang buruk sama ada serius atau sebaliknya meskipun diambil menurut arahan dan kadar yang ditentukan untuk penyakit yang ditentukan. Maka pada setiap ubat arus perdana pasti tersurat amaran tentang kesan sampingan, hatta ubat pil biasa seperti pil tidur, aspirin, panadol dan sebagainya. Sepatutnya ahli perubatan Muslim berfikir sejenak: sekiranya sesuatu itu memang “ubat” bagi penyakit tertentu dan diambil menurut arahan dan kadar tertentu dengan cara yang tertentu, termasuk menjaga segala pantang-larangnya, mengapa harus ada kesan sampingan yang teruk hingga membuahkan penyakit lain yang lebih teruk? Contohnya ialah kes kesan sampingan yang ketara daripada pil Vioxx buatan Merck.[22] Besar kemungkinan masalah kesan sampingan ini berakarumbikan tatakaedah penyelidikan viviseksi yang jelas tersasul dari segi tataetika dan tatailmu (invalid ethically and scientifically).[23]


Pendek kata, ahli perubatan Muslim seharusnya bersifat berani dan bertanggungjawab menilai semula secara menyeluruh tatakaedah sistem perubatan Barat arus perdana berdasarkan neraca falsafah, tatakaedah dan amalan sistem perubatan Islam dan sistem perubatan tradisional lain yang terbukti mujarabnya tanpa kesan sampingan seperti sistem perubatan Yunani kuno (Avicennan-Unani medicine), ayurvedic India, acupunture Cina, kampo Jepun, termasuk sistem tradisional Melayu-Islam yang turut diamalkan oleh ulama Melayu-Islam, malah termaktub dalam pelbagai kitab karangan mereka. Mengapa harus kita terperangkap dalam sistem perubatan Barat moden semata-mata sedangkan orang Barat sendiri pun telah menjadi amat sangsi pada sistem tersebut,[24] apatah lagi sistem itu sudah terbukti terlalu dikuasai oleh syarikat farmasi gergasi transnasional yang mengutamakan keuntungan wang, bukan kesihatan insan. Justeru, kalau insan sihat selalu, alamat hilanglah pasaran untuk “ubat-ubatan” mereka; malah, penyakit baru harus diadakan agar ubat baru dapat turut dicipta demi mendapatkan pasaran baru serta untung berlipat ganda![25]


Saya, dengan kerjasama tokoh-tokoh pakar sains, teknologi, ekologi dan kejuruteraan tertentu dalam ASASI, INSPEM, SAM (Sahabat Alam Malaysia) serta jaringannya di Malaysia, Singapura, Indonesia, Berunai, India, Pakistan, England, Amerika Syarikat, Africa Selatan dan Kanada, boleh berikan ratusan contoh lagi dengan pemerian yang jauh lebih terperinci dalam siri-siri bengkel penyedaran semula Sains Islam yang bersifat lebih menjurus dan amali, agar kelak dapat diamal-laksanakan secara berkesan oleh semua ahli sains dan teknologi Muslim dalam mana-mana bidang sains dan teknologi pun, termasuk senibina, kejuruteraan, perubatan, perindustrian, fizik, matematik, kajihayat, kimia, bioteknologi dan sebagainya, dengan syarat mereka benar-benar ikhlas, yakin dan bersungguh-sungguh mahu jayakan gagasan Pengislaman Sains dan Teknologi dari segi fahaman dan amalan sekaligus.


Pendekatan amali-falsafi ini akan dikembangkan sehingga meliputi bidang-bidang sains sosial seperti ekonomi, pendidikan, politik, pentadbiran, perniagaan, kewangan (contohnya: konsep dinar emas) dan perundangan, malah sehingga meliputi bidang-bidang naqliyyat seperti fiqh, usul fiqh, tafsir, usuluddin, tasawwuf dan sebagainya dengan penglibatan ilmiah alim ulama ahli agama yang kritis dan tajam fikirannya yang mahu menghidupkan semula ilmu-ilmu naqliyyat Islam serta menyepadukannya semula dengan ilmu-ilmu aqliyyat—seperti yang diusahakan oleh Nuh Ha Mim Keller dalam bukunya, Port in a Storm: A Fiqh Solution to the Qibla of North America (Amman: Wakil Press, 2001)—agar sistem ilmu Islam secara keseluruhannya mampu membina semula tamadun Islam dalam ertikata sebenarnya dengan mengharungi dan mengatasi cabaran tamadun Barat sekular lalu membina tamadun baru atas runtuhan tamadun Barat yang muflis tatailmu dan tatanilai sebenar. Bahkan kemuflisan tamadun Barat moden ini kini diakui oleh tokoh pemikir Barat sendiri, seperti Ivan Illich,[26] Paul Feyerabend,[27] Theodore Roszak,[28] dan ramai lagi, persis firman Ilahi: wa qull ja’a al-haqqu wa zahaqa al-batilu inna al-batila kana zahuqan = “telah datang kebenaran dan lenyap kebatilan, sesungguhnya kebatilan pasti lenyap.”[29]


Usaha pembinaan semula tamadun Islam sebegini sudah tentu memerlukan kerjasama ilmiah yang erat antara ahli agama dan ahli sains sehingga pada satu masa kelak, akan lenyap pemisahan antara apa yang dikatakan ilmu agama dan ilmu sains, lalu terpadu semula kedua-dua bidang ilmu ini menjadi satu, sebagaimana pada zaman kegemilangan tamadun Islam dahulu yang terzahir pada peribadi pujangga agung seperti al-Biruną, Ibn Sina, al-Ghazali dan Fakhr al-Din al-RĀzi.[30]


5. Beberapa Contoh Tambahan daripada Budaya Ilmu Islam dan Barat Demi Memerikan lagi Rencana Penyelidikan Sains Islam Menurut Pendekatan Falsafi-Amali: Kasus-kasus Ibn Haytham, Kalam Jadid, dan al-Fakhrul-Razi.


(a) Kasus Ibn Haytham[31]

(i) Ibn Haytham & Kitab al-Manazir:

l Abu ‘Ali ibn al-Haytham lahir di Basrah 365/965 dan wafat di Mesir 430/1039.

l Beliau ahli falsafah, fizik, hisab, tibb, falak, jurutera, mutakallim.

l Karya terkenal Kitab al-Manazir dalam bidang optik: teori cahaya & teori inderawi penglihatan.

l Beliau sezaman dengan Ibn Sina, al-Biruni.

(ii) Pencapaian Sains Ibn Haytham:

l Mengasaskan sains optik berlandaskan tatakaedah baru penyelidikan sains berteraskan pencerapan fizik dan pentaakulan matematik/ilmu hisab.

l Memalsukan teori extromisi dan mengesahkan teori intromisi.

l Menetapkan cahaya bergerak secara lurus.

l Menetapkan hukum pantulan dan biasan cahaya.

l Menghuraikan secara terperinci tatakaedah empiris/induktif/aruhan, pencerapan dan fizik-matematik bagi mengkaji fenomena alam tabii.

l Menyepadukan pendekatan fizik & matematik (physico-mathematical synthesis) dalam penyelidikan sains.

l Menetapkan beberapa hukum sains lain tentang perilaku cahaya lalu mencipta bidang optik/manazir/kajilihat sebagai cabang ilmu tabiah/fizik.

l Mengkritik beberapa aspek dasar dalam kerangka ilmu falak Ptolemy, maka membuka laluan kepada pembaikan kerangka itu oleh al-Tusi (abad ke 13) dan ibn Shatir (abad ke 14) yang turut mempengaruhi kerangka paksisuria Copernicus (abad ke 16).[32]

l Pengaruh besar ke atas Albert Magnus (1200), Francis Bacon (1550), Pecham, Witelo, Copernicus, Newton (1700) dan lain-lain saintis Barat, termasuk ahli matematik seperti Descartes, meskipun ada yang tidak mengiktiraf peranan keperintisan beliau seperti Descartes.

l Kejayaan beliau antara contoh terbaik pembinaan ‘sains menurut acuan sendiri’ secara kritis lagi berdayacipta, sehingga mampu mencipta bidang kajian baru dalam fizik, iaitu optik, di samping menetapkan secara terperinci tatakaedah penyelidikan sains tajribi yang bertanggungjawab; oleh itu, harus kita teliti lagi falsafah, tatakaedah dan tatanilai sains beliau ini.


(iii) Beberapa segi tatakaedah umum dalam penyelidikan sains tajaan Ibn Haytham:

l Tabayyun (memeriksa): Meneliti dahulu pelbagai pendapat ahli sains dan falsafah Yunani kuno agar tidak diterima secara kepakturutan, tanpa usul-periksa.

l ‘Ibrah/I‘tibar (ambil pengajaran): Membuat pengamatan dan ujikaji sendiri terhadap pelbagai kejadian/fenomena alam tabii dengan tanpa menurut pendapat silam secara membuta tuli.

l Tajribah/Istiqra’ (aruhan): Proses aruhan yang melintas daripada fakta-fakta kejadian tabiiyyah serpihan kepada hukum sejagatan yang terumus secara tabii-hisabi.

l Iftirad (membuat hipotesis): Meneliti semula secara kritis pendapat silam demi merumuskan pelbagai hipotesis baru untuk diujikaji sendiri secara tersusunatur, iaitu mengkritik teori lama demi mencipta teori baru sebagai pengganti.

l Sina‘ah (senitukang): Merekacipta pelbagai peralatan ujikaji sendiri untuk mengujikaji sendiri pelbagai hipotesis dan teori baru ciptaannya bagi menggantikan teori dan hipotesis silam yang tertolak; iaitu prinsip “peralatan berpandukan teori” bukan sebaliknya seperti yang berlaku dalam budaya sains kepakturutan masakini!

l Tahqiq (pemastian kebenaran): andaian umum diusul-periksa, diujikaji dan disahkan dengan mengamati kejadian tabii secara langsung/mubĀshir.

l Ijtihad (bersungguh memecahkan masalah): Usaha ilmiah bersungguh-sungguh secara tersusunatur demi mencari hakikat di sebalik sesuatu kejadian tabii yang tampak.


(iv) Imbasan tataetika-kognitif (tataadab & tatailmu) sains Ibn Haytham:

l Haqq/Sidq: Menuntut kebenaran, bukan menurut keinginan; jujur mengakui kelemahan diri (jadi, tidak membazirkan wang kerajaan untuk membuat projek yang sebenarnya tidak mampu dilaksanakan, seperti projek empangan Sungai Nil); contoh masakini, InventQ Jaya dan projek ampangan Bakun!

l Adalah: Menegakkan keadilan dalam menetapkan hukum secara teliti, bukan mengutarakan pendapat peribadi secara tergesa-gesa (macam sesetengah projek penyelidikan yang dilaporkan dalam New Scientist yang masih dalam peringkat teori awalan, yang andaian asasnya kabur tiada terbukti, tetapi sudah menjanjikan pelbagai manfaat kebergunaan yang ajaib, seperti projek Artificial Life = Kehidupan Buatan).

l Tafakkur: Menggabungkan antara pengalaman (experience) dengan pentaakulan (reason), dalam ertikata pengalaman/pencerapan dikritik-pandukan oleh akal yang berdayacipta merumuskan kerangka penafsiran terhadap fakta-fakta pengalaman/pencerapan; jadi, ujikaji fikri (thought experimentation) mendahului ujikaji amali (actual experimentation).

l Ikhtiyar: Memilih, merangka dan menentukan rencana penyelidikan sendiri untuk mengujikaji hipotesis/teori yang dirumuskan sendiri demi menyelesaikan persoalan/pemasalahan yang ditentu dan diajukan dirinya sendiri kepada dirinya sendirinya; jadi, penyelidikan untuk menyelesaikan masalah hakiki yang dihadapi sendiri dan masyarakat setempat, bukan masalah buat-buatan yang dihadapi oleh budaya lain (contoh masakini, ramai ahli sains Muslim Malaysia berkelana di Barat, belajar sains Barat untuk selesaikan permasalahan budaya hidup dan budaya ilmu masyarakat Barat, sedangkan masalah di kampung halaman sendiri terabai, dan ini terus berlaku meskipun mereka sudah kembali mencari makan dalam kerjaya sains dan teknologi di IPTA/S tempatan!).

l Naqd/‘Ibrah: Mengambil pengajaran secara kritis daripada penemuan/ pendapat sarjana silam, iaitu benar-benar menguasai sejarah bidang penyelidikan yang dipilihnya serta mengambil manfaat daripada bidang lain yang berkaitan (seperti bergantung kepada rajah anatomi Galen demi membina teori penglihatan).

l Ikhlas: Berkongsi/mengajar ilmu tanpa meminta atau mengharapkan bayaran, bahkan menolaknya; prihatin kepada kemajuan ilmiah murid-muridnya.

l Istighna‘ dan Iftiqar: Berdikari menyara hidup sendiri (menyalin manuskrip matematik Euclid) tanpa berharap kat orang, di samping bergantung harap pada Allah Ta‘ala; oleh itu, penyelidikannya tidak dipengaruhi oleh pihak-pihak yang berkepentingan (bersalahan dengan penyelidikan masakini yang dipengaruhi agenda korporat besar yang mencari untung, bukan kebenaran) dan tidak timbul masalah amanah ilmu (scientific integrity) atau percanggahan kepentingan (conflict of interests); ini juga bukti kukuh bahawa penyelidikan bermutu lagi bermanfaat serta bernilai ilmiah tinggi boleh dilaksanakan meskipun tanpa naungan kewangan kerajaan atau swasta; contoh terbaik masakini di Malaysia ialah Khazanah Fathaniah pimpinan Wan Mohd Saghir Wan Abdullah, dan Rocky Mountain Institute di Amerika Syarikat, pereka prototaip enjin kereta berdasarkan kerangka bahanapi sel (fuel cell concept) pada tahun 70-an yang tidak dipatenkan malah dibiarkan dalam medan awam (public domain) demi mencetuskan saingan sihat di kalangan syarikat pembuat kereta agar rekabentuk prototaip itu diperbaiki.

l Zuhd: Ilmu Sains untuk mencari kebenaran hakiki/abadi, bukan mencari kemewahan hidup sementara atau mendapat nama menjawat jawatan tinggi bergaji besar sebagai pentadbir juruhadir dalam pelbagai mesyuarat bersilih ganti di serata dunia, mensia-siakan waktu menumpang penat-lelah penyelidik sebenar, tanpa diri sendiri melakukan penyelidikan bermakna, tetapi nama turut terpampang pada kepala makalah ilmiah!

l Ijtihad: Berusaha bersungguh-sungguh secara teliti demi menghasilkan natijah terbaik di peringkat huluan, bukan hiliran; di peringkat dasar, bukan cabang; pada akar, bukan ranting semata-mata.


(b) Kasus Kalam Jadid[33]

I‘tibar daripada Kalam Jadid:

l Ibn Khaldun membezakan antara kalam qadąm dengan kalam jadid.

l Kalam qadim sebelum Imam al-Ghazali, seperti yang dipelopori oleh Imam al-Ash‘ari dan al-Baqillani, lebih banyak berdepan dengan faham Mu‘tazilah dan kurang berdepan dengan falsafah dan sains tabii secara langsung dan bersungguh-sungguh.

l Kalam jadid (kalam baru) yang dipelopori al-Ghazali, al-Fakhr al-Razi, al-Amidi, al-Iji, al-Taftazani dan tokoh lain sengaja berdepan terus secara dekat lagi terperinci dengan pelbagai faham falsafah dan sains tabii sebagai sebahagian rencana penyelidikan kalam baru itu.

l Kitab Maqasid al-Falasifah, Tahafut al-Falasifah dan al-Madnun, karya al-Ghazali merupakan usaha merintis rencana penyelidikan ilmiah secara tersusun atur lagi menyeluruh terhadap segala dakwaan kebenaran yang diutarakan oleh ahli falsafah dan sains tabii.

l Ini menandakan bahawa mereka amat sedar akan bahawasanya kesan-kesan terhadap pandangalam Islam daripada faham wujud, faham alam, tatailmu dan tatanilai yang secara tersirat mahupun tersurat melatari dakwaan-dakwaan kebenaran falsafah dan sains.

l Rencana penyelidikan jangka panjang kalam jadid yang dirintiskan oleh Imam al-Ghazali berjaya membangunkan teori sebab-musabab dan teori fizik (termasuk teori masa, ruang, jarak, jisim) yang sekaligus bersifat lebih empiris daripada teori falsafah warisan Yunani huraian al-Farabi dan ibn Sina, lagi serasi dengan kerangka induk pandangalam Islam, khasnya faham keterlibatan Ilahi secara langsung dalam kejadian alam, dan juga dengan metafizik kesufian yang terhasil daripada pengalaman ruhaniah ahli tasawwuf.

l Rencana penyelidikan kalam jadid turut menyerapkan disiplin mantik ke dalam bidang kalam dan usul fiqh, serta meletakkan tatakaedah asas bagi menilai dan seterusnya menerima atau menolak mana-mana disiplin ilmu yang berasal dari luar budaya Islam.

l Rencana ini turut melahirkan generasi ulama baru (dari abad ke-12 hingga ke-19) yang serba boleh menguasai ‘ulum naqliyyah dan ‘ulum ‘aqliyyah secara terpadu tanpa apa-apa pemisahan, lalu terdirilah budaya sains menurut acuan sendiri bilamana ilmu sains dan falsafah Yunani yang dulunya asing berjaya diserasikan atau diislamkan, sebagaimana yang diperikan oleh Profesor A. I. Sabra sebagai: “pengambilalihan serta penyejatian sains Yunani” (appropriation and naturalization of the Greek sciences). Malangnya ciri-ciri kesarjanaan terpadu seperti ini gagal dipertahankan pada abad ke-20 (kecuali oleh segelintir ulama sahaja seperti Shaykh Nuh Ha Mim Keller[34]) disebabkan kesan penjajahan yang memporakperandakan tradisi sistem pendidikan tradisional. Malah usaha ISTAC ke arah penyepaduan ilmu juga terbantut, angkara perbuatan orang berkuasa yang “hanya mengerti apa yang zahir pada kehidupan dunia padahal mereka lalai terhadap akhirat,” yang terpesona dengan ledakan maklumat zaman IT yang pergi datang bagai kilat tetapi dingin terhadap petunjuk hikmat kekal abadi.


(c) Kasus Fakhr al-Din al-Razi

I‘tibar daripada al-Fakhr al-Razi:

l Beliau mengembangkan rencana penyelidikan kalam jadid secara amat terperinci lagi menyeluruh sehingga merangkumi semua cabang ilmu metafizik, fizik dan mantik dengan membuat kritikan membina terhadap falsafah Ibn Sina, al-Farabi, Aristu (Aristotle) dan Aflatun (Plato).

l Beliau merumus-rakamkan hasil penyelidikan kritis ini dalam karya-karya beliau seperti al-Mabahith al-Mashriqiyyah (Penyelidikan Ketimuran), al-Matalib al-‘Aliyyah (Penuntutan Tertinggi), dan Mafatih al-Ghayb (Kunci-Kunci kepada Kebenaran Tersirat).

l Lalu beliau berjaya mengislamkan semua cabang ilmu falsafah dan sains tabii dengan memberikan huraian dan tafsiran baru yang sekaligus bersifat ilmiah lagi pula secocok dengan pandangalam Tawhid menurut faham Ahlus Sunnah wal-Jama‘ah.

l Beliau berjaya merumus dan mendirikan semula teori ‘keatoman/kejawharan’ secara kritis dengan penghujahan panjang lebar lagi terperinci demi menolak teori ‘bahan dan bentuk’ (theory of matter & form = hylomorphism) Aristu yang didokong oleh ibn Sina.

l Beliau berjaya kerana beliau tekun memperlengkapkan dirinya sehingga mahir dalam pelbagai bidang ilmu, seperti ilmu kalam, ilmu bahasa, fiqh, tafsir, tibb, falsafah, sains tabii, matematik dan falak.

l Beliau kuasai secara bersepadu kedua-dua ‘ulum naqliyyah (ilmu penukilan) dan ‘ulum ‘aqliyyah (ilmu pemikiran).

l Hasilnya, beliau berjaya menyepadukan secara kritis pemikiran falsafah dan sains ke dalam pemikiran agama melalui pendekatan kalam, iaitu dengan menyerapkan kedua-duanya ke dalam kerangka tatanilai dan tatailmu agama Islam yang bersumberkan wahyu Ilahi.


6. Kesimpulan

‘Sains Islam’ boleh difahami sebagai disiplin ilmiah yang mengkaji perumusan semula gagasan ‘Pengislaman Sains’ sebagai suatu rencana penyelidikan tajribi/amali/empiris jangka panjang (long term empirical research program) yang bertujuan mengamal-laksanakan (implement/execute) nilai-nilai adab dan ilmu Islam (Islam ethical and cognitive value system) dalam semua kegiatan sains dan teknologi masakini. Pengertian ini akan menjadikan Sains Islam sebagai satu kerangka/paradigma dasar yang baru, atau tatakaedah penyelidikan asas yang baru, bagi semua kegiatan sains masakini agar terbina secara beransur-ansur sains dan teknologi arus perdana yang menzahirkan Pandangan Alam Islam (Worldview of Islam) dalam alam nyata. Dalam konteks masyarakat Melayu-Islam di Malaysia, khasnya, dan di Indonesia, amnya, yang berpegang teguh dengan ajaran Islam, perjuangan ilmiah untuk mewujudkan apa yang dikatakan sebagai “sains menurut acuan sendiri” sudah pasti mengandaikan gagasan Pengislaman Sains sebagai kerangka faham (conceptual framework) asasnya. Dari sudut pandang ini, gagasan ‘sains menurut acuan sendiri’ adalah senada dengan gagasan ‘Pengislaman Sains’ dengan ertikata bahawa gagasan pertama terpandu oleh, dan terserap ke dalam, gagasan kedua.


Demi mewujudkan ‘sains menurut acuan sendiri’, ketiga-tiga pengertian Sains Islam ini (pengertian i, ii, dan iii di atas) seharusnya disepadukan dan dikuasai fahamnya oleh pendokong gagasan Pengislaman Sains. Daripada sejarah kejayaan dan kegagalan[35] pujangga terdahulu kita ambil pengajaran, iktibar dan pedoman demi dijadikan warisan bernilai buat pembina keyakinan diri dan pencetus ilham baru dalam mengharungi asakan budaya sains Barat. Daripada falsafah, kita serasikan sifat ingin tahu dengan sifat ingin bahagia di dunia dan akhirat agar sains dan teknologi yang dicetuskan kita menjadi faktor membina, bukan meruntuh, dalam tamadun Melayu-Islam kita. Dari tatakaedah penyelidikan, kita bina kemampuan untuk menilai, memilih, mengenalpasti, membina dan mengusahakan rencana pengkajian sains dan teknologi baru masakini yang benar-benar menjelmakan sistem nilai dan budaya ilmu kita dan yang terarah kepada memenuhi kepentingan kita sebagai bangsa Melayu-Islam yang terpelihara maknadiri dan jatidiri serta merdeka akalbudinya sampai bila-bila, in sha Allah.[36] Perlu diingatkan bahawa pendekatan amali ini hanya akan berjaya dan membuahkan hasil dalam alam nyata sekiranya disokong, difahami dan seterusnya dilaksanakan oleh para pengamal sains dan teknologi sendiri. Ahli-ahli sains dan teknologi yang perihatin kepada rencana Pengislaman Ilmu perlu execute the concept/tahqiq al-mafhum, iaitu faham maka buat, masukkan isi amali ke dalam rangka ilmi, flesh out the details of the program dengan mengisikan rencana ini menurut bidang kepakaran masing-masing, ambil peta ilmi ini lalu belayar di samudera penemuan baru di alam nyata, take this intellectual map and embark on a new voyage of discovery in the real world, demi kerana peta ini mereka sendiri yang menciptanya demi mencapai matlamat yang mereka yakini seratus peratus, iaitu membina semula budaya penyelidikan dan kegiatan sains yang benar-benar Islami dalam ertikata yang sebenarnya.


Mereka perlu melakukan penyelidikan jangka panjang ke arah mencapai matlamat ini, berfikir dan merenung serta merencanakan penyelidikan peribadi tertentu, disebut “peribadi” kerana besar kemungkinan rencana penyelidikan di luar kerangka arus perdana ini sukar disokong oleh dana-dana penyelidikan rasmi yang sedia ada, sama ada dana awam atau swasta, dana tempatan atau antarabangsa. Maka amatlah penting usaha mengadakan program-program ilmu seperti bengkel ilmiah diteruskan secara bersiri di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Berunai secara bergilir, bertumpukan tajuk-tajuk tertentu yang lebih menjurus, seperti pertanian, perubatan, matematik, kajihayat dan sebagainya, demi membina jaringan akar-umbi serantau yang kukuh dan berwibawa dari segi peningkatan mutu pemahaman dan penyelidikan. Dan in sha Allah, pada satu masa kelak, pendekatan “rencana penyelidikan” ini akan dapat diperkembangkan di peringkat antarabangsa, di Kanada, Amerika, Britain, Turki, Mesir dan sebagainya, melalui jaringan kita di sana, melalui pelbagai bengkel dan kolokium intensif, sehingga mereka mampu membina dana penyelidikan mereka sendiri demi membiayai projek-projek penyelidikan yang kini diabaikan oleh pihak-pihak berwajib yang terpesona dengan mengejar kemajuan sains Barat, padahal pihak-pihak yang tersebut itu tidak sedar bahawa apa yang “maju” di Barat mungkin “mundur” di Timur. Jadi, selain daripada terlibat dalam rencana penyelidikan dan kegiatan sains arus perdana, mereka juga perlu melapangkan masa berkorban sedikit sebanyak wang ringgit peribadi mereka demi melaksanakan rencana penyelidikan Sains Islam menurut kemampuan ilmiah dan latar bidang pengkhususan masing-masing, dan program-program ilmu seperti yang dicadangkan di atas tadi merupakan forum terbaik untuk mereka saling berbincang, berbicara, berwacana, berbahas, berdebat, bertanya, bertukar fikiran, berkongsi pengalaman dan bersyarah, hatta bertengkar sekalipun, demi menunjukkan jalan yang jelas lagi amali ke mentahqiqkan gagasan Sains Islam dan Pengislaman Sains seperti yang terhurai dalam makalah ini berdasarkan faham ‘pengislaman ilmu’ Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas.




[1] Bayan al-Farq bayna al-Sadr wa al-Qalb wa al-Fu’ad wa al-Lubb (Kaherah: Dar al-‘Arab, t.t.).

[2] Dihuraikan oleh al-Attas, The Nature of Man and the Psychology of the Human Soul (Kuala Lumpur: ISTAC, 1990).

[3] Ibid.

[4] (Kuala Lumpur: DBP, 1991).

[5] (Kuala Lumpur: ISTAC, 1998).

[6] Huraian lanjut dalam Adi Setia, “Hakikat Bahasa Menurut Chomsky dan al-Attas,” Islamia (Ogos 2004); idem, “Epistemologi Islam Menurut al-Attas,” Islamia (September, 2005); idem, “Teori & Penemuan Barat tentang Aqal: Tinjauan & Penilaian Ringkas menurut Kerangka Faham Ilmu Islam,” kertas kerja dibentangkan di IKIM pada 13—14 Mei 2008.

[7] P. C. Morgan, “Honey as Medicine,” Seasons 1, 2 (2003—2004). Lihat juga Kamaruddin Mohd Yusuf, “Rahsia Keistimewaan Madu Lebah sebagai Penawar,” kertas-kerja dalam Seminar Perubatan Melayu anjuran Akademi Pengajian Melayu, 23—24 Ogos, 2002.

[8] Lihat kupasan oleh Mohd. Hilmi b. Abdullah, Teori-Teori Asas Perubatan Ibnu Sina (Kota Baru: Pustaka Hilmi, 2005); idem, Rawatan Umum dalam Perubatan Ibnu Sina (Kota Baru: Pustaka Hilmi, 2007).

[9] Sejak kebelakangan ini telah muncul beberapa kajian baru mengenai tradisi ilmu perubatan Melayu seperti Harun Mat Piah, Kitab Tib: Ilmu Perubatan Melayu (Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara, 2007); Mas Irun Alli, Perubatan Melayu Tradisional Melayu Brunei; Khaijah Hussin, Anatomical Atlas of Malaysian Medicinal Plants, 3 jil. (Bangi: UKM, 2006); Noraida Arifin, Penyembuhan Semula Jadi dengan Herba (PTS Millenia, 2007); Roland Werner, Medicines in Malay Villages (Kuala Lumpur: University of Malaya Press, 2002); Roland Werner, Royal Healer: The Legacy of Nik Abdul Rahman bin Hj. Nik Dir of Kelantan (Kuala Lumpur: University of Malaya Press, 2002); dan Anisah Barakbah, Ensiklopedia Perbidanan Melayu: Sebuah Perbendaharaan Ilmu Perubatan dan Penjagaan Kesihatan (Kuala Lumpur: Utusan Publications, 2007).

[10] A. N. Rao (penyunting), Women’s Health & Asian Traditional Medicine (Petaling Jaya: Tropical Botanics, 2006) jelas menunjukkan perkembangan minat dalam penyelidikan perubatan tradisi.

[11] Surat al-Naba’: 9.

[12] Aisha Subhani, “The Virtue of Sleep,” Seasons 3, 1 (2006).

[13] Surat Al ‘Imran: 191.

[14] Seperti yang kini berlaku di hutan Belum-Temengor; lihat video DVD Belum-Temengor bertajuk Temengor: Biodiversity in the Face of Danger, terbitan Novista (www.novista.tv).

[15] Huraian lanjut dalam Adi Setia, “Green is Graceful: Practical Lessons from the History of Islamic Technology,” kertas-kerja dibentangkan dalam Seminar Sains Islam anjuran ASASI dan IYC/IIUM pada 26 Februari 2009.

[16] Huraian lanjut dalam P. Hawken, et al., Natural Capitalism (London: Earthscan, 1999); P. T. Anastas, Green Chemistry (London: Oxford U. Press, 1998); dan D. T. Allen, Green Engineering (New York: Prentice Hall, 2001).

[17] Surat al-Anbiya’ ayat 107.

[18] Tom Verde, “A Traditon of Conservation,” in Saudi Aramco World (November/December, 2008).

[19] Seperti yang dilakukan oleh syarikat Rainforest Tea di Sabah (www.rainforesttea.com).

[20] Bill Mollison, Introduction to Permaculture (Sisters Creek, Tasmania: Tagari Publications, 1997).

[21] A. M. Watson, Agricultural Innovation in the Early Islamic World (Cambridge: Cambridge University Press, 1983); dan Zohor Idrisi, “The Muslim Agricultural Revolution and Its Influence on Europe,” at www.muslimheritage.com.

[23] Untuk teliti lagi isu ini, lihat, antaranya: http://www.resurgence.org/resurgence/issues/greek224.htm.

[24] R. J. Apfel and S. M. Fisher, To Do No Harm: DES and the Dilemma of Modern Medicine (New Haven: Yale University Press, 1984). Lihat juga The Insight Team of the Sunday London Times, Suffer the Children: The Story of Thalidomide (New York: Viking Press, 1979).

[25] Gejala rakus ini digambarkan dalam filem The Constant Gardener; lihat laman sesawang http://rogerebert.suntimes.com/apps/pbcs.dll/article?AID=/20050901/REVIEWS/50826001/1023.

[26] Ivan Illich, Deschooling Society (Harmondsworth: Penguin Books, 1971).

[27] Paul Feyerabend, Farewell to Reason (London: Verso, 1987).

[28] Theodore Roszak, Where the Wasteland Ends (Berkeley, CA: Celestial Arts, 1989)

[29] Surat al-Isra’ ayat 81.

[30] Huraian lanjut dalam Adi Setia, “Kesalingkaitan antara Agama dengan Sains: Ke Arah Meletakkan Semula Sains & Teknologi di bawah Pengarahan Shari‘ah Islamiyyah,” dibentangkan dalam seminar anjuran AKK dan ILIM pada 14 Mac 2009; dan dalam seminar anjuran Yayasan Ilmuwan dan YADIM di Universiti Malaya pada 27 Mac 2009.

[31] Sumber: A. I. Sabra, The Optics of Ibn Haytham (London: Warburg Institute, 1989); dan M. Saud, The Scientific Methodology of Ibn Haytham (Islamabad: Islamic Research Institute, 1990). Untuk pengaruh Ibn Haytham ke atas Albert Magnus, lihat Cemil Akdogan, Albert's refutation of the extramission theory of vision and his defence of the intromission theory: an edition, English translation and analysis of his Muslim sources (Kuala Lumpur: ISTAC, 1998).

[32] Seperti yang dihuraikan oleh George Saliba dengan rujukan lengkap dalam Islamic Science and the Making of the Islamic Renaissance (Cambridge, MA: MIT, 2007).

[33] Huraian lanjut dalam Adi Setia, “The Theologico-Scientific Research Program of the Mutakallimun.”

[34] Seprti yang terserlah dalam karya beliau Port in a Storm: A Fiqh Solution to the Qibla of North America (Amman: Wakil Press,); dan (Cambridge: Muslim Academic Trust).

[35] Yang dimaksudkan dengan “kegagalan” di sini ialah merujuk kepada apa yang, pada pandangan kita masakini, leluhur terdahulu itu mampu tercapai tapi tak tercapai disebabkan faktor-faktor yang di luar jangkauan mereka.

[36]Huraian lanjut dalam Adi Setia, “Islamic Science as a Scientific Research Program: Conceptual and Pragmatic Issues,” Islam & Science 3, 1 (2005): 93—101; dan Adi Setia, “Three Meanings.”