Ahad, 9 Ogos 2009

Tukar ganti



Rasa sudah tua walaupun umur baru 22. Bukan apa, terasa hiba bila melihat sahabat-sahabat kepimpinan gerakan mahasiswa Islam dimantakan dalam bulan ini.


Semalam saya hadir dalam Kongres Penegasan Teras-teras Kenegaraan anjuran PKPIM sempena muktamar mereka yang ke-48.


Ya, 48 sahabat-sahabat. Dari segi sejarah, tidak dapat dinafikan sumbangan PKPIM dalam melahirkan kepimpinan negara dalam pelbagai sektor seperti yang tercatat dalam buku sejarah PKPIM yang dirasmikan semalam bertajuk PKPIM 5 Dasasarwa.


Perasmian kongres tersebut dijayakan oleh Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang juga merupakan bekas ahli PKPIM. Mendengar ucap tama beliau, sangat jelas idealisme yang datang daripada organisasi seperti PKPIM walaupun beliau sudah lama meninggalkan dunia kemahasiswaan.




Sesi media bersama Datuk Saifuddin selepas perasmian Kongres PKPIM.



Setelah saya di-mufaraqah-kan daripada Jemaah Islam Kampus (JIK), sahabat-sahabt PKPIM-lah yang sudi menyambut saya tanpa mengira idealisme yang pernah saya miliki atas dasar semangat keilmuan dan persaudaraan Islam. Untuk itu saya harus ucapkan jutaan terima kasih kepada mantan Tuan Presiden, saudara Hilmi Ramli yang banyak membantu, membimbing dan menyediakan ruang dan peluang untuk saya gilap idealisme, aktivisme dan intelektualisme saya sepanjang ber-mufaraqah daripada JIK. Keadilan yang diberikan beliau serta sahabat-sahabat kepimpinan tertinggi PKPIM dalam menempatkan saya pada tempat yang sewajarnya begitu meninggalkan kesan ke atas pembinaan jatidiri saya selaku mahasiswa yang sedang menempuh zaman akhirnya tidak lama lagi.


Tidak lupa juga kepimpinan tertinggi Gabungan Anak Muda Islam Se-Malaysia (GAMIS) di bawah Ustaz Dzul Khairi yang bakal di-mantankan juga tidak lama lagi. Beliau juga banyak membimbing, menasihati dan memberi ruang dan peluang kepada saya untuk terus berkhidmat dalam jalur perjuangan mahasiswa selama saya terbuang daripada JIK dalam setahun lebih ini.



Kedua-dua pemimpin tertinggi ini, selayaknya bergelar abang kepada saya kerana faktor umur yang jauh tetapi sepanjang kami bersahabat dan berkerja, mereka benar-benar berlaku adil kepada saya dan sedikit sebanyak memahami kesukaran saya dalam tempoh hiatus ini.



Pertukaran idea, pengatur caraan gerak kerja kedua-dua gerakan besar ini, biarpun saya bukan orang utama dan rasmi di dalam kedua-dua-nya, namun, mereka masih berbesar hati untuk melibatkan saya dalam hal-hal tertentu untuk menjayakan agenda perjuangan mahasiswa yang semakin lesu pada zaman ini.



Sudah tentu kedua-dua pemimpin ini meninggalkan legasi masing-masing tetapi persoalannya apakah yang bakal menggalas tugas mereka itu kelak mampu meneruskannya ataupun masing-masing ingin "reinventing the wheel"?.


Inilah yang menjadi kerisauan saya. Realiti yang ada pada ketika ini, baik di semua peringkat bagi saya masih di tahap yang kurang memuaskan di kalangan penggerak gerakan Islam. Mahasiswa sebagai mata rantai masa depan perjuangan Islam juga tidak terlepas daripada sindrom kelesuan dan kekeliruan ini.


Apa yang telah cuba dilakukan oleh kedua-dua mantan Presiden ini amatlah signifikan untuk diteruskan dan dibaik pulih kekurangan yang ada kerana bagi saya, visi dan misi mereka, saudara Hilmi dan Dzul Khairi melangkaui apa yang menjadi norma di kalangan aktivis mahasiswa Islam mutakhir ini.



Sudah tentu konfilik dan pertentangan wujud tapi cubalah fahami dengan hati-hati. Kita tidak mahu projek mega yang cuba dibawa mereka terkubur begitu sahaja tanpa memahami inti gagasan yang dibawa dengan berkesan.


Walaubagaimanapun, syabas dan tahniah kepada kedua-duanya, moga berjaya dalam setiap urusan yang diceburi pada masa mendatang. Buat yang bakal menggantikan mereka, harapan besar daripada kami terhadap anda semua.


Wallahua'lam.

Tiada ulasan: