Ahad, 5 Julai 2009

Potensi institusi pendidikan tinggi Islam di Barat


Tidak dapat dinafikan lagi, pendidikan merupakan cabang penting kepada perjuangan Islam. Mana-mana gerakan Islam, mahupun ulama' yang benar-benar arif akan masalah umat pasti tidak dapat menolak ketepi sudut perjuangan ini yang dikira menjadi asas dan tulang belakang kepada perjuangan Islam.


Kalau di Malaysia, gerakan Islam seperti JIM, ABIM dan PAS turut empunya institusi masing-masing untuk menyumbang kepada perjuangan pendidikan Islami. Tapi kesedaran akan kepentingan kependidikan oleh tiga gerakan besar ini banyak menjurus kepada pendidikan peringkat rendah dan menengah berbanding pendidikan tinggi.


Kalau PAS dengan PASTI-nya, ABIM dengan Taski-nya rata-rata perjuangan pendidikan mereka menumpukan kepada pembentukkan akal budi kanak-kanak. Amat jarang sekali kepimpinan tertinggi jemaah-jemaah ini mengambil peduli secara tuntas dan menyeluruh berkenaan pendidikan tinggi. Logik yang biasa kita fahami adalah berkenaan penumpuan pendidikan di peringkat rendah dan menengah adalah " melentur buluh biarlah dari rebungnya".


Umumnya memang begitu tetapi perjuangan pendidikan Islam hakikatnya tidak hanya boleh setakat di peringkat tersebut. PAS, ABIM (walaupun empunya Kolej Darul Hikmah) dan JIM
yang menjadi wadah rasmi majoriti pada pendakwah di Malaysia tidak empunya satu konsepsi yang jelas akan peri pentingnya penumpuan kepada pembinaan institusi pendidikan tinggi Islami yang benar-benar berwibawa dalam menyelesaikan masalah umat. Rata-rata institusi yang ditubuhkan dari satu sudut membawa manhaj (silibus) yang Islami dari aspek fard ayn dan mungkin juga sedikit cabang ilmu fard kifayah tetapi kedua-dua disiplin ilmu ini tidak bersifat tawhidik (
integrated).


Contohnya, Akademi Al-Qur'an-Medic Malaysia cuba merencahkan pendidikan perubatan moden dengan ilmu-ilmu Islam dan progam hafaz Al-Qur'an tapi dalam sistem pendidikan perubatan masih bertunjangkan ilmu perubatan moden yang sekular. Kes seperti ini turut berlaku di Timur Tengah yang mana aspek Islami itu hanyalah berlegar kepada pemisahan kelas muslimin dan muslimat, dan subjek tambahan ilmu Islam.


Ilmu Islam yang banyak difahami oleh ahli gerakan Islam baik PAS, JIM dan ABIM banyak berlegar dalam bentuk "seiring" berbanding "kesatuan" ya'ni hanya mempelajari kedua-dua aspek fard ayn dan fard kifayah tanpa mampu menghubung kaitkannya dengan tuntas. Jikalau seorang doktor atau jurutera itu seorang hafiz, beliau akan dikira seorang profesional yang Islami tapi hakikatnya dalam kerjaya profesional masih bercelupkan ilmu Barat. Masalah ini turut berlaku dalam sistem pendidikan IPTA dalam negara kita.


Fenomena ini sebenarnya melambangkan kekeliruan golongan ulama' dan pemikir yang membentuk dasar pendidikan tinggi Islam di negara kita baik swasta mahupun kerajaan dalam meletakkan kasus ilmu fard ayn dan fard kifayah pada tempat yang sewajarnya.


Dalam konteks cabaran pendidikan umat Islam sejagat, mengikut Prof. al-Attas ianya harus ditumpukan pada sudut pendidikan tinggi bukan rendah mahupun menengah. Ini kerana proses Islamisasi ilmu kontemporari tidak boleh dimulakan dari bawah ke atas tetapi dari atas ke bawah.


Ramai ahli gerakan Islam salah faham berkenaan dimensi perjuangan pendidikan ini. Mereka melihat peri pentingnya pendidikan di peringkat anak-anak kecil tetapi mengabaikan penumpuan secara serius terhadap projek pengislahan pendidikan tinggi Islam. Selalunya logik mereka bertitik tolak daripada perlunya anak-anak kecil ini menguasai ilmu fard ayn kemudian jikalau semua itu sudah dikuasai maka di peringkat pendidikan tinggi konon-nya tidak akan menimbulkan masalah.


Pandangan ini merupakan satu kekeliruan yang cukup serius di mana kita melihat kepentingan ilmu fard ayn hanya pada peringkat pendidikan rendah dan menengah. Mengikut Prof. al-Attas, ilmu fard ayn merupakan satu cabang ilmu yang bersifat anjal dalam erti kata kerelevanan ilmu tersebut akan sentiasa berubah-ubah mengikut cabaran semasa. Ilmu fard ayn tidak bersifat beku pada satu tahap tapi perlu dipertingkat mengikut kematangan akal budi pelajar.


Jikalau seorang pelajar mempunyai Phd dalam bidang Kimia, maka beliau juga haru mempunyai Phd dalam ilmu fard ayn kerana dari segi martabat dan kepentingan antara ilmu fard ayn dan fard kifayah, ilmu fard ayn seharusnya lebih tinggi. Prof al-Attas menekankan peri pentingnya ilmu fard ayn menjadi asas kepada pembinaan disiplin ilmu fard kifayah. Seorang pelajar fizik tidak hanya harus memahami Einstein, Bohr, Heinsenberg tetapi beliau juga harus memahami perbincangan fizik dalam ilmu kalam seperti yang dikupas oleh Fakhr Din al-Razi, Ibn al-Haytham dan banyak lagi. Dengan itu barulah kita dapat menyekat arus dan wabak sekularisme dalam masyarakat Islam.


Gerakan Islam di seluruh dunia masih tidak mengeri hakikat ini. Biarpun kita melabur jutaan ringgit untuk membina jaringan sistem pendidikan peringkat rendah dan menengah, masalah fundamental iaitu sekularisasi sistem pendidikan umat Islam masih akan terus memberkas umat. PAS selaku jemaah yang bercita-cita besar memerintah negara dengan prinsip Islam harus melihat juzuk permasalahan pendidikan tinggi sebagai cabaran terpenting dalam menyediakan kader-kader yang berwibawa untuk memerintah.


Selagi mana gerakan Islam tidak mengangkat gagasan Pengislaman ilmu kontemporari secara serius selagi itulah kita membenihkan pandangan alam Barat ke atas sistem pendidikan kita, baik yang sekular mahupun Islam kerana adanya masalah dualisme, penduaan disiplin ilmu fard ayn dan fard kifayah. Pelajar jurusan pendidikan Islam tidak kompeten memahami isu dalam lapangan ilmu fard kifayah dan pelajar jurusan pendidikan ilmu sekular tidak mengerti hubung kait disiplin ilmunya dengan ilmu fard ayn.


Lain pula cerita perjuangan Islam di Barat. Alhamdulillah, kini ulama' kita yang berasal dari Barat telah mengorak langkah dengan cemerlang dalam menangani krisis pendidikan Islam. Mereka telah berusaha dengan gigih tanpa bantuan kerajaan untuk cuba membina beberapa institusi pendidikan tinggi yang mantap. Walaupun tidak semua institusi tersebut empunya gagasan Islamisasi ilmu kontemporari secara komprehensif, kesetiaan mereka pada warisan dan tradisi keilmuan Islam khususnya melalui manhaj Hujjatul Islam Imam al-Ghazali menjanjikan potensi yang hebat kelak. Antara institusi pendidikan tinggi Islam di Barat yang boleh kita jadikan contoh adalah:



1)
Cambridge Muslim College



Di tubuhkan oleh T. J Winters atau Shaykh Abdal Hakim Murad, kerjasama erat dengan University of Cambridge ini menjanjikan satu potensi yang menarik buat umat Islam di United Kingdom.


Shaykh Abdal Hakim Murad


Walaupun hanya menawarkan pendidikan tinggi di peringkat diploma, visi dan misi Cambridge Muslim College sangat sesuai dengan cabaran semasa yang mekar di United Kingdom. Shaykh Abdal Hakim Murad sendiri merupakan seorang alim yang arif terhadap sistem tradisi pendidikan Islam tradisional khususnya yang bersangkut paut dengan sistem manhaj Imam al-Ghazali.



2)
Zaytuna College





Zaytuna College merupakan hasil semaian istiqamah perjuangan Shaykh Hamzah Yusuf di Amerika Syarikat.


Shaykh Hamzah Yusuf


Bermula dengan Zaytuna Institute yang semakin terserlah kewibawaannya sebagai institusi pendidikan Islam buat masyarakat Muslim Amerika Syarikat, kini dengan kerjasma erat dengan University of Berkeley, Shaykh Hamzah Yusuf dan rakan-rakan seperjuangannya telah berjaya menubuhkan sebuah institusi pendidikan tinggi yang bertunjangkan tradisi keilmuan Islam.



Shaykh Hamza Yusuf merupakan seorang alim yang benar-benar dinamik. Beliau bukan sahaja menguasai lapangan keilmuan Islam tradisional seperti kalam, tasawwuf, Bahasa Arab malah turut sama faham benar akan cabaran ketamadunan Barat zaman-berzaman. Shaykh Hazmah Yusuf sendiri memahami gagasan pengislaman ilmu kontemporari yang diperjuangkan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Semua kelebihan ini menjadikan Zaytuna College sebagai sebuah institusi yang berpotensi besar untuk berkembang mengislahkan pendidikan umat Islam di Barat.



3)
The Dallas Institute




The Dallas Institute merupakan projek besar gerakan Murabitun yang menjadi penyokong tegar sistem kewangan berteraskan Dinar Emas. Diketuai oleh Ian Dallas atau nama Islam-nya Shaykh Abd Qadir As-Sufi, The Dallas Institute benar-benar membawa ethos perjuangan Murabitun yang kritikal terhadap ancaman ketamadunan Barat dalam lapangan sosio-ekonomi dan politik kontemporari.


Shaykh Abd Qadir As-Sufi


Seperti yang tersiar dalam prospectus kolej tersebut, penekanan pendidikan akan dilanjutkan kepada disiplin ilmu politik (geopolitik, biopolitik, dan kajian tradisi Romawi), pengajian media, pengajian bahasa dan sastera Inggeris ( membedah akar pemikiran Barat), pengajian Islam fard ayn dan juga tidak lupa kegiatan lawan pedang (fencing) sebagai komponen pendidikan ko-kurikulum. Salah seorang orang kanan Murabitun merupakan Umar Ibrahim Vadillo yang berjaya mempengaruhi Datuk Paduka Husam Musa untuk membawa idea Dinar Emas ke Kelantan.



4)
Fatih University





Di tubuhkan oleh pendakwah yang paling berpengaruh di dunia Barat dan Timur, iaitu Fethullah Gulen, Fatih Universiti merupakan universiti yang berpotensi menjadi sinar baru umat Islam.


Fethullah Gulen





Kesimpulan


Melihat perkembangan yang sihat institusi pendidikan tinggi Islam di Barat, adalah amat baiknya gerakan Islam di Malaysia membuka minda untuk belajar sebanyak mungkin dengan mereka di sana. Sebolehnya, JIM, ABIM dan PAS harus menghantar beberapa anak muda yang layak untuk belajar di institusi-institusi sebegini agar pengalaman dan ilmu yang dikecapi mampu diterjemahkan di negara kita yang turut sama berhadapan dengan cabaran naratif agung ketamadunan Barat dalam bentuk Modenisme dan Pasca-Modensime. Tetapi melihat kepada sejarah silam gerakan Islam yang ada di Malaysia, jikalau ISTAC yang gah itu pun di pandang sepi mungkin sukar untuk kita mengharapkan program pengislahan pendidikan tinggi yang sistematik daripada mereka. Malah UIA sendiri yang sepatutnya menjadi institusi pengislaman ilmu manhaj al-Faruqi masih gagal menjayakannya dalam sistem pendidikan mereka biarpun tertayang hebat pada bingkai IIICE yang banyak tergantung pada dinding bilik kuliah di kampus. Tiadanya suara kritis menegur permasalah ini disamping mabuknya ahli gerakan Islam kepada politik (seperi PAS) ataupun semangat ekslusiviti (seperti JIM) dan alpa terhadap warisan dan tradisi perjuangan asali (seperti ABIM) telah benar-benar membantutkan wacana dan projek pengislahan sistem pendidikan umat Islam yang saban hari dimamah oleh anai-anai sekularisme. Sekali lagi agenda ini perlu diletakkan pada bahu mahasiswa yang harus peka akan peri pentingnya isu pendidikan tinggi Islam.



4 ulasan:

Welma La'anda berkata...

;), kelakar pula bila tuan penulis menyebut JIM dengan semangat ekslusiviti. Ini bukan kali pertama akak mendengarnya. Ada sahaja mereka yang dari JIM yang betul2 serius dalam berdakwah, cuma dalam pandangan akak, kita mungkin sedang menuju ke arah kelembapan dalam perjuangan. Isu yang dibawa Fahysal ini, iaitu tentang pengwujudan institusi pendidikan tinggi , mungkin terlalu tinggi sifatnya di kalangan barisan jemaah. sebab bagi akak, apa yang akak nampak, kita sekarang, masih berlegar-legar memperbaiki diri sesama kita dalam jemaah.bercakap tentang islamisasi ilmu, tamadun barat, tamadun islam secara serius ini jarang benar dibuat. mungkin ada pernah dibuat, tetapi, tidak nampak usaha yang konsisten. Mungkinkah kita kekurangan kader yang berbicara tentang ini?

Rausyanfikir berkata...

Haha. Entah la, saya melihat dari jauh dan dekat, Karisma dan JIM akhir2 ini sangat ekslusif. Agenda perjuangan yang terbuka dari segi isu Palestin. Yang lain tak ada. Agak kecewa kerana JIM semakin tidak merakyat. ABIM pun sama. Tinggallah PAS yang terpaksa kowtow dengan DAP dan PAS. Kita sangat lemah.

MarBu berkata...

alhamdulillah,
saranan abg supaya banyak membaca buku2 berat sudah ana sahut..
baru ni baru habis baca buku Dr ugi suharto.. rupa-rupanya, kita pun terpengaruh secara serius dgn idea world view aristotle.. cukup membahayakan..

bila ana buka buku falsafah n amalan pendidikan islam menurut al attas, lagilah nampak jauh...
kesian prof al attas, minda futuristik beliau masih lagi berada di atas kertas..

patut la SIS angkuh sangat, dia dh tau org Islam hanya berani berpencak seorang diri.. entah, ni pandangan ana je...

Welma La'anda berkata...

Isu Palestin dan misi kemanusiaan lain dipelopori oleh JIM International. Mereka memang sangat aktif. Yang lain-lain tu pun aktif juga, tapi ya lah, mungkin kita patut menyusun sistem tarbiyah kita .
Bukan atas kertas saja, tetapi juga perlu melaksanakannya. Masalahnya sekarang, kita tak banyak orang untuk melaksanakannya (orang muda sudah pupus, entahlah siapa yang mahu disalahkan) dan perbincangan kita ke arah itu hanya nampak dalam seminar, usrah, mesyuarat dan yang sama dengannya. Balik rumah, pergi kerja, pergi usrah, mesyuarat aktiviti, itu sahajalah yang berlegar-legar.

Dalam jemaah sendiri, kita ada banyak isu dalaman . Tak suka orang ini, tak suka orang itu (tak semua tenpat). Kekadang fikir, isu ni memang tidak patut dibuat untuk orang yang faham dan mengaku dia adalah pejuang islam. (yang ni kita kata gosip-gosip dalam jemaah). Akhirnya, banyak orang membawa diri dan buat kerja sendiri sebab terlalu kecewa.

Orang yang duduk dalam haraki ni perlu banyak membaca, tetapi berapa banyak mereka yang yang mengaku pejuang Islam, tegar membaca. Jauh lagi soal nak berfikir tentang islamisasi ilmu. Mungkin tidak pernah terfikir.

Akak tidak tahu jemaah yang lain. Tetapi, untuk jemaah akak, begitulah yang ternampak. Bukan mahu memburukkan, tapi sekadar perkongsian dan at least kita semua tahu duduk perkara gerak kerja islam di Malaysia sejauh mana. Terus terang akak katakan, jikalau beginilah perangai kita, kita belum lagi sampai satu tahap untuk memimpin sebuah negara. Dalam jemaah sendiri pun nampak kucar-kacirnya. Mungkin itulah hikmah kenapa kita tak menang-menang lagi.