Isnin, 28 September 2009

Ulama' Nusantara Dan Sumbangan Terhadap Tamadun Melayu



Oleh Hasanul Arifin


Dalam pengamatan saya, saya dapati bahawa banyak kitab-kitab sejarah dan ketamadunan Islam yang dikarang baik dari kalangan sarjana Muslim maupun Orientalis Barat adalah mengenai sejarah perkembangan Islam di Timur Tengah dan di Andalusia. Ada juga yang menceritakan mengenai keunggulan Empayar Mughal Islam di India. Seakan-akan tamadun Islam yang cemerlang dan gemilang adalah hak mutlak mereka yang tinggal dalam kawasan itu.


Justeru timbul satu soalan yang agak sulit dalam benak fikiran saya; apa pula sumbangan orang Melayu terhadap ketamadunan dan keilmuan Islam? Apakah sebenarnya ta'rif ketamadunan yang cemerlang dan gemilang? Adakah yang dimaksudkan tamadun yang cemerlang dan gemilang hanya pada peninggalan sejarah yang bersifat zahiriah seperti mahligai Topkapi yang menjadi lambang keagunangan Khalifah Uthmaniyah? Ataukah kecemerlangan itu lebih daripada tapak-tapak sejarah yang indah?


Sebegai pemuda generasi pasca moden, kita dikelirukan oleh pelbagai anasir yang mencerminkan masyarakat Melayu kita sebagai masyarakat yang malas dan mundur. Sebagaimana yang dinyatakan ilmuan kontemporari, Syed Hussein Alatas di dalam bukunya "The Myth of The Lazy Natives", Almarhum Alatas menceritakan mengenai taktik sulit para Orientalis dan penjajah, yang menulis kitab-kitab sejarah Melayu, di mana di dalam penulisan-penulisan ini mereka sengaja menggambarkan kemalasan dan kemunduran orang-orang Melayu. Dengan cara ini, mereka harapkan bahawa orang Melayu sendiri akan diputuskan dan sejarah keintelektualan mereka, lantas akan yakin bahawa secara fitrahnya mereka adalah kaum yang malas berfikir dan gemar berfoya-foya.


Ini diburukkan lagi dengan sikap orang Melayu yang ta'sub secara melampau terhadap golongan bukan Melayu, lebih-lebih lagi mereka yang berketurunan Arab. Sebagaimana yang diceritakan Abdullah Munshi di dalam kitabnya "Hikayat Abdullah" beliau melahirkan kekecewaannya terhadap sebilangan orang Melayu yang sanggup menggadaikan anak perempuan, tanah dan harta mereka untuk menyenangkan hati para peniaga Arab yang singgah di kota-kota orang Melayu, hanya untuk kononnya mendapatkan barakah dari bangsa ahlul bait.


Sebenarnya tiada salahnya jika seseorang itu menghormati para ilmuan dan tokoh-tokoh Sufi atas dasar alimnya dan wara'nya dan bukan dasar keturunannya, kerana orang Arab itu sebenarnya sama sahaja seperti bangsa lain; ada yang beradab dan ada juga yang kurang adabnya. Namun penghormatan dan pengiktirafan yang sama harus juga diberikan kepada Ulama' Melayu kita yang banyak menyumbangkan fikiran dalam membina tamadun Melayu.


Sebagaimana yang dinyatakan Syed Naquib Al-Attas di dalam bukunya "Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu," masyarakat Melayu sebenarnya bukan bangsa yang hina sebagaimana yang dicerminkan Orientalis Barat. Kecemerlangan dan kegemilangan tamadun Melayu mungkin tidak gah seperti mahligai Topkapi maupun Alhambra. Mana tidak, sememangnya tidak masuk akal jika orang Melayu membina mahligai sebesar Taj Mahal, kerana alam Melayu itu bukan suatu kawasan geografi yang dapat membekalkan si pembina dengan bahan-bahan untuk membangunkan bangunan-bangunan batu yang besar.


Ta'rif cemerlang dan gemilang itu menjangkaui benda-benda yang bersifat lahiriah. Daya pemikiran Melayu yang tajam dan canggih dicerminkan di dalam bahasa dan kesusasteraan Melayu sendiri, yang dapat menggambarkan secara tepat dan jitu hakikat metafizika dan falsafah Islam yang tinggi! Daya pemikiran Melayu yang tajam dan canggih juga didapati pada kitab-kitab metafizika dan tasawwuf, yang dikarang ulama'-ulama' Melayu bertaraf "world-class." Ulama'-ulama' Melayu seperti Hamzah Fansuri dan Nuruddin Ar-Raniri mampu mensyarahkan kitab-kitab falsafah dan hakikat-hakikat yang tinggi yang dikarang ulama'-ulama' silam. Bahkan, manuskrip Melayu yang tertua yang telah dijumpai setakat ini adalah artikel yang menta'rifkan beberapa dasar-dasar metafizika Islam, bukan kisah-kisah dan hikayat-hikayat remeh yang tiada faedahnya.


Dengan manuskrip ini, kita boleh menyimpulkan bahawa wujudnya budaya ilmu dalam masyarakat Melayu suatu masa dahulu. Hakikat ini tiada pula diceritakan para Orientalis yang sengaja mahu memisahkan kita dari sejarah kita yang kaya. Ini ditambahkan pula dengan kurangnya para ilmuan yang ingin mengkaji dengan ikhlas dan menyebarkan pula sejarah Islam di alam Melayu. Justeru yang diceritakan hanya kisah tokoh-tokoh Islam dari benua yang lain, seakan-akan menggambarkan bahawa kita ini masyarakat yang tidak punya sejarah yang gemilang.


Yang menarik sekali, Professor Naquib Al-Attas yang bersyarah mengenai sejarah tamadun Melayu dengan harapan agar dapat dikembalikan maruah orang Melayu yang diinjak-injak kaum penjajah yang biadab itu, merupakan seorang yang berketurunan Arab dari Hadramaut!


Usah hanya membesar-besarkan cerita tokoh-tokoh Islam dari Hadramaut, dari Andalusia dan sebagainya. Dalam era yang penuh dengan kekeliruan ini, kita perlu dihubungkan kembali dengan sejarah tamadun kita, dengan khazanah ilmuan kita. Ayuh kita berikan pengiktirafan yang sewajarnya terhadap ulama'ulama' Nusantara kita seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin Ar-Raniri, Abdul Rauf Singkel. Begitu juga ulama' Melayu yang lebih kontemporari seperti Tok Kenali dan Said Al-Linggi. Tambahan pula, usah kita hanya berbangga dengan tarikat bangsa lain seperti Naqsyahbandiah dan sebaginya. Untuk bersikap adil kita kaji juga sejarah tarikat-tarikat tanah Melayu seperti Tarikat Ahmadiyyah Idrisiyyah yang berpangkalan di Negeri Sembilan, dan Tarikat Syattariyah di Terengganu.



Berbekalkan pengetahuan mengenai semangat dan budaya ilmu mereka, kita aplikasikan dalam hidup kita, agar kita sebagai orang Melayu juga dapat memberi sumbangan yang bermakna terhadap tamadun Islam. Usah statik sebagai masyarakat pengguna yang taqlid sahaja terhadap ulama-ulama Arab maupun bangsa yang lain.


Bukankah Al-Ghazali itu seorang berbangsa Parsi dan bukan Arab? Renungkanlah...


Penulis merupakan Naib Presiden Persatuan Mahasiswa Islam National University of Singapore. Beliau merupakan mahasiswa dalam pengkhususan dalam Kejuruteraan Bio dan Pengurusan Teknologi dan mempunyai minat yang mendalam terhadap Falsafah Islam dan Epistemologi.


Rujuk juga makalah beliau bertajuk The Forgotten History of the Intellectual Malays: A brief reviw of the Malay translation of Al-Nasafi's Aqa'id.


Rujuk juga makalah dan video saya berkenaan syarah Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu mengikut kerangka ilmiah Al-Attas di sini.


1 ulasan:

Prima berkata...

Salam..

Bagaimana pendapat penulis berkenaan kandunga manuskrip Undang2 Kedah yg didapati dari Britain tahun 2004 seperti dinyatakan dalam blog http://sejarahnagarakedah.blogspot.com?