Isnin, 14 Disember 2009

Bertemu Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas




 
Setelah hampir setahun merancang, syukur Alhamdulillah, hasrat kami daripada Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM) dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) untuk menjemput pemikir Islam tersohor dan terpenting masani, Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas telah berjaya dilaksanakan semalam.


Selama sehari suntuk, kita telah disajikan dengan makanan aqliyyah dan qalbu yang enak-enak belaka dalam mengupas pelbagai persoalan asasi berkenaan pandangan alam Islam (ru'yat al-Islam lil Wujud) oleh anak-anak murid Prof. Al-Attas dan juga oleh beliau sendiri pada sebelah malamnya dalam satu syarahan perdana di Institut Integriti Malaysia (IIM).


Setelah hampir 4 tahun Prof. Al-Attas menyepi daripada khalayak umum atas beberapa sebab yang tidak boleh dielakkan. Semalam Allah S.W.T telah mentakdirkan kita semua yang telah berkesempatan untuk hadir bersama-sama dengan beliau dalam satu sesi yang penuh barakah wa rahmah (ingat apa Prof. Al-Attas kata semalam pasal ma'na rahmah?)


 
 Prof. Al-Attas dan Prof. Wan dikerumuni oleh para siswa dan siswi serta golongan profesional muda yang sangat merindui beliau. Selama ini generasi kami hanya mampu membaca karya beliau serta menonton video ringkas dalam Youtube. Saya percaya yang mengerumuni beliau itu bukan atas dasar populariti tapi kerinduan kami sebagai murid, kepada seorang guru yang amat berjasa dalam membantu kami merangka kerangka pandangan alam Islami yang tahwidik.


Dalam usia beliau yang sudah lanjut sebegitu pun, kita dapat lihat betapa pemikiran beliau masih tajam dan kemas dalam menyampaikan syarahan yang ringkas tetapi berma'na. Saya difahamkan oleh anak-anak murid beliau yang terdekat bahawa Prof Al-Attas, seperti mana yang diterangkan oleh beliau sendiri semalam agak sukar untuk menyampaikan syarahan dengan tajuk sepenting ini dalam jangka masa yang singkat. Itulah adab beliau terhadap ilmu. Beliau sendiri akui jikalau beliau tidak mampu memberi jawapan, beliau tidak akan berceloteh panjang berkenaan maudu' tersebut.


Sebab itulah saya difahamkan juga oleh guru yang saya kasihi, Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud bahawasanya Saturday Night Lecture yang dipimpin oleh Prof. Al-Attas dahulu sewaktu beliau masih memegang amanah kelimuan ummah di ISTAC merupakan siri syarahan terpanjang di Malaysia kerana ianya telah berjalan selama 13 tahun! (kalah TED Talks).


Prof. Wan juga pernah memberitahu saya bahawasanya Prof. Al-Attas tidak suka membazir masa menghadiri persidangan yang tidak penting semata-mata untuk memenuhi tuntutan dunia akademik yang kehilangan adab melalui konsep "publish or perish" seperti yang kita selalu dapat saksikan dalam banyak persidangan akademik tanah air yang tertaut dan tertawan dengan konsep pragmatisme dan pembangunan aqliyyah palsu dek tertakluk dengan tuntutan mengejar gerak daya dan daya cita arus pasaran (market force) kapitalisme.

Melihat ratusan siswa-siswi, Dato' dan Datin, golongan profesional yang hadir semalam ke Seminar Pandangan Alam Islam dan Syarahan Perdana Prof. Al-Attas, ternyata kebiadapan golongan politikus dan ilmuan biadap yang mengambil alih ISTAC daripada orang yang layak tidak menjejaskan sedikit pun ke-izzah-an Prof. Al-Attas. Para pemuka yang berhasad-dengki dengan Prof. Al-Attas bukan saja berdosa ke atas beliau tetapi lebih teruk kepada seluruh Dunia Islam yang mana anak-anak muda mereka ingin menuntut ilmu daripada autoriti yang berwibawa seperti beliau akhirnya tidak kesampaian. Murka Allah ke atas mereka dengan kekeliruan dan kesalah fahaman ilmu yang berpanjangan seperti yang dinukilkan dalam hadith baginda Rasulullah s.a.w:   
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash r.a: “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “ Allah tidak akan mengambil kembali ilmu (agama) dengan mengambilnya dari (dalam hati) manusia, tetapi mengambilnya kembali dengan kematian para ulama hingga tidak bersisa, lalu orang ramai akan mengambil orang-orang bodoh sebagai pemimpinnya yang apabila orang-orang itu bertanya kepada mereka, mereka akan memberikan jawapan-jawapan yang tidak didasarkan kepada ilmu. Maka mereka akan berada dalam kesesatan dan menyesatkan orang lain.”~  (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim) 
 
Lebih menyentuh hati saya, Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia telah meluangkan masa selama sehari suntuk dalam seminar dan syarahan perdana tersebut semata-mata kerana keinsafan beliau sebagai seorang murid kepada guru yang beliau banyak mendapat manfaat sebagai seorang insan, dan kini sebagai pemimpin masyarakat seperti yang beliau nyatakan dalam ucapan pembukaan seminar pada sebelah pagi. 
 
 
Pengaruh Prof. Al-Attas yang beliau hayati sejak memangku jawatan dalam PKPIM pada zaman siswa tidak dapat dinafikan lagi dan disebalik kesukaran untuk memahami teks yang ditulis Prof. Al-Attas, Datuk Saifuddin memperakui akan kebergantungan beliau terhadap penjelasan anak murid Prof. Al-Attas yang ulung ya'ni Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud untuk memahami gagasan besar yang dilontarkan oleh Prof. Al-Attas. 
 
 
Sepanjang seminar dan syarahan tersebut, Datuk Saifuddin kelihatan amat fokus dan tidak berprotokol kerana beliau ingin bersama-sama dengan semua hadirin dalam satu matlamat yang satu ya'ni meraikan guru ulung kita, Prof. Al-Attas dengan menimba ilmu dan ma'na-nya dalam usaha kita meneruskan gagasan ini diperingkat kehidupan masing-masing. 
  
 
 Khusyuknya Datuk Saifuddin mendengar nasihat daripada Prof. Al-Attas.
Itulah adab seorang pemimpin kepada gurunya seperti mana yang kita sering dengar pada zaman dahulu dimana para sultan dan pembesar sanggup bertandang ke rumah para ulama' dan awliya' untuk menerima nasihat dan teguran kerana lillahi taala. Saya percaya, kehadiran dan kebersamaan Datuk Saifuddin semalam tiada langsung terkait rapat dengan strategi Public Relation dalam keberadaan beliau sebagai seorang politikus kerana memang tiada media rasmi yang hadir untuk memberi 'kredit' seperti itu kepada beliau. 
 
 
Sama-samalah kita berdoa agar Allah S.W.T mengurniakan dan membuka qalbu lebih ramai pemimpin yang beradab dan berwibawa seperti Datuk Saifuddin Abdullah agar gagasan Islamisasi ilmu kontemporari yang dirumus oleh guru yang kita sayangi, Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dapat diteruskan dengan jayanya oleh generasi kini dan mendatang.
 
 
Insyaallah, kami dari HAKIM akan memanfaatkan sebaik mungkin momentum yang ada ini untuk merumuskan pelan jangka panjang yang lebih konkrit agar gagasan ini tidak luput daripada massa. Moga Allah S.W.T dapat pertemukan kita dengan Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam pertemuan yang lain kelak. Sama-samalah kita doakan agar beliau diberi umur dan kesempatan yang panjang untuk meneruskan usaha beliau yang kelihatan kecil tetapi sangant penting bagi kita generasi baru dalam menongkah arus sekularisasi abad ke-21.
 
 
Akhirul kalam, jazakallah khairan kasiran kepada semua ahli jawatan kuasa penganjur daripada HAKIM dan khususnya adik-adik, kakak-kakak dan abang-abang daripada PKPIM yang bertungkus lumus menjayakan seminar dan syarahan tersebut. Hanya Allah S.W.T mampu membalas usaha antum semua. 

8 ulasan:

tok pulai chondong berkata...

salam syeikh, ana peserta program semalam...

ana kurang didedahkan dengan Sykh Naquib.. Jadi ana ingin tanya apa kontroversi yg berlaku dgn ISTAC..

Adakah Syed Naquib sudah tidak ada autoriti dlm ISTAC.

boleh tolong jelaskan sikit tak...

Rausyanfikir berkata...

Wassalam.

Panjang cerita. Kena tanya orang UIA lah. Tapi Al-Attas bukan lagi di ISTAC. Dibuang sewaktu kes DSAI dulu.

lutfi berkata...

Salam wan, tahniah kepada HAKIM atas kejayaan membawa Prof Al-Attas kembali ke khayalak. Sejak beliau berhenti dariapda memberikan ceramah umum selepas kematian abangnya, syarahannya semalam dapatlah melepaskan rindu untuk mendengar suaran dan fikirannya.
Kalau ada rakaman dan dijual, bagi tau ya.
salam

Tanpa Nama berkata...

Alhamdulillah.. sungguh bertuah anda yang berpeluang untuk mengikutinya.. saya juga kagum dengan Datuk Saifudin yang merupakan salah seorang pemimpin yang harus dicontohi ramai..=)

Rausyanfikir berkata...

@Lutfi: Insyaallah bang. Kami kena edit dan pakejkan dahulu :)

Awang Ilham berkata...

Assalamualaikum Wan,

Alhamdulillah dapat juga menyertai seminar tersebut semalam tapi saya tak dapat ikut serta dalam syarahan perdana itu atas urusan keluarga.

Satu pendedahan yang baik bagi khalayak yang baru nak berjinak-jinak memahami dunia falsafah ni.

Semalam ingat nak tegur Wan tapi tak kesampaian.

Semalam Wan ada rakam keseluruhan majlis kan? Kalau tak keberatan, boleh tak kalau saya minta tolong Wan burn-kan rakaman tu dalam DVD? Nanti saya serahkan alamat, metod pembayaran terserah kat Wan.

Apa-apa pun nanti kita berhubung di Facebook.

Awang Ilham
UPM

Rausyanfikir berkata...

Wassalam.

Insyaallah kami akan DVD kan untuk projek komersial HAKIM kelak :)

Kami akan update dalam FB nanti Insyaallah. Memakan masa sedikit untuk kerja-kerja editting ini.

Anak Bumi berkata...

wan,
saya boleh tawarkan khidmat editing video seminar itu.

apa2 hubungi saya.
mfarez80@gmail.com

*saya penggemar idea Syd Naguib Al-Attas, walaupun tidak berkesempatan pergi malam itu.

salam sejahtera.