Jumaat, 21 Ogos 2009

Berforum di Universiti Malaya



Saya, Ustaz Hisommudin, Dr Abu Hassan, dan moderator, akh Razak


2 minggu yang lalu, ketika Universiti Malaya (UM) sebok ber-FESKUM ( semacam Convofair di UTP tapi lebih besar), saya dijemput oleh AJK FESKUM untuk menyertai forum berkenaan mahasiswa dan negara sebagai seorang panelis. Sudah tentu yang jemput itu pun kawan-kawan se-aktivisme yang berbeda rupa dan isi berbanding kawan-kawan di UTP.


Saya digandingkan buat kali kedua dengan Prof. Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah, pensyarah kanan Jabatan Pengajian Media dan juga Ustaz Hisommudin daripada ILHAM Center yang juga merupakan mantan YDP MPMUM aliran PMIUM yang terakhir sebelum kemenangan terbaru.


Bertempat di gazebo, berdekatan Pekan Buku, tempat saya menyelongkar buku-buku Zed Books kalau sempat singgah di UM, kehadiran para mahasiswa dan siswi agak memuaskan pada malam itu. Apakah yang hadir itu rata-rata golongan penyokong dan pendokong Pro-Mahasiswa UM atau banyak yang hadir awal untuk menunggu Raihan mendendangkan nasyid-nya yang dijadualkan berlangsung selepas forum kami pada malam itu.


Bercakap dihadapan para mahasiswa UM, bagi saya selaku pelajar IPTS apatah lagi daripada UTP yang baru meniti sedekad usia merupakan satu nikmat yang saya syukuri. Ditambah pula status quo saya yang 'dikuarantin'@'dibuang' daripada JIK dan tidak memegang sebarang tampuk penguasaan dalam mana-mana proksi persatuan di kampus menjadikan peluang sebegini sebagai sesuatu yang pelik atau dalam bahasa inggerisnya 'awkward' dan 'ironic'.


Ini kerana bagi saya, bercakap di hadapan mahasiswa dan siswi UM seperti bercakap dengan satu golongan yang mewarisi tradisi dan roh UM yang sangat unik dalam melakar perjalanan negara ini. Entahlah saya tidak pasti sama ada golongan siswa dan siswi UM pada hari ini masih sedar atau tidak akan peranan dan kedudukan UM sebagai sebuah menara gading yang benar-benar berjasa dalam melahirkan kepimpinan negara serta para cendekiawan dan aktivis yang revolusinier sifatnya. Jikalau masih rasa begitu baguslah kalau tidak mungkin anda antara golongan yang layak memakai tag mahasiswa yang tertawan mindanya kerana melihat kampus sebagai pusat mencetak ijazah dan mencari kerja semata-mata.


Tradisi mewarisi sejarah dan prestij sesebuah unverisiti itu semakin hari semakin kurang dihormati dan dihargai pada hari ini setelah univerisit hanya menjadi pak turut kepada permintaan pasaran ekonomi. Berbeda dengan tradisi universiti di Barat seperti Cambridge, Oxford, Ivy League di AS, mereka masih berpegang kepada tradisi lampau yang boleh dikatakan unik, sama seperti apa yang tergambar dalam filem Harry Potter seperti di Hogwarts dengan makan beramai-ramai di dewan besar, pertandingan antara rumah-rumah dan terikatan kepada nilai sejarah yang tinggi. Semua itu masih dijaga dengan rapi di Barat dan mungkin di dunia Islam, Universiti Al-Azhar di Mesir dan Zaytuna di Tunisia merupakan antara yang masih mewarisi nilai sejarah yang tinggi (tak pasti siswa mereka faham ke tidak).



Seronok siswa UM mendengar forum, lawak panelis mana saya tak tahu.



Berbalik kepada forum tersebut, macam biasa Dr. Abu Hassan dengan gaya flamboyant-nya sangat pekat dengan kerangka
Wissenschaft (mungkin pengaruh Austria) dalam mengupas persoalan menjadi mahasiswa dan peranan terhadap negara. Saya rasa beliaulah panelis yang paling menjiwai forum tersebut kerana gaya beliau bercakap, nada dan kritikan-kritikan pedas semuanya ditujukan kepada golongan siswa dan siswi UM.


Ustaz Hisommudin pula berat kepada pengalaman silam beliau dalam memperjuangkan agenda mahasiswa yang sememangnya saya kira pada waktu itu amat berbeza dan berkualiti berbanding yang ada sekarang. Ustaz Hisommudin menekankan masalah AUKU dan perlunya mahasiswa kembali menyengat dalam berhadapan dengan masalah korupsi di universiti.


Saya berbeda pendapat dengan Ustaz Hisommudin dalam hal ini kerana bagi saya penjara fizikal seperti AUKU bukanlah masalah utama kepada kelesuan perjuangan mahasiswa pada masa kini sebaliknya penjara metafizikal seperti sindrom minda tertawan yang hinggap pada institusi bernama universiti dan ahlinya seperti pensyarah dan mahasiswa merupakan cabaran terbesar yang perlu golongan aktivis siswa perjuangkan. (Sila rujuk penulisan lampau saya berkenaan isu siswa dalam blog ini).


Secara keseluruhan, saya amat gembira dan bersyukur kerana dapat hadir dan menjadi panelis dalam forum yang menarik ini disamping berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman dengan rakan-rakan di UM. Sudah tentu sesi Raihan selepas forum kami lebih fullhouse tapi biasalah itulah realiti pada hari ini. Berat kerja adik-adik yang bakal mewarisi perjuangan kami ini dan saya percaya dengan bimbingan daripada abang-abang yang tidak tertawan mindanya dapat kita bangunkan semula peradaban ilmu di menara gading yang kita cintai ini.


ACHTUNG!

Pada malam ini saya akan ke udara (recorded) dalam rancangan Perpsektif Kita di Asto Awani bercakap berkenaan Sindrom Pelajar Kakak Tua pada jam 9 malam. Siapa tak berterawih bolehlah tengok kalau tak sempat, pagi esok, Ahad 23 Ogos, jam 8.30 pagi ada ulang siaran.



4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Universiti Zaytuna tak silap saya di Tunis kan?

Rausyanfikir berkata...

Silap2. Ok dah betulkan. T Kasih. Confuse antara Morocco dan Tunisia sbb dua2 cakap French.

Wardatul Shaukah berkata...

tak sempat nak baca. wah bro rausyanfikir sekarang.. macam artis dah masuk muka kat tv :D

teruskan perjuangan :)

Rausyanfikir berkata...

Syukran. Biasa je. Orang panggil kita kongsi :)