Sabtu, 31 Januari 2009

Obama dan perubahan Amerika Syarikat: realiti atau fantasi?






Hero atau zero?


Oleh Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (tersiar dalam majalah Milenia Muslim edisi Februari 2009 di bawah tajuk “Ujian ke atas Obama”)


Seperti yang diharapkan ramai, Senator Barack Obama akan mengambil alih tampuk kekuasaan White House pada 20 Januari 2009 sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-44. Dengan berbekalkan slogan “change” Obama bukan sahaja telah berjaya menawan hati rakyat Amerika Syarikat (AS) malah dunia secara am-nya. Janji sudah ditabur, apakah benar Obama mampu menunaikannya?


Untuk meninjau keberangkalian perubahan yang mungkin tercapai kita harus merujuk beberapa episod penting yang telah berlaku sepanjang beberapa bulan yang lalu.


Antara saat penting yang membantu kepada penentuan kemenangan Obama ke atas McCain adalah ketika mana krisis ekonomi menyerang Wall Street. Sebelum itu Obama dan McCain agak seimbang dari segi pengaruh kempen masing-masing.


Dengan kesempatan krisis yang cukup berpengaruh ini, Obama telah berhujah bahawa wacana ekonomi yang dibawa McCain tidak ubah seperti mana yang dijaja oleh para pemimpin AS yang terdahulu yang mana rata-ratanya mewarisi falsafah ekonomi neo-liberalisme yang pro-kapitalis warisan Presiden AS yang ke-40, Ronald Reagan.


Dalam keadaan yang serba kelam kabut di AS di mana ancaman kesinambungan kehidupan kelas menengah dan bawah AS semakin terancam, Obama dengan idea yang berlawanan dengan prinsip neo-liberalisme McCain telah berjaya menawan kepercayaan rakyat AS yang sudah mula kaget dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu.


Berbekalkan retorik slogan “change” dan dasar ekonomi populisme buat kelas pertengahaan AS, Obama telah berjaya menawan hati majoriti rakyat AS dan lebih penting telah meyakinkan mereka bahawa perubahan bakal melanda White House.


Persoalannya sekarang adakah Obama mempunyai keberanian untuk menggagas idea yang telah membantu beliau meraih undi yang banyak untuk dijadikan dasar negara AS yang betul-betul utuh sifatnya?


Hasil kaji selidik awal oleh intelektual dan wartawan terkemuka Kanada, Naomi Klein berkenaan dasar pelaksanaan Obama menunjukkan beliau walaupun sebelum ini mengambil pendekatan yang berbentuk kebajikan sosial akan lebih cenderung kepada dasar yang pro-kapitalisme. Ini dapat dibuktikan melalui hujah Obama untuk mengurangkan cukai industri dan liberalisasi undang-undang perniagaan semakin dicanang hebat dalam media arus perdana. Hujah ini diperkuatkan lagi dengan krisis ekonomi yang telah membawa dampak kerugian yang besar kepada beberapa buah syarikat-syarikat AS. Obama tidak mengkritik secara terang-terangan berkenaan ketamakkan para spekulator Wall Street dan pengurus-pengurus besar firma kewangan AS sedangkan hampir semua rakyat AS faham itulah punca masalah krisis ekonomi AS ini.


Ini bukanlah satu perkara yang ganjil. Pengaruh kuasa kapitalis masih kental kerana kuasa melobi mereka telah lama tersemat dalam proses demokarsi AS. Rakyat AS hanya mengundi pemimpin mereka, bukan mengundi untuk satu perubahan yang konkrit.


Kita boleh lihat sahaja bagaimana keadaan ekonomi AS pada hari ini. Pelan bailout $ 700-bilion seharusnya dianggap sebagai pencurian terang-terangan terhadap wang rakyat dalam menyelematkan para kapitalis di Wall Street yang hampir gulung tikar.


Itu keadaan sebulan yang lalu. Pada masa kini seperti yang dilaporkan dalam media arus perdana, syarikat-syarikat gergasi Amerika seperti General Motors, Freddie Mac, Fannie Mae dan AIG masih memerlukan berpuluh-puluh billion Dolar AS untuk terus beroperasi. Masakan bagaimana dalam keadaan sebegini Obama ingin melakukan perubahan fundamental berkenaan sistem ekonomi Amerika kerana pemain-pemain yang besar dan cukup berpengaruh seperti golongan kapitalis ini masih berselindung di bawah krisis ekonomi untuk “mencuri” wang rakyat?


Yang lebih merisaukan ialah jumlah wang kempen yang diterima oleh Obama jauh melebihi McCain yang rata-ratanya didermakan oleh syarikat-syarikat besar Amerika Syarikat, kepentingan Wall Street dan juga kepentingan wakil firma guaman syarikat-syarikat besar. Sudah tentu pembiayaan wang kempen sebegini bukanlah semata-mata belas ihsan daripada mereka yang menderma. Untuk Obama menjawat jawatan Presiden, beliau juga harus “membayar budi” kepada penyumbang dana kempen tersebut.


Tidak pernah langsung sebelum ini calon Presiden daripada Parti Democrat mendapat perolehan dana yang begitu besar sehingga mengatasi perolehan dana calon daripada parti Republican.


Malah, Obama sendiri menyokong penuh tanpa syarat pelan bailout USD 700 bilion untuk Wall Street sebulan yang lalu. Rekod Obama sepanjang berkhidmat sebagai senator dan juga dalam jangka masa berkempen untuk jawatan Presiden telah menunjukkan tanda-tanda kecenderungan memihak kepada keperluan operasi perniagaan syarikat-syarikat besar tanpa mengambil kira kesan jangka panjang kepada alam sekitar dan kualiti kehidupan rakyat Amerika Syarikat.


Disini telah berlaku konfilik antara janji kepada masyarakat kelas pertengahan dan juga janji kepada syarikat-syarikat besar. Apakah sewaktu berkempen Obama menjadi malaikat kepada golongan kelas pertengahan kemudian setelah berkuasa akan mengambil peduli kepada golongan kapitalis sahaja?


Itu persoalan-persoalan yang bersifat ambiguiti dari sudut pandang ekonomi. Persoalan lain yang harus ditanya ialah bagaimana pendirian peribadi Obama dalam beberapa isu kritikal dalam menentukan jalan beliau ke arah tampuk penguasaan White House. Adakah beliau mempunyai pendirian yang betul-betul tetap ataupun berubah mengikut angin keperluan demokrasi AS?


Dahulunya sewaktu beliau di University of Chicago, Obama merupakan seorang pejuang hak asasi rakyat Palestin kerana beliau rapat dengan beberapa tokoh pejuang hak asasi Palestin yang terkenal seperti Rahsid Kalidi, Edward Said dan Ali Abu Nimeh. Tetapi itu semuah berubah setelah beliau terjun ke dalam kancah politik AS. Bagi meraih sokongan padu rakyat AS daripada golongan berpengaruh seperti Kristian dan Yahudi, Obama harus bijak bermain politik dengan lobi Israel yang paling berpengaruh di Amerika iaitu American-Israel Public Affairs Committee (AIPAC). Dalam permainan ini amat jelas sekali Obama telah mengubah pendirian yang dipegang erat satu ketika dahulu kepada 180 darjah ke belakang dalam isu Israel-Palestin.


Pelantikan ahli kongres Yahudi-Zionis, Rahm Emanuel sebagai chief of staff di White House, satu jawatan yang paling berpengaruh selepas jawatan Naib Presiden seharusnya menjadi petunjuk penting berkenaan hala tuju Amerika di bawah Obama. Secara automatik, Rahm Emanuel akan menjadi “orang kanan” Obama di White House. Penerimaan baik oleh Israel berkenaan perlantikan ini juga boleh menggambarkan Dasar Luar AS kelak.


Kemenangan Obama juga telah mewujudkan satu ilusi pemikiran yang bahaya di kalangan penyokongnya. Terdapat banyak suara yang membandingkan Obama dengan harapan yang menggunung untuk mewarisi perjuangan pemimpin Afro-Amerika Kristian, Martin Luther King Jr dalam menentang masalah perkauman di AS.


Benarkah Amerika secara amnya sudah berjaya keluar dari kepompong perkauman?


Mari kita tinjau satu contoh nasib warga Afro-Amerika dalam perihal industri penjara AS. Oleh kerana sejarah perkauman yang bermula dengan penghambaan yang cukup tegar, masih ramai rakyat Afro-Amerika terjelapuk dalam kancah kemiskinan yang cukup serius. Mobiliti sosial kaum Afro-Amerika sangat minimum sifatnya dan bersifat perseorangan dimana mereka lebih ramai melahirkan ahli sukan dan penghibur berbanding golongan profesional yang dapat menyumbang kembali tenaga dan kepakaran mereka dalam pembaik pulihan komuniti Afro-Amerika.


Contoh terbaik diskriminasi terhadap golongan Afro-Amerika dapati disaksikan sewaktu bencana Taufan Katrina di New Orleans yang berlaku pada tahun 2005. Bantuan daripada kerajaan pusat seperti acuh tidak acuh dalam menyelamatkan rakyat New Orleans yang rata-ratanya warga Afro-Amerika. Ini tidak terjadi di kawasan elit seperti kes 11 September yang menumbangkan World Trade Center. Malah bantuan yang ingin dihulurkan oleh kerajaan pusat lebih berbentuk eksploitatif di mana pelan pembangunan semula New Orleans yang dianjurkan White House lebih mengutamakan peluang pengswastaan kepada syarikat-syarikat perniagaan berbanding berbentuk kebajikan.


Jikalau dilihat keadaan Afro-Amerika dalam sistem industri penjara di AS adalah lebih menyedihkan. Penjara di Amerika telah tumbuh seperti cendawan bagi menampung “penjenayah” yang selalunya dipukul rata kepada golongan Afro-Amerika atas dasar melindungi “keamanan dan keselamatan” warga semasa. Akar kepada permasalahan Afro-Amerika tidak pernah diambil berat oleh kerjaan Amerika Syarikat sejak zaman Malcolm X lagi. Ketidak pedulian ini sebenarnya bukanlah semata-mata satu bentuk sentimen perkauman yang tegar tetapi sebaliknya merupakan satu mekanisme kepada penyuburan pembinaan lebih banyak penjara swasta di AS.


Pembinaan penjara swasta yang lebih dikenali sebagai Industrial Prison Complex telah berjaya mewujudkan sebuah industri tenaga kerja murahan yang terselindung daripada ekonomi semasa. Dengan menempatkan ribuan-mungkin juga jutaan warga Afro-Amerika ke dalam penjara sebegini, ekonomi kapitalisme yang dikendong Amerika akan lebih berjaya menjimatkan kos pengeluaran produk syarikat-syarikat mereka yang dihasilkan dalam penjara-penjara AS. Penghinaan ini adalah lebih berupa satu bentuk penghambaan zaman baru yang berselindung dibawah pengimejan dan perkaitan warga Afro-Amerika sebagai penjenayah yang pasti di Amerika Syarikat.


Allahyarham Malcolm X jauh lebih berprinsip berbanding Obama.


Barack Obama tidak memimpin Amerika Syarikat dengan seorang diri. Berjaya atau tidak kepimpinannya sangat ditentukan oleh sokongan para pemikir, dan ahli stategi yang pro-kulit putih. Kita harus ingat bahawa untuk Obama berkuasa beliau harus mendapat sokongan daripada semua warga Amerika yang majoriti-nya warga kulit putih. Maka ianya bukanlah satu kerja yang mudah buat Obama untuk melakukan perubahan dengan menggunakan kuasa yang beliau miliki dalam menzahirkan harapan para pemimpin gerakan massa Afro-Amerika yang terdahulu seperti Martin Luther King Jr dan Malcolm X.


Seperti yang digambarkan dalam buku Naomi Klein, The Shock Doctrine, dalam kedaan berlakunya perubahan kuasa politik, masyarakat dan media AS akan lebih cenderung kepada subjek pemimpin yang bakal memegang tampuk kekuasaan tersebut. Sebaliknya, isu yang lebih fundamental dan penting amat jarang sekali mendapat kritikan ramai seperti dasar ekonomi AS yang pro-kapitalisme.


Rakyat Amerika harus bijak membuat pemerhatian kritikal tentang apakah permasalahan sebenar Amerika Syarikat berbanding siapakah perosaknya. Apakah ianya semata-mata faktor pemerintahan ataupun ada faktor yang lebih mendasar seperti sistem dan juga pengaruh asing (lobi Israel) yang lebih kuat. Bagi pemerhati luar, penukaran Presiden ini hanyalah berbentuk kosmetik yang cukup memukau dengan slogan “change” dan retorik politik yang bersifat nisbi (relativism) kerana Amerika Syarikat masih mengakar dengan sikap hubris-nya sebagai Empayar Dunia.



Jumaat, 30 Januari 2009

Apa yang anda tidak tahu tentang Gaza: ceramah khas krisis Gaza di UTP



Apa yang anda tidak tahu tentang Gaza.


Oleh Rashid Khalidi. (Rashid Khalidi merupakan Profesor dalam kajian berkenaan Arab di University of Columbia, Amerika Syarikat.)


TENTANG PENDUDUK GAZA:

Hampir ke semua rakyat Palestin yang tinggal di Gaza bukan kerana atas pilihan mereka. Majoriti daripada 1.5 juta rakyat Palestin yang bersesak-sesak tinggal dalam lingkungan 140 batu persegi di sekitar Gaza merupakan sekumpulan keluarga yang berasal dari pekan dan kampung di luar Gaza seperti Ashkelon dan Beersheba. Mereka dipaksa berpindah ke Gaza oleh tentera Israel pada tahun 1948.


TENTANG PENJAJAHAN

Warga Gaza telah tinggal di bawah penjajahan Israel semenjak Perang 6 Hari ( Six-Days War) meletus pada tahun 1967. Israel masih lagi dilihat sebagai kuasa penjajah walaupun mereka telah mengeluarkan askar dan penduduk Yahudi daripada kawasan tersebut pada tahun 2005. Israel masih lagi mengawal pintu masuk di kawasan tersebut, termasuklah kegiatan import dan eksport barangan dagangan serta pergerakan keluar masuk warga Gaza. Israel mempunyai kuasa mengawal ruang udara, dan laut Gaza serta mereka boleh masuk sesuka hati ke kawasan tersebut. Sebagai kuasa penjajah, Israel mempunyai tanggungjawab seperti yang termaktub dalam artikel ke-4 Geneva Convention untuk memastikan kebajikan orang awam di Gaza terjaga.


TENTANG SEKATAN

Sekatan yang Israel kenakan di Gaza, dengan sokongan padu Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) telah menjadi lebih keras semenjak Hamas memenangi pilihan raya umum Palestin pada Januari 2006. Minyak, kuasa elektri, import,eksport dan pergerakan keluar masuk rakyat Palestin di Gaza telah menjadi lebih sukar. Situasi ini seterusnya membawa kepada situasi kesihatan warga Gaza yang lebih rencam kerana masalah kesihatan yang buruk terhasil daripada keadaan kebersihan persekitaran yang merosot, dan juga bekalan air yang tercemar. Sekatan tersebut turut membawa kepada kadar penggangguran yang lebih tinggi, kemiskinan tegar, dan juga kekurangan zat makanan. Semua ini dizahirkan sebagai satu hukuman berbentuk kolektif – dengan sokongan penuh daripada Amerika Syarikat- ke atas rakyat Palestin yang hanya menunaikan tanggungjawab demokrasi mereka.


TENTANG GENCATAN SENJATA

Memberhentikan sekatan ekonomi dan sosial di samping pemberhentian pelancaran roket merupakan antara isi utama perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui oleh Israel dan Hamas pada bulan Jun 2008. Perjanjian ini telah menurunkan kadar jumlah pelancaran roket dari Gaza ke Israel dengang begitu mendadak sekali. Gencatan ini akhirnya gagal setelah Israel melancarakn serangan ketentaraan dari udara dan darat pada awal November 2008 yang telah mengorbankan 6 askar Hamas.


TENTANG JENAYAH PERANG

Dengan menyasarkan orang awam, sama ada Hamas ataupun Israel, merupakan satu jenayah perang. Setiap nyawa manusia sangat berharga. Tetapi statistik sendiri telah menyebut bahawa hampir 1000 orang warga Palestin, rata-ratanya orang awam telah terbunuh semenjak konflik ini tercetus pada hujung tahun 2008. Sebaliknya, hanya 12 warga Israel yang terbunuh, rata-ratanya askar Israel. Diplomasi merupakan cara yang lebih efektif untuk menghentikan serangan roket dan keganasan lain. Ini mungkin dapat dicapai jikalau Israel mampu menunaikan janji mereka dalam perjanjian gencatan senjata pada Jun 2008 dan menghentikan sekatan ekonomi dan sosial di Gaza.


Peperangan ke atas warga Gaza ini bukanlah kerana serangan roket Hamas. Bukan juga untuk langkah pencegahan berkenaan keselamatan Israel seperti yang dijaja oleh media massa Barat. Lebih mengejutkan, seperti yang diperkatakan oleh Ketua Kakitangan Tentera Israel (IDF), Moshe Yaalon pada tahun 2002: “ Rakyat Palestin harus diberi kefahaman sedalam-dalamnya berkenaan kesedaran mereka bahawasanya rakyat Palestin adalah rakyat yang kalah”.




CERAMAH KHAS "AKAR PERMASALAHAN KRISIS GAZA"


Tarikh: 31 Januari 2009


Masa: Lepas Maghrib


Tempat: Masjid an-Nur Universiti Teknologi PETRONAS


Sesi khas: Deklamasi sajak bertajuk " Risalah untuk Aktivis umat"



Jemputlah rakan-rakan untuk hadir memahami krisis yang semakin suam ini!



Rabu, 28 Januari 2009

Melayari lautan ilmu Kalam: membedah rujukan kitab ‘Prolegomena’ al-Attas



Seminggu dua yang awal ini, seperti biasa saya akan ke Information Resource Center (perpustakaan UTP) bagi membelek khazanah ilmu yang ada. Ternyata walaupun sudah 5 tahun menuntut di UTP, saya masih berasa janggal dengan khazanah ilmu yang terkumpul di sana.


Belek punya belek, saya jumpalah satu jurnal Oxford’s Journal of Islamic Studies edisi awal tahun 2008. Walaupun saya tak berapa suka program Islamic Studies di Universiti Oxford kerana sebab-sebab tertentu yang berkait rapat dengan Orientalisme, tapi melihat satu makalah yang bertajuk agak menarik termuat dalam jurnal tersebut, maka saya belek jugaklah.


Makalah berkenaan bertajuk: “ The epistemological foundation of conceptions of justice in classical kalām: A study of ‘Abd al-Jabbār’s al-Mughnī and Ibn al-Bāqillānī’s al-Tamhīd ” dan ditulis oleh Kambiz Ghaneabassiri dari Reed College.



Tajuknya pun pelik tapi ringkasnya makalah ini membicarakan tentang konsep keadilan dalam ilmu kalām ( theology ) melalui analisa dua mutakallim (ulama’ kalām) yang berbeza aliran pemikiran ilmu kalām-nya ya’ni Mu’tazilah dan Ash’ariyyah ( aliran Ahl Sunnah wal Jamaah).


Bagi ‘Abd al-Jabbār yang beraliran Mu’tazilah, kitab beliau yang dijadikan kajian dalam makalah ini bertajuk al-Mughnī fī abwāb al-tawhīd wa-l-‘adl ( ‘That which makes suffices in discussions of divine unicity and justice’ )


Bagi al-Bāqillānī yang beraliran Ash‘ariyyah pula, kitab beliau yang bertajuk al-Tamhīd fi l-radd ‘alā l-mulhida al-mu‘at}t}ila wa-l-rāfida wa-l-khawārij wa-l-mu‘tazila ( ‘ Laying out the refutation of the atheist heretics, the Shi‘a, the Kharajis, and the Mu‘tazila’ )


Saya nak kupas panjang pun tak mampu sebab tak habis baca lagi.


Tapi yang pasti saya sangat berminat dengan makalah ini sebab ingin tahu tentang bagaimana umat Islam dahulu memahami konsep ‘adl yang diterjemahkan dalam kehidupan seharian serta politik pemerintahan.


Apabila bercakap tentang kata kunci penting seperti keadilan (‘adl ), kebahagiaan (sa‘ādah) etc. ini, teringat pula tentang kitab berkenaan pembentukan pandangan alam Islam yang dikarang oleh Prof. al-Attas ya’ni ‘Prolegomena to the Metaphysics of Islam: An Exposition of the Fundamental Elements of the Worldview of Islām’.



Kitab ini berkali ganda lebih sukar untuk dibaca berbanding magnum opus beliau ya’ni ‘Islām and Secularism’.


Saya bacalah jugak sikit tapi tak mampu nak cerna semua lagi.


Mungkin untuk memberi gambaran awal tentang kitab ini ada eloknya kita tengok pengaruh penting ulama’ silam dan kitab-kitab mereka terhadap Prof. al-Attas dalam menulis Prolegomena seperti yang tertera dalam bahagian bibliografi di belakang kitab tersebut :


Imam al-Ghazālī:

1) Ihyā’ ‘Ulūm al-Dīn

2) Ma‘ārij al-Quds fi Madārij Ma‘rifat al-Nafs

3) n al-‘Amal

4) Mishkāt al-Anwār

5) Tahāfut al-Falāsifah

6) Al-Maqsad al-Asnā fi Sharh Ma‘ā Asmā’ Allāh al-Husnā

7) Al-Iqtisād fi al-I‘tiqād


Nūr al-Din ‘Abd al-Rahmān Jāmī:

1) Naqd al-Nus fi sharh Naqsh al-Fusūs

2) Majmū‘ah Mullā Jāmī

3) Lawā’ih fi Bayān Ma‘ānī ‘Irfāniyyah

4) Al-Durrah al-Fākhirah

5) Risalāh fi al-Wujūd


Muhyī al-Dīn ibn ‘Arabi:

1) Fus al-Hikam

2) Al-Futūhāt al-Makkiyyah


Imam al-Baydāwī:

1) Anwār al-Tanzīl wa Asrār al-Ta‘wīl


Imam al-Ījī:

1) Al-Mawāqif fi ‘Ilm al-Kalām


Imam al-Jīlī:

1) Al-Insān al-Kāmil fi Ma‘rifat al-Awā’il wa al-Awākhir


Imam al-Junayd:

1) Rasā’il al-Junayd


Imam al-Jurjānī:

1) Kitāb al-Tarīfāt


Ibn Manzūr:

1) Lisān al-‘Arab


Imam Fakhr al-Dīn al-Rāzī:

1) Al-Tafsīr al-Kabīr

2) Kitāb Lawāmi‘ al-Bayyināt Sharh Asmā’ Allāh al-Husnā


Imam Shahrastānī:

1) Kitāb al-Milal wa al-Nihal

2) Kitāb Nihāyat al-Iqdām fi ‘Ilm al-Kalām


Ibn Sīnā:

1) Kitāb al-Shifā

2) Kitāb al-Najāt

3) Al-Ishārāt wa al-Tanbīhāt

4) Risālah fi Ma‘rifat al-Nafs al-Nātiqah wa Ahwālihā


Dan banyak lagi yang saya tak larat nak tuliskan semuanya dalam entri ini.


Tapi yang pasti kalau kita dapat lihat pengaruh tassawuf dan kalām sangat kuat dalam kerangka pemikiran Prof. al-Attas.


Ulama’ seperti al-Ghazālī, Ibn ‘Arabi, Jāmī dan Ibn Sīnā merupakan antara menjadi rujukan penting buat Prof. al-Attas dalam menulis Prolegomena.


Setakat ini saya hanya mampu membaca terjemahan Bahasa Inggeris buat sebilangan kecil kitab-kitab yang digariskan tersebut. Tapi yang nyata, setakat saya membaca dan mengkaji kitab yang dijadikan rujukan buat Prof. al-Attas, sememangnya karya-karya tersebut mempunyai satu daya Aufklarung (Pencerahan) kepada manusia yang berfikir.


Itulah kadang-kadang saya pun hairan. Saya kembali sebagai mahasiswa tahun akhir kejuruteraan kima ke usul al-Dīn?


Dalam sejarah ketamadunan Islām, tidak berlaku sebarang pemisahan antara ilmu fard ‘ayn dan fard kifayah.


Kesimpulannya: Jadilah apa pun asalkan niat IKHLAS mencari KEBENARAN dalam setiap lapangan ilmu.


I do not study for my mum, sponsors, or CGPA. I am looking for Truth and Reality (al-haqq).


Wallahu’alam.


Sekadar berkongsi.


P/S: Adik-adik di UTP jangan ikut cara pengembaraan ilmu macam ini kalau tak berani ambil risiko. Jatuh bangun dalam akademik tu bagi saya adalah norma kehidupan dalam menempuhi jalan yang semacam ini. Kalau sayangkan CGPA, dan nak kejar sijil program ijtima'ie silakan ambil jalan yang orang lain selalu pilih. Saya dah nak grad, dan ada visi yang clear tentang perjalanan ini so tak apa. No turning back and never regret!.