Selasa, 14 Julai 2009

Sisi lain tentang sastera

Dalam rencana sastera berjudul Ke Mana Hala Tuju Sastera Melayu?, Zariat Abdul Rani mengemukakan pandangan Syed Hussein Al-Attas, Syed Naguib Al-Attas, V I Braginsky, Affandi Hassan dan Wan Nor Wan Daud. Rencana sastera ini telah diangkat sebagai pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil 2007 dan dibukukan dalam antologi berjudul Dari Suatu Tikungan Lorong. Panel berpendapat makalah tersebut telah mengemukakan suatu pandangan lain tentang konsep kesusasteraan. Walaupun kontradik dengan pemikiran semasa, pandangan ini dapat menghidupkan perbincangan dalam perkembangan dunia sastera kontemporari.


Pandangan saya, makalah ini bukanlah menyuguhkan suatu pandangan yang baharu melainkan membuat penegasan semula ke atas pandangan yang telah wujud sebelum ini. Makalah ini juga berhajat untuk menegakkan pandangan Syed Muhammad Naquib Al-Attas bahawa Hamzah Fansuri seorang pengarang sufi pada abad-17 sebagai Bapa Kesusteraan Melayu Moden.


Makalah tersebut secara tuntasnya menolak Abdullah Munsyi sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden dengan menegaskan pandangan Al-Attas iaitu menolak barat yang membawa kemajuan dan kemodenan dengan membawa masuk faham rasionalisme dan intelektualisme dalam karya.


Kemudian Zariat Abdul Rani cuba menghubungkan premis ini dengan Gagasan Persuratan Baru oleh Affandi Hassan dengan mengemukakan contoh kritikan terhadap pengangkatan novel TIVI oleh Shahnon Ahmad sebagai hasil karya sastera Islam. Sebagaimana yang telah termaklum Affandi Hassan melalui Gagasan Persuratan Baharu telah menidakkan sejumlah besar karya sastera Melayu moden yang telah diiktiraf mencapai karya bertaraf antarabangsa dan agung. Malah juga mengemukakan istilah lain untuk merujuk kepada profesion kepengarangan iaitu persuratan bukannya kesusasteraan. oleh Affandi Hassan dengan mengemukakan contoh kritikan terhadap pengangkatan novel.


Kata kunci 'kemajuan' dan 'kemodenan' yang disindir oleh pengarang lewat makalahnya cuba menolak suatu pandangan Barat terhadap sastera tanah air. Sebagai gantinya Zariat Abdul Rani mengemukakan pandangan Wan Nor Daud yang mahukan istilah 'pembangunan' digantikan dengan 'islah' dan 'pengislahan' yang dianggap lebih tepat membawa makna 'kemajuan' yang membawa kebaikan dan kejayaan.


Saya memahami pemikiran Zariat Abdul Rani, Affandi Hassan dan Wan Nor Daud yang bersumberkan fikrah Al-Attas. Namun harus diingat lapan tahun sebelum Syed Muhammad Naquib Al-Attas mengemukakan syarahan pengukuhannya sebagai Profesor Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia yang mengemukakan Hamzah Fansuri sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden, Pendeta Ismail Hussein dalam satu syarahan untuk Royal Asiatic Society di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 27 Februari 1966, telah mendefinasikan kesusasteraan Melayu tradisional sebagai 'All those literary phenomena, be it written or oral, that existed or might have existed about the middle of the 19th century.'


Jelas Ismail Hussein meletakkan tahun 1850-an sebagai titik pemisah antara sastera tradisional dan moden. Faktor utama premis hujah ialah penggunaan alat cetak atau mesin cetak. Sebelum kemunculan alat cetak karya ditulis dengan tangan dan penyebarannya tidak meluas di tengah masyarakat. Namun setelah kedatangan alat mesin cetak di Tanah Melayu dalam tahun 1850-an maka karya Abdullah Munsyi dicetak dan disebarluaskan ke seluruh Tanah Melayu.


Terbuka


Kritikan terbuka kepada sistem feudal dan sikap sesetengah orang Melayu yang negatif merupakan suatu yang tidak ada dalam karya sastera sebelum Abdullah Munsyi. Abdullah Munsyi bukan sahaja mengkritik raja dan orang Melayu yang malas dan tidak pandai menaruh tempat untuk belajar bahasa ibundanya malahan mengkritik sikap pegawai Inggeris yang pemabuk dan tidak memahami hati budi orang Melayu.


Malahan karya Abdullah juga mempunyai data sejarah pada zamannya yang sekaligus dapat dianggap sebagai antara karya sastera sejarah. Secara langsung Ismail Hussein meletakkan Abdullah Munsyi sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden kerana isi pemikiran karyanya itu dan teknik kepengarangannya yang jauh lari daripada teks sastera hikayat era sebelumnya. Bagaimanapun penilian per se ke atas kritikan yang dilontarkan Abdullah Munsyi lewat karya autobiografinya haruslah diteliti dalam makalah khusus.


Jadi siapakah Bapa Kesusasteran Melayu Moden? Hamzah Fansuri seperti yang dinyatakan oleh Al-Attas bahawa karya tasawufnya pada abad ke-17 telah membawa pembaharuan dengan kemurnian tauhid yang bebas daripada tahyul, mitos dan kepercayaan khurafat.


Karya sastera Abdullah lebih merakyat sifatnya berbanding karya sufi Hamzah Fansuri yang memerlukan ilmu bantu yakni tasawuf tahap muntahi atau akhir untuk memahami akan karyanya. Namun secara akademiknya kita tidak mempunyai data untuk membuktikan hujahan bahawa karya sufi Hamzah tidak difahami khalayak melainkan sebuah tanggapan awal yang berdasarkan sangkaan.


Justeru, pada pandangan saya tiada sesiapa pun yang layak menggelarkan pengarang itu sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden tanah air. Hal ini kerana setiap pengarang membawa perubahan yang tersendiri dalam karya mereka seiring dengan perkembangan ilmu di tengah masyarakat. Jikalau tetap untuk memberikan gelaran tersebut, saya fikir gelaran tersebut bukan bersifat mutlak tetapi suatu persamaan yang membangunkan dunia sastera tanah air. Ada unsur saling meminjam di antara kedua-dua tokoh ini dalam memajukan atau mengislahkan dunia sastera tanah air.


Jikalau Hamzah Fansuri dianggap membawa islah tauhid dan adab dalam karya sufistiknya maka Abdullah Munsyi membawa konsep keterbukaan pemikiran apabila mengkritik sosioekonomi dan sosiopolitik masyarakat pada zamanya. Karya Hamzah Fansuri berorientasikan dalam diri manusia dan hubungan dengan Tuhan dengan cara memaparkan pengalaman perjalanan kerohaniannya seperti dikaji oleh Braginsky. Manakala Karya Abdullah Munsyi lebih melihat unsur kemasyarakatan dan maslahat umum dalam berbagai-bagai aspek.


Dalam agama Islam kita menerima segala kemajuan dari mana pun datangnya selagi tidak bercanggah dengan Al-Quran dan hadis. Mungkin ada nilai tambahannya iaitu nilai-nilai kenegaraan yang mesti pengarang junjung dalam karyanya dan mengelakkan pentafsiran palsu sejarah seperti mengangkat komunis sebagai pejuang negara.


Suatu yang yang amat penting ialah dari segi adab. Al-Attas menekankan betapa peri pentingnya adab dalam berkarya dengan menyatakan penyemaian adab dalam karya Hamzah Fansuri merupakan suatu tanda penting kemodenan sastera Melayu yang sebelumnya sarat dengan mitos.


Dalam dunia akademik perbincangan dan penataran ilmu dan pemikiran harus ada kerana sifat sastera itu sendiri dinamik. Jikalau seseorang yang mengemukakan sesuatu konsep atau pendekatan baharu itu tiada beradab, sekalipun teori atau pendekatan itu sarat dengan saranan dan prinsip beradab, maka ia tidak membawa makna apa-apa. Dalam hal ini bagi saya, sarjana itu haruslah kembali kepada nilai pegangan ahli akademik yang bersifat rasional dan menjauhi prasangka serta bias melampau. Dan pada akhirnya kemajuan atau keislahan sastera Melayu kita akan terserah juga di tangan para pengarang kita sama ada sasterawan, mapan dan pengarang muda yang sedang membentuk keperibadian kepengarangannya.

sumber: Utusan Malaysia


Komentar, Syarah dan Radd:

Satu artikel yang menarik untuk diketengahkan kepada khalayak bagi memahami susur galur dan peri penting mengetahui warisan kesusasteraan Melayu yang semakin terpinggir. Saudara Ali Atan telah membawa satu wacana yang saya kira penting untuk sama-sama kita teliti sekali lagi akan kedudukan yang selayaknya buat Bapa Kesuasteraan Melayu moden melalui pertimbangan dua tokoh ilmuan iaitu al-Attas dengan Hamzah Fansuri, Ismail Hussein dengan Abdullah Munsyi-nya.


Walaubagaimanapun, jikalau kita teliti persoalan di atas dengan benar-benar faham akan falsafah yang terkandung dalam hujah kedua-dua tokoh tersebut, terdapat beberapa perkara yang boleh diperbetulkan salah fahamnya.


Yang paling utama menjadi salah faham dalam artikel di atas adalah berkenaan maksud 'moden' yang diketengahkan oleh pendeta Ismail Hussein dengan kenyataan 'All those literary phenomena, be it written or oral, that existed or might have existed about the middle of the 19th century', yang kemudiannya diperkukuhkan hujahnya dengan membawa contoh mesin cetak.


Banyak orang, baik pembaca umum mahupun pengkaji sastera yang tidak masak dengan faham asing khususnya berkenaan falsafah akan terjerumus ke dalam kekeliruan ma'na moden ini.


Dari segi etimologi, perkataan
modern berputik dari perkataan latin modernus (Latin lama) dan modo (Latin) yang membawa maksud 'just now'.

Mengikut kamus autoriotatif Barat, baik Merriam-Webster mahupun Oxford menjelaskan bahawa moden adalah:

1) adjective (kata sifat) : of or relating to the present or recent time. characterized by or using the most up-to-date techniques, equipment, etc. denoting a recent style in ar, architecture, etc. marked by a departure from traditional styles and values.

2) noun (kata nama) :
a person who advocates a departure from traditional styles or values.


Apa yang difahami oleh Ismail Hussein adalah moden dari segi periodical, kronologi (kemasaan) seperti yang dijelaskan di atas dengan adanya mesin cetak yang membolehkan karya-karya penulisan seperti yang ditulis Abdullah Munsyi tersebar luas.


Lain pula yang difahami oleh al-Attas berkenaan maksud moden tersebut. Untuk memahami apa yang diketengahkan oleh al-Attas, ada eloknya kita membuka teks syarahan untuk jawatan profesor bertajuk
Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Kata al-Attas:

" Zaman moden itu disebut ‘moden’ sebab ilmu pengetahuannya berdasarkan rasionalisma atau pengetahuan akliah, dan sistim masharakatnya mementingkan kebebasan orang perseorangan atau kepribadian insan dari genggaman keperchayaan yang tiada rasional, sedangkan zaman yang bukan moden itu berdasarkan seni yang membantu membelenggu masharakat dengan keperchayaan takhyul. Perbedaan ini, diantara lainnya, menjadi perbedaan utama antara sifat2 zaman moden dan yang bukan moden.

Dengan istilah
‘seni’ dalam perbincangan ini dimaksudkan suatu chabang falsafah yang menumpukan pemikiran dan perasaan pada yang indah atau chantik, ataupun kepada keindahan atau kechantikan, terutama sekali dalam bidang kesenian. Selain dari itu chabang falsafah yang disebut seni itu lebih sibut berupaya dalam hal2 yang mengenai taraf dan nilai perihal menikmati kesenian. Yang saya maksudkan dengan rasionalisma, dengan pengetahuan akliah, ialah suatu chara-gaya falsafah yang berdasarkan pengkajian alam semesta mengikut daya tatatertib akal."


Apa yang difahami oleh al-Attas, bertepatan dengan wacana kefalsafahan sastera, maksud moden adalah satu perubahan yang meninggalkan tradisi lama. Dalam konteks penjelasan al-Attas, daripada ketahyulan pandangan alam Hindu-Buddha kepada rasionalisme yang diketengahkah oleh Islam. Al-Attas tidak mengangkat faham moden dari aspek kronologisme/kemasaan seperti yang difahami oleh Ismail Hussein, yang saya kira bertitik tolak daripada kekeliruan ma'na pembangunan, dan kemajuan yang tercermin dalam bidang penulisan Melayu hasil tujahan halus pandangan alam Barat yang senantiasa berubah-uba seperi hukum dialaketik tesis kepada antitesis kemudian sintesis.


Oleh kerana perkataan moden mengikut konteks pandangan alam Barat bertitik tolak daripada penglaman lampau orang Barat dalam berhadapan dengan kejumudan Gereja, yang kemudiannya melahirkan Reformasi Protestan dan seterusnya pelbagai lagi faham yang mendominasi akal budi mereka secara silih berganti seperti nominalisme, romantisisme, positivisme, pragmatisme yang akhirnya difahami oleh kita, orang Timur yang tidak berhati-hati dalam menilai dalam aspek kronologisme bahawa setiap bangsa akan turut sama melalui proses "perubahan" persis ketamadunan Barat yang
chaos sifatnya. Sebab itulah seperti yang ditegaskan oleh al-Attas, umat Islam tiada melalui kronologi masa seperti zaman awal, pertengahan, pencerahan etc. seperti yang difahami Barat kerana kedatangan Islam itu sendiri telah membawa erti moden dalam akal budi umat Islam, dalam konteks kita orang Melayu, bangun daripada lena faham Hindu-Buddha kepada faham Islam yang bersifat tawhidik.

Kekeliruan berkenaan siapa yang selayaknya menjadi Bapa Kesusasteraan Melayu moden juga telah dirungkaikan dengan tuntas oleh al-Attas dalam syarahan tersebut:


"Penyelidikan ilmiah Barat telah mengagung2kan keistimewaan Melayu Semenanjung sebagai bahasa Melayu yang terindah nilainya. Pendapat yang kurang betul ini telah juga dipengaruhi keper-chayaannya oleh ‘Abdu’Llah Munshi, yang telah dianggap oleh mereka hingga kini sebagai ‘Bapak’ Kesusasteraan Melayu Baru. ‘Abdu’Llah memang mengambil tauladan bahasanya dari buku Sejarah Melayu yang berpuncha dari Melaka. Akan tetapi buku Sejarah Melayu hasil Melaka itu harus kita anggap sebagai suatu peninggalan sastera yang membayangkan bahasa Melayu istana lama, yang merupakan aliran bahasa Melayu yang lebih tua dari aliran baru yang saya sebutkan tadi. Dari aliran lama inilah mengalir sastera rakyat, sastera roman, sastera epik dan sastera champuran dongeng dan sejarah, yang kesemuanya masih membayangkan kesan2 pandangan hidup yang lampau yang diserapi dengan konsep2 Animisma-Hindu-Buddha. Maka sesungguhnyalah patut ‘Abdu’Llah Munshi itu tidak dianggap sebagai ‘Bapak’ Kesusasteraan Melayu Baru – yang digelar orang ‘moden’ – sebab beliau pada faham saya tiada mempelopori aliran baru, akan tetapi merupakan suatu penjelmaan terakhir dari gaya bahasa Melaka yang sedang hampir hapus itu, yang dengan lambat laun diambil-alih, digantikan tempatnya, oleh aliran baru gaya bahasa Melayu-Islam. Bahkan kenyataan ini tegas benar apabila kita tinjau betul2 dan pertimbangkan dengan teliti mengapa gaya-bahasa ‘Abdu’Llah itu tiada yang menirunya, tiada yang menganutnya selepas pengaruhnya terasa pada masharakat Melayu. Biasanya, jikalau benar2 ia mempelopori satu aliran baru, aliran moden, maka tentu gaya-bahasanya juga akan memberi kesan yang mendalam pada kesusasteraan, pada penulisan dan persuratan Melayu kemudian daripadanya hingga kini. Akan tetapi yang demikian itu tiada berlaku; malah yang nyata kelihatan sekarang ialah bahwa bahasa Melayu moden, termasuk bahasa Melayu-Indonesia lebih dekat gaya dan bawaannya dengan bahasa Melayu yang sejak ratusan tahun dahulu, berpuncha dari Barus dan Pasai, telah diperguna dan disebarkan oleh Islam: bahasa aliran baru yang saya sebutkan tadi, yang penulis2 serta pengguna2nya terdiri dari kalangan para ahli fikir, ulama2 Melayu-Islam yang berkembang di Acheh pada abad2 keenambelas dan ketujuhbelas."


Abdullah Munsyi menulis dalam gaya jurnalistik, bukan kesusasteraan tinggi dan seperti yang dikatakan oleh al-Attas, bukanlah sesuatu perkara yang baru dalam mencorak akal budi Melayu.

Rasionalisasi Hamzah Fansuri sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu moden yang layak dijelaskan oleh al-Attas:


"Saya majukan Hamzah Fansuri, yang menulis pada abad keenambelas, sebagai pelopos aliran baru ini. Beliaulah manusia yang pertama menggunakan bahasa Melayu dengan
sechara rasional dan sistimatis; yang dengan inteleknya merangkum keindahan fikiran murni yang dikandungkannya dalam bahasa yang telah diperolahkan hingga sanggup berdaya menyusul lintasan alam fikiran, yang berani menempuh saujana lautan falsafah. Sayogialah Hamzah Fansuri diberi tempat utama dalam pemikiran persejarahan bahasa dan kesusasteraan Melayu: beliaulah harus kita akui sebagai Bapak Kesusasteraan Melayu Moden. Aliran baru yang membawa kesan pengaruh Hamzah itu mulai timbul ternyata pada abad2 ke-enambelas dan ketujuhbelas.

Semua penulis, ulama dan ahli fikir Melayu yang terkemuka selepasnya telah meniru dan menganut gaya dan tauladannya terhadap penggunaan bahasa Melayu - dari Shamsu’l-Din Pasai hingga ke ‘Abdu’l-Ra’uf Singkel pada abad ketujuhbelas, dan dari ‘Abdu’l-Ra’uf ke Kemas Fakhru’l-Din pada abad kedelapanbelas, dan lain2 lagi hingga abad kesembilahbelas, dan seterusnya abad keduapuluh ini, sebagaimana terbayang dalam fikiran dan tulisan Amir Hamzah. Kesimpulan bahwa tulisan Amir Hamzah itulah juga yang telah menchapai suatu keistimewaan peri kehalusan serta keindahan seni bahasa Melayu itupun mengandung erti yang berkesan dalam merenungkan proses pertalian penggunaan bahasa itu dari aliran yang berasal dari Hamzah Fansuri. Pada zaman inilah juga – zaman pengaruh Hamzah – harus kita tempatkan penulisan moden dalam bidang sejarah orang Melayu, yang jelas sifatnya dalam tulisan2 Nuru’l-Din al-Raniri pada abad ketujuhbelas, bukan kepada tulisan2 Raja ‘Ali Hajji pada abad kesembilanbelas,yang telah dianggap oleh para sarjana Barat sebagai orang yang pertama menulis sejarah dalam bahasa Melayu sechara moden."


Amati dengan teliti bahawa pendokong tradisi kesusasteraan Melayu pada asalnya adalah golongan ulama' yang berwibawa. Adab yang dimaksudkan oleh al-Attas bererti memahami kedudukan peri penting bahasa dalam menyatakan Kebenaran, bukan sekadar alat mainan nafsu tanpa ma'na yang mampu membawa manusia kepada jalan Kebenaran. Inilah kedudukan asali bidang kesusasteraan, bukan semata-mata penulisan murahan berbentuk hiburan kosong.


Kekeliruan dan kesalah fahaman ma'na kesusasteraan yang dibius oleh faham modenisasi Barat ini telah dijelaskan oleh al-Attas seperti mana yang tertera berikut:

"Bahwa sesungguhnya, kesusasteraan Melayu-Indonesia yang disebut ‘baru’ atau ‘moden’ itu belum chukup dewasa bagi diberi gelaran ‘kesusasteraan’ sebab belum dapat merangkum seluruh bidang kebudayaan yang mencherminkan jiwa dan hasrat masharakat Melayu-Indonesia; belum berdaya merantau kealam falsafah dan agama, ke alam fikiran luhur; belum menyelami lautan rasa-chita masharakat seluruhnya; belum mengenai sentuhan rohaniah pada kechapi kalbunya. Yang ‘baru’ atau ‘moden’ itu hanya baru sedang menguji sayap dalam bidang sajak, cherita pendek, dan novel. Bentuk luarnya sahaja tampak baru,akan tetapi yang sebenarnya baru dalam sejarah kebudayaan itu tiada hanya tampak baru pada bentuk luar belaka, kerana bentuk luar bukan sharat yang sah bagi penilaian pembaharuan."


Jelas disini, jikalau kita benar-benar faham dengan hati terbuka dan semangat rasionalisme yang berpaksikan pandangan alam Islami yang betul ketika membaca teks syarahan
Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, hujah al-Attas meletakkan Hamzah Fansuri sebagai Bapa Kesusasteraan Moden tidak dapat dinafikan lagi.


Tidak ada unsur ketidak pastiaan, dan ragu-ragu (
dhanni) dalam menilai sejarah ketamadunan kita kerana ilmu yang benar itu bersifat yaqini. Kesan daripada kefahaman yang betul dalam menilai siapakah autoriti dalam sastera Melayu moden akan memberi dampak besar kepada hala tuju sastera Melayu pada masa akan datang. Soalnya sekarang, apakah kita menerima dengan adil faham sejarah ini seperti yang diketengahkan dalam Gagasan Persuratan Baru?


Itu saudara pembaca sekalian, khususnya golongan sasterawan kena jawablah sendiri.


Wallahua'lam.



8 ulasan:

Mohd Ali Atan berkata...

Semua penulis, ulama dan ahli fikir Melayu yang terkemuka selepasnya telah meniru dan menganut gaya dan tauladannya terhadap penggunaan bahasa Melayu - dari Shamsu’l-Din Pasai hingga ke ‘Abdu’l-Ra’uf Singkel pada abad ketujuhbelas, dan dari ‘Abdu’l-Ra’uf ke Kemas Fakhru’l-Din pada abad kedelapanbelas, dan lain2 lagi hingga abad kesembilahbelas, dan seterusnya abad keduapuluh ini, sebagaimana terbayang dalam fikiran dan tulisan Amir Hamzah.
~
1. Saudara bacakah semua karya Hamzah atau setakat baca ulasan falsafah sahaja?
2.Penulisan Hamzah bukannya boleh ditiru2.
Fikir2kanlah.

Rausyanfikir berkata...

Saya baca kedua-duanya sekali, walaupun tidak semua karyanya.

Sudah tentu tidak boleh ditiru bulat-bulat tapi pengaruh Hamzan Fansuri terhadap karyawan zaman tersebut tidak dapat dinafikan dan mengangkat dunia penulisan ke malakut yang lebih tinggi.

Yang penting adalah peniruan semangat dan hala tuju sastera, bukan sangat gaya berbunga-bunga. Ma'na itu yang dititik beratkan oleh pengkarya zaman tersebut.

Mohd Ali Atan berkata...

Karya sastera kita sudah banyak yang bernuasansa Islam dan kerohanian. Cuba saudara teliti kumpulan dan antologi cerpen HSKU. Setiap genre sastera tanah air ada wakil penulis yang karyanya murni dan luhur dengan semangat agama. Saya tidak menyangkap sesiapapun tetapi saya menyangkal sesiapapun yang tidak mengamati sastera secara teliti lalu menganggap sastera tanah air tidak berguna dan berfaedah. Karya Abdullah Munsyi saudara bacalah?Dalamnya terdapat sindiran yang amat tajam kepaa amalan tahyul dan kuafat yang diamalkan oleh masyarakat pada zamanya. Karya Abdullah Munsyi merupakan autobiografik yang telus jujur dan terus terang. Al Quran sendiri mempunyai gaya yang terus terang ini seperti 'Waa lul' pada Surah Al Humazah dan Al Mutahfifin. Juga ayat-ayat mustasyabihat yang mempunyai nilai estetika yang tinggi. Ilmu itu ada hirerarkinya saudara. Filosifikal bukan ilmu tertinggi. Karya Hamzah tidak boleh dilihat dari kaca mata filosofikal kerana ia akan menyesatkan akidah. Allah ada dalam baju aku. Apakah huraianya saudara atas sebaris saja ungkapan Hamzah ini?Atau dalam Syair Laut Perempuan, yang mana Hamzah menggambarkan Allah umpama perempuan,dapatkah ilmu falsafah meneroka maknanya?Pemerolehan makna hakiki dalam ayat bukannya secara empiris dan filosofial sahaja tetapi juga secara pantulan daripada hati atau makrifatullah. Pandangan filosofikal dan ilmu usul yang asas pasti akan meletakkan karya Hamzah sesat lagi menyesatkan. Tidak bagi pandangan makrifah. Soalnya berapa banyak kitadapat pandangan makrifah itu?Apakah pandangan makrifah itu didapati daripada pembacaan dan penekunan ilmu di atas kertas?

Mohd Ali Atan berkata...

Cuba baca sejarah bagaimana Al Quran di kumpulkan oleh sahabat dan dibukukan. Jika sebelum ini di atas kulit haiwan, pokok dan batu selepas generasi sahabat ia dibukukan di jilidkan. Ia suatu bentuk kemajuan. Setelah Al Quran dicetak dan disebarluaskan ia suatu kemajuan. Alat2 yang dicipta oleh saintis Islam juga suatu kemajuan. Alat cetak juga suatu kemajuan. Siapa kata ISlam tidak mementingkan kemajuan alat-alatan?Pernyataan alat cetak itu sangat mudah-iaitu karya dicetak dan disebarluaskan. Ia tidak berkaitan langsung dengan perbahasan terminologi.

Rausyanfikir berkata...

Karya Hamzah dan Ulama' Islam zaman berzaman semuanya sarat dengan nilai Tassawuf. Bukan falsafah. Ada beza. Dapat atau tidak ilmu itu bergantung kepada usaha pembaca untuk memahaminya secara bersungguh2 dengan berguru dengan alim yang faham ma'na karya sastera sufi tersebut. Cuba saudara kaji dalam sejarah Islam, apakah ada genre yang dipanggil novel? Jikalau tak ada, mengapa? Saya sarankan golongan sasterawan kini mungkin boleh hangatkan kembali wacana Gagasan Persuratan Baru.

Kesalahan utama Ismail Hussein dalam mendefinisikan transisi sastera lama kepada sastera moden ialah dengan meletakkan teknologi sebagai kayu ukur.Dalam perbahasan keilmuan Islam, itu bukan kayu ukur yang selayaknya. Jikalau begitulah, apakah nilai "moden" yang ada sewaktu baginda Rasulullah menyebarkan Islam di Mekah dan Madinah sedangkan sastera arab pada waktu itu bergoncang dengan dahsyat kerana turunnya Al-Quran. Ternyata yang menjadikan "moden", seperti difahami al-Attas dengan tuntas adalah pemikiran bukan mesin cetak. Tiada siapa sangkal peri penting teknologi tapi definisi Ismail Hussein kurang tepat seterusnya menjadikan rumusan bapa sastera moden Abdullah Munsyi sebagai kurang layak.

Tiada nilai relativisme dalam menetapkan hakikat pensejarahan perubahan minda Melayu. Ternyata Hamzah Fansuri lebih layak berbanding yang lain.

Malakian berkata...

Assalamu'alaikum. Karya Hamzah Fansuri banyak dipengaruhi oleh pemikiran Shaykh Ibn Arabi. Dalam karyanya Fusus al-Hikam, Ibn Arabi ada menghuraikan sabda Rasullah: " Tiga perkara yang dekat dengan diriku di dunia ini: Minyak wangi, wanita, dan solat sebagai penyejuk mataku."

Dalam puisi-puisi golongan Sufi, mereka sering menggunakan ganti nama wanita untuk menggambarkan hubungan antara Tuhan dan hambaNya. Saya ada membaca beberapa buah buku yang menghuraikan tentang ini tapi saya dah lupa buku dan pengarangnya kerana saya baca beberapa tahun dahulu.

Ibn Arabi menghuraikan pengalaman mistiknya dalam bentuk perbandingan, parables, dan logik untuk memberi kefahaman kepada pembaca. Itu juga kaedah Imam al-Ghazali. Itu juga kaedah Hamzah Fansuri. Parables seperti ombak dan air laut dan sebagainya. Mungkin sebab itu ada yang mengistilahkannya sebagai Tasawwuf Falsafi. Tapi ramai pengkaji tidak bersetuju dengan istilah ini, sebab menurut mereka, ahli sufi ini tujuan mereka bukan untuk terlalu berfalsafah, cuma menghuraikan pengalaman mereka melalui perbandingan dan logik.

Mungkin ada di antara orang menolak Tasawwuf kerana beranggapan apa yang diucapkan oleh ahli Sufi itu pelik. Tetapi lebih daripada itu, kita sepatutnya tidak menjadikan itu sebagai penghalang untuk kita menempuh jalan Tasawwuf iaitu Ihsan. Apabila anda berjuang di jalanNya, berjuang dengan diri anda sendiri maka Allah akan membuka jalan untuk orang tersebut, tidak mengira siapa orang itu, taraf pendidikannya dan pekerjaannya.

Tujuan mendalami Tasawwuf sepatutnya tidak kita niatkan untuk mengkategorikan diri kita sebagai sufi atau mendapat karamah tetapi untuk mendapat keredhaanNya.

Betul ke aku cakap ni Rausyan? Hehe.

Rausyanfikir berkata...

Betul2. Sekarang tasawwuf telah menjadi sesuatu yang asing buat tradisi ilmu Islam sedangkan komponen Ihsan merupakan antara yang terpenting dalam pembentukan pandangan alam Islam.

Mohd Ali Atan berkata...

Teknologi adalah kayu ukur kepada kemajuan.