Rabu, 22 Julai 2009

Taylorisme dan Pengurusan Saintifik





Mari berkerja cara Taylorisme


Kini saya berada dalam semester terakhir pengajian ijazah pertama saya. Tiada lagi subjek yang diadunkan dengan kalkulus dan operasi matematik yang menutupi gambaran besar berkenaan proses pendidikan yang saya lalui.


Antara subjek yang menarik buat semester ini adalah Operasi Pengurusan (
Operation Management ). Ianya merupakan subjek wajib buat kami, bakal-bakal jurutera untuk mendapat ijazah daripada universiti ini. Memandangkan ini satu subjek yang 'biasa-biasa', bukan teras kepada pengkhususan kami, rata-rata mahasiswa yang hadir ke kelas ini dalam satu mindset yang ala kadar sahaja.


Lain pula ceritanya buat saya. Setelah 4 tahun bergelumang dalam sistem pendidikan teknikal yang ketat, subjek Operasi Pengurusan ini mampu memberi gambaran awal kepada isi perjalanan sehari-harian buat seorang jurutera. Semua ini sudah tentu menggambarkan secara tuntas giest kepada pengaruh faham kapitalisme dalam struktur pekerjaan masyarakat moden baik yang berkolar putih atau biru.

Ya, yang saya maksudkan disini ialah faham Pengurusan Sainstifik ( Scientifique Management) atau lebih dikenali dikalangan aktivis Kiri sebagai Taylorisme.


Bagi para pembaca blog ini yang setia, anda saya kira sudah jelas akan pengaruh Marxisme dalam korpus pemikiran ekonomi saya (nama blog ni dulu pun Sosialis Kanan). Senior-senior jemaah islam kampus dahulunya melenting tak tentu fasal bila tahu ada ahli yang memblog menggunakan nama Sosialis Kanan. Terus sahaja mereka menghukum itu dan ini tanpa memahami secara tuntas apakah sebenarnya sosialisme dan marxisme ( mungkin pengaruh ulama' PAS yang keliru antara sosialisme dan komunisme, tidak pula kapitalisme dan liberalisme Pakatan Rakyat!).

Sudah tentu saya acap kali menekankan bahawa saya agak hanya pilih faham Marxisme yang tertentu, khususnya yang tidak bertentangan dengan faham agama Islam. Dialektika materialisme terang-terang tidak akan dapat menyelinap masuk dalam kotak pemikiran ekonomi saya.

Apa kaitan Marxisme dan Taylorisme? Secara mudahnya, dalam banyak-banyak kerangka ilmu yang wujud dalam sejarah pemikiran manusia moden (pasca era-Revolusi Industri), hanya Marxisme yang telah menyiapkan homework untuk memahami evolusi faham kapitalisme dan kesannya dalam lapangan kerja sehari-harian. Saya tak pernah lihat lagi karya ulama' Islam yang mampu faham dasar faham ekonomi kapitalisme dan sosialisme secara berkesan melainkan ulama' Syiah Baqir al-Sadr dalam karyanya Iqtisaduna (Our Economy) dan Falsafatuna ( Our Philosophy).


Tetapi kajian secara saintifik dan sistematik berkenaan faham kapitalisme tetap menjadi tulang belakang kepada golongan pemikir Kiri seperti Marxisme dan kumpulan Teori Kritikal ( Critical Theory) yang datang daripada Sekolah Pemikiran Frankfurt. Taylorisme merupakan subjek kajian penting para pemikir Marxis pada awal abad ke-20.


Bercakap berkenaan Taylorisme kita tidak dapat lari daripada Fordisme yang sudah tentu berkait rapat dengan Heny Ford, usahawan kereta jenama Ford dengan T-Model-nya yang mengubah sejarah industri. Fredrick Winslow Taylor dan Henry Ford telah mengubah sistem pembuatan produk perkilangan dengan merumskan satu konsep baru yang dipanggil Pengurusan Saintifik. Konsep pengurusan ini menekankan ke-efisyen-an dengan mengambil kira pelbagai faktor kajian khususnya berkait rapat dengan hubung kait masa dan gerak daya (time and motion study).


Seperti yang tertera dalam slideshow dalam kelas semalam, sejarah Pengurusan Saintifik ini bermula sekitar 1776 sewaktu Adam Smith merumuskan teori pengagihan kerja (division of labour) yang juga menjadi pemangkin kepada Revolusi Industri.

Bagi rakan-rakan sekelas yang masuk kelas sebab 'terpaksa', sudah tentu semua ini tiada penting buat mereka tetapi saya, selaku mahasiswa yang so-called 'poyo', (lebih baik daripada menjadi mahasiswa kangkung) saya berasa amat menarik untuk kita perbahaskan titik bermulanya pengurusan saintifik tersebut.

Apakah sebelum tahun 1776, tahun Adam Smith melahirkan teori durjana Tangan Tersembunyi (Invisible Hand), tidak pernah wujud konsep Pengurusan Saintifik dalam korpus pemikiran tamadun-tamadun lain khususnya bukan Barat?

Saya menanyakan soalan ini kepada pensyarah, En. Kamal dalam nada bahawasanya timeline pensejarahan yang tertera pada slaid itu sangatlah Western-centric. Beliau bersetuju tetapi tidak mampu menjelaskan mengapa bermula di situ dan apakah yang lain tidak pernah ada konsep ini.

Mengikut kefahaman saya yang sedikit ini berkenaan sejarah, konsep kejuruteraan dan pembuatan dalam tamadun-tamadun bukan Barat tidak mengamalkan konsep Pengurusan Saintifik kerana faham pembuatan mereka sangat tertakluk kepada nilai estetika, kesungguhan dan ketelitian dan seni tukang (craftmanship). Tamadun Islam, Hindu dan Cina bukan tidak memiliki teknologi hebat dalam membina bangunan, terusan, empangan, barang perhiasan tetapi pandangan alam mereka tidak sama dengan manusia Barat yang telah membuang ma'na-ma'na kerohanian dan kekudusan dalam aktiviti seni tukang. Orang bukan Barat bertukang bukan sangat untuk memaksmakan keuntunagan tetapi menhargai kesenian dan kecantikan produk yang dibuat untuk khalayak ramai dan orang berada.


Pengurusan Saintifik adalah ciptaan para penganut faham ekonomi kapitalisme yang melihat kegiatan ekonomi hanyalah bermatlamatkan duniawi yang seterusnya menjadikan masyarakat di Barat dan di Timur selepas era penjajahan sebagai masyarakat konsumer tegar.


Seperti yang saya katakan tadi, hanya pemikir Marxis yang faham benar akan selok belok konsep yang seakan kudus dan tidak bersalah sifatnya iaitu Pengurusan Saintifik ini.


Saya telah membaca sebuah buku yang agak menarik hasil tulisan Christian Marazzi, seorang pemikir Marxis dari Itali. Dalam karyanya Capital and Language, beliau membahagikan epoch kapitalisme kepada empat iaitu bermula dengan merkantilisme (mercantilism), industrialisme (industrialism), pasca-Fordisme dalam Ekonomi Baru ( postfordist culmination of the New Economy) dan yang terkini Ekonomi Peperangan (War Economy).



Apa yang menarik disini dan relevan dengan wacana kita pada ketika ini ialah pada pasca-Fordisme tersebut dan Industrialisme. Antara kedua-dua epoch itulah proses pengdoktrinan golongan pekerja berkolar biru dan putih berlaku dengan berjayanya melalui faham ilmu Pengurusan Saintifik. Sudah tentu dalam tempoh tersebut Jepun, Korea berjaya bangun dari tidur mereka dengan jayanya hasil bantuan faham Taylorisme yang sudah dipelbagaikan cara-gayanya dalam pengurusan produksi perkilangan.


Tanpa kita sedari, faham Taylorisme ini sebenarnya sudah melimpah masuk ke dalam pelbagai sektor kehidupan manusia moden seperti pendidikan yang paling ketara. Para pelajar dan mahasiswa, turut sama golongan pensyarah telah di-Taylor-isasikan (Taylorization) secara tidak langsung melalui skema pemetakan ilmu (compartmentalization of knowledge) dan juga pengkhususan ilmu yang rigid seperti yang saya terangkan dalam makalah saya bertajuk University and the Captive Mind. Sebab itulah golongan mahasiswa di seluruh dunia banyak yang terperangkap dengan faham minda tertawan ini dek kerana gagalnya mereka melihat jalinan yang wuju dalam pelbagai lapangan ilmu yang ada. Ini seterusnya menghasilkan kehampaan ma'na dalam proses pendidikan (atau lebih tepat pensijilan) yang melahirkan bibit-bibit hedonisme di luar kelas.


Semua ini amat bertentangan dengan konsep universiti itu yang dicedok daripada faham pendidikan tinggi Islam seperti kulliyah yang membawa maksud universal. Apa yang ada pada ketika ini dikalangan mahasiswa dan pensyarah yang tertawan bukan lagi faham universal secara menyeluruh malah bukan juga faham tempatan yang mengakar denga tradisii tetapi kekeliruan dan kesalah fahaman ilmu seperti yang dijelaskan dengan tuntas oleh Prof. al-Attas sendiri.


Cukuplah sekadar itu dahulu. Fikir-fikirkanlah wahai ahli gerakan Islam yang bercita-cita untuk mengislamisasikan kampus masing-masing. Anda secara tidak sedar merupakan sebahagian daripada catur Taylorisme!





Tiada ulasan: