Sabtu, 18 Julai 2009

Tasawwuf dan Faham Dualisme


oleh Hasanul Arifin


Saya telah dihadapkan dengan soalan yang agak rumit ketika sedang bercerita mengenai hal perihal “ke-tasawwufan” seorang ilmuan Islam yang saya kenali:


“Apakah amalan ilmuan ini? Beliau dari tariqah mana?”


Suatu soalan itu mencerminkan pemikiran dan pemahaman seseorang mengenai perkara yang didiskusikan. Dan dari premis ini saya akan bertolak untuk berhujah mengenai hakikat tasawwuf dan kekeliruan dualisme yang mencengkam para pengamal tasawwuf zaman ini.


Bila kita berbincang mengenai tasawwuf, kita akui bahawa ia merupakan suatu bidang ilmu dalam Islam yang menyentuh akan dua hubungan dalam diri manusia, yakni hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia dengan makhluk. Ini seiring dengan epistemologi Islam, dimana apabila kita berbincang mengenai ilmu, ilmu itu ada dua kategori yakni ilmu mengenai Allah dan ilmu mengenai makhluk. Jelasnya, saya tidak menggunakan istilah “hablumminannas” di sini kerana saya tidak ingin menyempitkan dimensi kedua itu hanya kepada hubungan manusia yang lain, sedangkan kita diberi tanggungjawab sebagai khalifah untuk memelihara alam sekitar ini juga.


Justeru, jelaslah bahawa ilmu tasawwuf itu berkenaan dua aspek yakni hubungan yang vertikal kepada Allah dan hubungan yang horizontal kepada makhluk. Dengan erti kata yang lain, ilmu tasawwuf itu berhubung dengan persoalan metafizika dan hakikat-hakikat ketuhanan yang tinggi, yang difahami bukan sahaja melalui pembacaan dan penelaan, malah melalui pengalaman spiritual yang khusus juga. Di samping itu ilmu tasawwuf itu juga boleh diistilahkan sebagai ilmu akhlak, yakni ilmu penyucian jiwa dari sifat-sifat mazmumah, agar si salik itu boleh memelihara hubungannya dengan makhluk, dan pada masa yang sama memelihara hatinya untuk dibuka mata hatinya untuk mengalami sendiri hakikat-hakikat tinggi justeru memahaminya dengan keyakinan yang tidak dapat disangkalkan.


Namun tasawwuf yang saya kenal pada hari ini seakan-akan hanya diberikan penekanan kepada aspek-aspek ritual dan zahiriah sahaja. Dalam persoalan yang saya hadapi itu, jelas menunjukkan suatu obsessi terhadap kaedah tasawwuf, seakan-akan tujuan tasawwuf itu telah hilang dari pandangan. Berzikir, membaca wirid dan Al-Qur’an, menerima bai’ah dari guru yang thiqah dan yang bertariqah; kesemua ini merupakan kaedah dalam ilmu tasawwuf. Namun ia bukan penjelasan kepada hakikat ilmu tasawwuf itu sendiri. Cuba bayangkan, jika kita memasak nasi goreng, yang memberi makna kepada perihal memasak itu bukan kaedah masaknya; menghiris bawangnya, memanaskan minyak dan sebagainya. Yang memberikan makna kepada hal memasak itu adalah hasil memasak itu bukan? Bila kita kaji sama ada nasi goreng yang telah masak itu sedap baru kita dapat tahu sama ada masakan itu benar-benar berjaya bukan?


Samalah kalau kita sedang mengkaji ilmu bahasa. Yang dikaji bukan hubungan antara huruf-huruf atau aksara yang menjadikannya satu ayat perkataan, maupun warna dakwat ataupun kualiti kertas yang digunakan. Yang dikaji adalah makna yang terkandung pada perkataan itu, hasil dari meletakkan huruf-huruf tertentu pada tempatnya masing-masing.


Justeru mengapakah sesetengah orang membincangkan mengenai kaedah mengamalkan tasawwuf apabila berbincang mengenai ilmu tasawwuf? Hal ini adalah kerana ramai yang keliru mengenai hakikat tasawwuf, sebagaimana yang di Abul Hasan Abu Shanja R.A: “Kini Tasawwuf itu suatu nama tanpa hakikat, sedangkan pada masa yang lalu ia merupakan suatu hakikat tanpa nama!”


Namun ramai yang mengaku pengamal tasawwuf ini pada pendapat saya tiada pula mencerminkan hakikat dan tujuan bertasawwuf.Tiada gunanya berzikir dan berwirid bila akhlak kepada makhluk itu buruk, bila berdiskusi dan berbeza pendapat, menonjolkan emosi dan ego yang melampau-lampau. Tiada gunanya bermaulid, berhaul dan berqasidah jika akhlak kepada makhluk tiada mencontohi kewibawaan para anbiya’ dan auliya’ yang diceritakan dalam maulid, haul dan qasidah. Tiada gunanya menizarahi kubur dan mengingati mati jika ego tiada dimatikan dahulu.


Cuba kita renungkan. Apakah Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali itu bertariqah? Mengapa tidak pula kita tanyakan apa zikir dan wirid yang diucapkannya sepanjang hidupnya?


Jelasnya persoalan zahiriah mengenai amalan seseorang itu persoalan yang remeh. Yang kita lihat bukan amalannya, tetapi hasil amalan itu yakni keilmuannya yang tinggi dan renungan ma’rifatnya yang tajam!


Persoalan yang dikemukakan juga mencerminkan kekeliruan dalam memahami falsafah beragama. Persoalan ilmu-versus-amal; yang mana satu patut diberikan perhatian dan sebagainya mencerminkan faham dualisme yang jelas tiada hubungkait dengan faham Islam yang sebenar. Dualisme tiada wujud dalam pandang alam Islam, atau istilah yang lebih tepatnya “Ru’yatul Islam Lil Wujud.” Sebenarnya tiada pertentangan di antara ilmu dengan amal dalam pandang alam Islam, kerana bila kita mengatakan bahawa seseorang itu berilmu kita juga mengatakan bahawa seseorang itu mengamalkan ilmunya. Tiada dikotomi di antara kedua-duanya, masing-masing saling melengkapi untuk memberikan makna yang sebenar kepada istilah “ilmu” itu.


Jelasnya, faham dualisme ini dari pandang alam Greek yang telah diassimilasikan dalam pandang alam Barat. Sayangnya, orang-orang yang mengaku ahli tariqah dan ahli ma’rifat dan sebagainya pula juga turut terpengaruh dengan faham asing ini.


Justeru kita seharusnya menuntut ilmu agar kita kembali kepada tujuan sebenar ilmu tasawwuf, serta mengkaji semula khazanah ulama’ silam yang mempunyai pandang alam yang tepat dalam Islam. Selari dengan kata-kata guru saya yang dahulu, Ustaz Abu Zaki, apabila ditanyakan kepadanya mengenai ilmu tasawwuf apakah aspek praktikal ilmu tasawwuf (dengan harapan agar beliau mengupas sedikit mengenai zikir dan tariqah), namun dijawapnya pula:


“Yang ini teori dan yang ini juga praktikal!”


Saudara Hasanul Arifin merupakan Naib Presiden Persatuan Mahasiswa Islam di National University of Singapore (NUS). Beliau juga merupakan seorang yang berfikrah mazhab Attasian dan seperti biasa masih sukar untuk menyebar luaskannya di kalangan rakan-rakan ahli gerakan Islam di sana. Blog beliau boleh diakses disini.


9 ulasan:

si ulat buku berkata...

Assalamualaikum..
Betul kata saudara Hasanul tu. Kadang-kadang tu terfikir gak, pengamal-pengamal tasawuf pada masa sekarang ada ATAU tidak mempraktikkan ilmu di rumah? Maksud saya memimpin anak-anak mereka sebab saya perhatikan mereka-mereka ni semua tinggalkan keluarga dalam tempoh yang agak lama. Ada ke tak mereka peduli tentang keluarga mereka?

tabligh = menyampaikan

ada ATAU tidak mereka menyampaikan ilmu tasawwuf tu kepada ahli keluarga?

Benda-benda itu yang berlegar di minda saya sekarang..

wallahualam..
wassalam...

Mohd Ali Atan berkata...

Mengapa membuat pengitlakan terburu-buru?Ini bukan tradisi intelektual yang dikehendaki. Mengapa tidak mahu mengambil contoh atau data-data yang sahih dan absah?Di mana nilai pegangan seorang intelektual?Di akalnya kah?Apakah maksud akal budi?Apa maksud hati budi?Apa maksud makrifah?Apakah maksud ilmu dan amal?Apakah ilmu itu sekadar ilmu diatas kertas?Allah sudah terang menjelaskan jika engkau hendak guna berlautan2 sekalipun air laut utk menulis ilmu Allah maka tidak akan habisnya. Apakah masih buta akan hakikat Surah Al Kahfi sebanyak 111 ayat itu?Apakah mau seperti Musa pada mulanya dan akhirnya gagal bersabar menghadapai Khidir?Apakah ertinya Rabbul alamin?apakah ia dapat di semak dengan sekalian ilmu falsafah?Saya bukan filsuf atau pengamal tarikat. Saya hanya mahu menyatakan, pada hakikatlah tercermin segala jawapan segala pertanyaan manusia dan kebingungannya;melebihi malah memenuhi hatinya seluruhnya. Sekadar contoh paling mudah kajilah karya Al Ghazali ini berjudul: al-Munqidh min al-Dalal. Empatikan saudara. Saya tidak kata tinggalkan ilmu dunia dari ilmu deria hingga falsafah tetapi saya tegaskan ada lagi ilmu Allah yang perlu kalian ketahui bukan dgn pena dan kertas tetapi dgn jihad yang akhbar.

S.K Aljoofri berkata...

Salam,

"Cuba kita renungkan. Apakah Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali itu bertariqah? Mengapa tidak pula kita tanyakan apa zikir dan wirid yang diucapkannya sepanjang hidupnya?"

Saya kehairanan dengan mereka yang tidak menyedari bahawa tariqah itu sebenarnya sebuah sistem yang indah dalam pengamalan zikir dan wirid. Apa agaknya yang mereka sangkakan tariqah itu sebenarnya. Dah bertanya kepada ahli zikir?

"Fas-aloo ahlazzikri in kuntum la ta'lamoon" (Al-Nahl: 43)

"Maka bertanyalah ahli zikir, apabila kamu tidak mengetahui"

Dan saya mahu tanyakan perkara yang palingggg mudah sekali:

"Adakah Rasulullah s.a.w. bertariqah?"

Apabila menemukan jawapannya, barulah menemukan jawapan untuk diri sendiri :) Mulakan lah penerokaan indah itu, mudah-mudahan, berjaya...

Wassalam.

S.K Aljoofri berkata...

Salam,

ok, sedikit tambahan:

Si Ulat Buku - Jama'ah Tabligh berbeza dengan Jama'ah bertariqah.

Dan untuk adik Hasanul Arifin yang perlu mengkaji lagi, mudah-mudahan membaca blog ini:

Sepanjang pemerhatian kak S.K selama hampir dua dekad mengenai tasawwuf dan mereka yang mengamalkannya, ada beberapa kategori pengamal.

Pengamal yang sejati yang benar-benar mengikut amalan dan tunduk pada guru tidak akan menzahirkan ciri-ciri negatif yang disebutkan oleh Hasanul di atas.

Biasanya, pengamal yang BAHARU belajarlah yang akan bersifat dengan sifat-sifat sedemikian. Kebanyakannya pula dari golongan akademik dan intelek yang menyangka ilmu sejemput yang didapatinya mengenai tasawwuf adalah mencukupi bagi mereka untuk mula memaksa mereka yang lain menerima tasawwur mereka. Sekiranya mereka berterusan dalam set-minda ini, kak S.K dapati mereka akan tertolak dan keluar dari tariqah dengan sendirinya. Kerana sistem zikir dalam tariqah itu sendiri bertindak mematikan ego, jadi, semakin melawan usaha sistem, makinlah tertolak.

Pengamal sejati biasanya akan menggunakan da'awah bilhikmah dengan asas tasawwuf yakni menghormati yang dewasa dan menyayangi yang muda, sesuai dengan hadith Rasulullah s.a.w.

Mudah-mudahan, kita menjadi seperti mereka, insyaAllah :)

Wassalam.

Rausyanfikir berkata...

Kita juga kena bezakan ahli sufi. Ada ahli sufi yang lebih tinggi kedudukannya daripada yang lain. Al-Ghazali tak sama dengan Dhu Nun al-Misri. Da'awah bil Hikmah itu sendiri menerangkan peri penting ilmu dalam berdakwah. Hikmah itu manifestasi kefahaman ilmu yang tinggi hasil pemberian Ilahi. Pencerahan ilahi. Mengikut kajian prof. al Attas dalam karya some aspect of sufism in Malay, banyak tariqah yang ada pada hari ini hanya fokus pada amal tanpa faham doktrin tasawwuf itu seperti yang diterangkan dulu. Kita akan terkejut melihat karya Abu Talib al-Makki, Hakim Al-Tirmidzi, dalam bicara berkenaan psikologi Islam yang dirangka melalui kerangkan tasawwuf. Tariqah juga merupakan satu perkara yang tidak wajib dalam bertasawwuf. Tariqah lebih diamalkan di bahagian Timur tamadun islam tidak di Barat seperti Ibn Arabi, Al-Ghazali etc.

Yang penting ada guru Mursyid, dan ilmu tasawwuf.

Malakian berkata...

Rausyan, mari kita keluar daripada 'kategori'-'kategori' yang menghalang kita daripada melihat yang Satu. Mari kita kembali kepada Allah walaupun mungkin hidup kita (saya) tidak sempurna mana. Kita hidup di zaman apabila apa yang kita kata diukur kepada siapa kita. Dan manusia mengagak-agak 'martabat' kita untuk tidak menerima kata-kata kita.

Ilmu tasawwuf yang sedikit tetapi diamalkan adalah tinggi nilainya. Seperti kata Shaykh Imran Hosein, kita sekarang berada di zaman di mana ilmu agama hanya untuk dipersembahkan di Seminar-seminar, majlis-majlis perdebatan intelektual, di mana waktu untuk merenung diri kita sudah tidak mendapat tempat sepatutnya.

Seorang yang ingin menjadi seorang Muhsin telah membaca hadith Nabi tentang suruhan menyayangi saudara Islamnya sebagaimana menyayangi dirinya; cuma sekelumit ilmu yang ia dapat berbanding mereka berilmu banyak tapi sering memperlecehkan saudara Islamnya.

Kerana hadith itu dia sanggup berkorban untuk rakannya, dia sanggup meninggalkan Kuala Lumpur untuk ke Seremban untuk mencarikan buku untuk rakannya sedangkan rakannya itu memperlecehkannya. Dia sanggup menolong penagih dadah yang cedera di tepi jalan sedangkan orang lain menjauhinya, dia memberi bantuan kewangan kepada kawannya yang pernah menghinanya dan meludahnya walaupun dia sendiri tidak mempunyai wang yang cukup. Semuanya dilakukan kerana suruhan Nabi dalam hadith tersebut. Inilah Muslim yang bukan sahaja ingin menjadi orang 'biasa', tapi ingin menjadi manusia yang berguna. Orang yang begini Allah mencintainya.

Ketika rakan-rakannya yang lain setelah mendapat kerja membuat pinjaman di bank untuk membeli kereta baru dan rumah baru untuk membina 'biah solehah', dia sanggup membeli kereta terpakai yang murah dan menyewa rumah yang kecil setelah membaca ayat al-Qur'an dan hadith tentang haramnya riba'. Orang begini, yang menjadi 'pelik' di akhir zaman ini. Di waktu malam dia menangis kerana dosa-dosanya.

Semoga saya dapat mencontohi orang yang di atas. Semoga orang seperti ini diberi kekuatan oleh Allah hidup di zaman akhir ini.

p/s:Harap Rausyan faham maksud 'kategori' saya. Hasanul Arifin dalam postnya pun ada menyentuh hal ini. Dan Rausyan juga mungkin sudah tahu golongan Elitist sectarian Sufism seperti yang disentuh Imran Hosein dalam buku Gog and Magog. Apa pendapat Rausyan?

S.K Aljoofri berkata...

Salam,

sebenarnya Wan belum lagi menjawab soalan: Adakah junjungan kita Baginda Rasulullah s.a.w. bertariqah? Ada atau tidak hadith-hadith mengenai tariqah?

Bila sudah mendapatkan jawapannya, barulah kita boleh berbicara yang lain-lain :)

Untuk yang tinggal di Singapura dan berminat mengikuti bengkel di bawah ini:
Bengkel: "Perjalanan Menuju Ihsan membina Umat Cermerlang siri ke 2

Tarikh: 15 Ogos 2009. Sabtu
Waktu: 2ptg hingga 7ptg
Yuran:$18
Tempat: Masjid Sultan Bilik Darjah 01
Sila daftarkan nama dan bayar yuran di Wardah Books 58 Bussorah Street, Singapore 199474

Untuk informasi yang lanjut boleh menghubungi wardah books - 62971232, saudara Khalid - 90687106 dan Saudara Muhsin - 91380014

Penganjur: Majlis Riyadhul Muhibbin Singapore

Sinopsis -
Apakah kita perlu belajar tassawuf? Apakah di zaman Nabi Muhammad s.a.w tidak ada ilmu tassawuf bahkan tariqa? Apakah tassawuf itu tidak ada dalam Islam? Mengapa perlu tassawuf dan bertariqa?

Bengkel yang pertama di bulan mei mendapat sambutan yang begitu bagus sekali. Oleh kerana ramai yang meminta Shaykh Rohimuddin menyambungkan bengkel ini maka kami mengadakan bengkel ini pada mereka yang ingin sekali mengikuti bengkel ini yang begitu menarik sekal dan juga bagi mereka yang tidak sempat hadir pada mei yang lalu.

Insha'Allah, di dalam sesi ini, Sheykh Rohimuddin, seorang guru agama dan ulama tassawuf, akan membincangkan tentang kedudukan tassawuf dalam agama Islam, Sejarah tassawuf dan apakah benar tassawuf menyebarkan Islam di dalam tamadun Islam? Siapakah mereka yang mengajarkan ilmu ilmu tassawuf sehinggakan Islam tersebar di seluruh pelusuk dunia ini.

1) Pengertian Ihsan
2)Sejarah Tassawuf di dalam Tamadun Islam
3)Kedudukan Ilmu Tassawuf dalam Islam
4)Membina Umat Cermerlang

Rausyanfikir berkata...

Saya rasa bertariqh seperti yang difahami sekarang tidak dan tak jumpa pula pasal hadith bertariqah.

Malakian berkata...

Sebelum kita boleh tahu Rasulullah bertariqah atau tidak, cuba kita lihat sejarah beliau, termasuk sebelum beliau diangkat sebagai Rasul. Ini cuma pendapat saya.

Rasulullah sejak kecil adalah seorang pemuda yang baik. Al-Amin. Ketika pemuda di zamannya sibuk pergi ke 'prom', 'majlis tari-menari', 'bercouple merpati dua sejoli', minum 'whiski', 'beer' dan sebagainya, beliau menolak semua itu dan banyak mengasingkan diri. Sudah tentu ketika itu Rasulullah sedar dalam dirinya tentang satu yang perlu ditempuhinya, satu Ultimate Concern yang perlu dituju.

Rasulullah mengasingkan diri ke gua hira', menjauhkan dirinya daripada hiruk pikuk dunia yang lebih mementingkan 'bertih jagung'. Sudah tentu ketika Rasulullah beruzlah seorang diri di gua hira', beliau melakukan perenungan diri.

Mungkin orang mengatakan bahawa ini merupakan sesuatu yang dilakukan sebelum beliau menjadi Rasul, maka itu bukan Sunnah. Tapi rasionalnya, adakah Allah akan memilih mana-mana pemuda yang ikut bersama Godless society yang minum arak, bercouple merpati dua sejoli, menari prom dan sebagainya? Adakah Allah akan memilih mana-mana pemuda yang sedang gusto menari, enjoy life? Di sini kita boleh fikirkan. Jalan untuk mencari hidayah Allah.

Dan kita boleh fikirkan apakah peranan Jibril dalam misi Nabi Muhammad sebagai nabi. Apakah peranan Jibril? Ketika Ramadhan, Rasulullah bertilawah bersama Jibril membaca dan sudah tentu memahami ayat-ayat Allah. Apa peranan Jibril.

Di sini ada sesuatu yang perlu kita fikirkan. Hanya pendapat saya.