Khamis, 24 September 2009

Mencari ma'na yang hilang



Hampir 5 jam saya 'beraya' dengan buku-buku di Kinokuniya tadi. Sempat jugalah belek buku blockbuster hujung tahun ini:




Seperti yang saya terangkan dalam entri-entri lalu, karya Dan Brown seperti Da Vinci Code, Angel and Demons, dan Deception Point telah saya khatamkan sewaktu saya masih berada di tingkatan 5 lagi, pertengahan 2004 dalam jangka masa nak berhadapan dengan beberapa siri peperiksaan percubaan untuk SPM.


Memang addicted kerana Dan Brown mengahwinkan fakta dan fiksyen dengan begitu baik sekali sehingga menimbulkan polemik yang serius khususnya daripada novel Da Vinci Code.


Saya tidak berhajat nak beli pun novel ini kerana The Alchemist karangan Paul Coelho pun tak habis baca lagi. Maka nak baca lebih-lebih dekat sana rasa tak menarik pula sebab novel ni bukan boleh langkah bab macam baca buku-buku bukan fiksyen yang lain.


Saya pun beleklah muka surat awal dan terdapat satu kata hikmah yang menarik daripada Dan Brown:

"To live in the world without becoming aware of the meaning of the world is like wandering about in a great library without touching the books." - The secret teachings of all ages.

Kata-kata yang sangat berma'na sekali untuk semua manusia fikirkan. Pencarian ma'na adalah satu misi paling penting buat seseorang insan kerana tanpa ma'na hidup ini bagaikan tenggelam dalam lautan gelap gelita, tanpa hala tuju yang akhirnya membawa kepada kemunsnahan jiwa di dunia dan di akhirat kelak.


Dalam saya meninjau rak buku bahagian agama, saya terjumpa sebuah buku yang amat kena dengan kata hikmah dalam buku Dan Brown itu tadi:





Satu buku yang serius kerana dilabel oleh penerbitnya sebagai genre falsafah, isu global dan agama. Dr. Dennis Ford dalam buku ini mengkaji pendekatan dalam mencari ma'na yang pernah dilakukan oleh manusia. Antaranya melalui pendekatan cerita dongeng (mythology), falsafah, sains, pasca-modenisme, pragmatisme, metafizika, dan naturalisme.


Kita buat pelbagai perkara tapi apakah kita sedar akan ma'na yang terselindung disebalik perbuatan-perbutan tersebut? Apa ma'na pendidikan? Apa ma'na ibadah?
Bukankah alam yang dijadikan Allah S.W.T ini merupakan ayat atau tanda seperti yang kerap kali dijelaskan dalam Al-Qur'an?



Jikalau ianya tanda, ini bermakna objek yang dicerap oleh aqal kita itu bukanlah tujuan terakhir dalam memahaminya.



Hakikat sesebuah tanda pastinya merujuk kepada sesuatu yang lain yang lebih penting berbanding tanda tersebut, dalam konteks ini, Tuhan Yang Maha Esa selaku Pencipta alam yang nan luas ini. Malah dalam banyak doktrin sufi yang besar-besar seperti wahdatul wujud, irfan,
al-hikmah al-ishraqiyah dan al-hikmah al-muta'alliyyah meletakkan pemusatan ma'na kehidupan hanya kepada Allah S.W.T.



Dari aspek ilmu kalam sekalipun, perbahasan yang lebih mendalam berkenaan kalimah syahadah oleh Imam Fakr Din al-Razi dalam karya beliau Asrar at-Tanwil wa Anwar al-Ta'wil turut membawa kepada pencarian ma'na dalam memahami hakikat kalimah syahadah yang merupakan rubber stamp utama untuk menjadi seorang Muslim sejati.



Kalau kita gagal mencari ma'na dan yakin dengannya maka apakah beza kita dengan agama Kristian yang meletakkan blind faith kepada para penganutnya dalam memahami doktrin aqidah mereka yang cukup mengelirukan tersebut? Maka, golongan pendakwah kristian lebih suka mencerminkan dakwah mereka dari segi tindakan tanpa ilmu yang yakin kerana mereka tahu orang yang rasional dan mampu berfikir dengan betul pasti dapat kesan ketempangan doktrin aqidah agama Kristian.



Islam bukan untuk orang bodoh kata Prof. al-Attas. Bodoh di sini membawa maksud bukan semata-mata untuk dianut dalam keadaan tidak faham ma'na menjadi Muslim tersebut serta ma'na Islam itu sendiri. Sebab itu dalam bab aqidah Islam, kita tidak boleh bertaqlid. Fiqh takpa tapi bukan aqidah. Setiap Muslim harus men-tahqiq-kan diri dalam mencapai ma'na dalam proses pengta'diban yang dilalui dari kecil sampailah ke liang lahad. Prof. al-Attas sendiri dalam mendefinisikan ma'na ilmu menjelaskan bahawa ianya adalah:


"Ketibaan (wusul) diri kepada ma'na dan ketibaan (husul) ma'na kepada diri"


Dalam Risalah untuk Kaum Muslimin, Prof. al-Attas mengupas hakikat ilmu mengikut pandangan alam Islam dengan panjang lebar:

" Ilmu adalah satu proses atau gerak-daya memperoleh pengetahuan dan merujuk kepada suatu sifat yang berada pada sesuatu (Insan) yang hidup, yang membolehkan diri yang mengetahui itu mengetahui yang diketahui. Ilmu juga pengenalan atau ma'rifat terhadap yang dikenali sebagaimana adanya. Pengenalan ini pengenalan yang yakin tentang kebenarannya, dan merujuk kepada hikmah. Maka ilmu adalah sesuatu yang meyakinkan dan memahamkan dengan nyata. Mengenali dan mengetahui sesuatu itu adalah mengenali dan mengetahui seba-seba wuju dan keadaan sesuatu yang dikenali dan diketahui. Imu adalah gerak-daya memperoleh atau menghasilkan sesuatu menerusi tilikan akal - iaitu tilikan yang memandang hakikat sesuatu seperti adanya. Ilmu itu kepercayaan yang teguh dan tiada berubah di dalam kalbu. Ilmu adalah suatu gerak-daya ke arah penjelasan, penetapan dan penentuan. Ilmu itu pergerakan terhadap kebenaran. Ilmu itu i'tiqad mengenai hakikat sesuatu seperti adanya. Ilmu itu mengakibatkan ketenteraman diri. Ilmu itu merupakan peringatan, gambaran akal, renungan, pandangan batin. Ilmu itu kenyataan sesuatu dari pihak dirinya sendiri. Ilmu itu gambaran rupa-batin, faham atau ma'na dalam fikiran dan gerak-daya yang membentuk perkara-perkara tersebut itu. Ilmu itu perkara dalaman, bukan perkara luaran diri."


Mengikut Orientalis terkemuka, Franz Rozenthal dalam karyanya The Knowledge Triumphant: The Concept of Knowledge in Medieval Islam menyenaraikan banyak definisi tentang ma'na ilmu yang diformulasikan oleh ulama' Islam zaman-berzaman dan beliau membuat kesimpulan bahawasanya agama Islam merupakan satu-satunya agama yang wujud dalam sejarah manusiawi yang paling menekankan aspek ilmu (sudah tentu bukan dalam ma'na ilmu yang keliru seperti yang difahami pada hari ini dalam bentuk komoditi dan utiliti) dalam kehidupan penganutnya. Pendek kata, tiada satu pun aspek agama Islam yang sia-sia dan tiada ma'na untuk diamalkan oleh penganutnya.


Tapi sayang, majoriti gerakan dakwah Islam pada hari ini lebih berbangga dengan kerja-kerja amal tanpa mengambil kira peri penting ilmu dalam mendasari usaha dakwah tersebut. Jika begitu apa beza gerakan dakwah Islam dan gerakan missionary Kristian yang bersepah di seluruh dunia?



Mungkin inilah manifestasi kepada masalah paling asas kepada umat Islam di seluruh dunia iaitu masalah kehilangan adab dalam pendidikan yang melahirkan kesan lingkaran ganas seperti yang dijelaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dan juga dari aspek sains sosialnya oleh abang beliau Prof. Syed Husein Alatas dengan fenomena 'watak tertawan'.



Kalau di Barat pula, kita ada Prof. Allan Bloom dengan karya The Closing of an American Mind, Neil Postman dengan karya The End of Education, Ivan Illich dengan Deschooling Society, Karl Marx dengan konsep terasingan (alienation) dalam Das Kapital, barisan pemikir Mazhab Frankfurt seperti Adorno, Horkheimer, Fromm, dan Marcuse yang mengkritik sistem sosial dan kehidupan masyarakat kapitalis kerana menjadikan ma'na dalam pendidikan hanya sebagai satu komoditi bersifat kebendaan semata-mata seperti yang jelas terpampang dalam ma'na disebalik konsep Human Capital atau Modal Insan.



Kehilangan ma'na yang dahsyat berlaku sehingga kita hanya mampu menjadi pak turut (muqallid) dalam pelbagai perkara dalam setiap juzuk kehidupan kita pada hari ini. Seperti biasa, rujukan utama adalah Ketamadunan Barat.



Mungkin sajak karangan Prof. Madya Dr. Zainiy Uthman, anak murid Prof. al-Attas yang senior dan juga pensyarah subjek UNGS di IIUM di bawah ini mampu menjelaskan fenomena kehilangan ma'na dalam pendidikan dalam masyarakat kita:


Buku Oh Buku

Buku oh buku
Mengapa engkau berdebu


Macam mana aku tak berdebu
Student tak pegang aku


Student oh student
mengapa tak pegang buku
Macam mana aku nak pegang
Makna aku tak tahu


Makna oh makna
macam mana engkau tak diketahu


Macam mana aku nak diketahu
Kepala profesor semuanya merapu


Wahai profesor
mengapa kepala engkau merapu


Macam mana aku tak merapu
Aku naik ni pun kerana mengampu


Profesor oh profesor
Mengapa mesti mengampu
Macam mana tak mengampu
Orang Atas tak faham makna ilmu


Wahai ilmu
Mengapa susah nak faham kamu
Bukannya susah nak faham aku
Tetapi


Bolehkah sibuta berkata perihal warna
Bolehkah sipekak berkata perihal irama
Bolehkah situli berkata perihal merdu suara
Bolehkah si Iblis menerima wibawa Insan dengan ilmunya


Tanpa iktiraf dan pengakuan
Tiada berlaku budaya ilmu
Ibarat tanah yang kering
Tiada hayat padanya


Ilmu segar dengan penghayatan
Mengenal Tuhan, diri Dan alam


Untuk kukuhkan lagi kefahaman mengenai isu ini silalah tonton video berikut:












5 ulasan:

acabeire berkata...

kita meyakini Islam sebagai masa depan dunia ini. tetapi Islam apa yang ingin kita tawarkan kepada dunia. Islam plastik? akhirnya ilmu sahaja yang akan dapat memberikan makna kepada kehidupan manusia yang semakin hilang ertinya. teruskan menulis dan mengkaji

Tanpa Nama berkata...

Salam,

Orang yang upload video Music and Life - Alan Watts tu ader jugak upload video "Secret Bank"..

Saudara rasa boleh ke teknik yang sama yang digunakan oleh cerdik pandai untuk menguasai US govt tu digunapakai untuk menguasai Msia govt ? Atau dengan kata lain, berkesan ke, atau sesuai ke kalau Islamic party/org reverse engineer balik teknik yang sama untuk menguasai sesuatu kerajaan ?

Rausyanfikir berkata...

Wassalam.

Rasa tak boleh. Politik sekarang politik moderniti. Tak sama dengan cara umat terdahulu memerintah dan islah ummah.

weber berkata...

kerja-kerja amal dengan kerja-kerja keilmuan saya kira sama penting untuk mana-mana gerakan dakwah Islam. payah juga nak mendekati mad'u (sasaran) kalau dengan pendekatan keilmuan sahaja.

Rausyanfikir berkata...

Betul. Dua2 penting. Iman dan amal perlu berjalan seiring tapi sekarang ini imej gerakan Islam itu lebih kepada action daripada ilmiah. Kalau tak ada dasar ilmu yang kukuh maka penyelesaiaan pun caca merba. Amal yang tempang.