Isnin, 24 Ogos 2009

Disebalik jendela Ramadhan: pengamatan ringkas pengsekuleran dan pengkudusan falsafah ruang dan masa


Ramadhan al-Mubarak melahirkan ruang kudus yang cukup luar biasa seperti solat tarawih ini di Mesir.


Ramadhan al-Mubarak. Bulan yang teristimewa, suci lagi mulia dan penuh keberkatan. Bulan tarbiyah dan ta'dib dalam mengangkat diri insani ke malakut yang lebih tinggi, mengatasi juzuk diri haiwani. Inilah bulan yang benar-benar mendefinisikan hakikat diri insaniyah yang bergelar 'khalifah', yang jauh berbeda berbanding ciptaan Ilahi yang pelbagai jenis sifatnya.


Sedar atau tidak, umat Islam biarpun menjalani kehidupan beragama, masih terperangkap dalam jaringan ruang dan masa yang bersifat sekular dan kebendaan. Ini kerana pergerakan jasad dalam aktiviti tabi'ie (makan, minum, tidur) dan aktiviti ruhi ( berfikir, belajar) beroperasi dalam kerangka ruang dan masa (spatial-temporal).


Idea atau falsafah ruang dan masa yang mendominasi ketamadunan manusia moden pada hari ini tidak lain tidak bukan iaitu faham masa dan ruang daripada ketamadunan Barat yang boleh diertikan juga sebagai cabaran serangan falsafah sekularisme.


Kefahaman berkenaan masa dan ruang dalam diri umat Islam telah diubah suai tanpa sedar, atau mungkin juga sedar kerana kita takjub dengan 'kejayaan' tamadunan Barat dalam mempengaruhi hampir segenap sudut kehidupan insan di dunia ini khususnya dalam era globalisasi teknologi maklumat dimana konsep perkampungan global (global village) benar-benar telah terjadi dan dirasai oleh umat manusia yang terjalin dalam jaringan perkampungan ini.


Makalah ini cuba mengajak para pembaca untuk menyelami masalah ini ke samudera yang lebih mendalam dalam usaha memanfaatkan satu penyelesaian khas daripada Ilahi iaitu kewujudan bulan Ramadhan al-Mubarrak sebagai 'agen pembersih' fahaman songsang berkenaan masa dan ruang ini.



Pengsekuleran masa dan ruang (secularization of time and space)


Kupasan paling mendalam dan jelas berkenaan fenomena pengsekuleran masa dan ruang ini telah dilakukan dengan cemerlang oleh pemikir ulung tanah air, Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Tinjuan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam (USM, 2007:50-56):

" ...ma'na asal faham sekular, dari faham saeculum, membawa pengertian yang merujuk pada ruang dan masa, ya'ni tempat dan tempo, yang boleh difahami dari cara kata itu digunakan dalam sejarah perkembangannya; tetapi kini, susunan keutamaan dua wajah ruang dan masa yang merencanakatakan penduaan ma'nawi itu, telah berubah menjadi masa dan ruang dengan memberi penekanan pada wajah 'masa' atau 'tempo' dan bukan wajah 'ruang' atau 'tempat'. Tinjauan ma'nawi yang asal mengutamakan 'ruang' atau 'tempat, dan menayangkan pandangan alam yang terjadi dari pengalaman sejarah dan kesedaran dalam pemkiran agama Kristian Barat yang telah diserapi oleh adunan adat kebiasaan pemikiran dan kepercayaan Yunani-Rumawi dan Ibrani (Yahudi)...pemikiran serta kepercayaan Yunani-Rumawi melihat kewujudan sebagai ruang bertempat, sedangkan pemikiran serta kepercayaan Ibrani kononnya melihat kewujudan sebagai masa yang beranjakan.


Faham sekular yang membawa dua ma'na yang tadinya menekankan keutamaan tempat dan selepasnya masa, harus kini ditukar penekanan keutamaan ma'nawinya kepada masa atau tempo dan kemudian tempat: masa merujuk kepada maksud kini di sini, dan tempat merujuk kepada maksud dunia dan keduniaan. Saeculum ditafsirkannya sebagai membawa erti zamani atau masani, dan zamani atau masani merujuk kepada keadaan yang berlaku dalam dan pada dunia kini, ya'ni keadaan sezaman, semasa. Penekanan ma'nawi diberikan pada zaman atau masa tertentu dalam dunia ditinjau sebagai satu gerak-daya sejarah. Faham sekular merujuk kepada keadaan dunia pad zaman atau masa tertentu "

Al-Attas menjelaskan lagi:

" ...oleh kerana dua ma'na tempat dan masa itu merupakan faham asas bagi faham saeculum, yang memang sendirinya sudah mengandung bibit-bibit ma'nawi menuturi bawaan mantiknya sendiri, menjelmakan keadaan masani yang sedang merebak menular dengan hebatnya, dan oleh kerana faham 'tempat dan 'masa' itu merujuk kepada keadaan 'di sini' dan 'kini' menurut gilirannya, maka adalah lebih tepat dan benar bagi memperikan 'sekularisme' dengan kata majmuk kedisinikinian, ya'ni huna'l-aniyyah, dari kata-kata huna (di sini) dan al-an (kini), kerana 'kedisinikinian' yang timbul dari pengertian ma'nawinya jelas menayangkan suatu pengertian tentang dunia dan kehidupan duniawi yang menolak kedaaan alam lain di Sana; yang menafikan keadaan yang lampau kecuali sejauhmana ia mengikrarkan keadaan yang semasa; yang mengikrarkan masa hadapan terbuka tanpa sempadan; yang secara kesuluruhannya menafikan agama dan pandangan alam dan kehidupannya, nan mengandung ketetapan mu'tamad perihal akan berakhirnya segala kewujudan zahiri."

Berdasarkan penjelasan al-Attas ini, amat jelas sekali falsafah sekularisme yang menyerang umat manusia melalui hegemoni ketamadunan Barat baik dari segi budaya, keilmuan dan politik telah "mengelirukan" kita bermula dengan kefahaman mendasar seseorang insan berkenaan konsep ruang dan masa yang dimilikinya.


Konsep ruang yang timbul dalam faham ruang sekular hanya bertindak dalam parameter keduniaan tanpa diikat dengan kemas dengan parameter yang lebih kekal iaitu yawm al-akhirah. Penyempitan dan pendangkalan ma'na faham ruang sebegini menimbulkan pula bibit-bibit kesalafahaman dalam memahami konsep ruang dalam pelbagai juzuk pemikiran insan seperti faham kebahagiaan yang difahami dalam ruang lingkup kesakitan (pain) dan keni'matan (pleasure) fizikal ataupun nama lainnya faham kegunaan (utilitarianism) tanpa mengambil kira aspek ruhani insan yang mampu menanggapi faham kebahagiaan yang lebih tinggi martabatnya.


Begitu juga dengan
faham masa. Masa bukan lagi satu entiti yang kudus dan berjalan terus ke akhirat tetapi "diberhentikan" atau "disekat" perjalanannya kepada aspek masani. Ma'na metafizika masa telah dibuang daripada benak pemikiran masyarakat moden yang akhirnya mempengaruhi kefahaman mereka dalam banyak juzuk konsep pemikiran yang lain seperti kesan ma'na kebahagiaan yang telah disempitkan kepada aspek masani, bukan lagi diperpanjangkan kepada aspek ukhrawi yang bertalian rapat dengan persedian ruhani masani.


Pengaruh kerangka kefahaman berkenaan konsep masa dan ruang sebegini ada kaitannya juga dengan faham konsep masa dan ruang yang digagas oleh Isaac Newton, seorang ahli falsafah alam tabi'ie. Dalam Philosophiae Naturalis Principia Mathmetica, Newton menjelaskan tentang ke-mutlak-kan (
absolute) masa (time) dan ruang (space):

" Absolute space, in its own nature, without regard to anything external, remains always similar and immovable."


" Absolute, true, and mathematical time, of itself and by its own nature, flows uniformly, without regard to anything external"

Dalam faham realiti Newton, ke-mutlak-an masa dan ruang ini dihuni oleh zarah-zarah material yang juga boleh dikatakan bersifat atomistik. Pergerakan zarah bagi Newton adalah kerana adanya kesan daya tarikan graviti yang bertindak secara langsung dalam satu jarak. Newton merumuskan bahawa zarah dan daya tarikan graviti merupakan ciptaan Tuhan yang tidak perlu dijelaskan secara mendalam seperti yang diterangkannya dalam Opticks:

" It seems probable to me that God in the beginning formed matter in solid, massy, hard impenetrable, movable particles, of such sizes andfigures, and with such other properties, and in such proportion to space, as most conduced to the end for which he formed them; and that these primitve particles being solids, are incomparably harder than any porous bodies compounded of them; even so very hard, as never to wear or break in pieces; no ordniary power being able to divide what God himself made one in the first creation"

Dalam teori mekanik Newton, semua fenomena fizikal dipermudahkan kepada pergerakan zarah-zarah material yang bertindak balas dengan kesan daya tarikan graviti dan telah dirumuskan dalam Hukum Pergerakan Newton yang kita pelajari sewaktu di sekolah diguna pakai sehinggalah dalam kelas kejuruteraan sekalipun. Hukum ini diterima sebagai satu dogma yang muktamad dalam memahami sebarang fenomena perubahan dunia fizikal dalam korpus ilmu sains moden.


Mengikut pandangan alam Newtonian, Tuhan menciptakan zarah, daya tarikan antara zarah-zarah serta hukum asasi pergerakannya. Dengan konsep sebegini, seluruh alam telah digerakkan dan terus bergerak seperti mesin yang dikendalikan oleh hukum yang tidak boleh langsung berubah
(immutable).


Pandangan mekanistik sebegini, yang menjadi teras kepada banyak disiplin ilmu sains moden daripada ilmu fizik hinggalah kepada ilmu ekonomi yang memperlihatkan faham tentu-isme tegar (
rigourous determinism) dimana kosmologi alam ini hanya berfungsi dalam jalur sebab-akibat. Apa yang berlaku empunya sebab yang tetap (definite cause) dan menghasilkan kesan yang tetap (definite effect) dan aspek keberangkalian sesuatu fenomena/peristiwa, berdasarkan prinsip ini, boleh diteka dengan keyakinan mutlak jikalau butiran penting fenomena/peristiwa itu dapat diperolehi.


Ringkasnya, konsep alam Newton ini seolah-olah memperlihatkan Tuhan 'lepas tangan' dalam menentukan fenomena/peristiwa yang berlaku dan akhirnya menjadi teras kepada pengukuhan faham kebendaan (
materialism) dalam banyak lapangan ilmu dan juzuk kehidupan masyarakat Barat. Penghakisan peranan Tuhan semakin lama semakin mengakar dalam tradisi sains moden selepas era Newton yang mana faham dualisme Cartesian yang memisahkan antara ruh dan jasad masih diwarisi oleh para saintis dan pemikir di Barat yang seterusnya 'meng-halal-kan' konsep sekularisme dalam bidang ilmu.


Alam ini, manusia serta flora dan fauna bagi Descartes dan Newton wujud seperti sebuah mesin yang efisyen, boleh disiat-bedah dan dicerakinkan kepada juzuk-juzuk yang lebih kecil untuk mengkajinya. Inilah antara punca hilangnya nilai kekudusan (
sacredness) alam. Dimensi ruang dan masa, yang menjadi parameter utama dalam mengkaji "perubahan", "pengakhiran", "pembangunan" dan segala macam lagi semantik bahasa yang menjelaskan fenomena gerak-daya difahami dalam kerangka duniawi (profane) yang sekular sifatnya; tiada kuasa dan pengaruh Ilahi dalam menilai fenomena/peristiwa tertentu.


Sudah tentu perbahasan ini telah lama dijawab dengan tuntas apabila Hujjatul Islam Imam al-Ghazali meng-
tahafut-kan konsep sebab-akibat (causality) yang digagaskan oleh para ahli falsafah Masha'i (Peripatetics/Aristotelian) khususnya di bawah Ibn Sina dalam karya agung-nya Tahafut al-Falasifah tetapi apabila bidang ilmu sains itu menjadi semakin kompleks dan berkembang, ianya menjadi lebih sukar untuk kita kesan asas falsafah teori-teori yang timbul daripada pemikir dan saintis Barat.


Ada baiknya kita tinjau kajian yang dilakukan oleh Dr. Adi Setia dalam tesis Ph.d (ISTAC) 'The Physical Theory of Fakhr al-Dinr al-Razi' khususnya bab 3: Time, Motion, Distance and Change:

Dalam Matalib al-'Aliyyah (Lofty Researches), al-Razi menjelaskan kekeliruan para failasuf aliran Aristatalis (Aristotle) khususnya Ibn Sina yang melihat masa sebagai entiti yang bersifat wajib al-wujud seterusnya menampakkan persamaannya, ya'ni masa dengan Tuhan:


" The closest [to the truth] from among these views [is the view in which] it is said: The evidences show that the necessarily self-subsistent is one, and it is established that the necessarily sel-subsistent is necessarily existent in all its aspects (wajib al-wujud min jami' al-jihatihi). This negates His being a substrate (mawrid) for changes and alterations. But duration (muddah) or time (zaman) is a substrate for changes and alterations with regard to the successive arrival (tawarud) upon it of the priorities (al-qabliyyaht) and the posteriorities (al-ba'diyyaht), thus it is not necessarily self-subsistent in all respects, hence not necessarily existent with respect to its essence but [only] possibly existent in its essence. As for Allah, He is the Existent Sanctified from [all] changes, Aloof from being touched by anything potential. This is what we say and upon it we are resolved, and Allah is the Guide"


Bagi al-Razi, masa bukanlah pengukur kepada pergerakan atau perubahan, maka ianya tidak bergantung kepada pergerakan atau perubahan dan masa mempunyai kewujudan sendiri yang tidak bergantung kepada kewujudan pergerakan dan perubahan tetapi masih bergantung kepada Tuhan.


Ini bermaksud, masa bukan bersifat qadim (eternal) dan bersifat wajib al-wujud (necessary existent) tetapi dicipta sewaktu penciptaan alam semesta (cosmos) sebagai entiti yang penting tapi pada masa yang sama bersifat sebagai satu komponen alam yang bebas (autonomous). Malah dalam Mafatih al-Ghayb (The Keys to the Unknown) al-Razi menjelaskan masa merupakan satu entiti yang dicipta, sama seperti ruang dan hanya bersifat mumkin al-wujud (possible existent).


Ini memaparkan bukti al-Razi tentang tidak selanjarnya ( tidak bersambung-sambung) dan tidak terpisahnya masa dan ruang: kediskretan yang satu setara dengan yang satu lagi. Kediskretan masa dan ruang ini tentunya berbeza dengan tabii masa-ruang dalam Teori Kenisbian (Theory of Relativity) Einstein yang menganggap masa-ruang itu bukan sahaja selanjar bahkan berkait.


Pengamatan ini penting kerana Einstein, selaku figura utama dunia sains bertindak mempunyai pengaruh yang cukup besar pada abad ke-20, hampir sama dengan pengaruh Newton dan teori mekanik klasikalnya pada era Pencerahan. Di tambah dengan sokongan Einstein terhadap falsafah kebendaan Mach yang meletakkan jirim menentutkan segalanya khususnya dalam menentukan tabi'ie ruang-masa yang memisahkan seseorang dengan pengalaman persepsinya.


Mengikut teori Einstein, yang dipengaruhi oleh pandangan Mach itu, sifat-sifat metrik (konsep panjang atau jarak alam semesta ini) ditentukan oleh jirim dan ruang-masa "meleding" (warped) oleh jirim; "kelengkungan" (curvature) ruang-masa berubah mengikut kehadiran jirim. Inilah yang paling disukai oleh para kebendaanis/materialis (Shaharir,2007).


Pengkudusan masa dan ruang ( sacralization of time and space)

Melihat hujah-hujah yang disampaikan di atas, jelas sekali falsafah masa dan ruang yang wujud dalam benak pemikiran majoriti manusia pada hari ini berteraskan aspek sekular dan bersifat kebendaan. Kegiatan ekonomi, politik, pendidikan dan bermacam-macam lagi wujud dan beroperasi dalam kerangka masa-ruang yang bertentangan dengan aspek sebenar kewujudan entiti tersebut.


Tanpa menolak bahawa aspek kekudusan itu masih wujud dalam diri setiap insan tetapi ditekan hebat (supress) oleh faham sekular dan kebendaan yang tegar dalam setiap lapangan kehidupan,
bulan Ramadhan yang hadir mampu menghasilkan kesan berganda (multiplier effect) kepada pengalaman kudus diri insani.


Ramadhan bukan sekadar bulan ibadah tetapi satu dimensi ruang dan masa yang cukup istimewa untuk menangkis pengaruh sekular dan kebendaan yang mengakar hebat dalam kehidupan asasi masyarakat moden khususnya dikalangan umat Islam. Ibadah yang dilakukan berteraskan ilmu yang sahih dan yakin dapat menimbulkan rasa kehambaan hakiki terhadap pencipta, dan kekudusan terhadap ciptaan Ilahi dan ini termasuklah entiti ruang dan masa tersebut yang mana kurang jelas terbayang berbanding bulan-bulan lain.


Semua ibadah khusus seperti puasa,solat sunat terawih, membayar zakat dan tadarus al-Qur'an seharusnya melahirkan kefahaman tersebut yang seterusnya membawa diri insan ke peringkat taqwa yang lebih syumul.


Masjid yang dipenuhi jemaah,ruang awam yang senantiasa terbuka untk kegiatan infaq/sedekah menjadikan ruang kehidupan Muslim lebih kudus daripada nilai-nilai sekular yang sering menjadi teras aktiviti manusiawi masyarakat moden. Semuanya cuba dilakukan kerana Allah S.W.T dalam keadaan jauh lebih sedar daripada hari-hari biasa kerana Ramadhan membaluti ruang dan masa dengan aspek kudus tersebut.


30 hari berpuasa zahir dan batin, dengan 'hadiah' istimewa daripada Allah S.W.T untuk para hamba-Nya yang taat pada perintah dan menjauhi larangan-Nya seperti yang tertera dalam surah al-Qadr merupakan manifestasi perbezaan martabat masa yang selalu kita alami dalam konteks yang lebih sekular atau lebih tepat 'kedisinikinian' seperti kata al-Attas, kepada mengejar habuan yang berkali ganda lebih baik dan kekal ya'ni akhirat melebihi daripada biasa seperti kebaikkan seribu bulan ( alfi syarh) yang tidak wujud pada faham masa diluar bulan Ramadhan.


Ramadhan berpotensi besar menjadi satu dimensi ruang dan masa untk proses de-sekularisasi atau Islamisasi diri insan dengan memahami matlamat akhir adalah pengislahan jiwa ruhi setelah dipersiapkan jiwa haiwani. Tapi semua ini tidak akan berlaku tanpa persediaan ilmu yang benar dan yaqin dalam memahami kedudukan diri insan dan kaitannya dengan Pencipta dan ciptaan-Nya.


Maka marilah sama-sama kita menambah baikkan kefahaman kita terhadap keunikkan dan kebesaran bulan Ramadhan dengan menghayati kekuasaan dan potensi ruang dan masa yang disediakan oleh Allah S.W.T dalam menjadi hamba-Nya yang lebih baik daripada hari-hari biasa yang tegar dengan falsafah ruang-masa yang sekular.

Sekadar berpendapat.


Wallahua'lam.


*Rujuk juga makalah bertajuk The Divine Name, al-Samad and Fasting tulisan Dr. Zaidi Ismai, Felo di IKIM yang juga merupakan anak murid Prof. al-Attas untuk memahami dimensi kalam-tasawwuf (theological-metaphysical) dalam ibadah berpuasa di bulan Ramadhan.


Rujukan lanjut berkenaan falsafah ruang-masa secara lebih mendalam:

1) Beberapa judul dalam fizik matematik: Perspektif acuan sendiri oleh Shaharir bin Mohamad Zain dalam Jurnal Kesturi (ASASI) Keluaran Januari-Disember 2007. Jil 17 (1 & 2)

2) Time according to Fakhr al-Din al-Razi oleh Adi Setia dalam Jurnal Kesturi (ASASI) Keluaran Januari-Disember 2006. Jil 16 (1 & 2)

3) Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas (USM, 2007)


7 ulasan:

jiwamelayu berkata...

salaam ziarah~

teori newton,
maksudnya setiap pergerakan atom yang berlaku seperti:
(atom colliding each other in liquid form) adalah tetap dan tanpa pengetahuan Tuhan mengenainya?

Itu ke yang dimaksudkan?

Rausyanfikir berkata...

Ye

khalati69 berkata...

Askm, Ramadan Kareem... saudara Rausyanfakir, tahniah kerana mengutarakan kepada pembaca blog ini suatu lontaran idea yang amat bernas, dan penuh dengan falsafahnya, sehingga agak sukar membacanya tanpa 'tadabbur'.Ya, aspek ruang dan masa seringkali membuatkan manusia terleka, dan secara simboliknya kita sering mengatakan 'sibuk, tak cukup masa!... sedangkan kenapa masa 24jam diberikan kepada semua insan, ada yang berjaya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik, manakala sebahagian lagi langsung tidak!. Jadi, sebagai Umamt Islam, kita amat disarankan menjaga masa itukerana nilainya, dan kita tidak boleh lagi mengundur ke belakang. Dr. Aid AlQarni menyebut dalam La Tahzan: " Ma madho fa ta". Thanks.

JHaZKiTaRo berkata...

love you blog.. anyway, salam ramadhan dari penuntut di bumi Eire.. blog hopping.. kalau rajin, lompat2 laa ke blog hamba.. :)

firUz AbaDi berkata...

salamualaikum,

wacana falsafah masa dan tempat amat berat utk dihadam,namun begitu banyak manfaat yg sy dapat dari blog ini iaitu dari perbahasan ini...
Dlm masalah qadim atau tidak makhluk itu ada kekeliruan, sebenarnya makhluk bukan lah qadim zati sehingga mengatakan filusuf seperti ibnu sina menyamakan makhluk dgn Tuhan..
kedua adakah Imam ghazali menolak konsep causality secara total? kalau ya, bagaimana dgn struktur burhannya dan bagaimana pula beliau meng ithbat kan kewujudan Tuhan ?
berbalik kpd persoalan masa...
maaf sy kurang faham dgn ungkapan Ar Razi yg berpendapat bahwa masa mempunyai kewujudan sendiri...bagaimana ya? sy ada koleksi kitab Matalib al-'Aliyyah..kalu bole kongsi sikit pemahaman kitab ini dgn sy
apa yg sy pelajari dulu wujud masa adalah nafs pergerakkan itu sendiri yg sy fahami dari konsep harakat jauhariah dan ia bersandarkan kpd burhan.
maaf sy banyak bertanya...bukan aper, cuba nak hadam apa yg saudara tulis :)

firUz AbaDi berkata...

salamualaikum,

wacana falsafah masa dan tempat amat berat utk dihadam,namun begitu banyak manfaat yg sy dapat dari blog ini iaitu dari perbahasan ini...
Dlm masalah qadim atau tidak makhluk itu ada kekeliruan, sebenarnya makhluk bukan lah qadim zati sehingga mengatakan filusuf seperti ibnu sina menyamakan makhluk dgn Tuhan..
kedua adakah Imam ghazali menolak konsep causality secara total? kalau ya, bagaimana dgn struktur burhannya dan bagaimana pula beliau meng ithbat kan kewujudan Tuhan ?
berbalik kpd persoalan masa...
maaf sy kurang faham dgn ungkapan Ar Razi yg berpendapat bahwa masa mempunyai kewujudan sendiri...bagaimana ya? sy ada koleksi kitab Matalib al-'Aliyyah..kalu bole kongsi sikit pemahaman kitab ini dgn sy
apa yg sy pelajari dulu wujud masa adalah nafs pergerakkan itu sendiri yg sy fahami dari konsep harakat jauhariah dan ia bersandarkan kpd burhan.
maaf sy banyak bertanya...bukan aper, cuba nak hadam apa yg saudara tulis :)

Rausyanfikir berkata...

Saya pun masih baru dalam benda ni. Maka pasti ada kekurangan dalam berhujah.

1.Ya bukan qadim dzati (essential) tapi mungkin qadim wujud ( existential)?

2.Imam al-Ghazali tidak menolak causality sepenuhnya tetapi memberi ruang kreatif kepada causality yang mana Tuhan ada peranan yang penting. Lebih radikal kalau Rumi yang mengatakan setiap saat ada pembaharuan dalam alam. Dalam tahafut Imam al-Ghazali bahas panjang lebar aspek causality ini.

3.Huhu bab masa ini saya pun masih bertanya kepada guru2 saya di UIA. Tapi pokoknya Fakkhr Din Razi memang menolak konsep masa Masya'i. harakah jauhariah Mulla Sadra pun rasanya extension dan pembaharuan daripada konsep masa masha'i.