Isnin, 6 Julai 2009

PAS dan kelemahan yang tidak disedari



Nik Aziz dan Kerajaan Perpaduan


oleh Haris Zalkapli


1. Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sepanjang berlakunya debat panas melibatkan 16 September dan kerajaan perpaduan telah menunjukkan satu sikap yang sangat tidak kena (unbecoming) dengan beliau sebagai seorang pemimpin gerakan Islam yang dihormati.


2. Kritikan keras beliau terhadap Datuk Mustafa Ali yang menimbulkan keraguan tentang lompatan beramai-ramai 16 September dan terhadap Timbalan Presiden Nasharudin Mat Isa sehingga menggunakan perkataan "sampah" telah tidak dinilai dengan sewajarnya oleh banyak pihak, malah ramai yang menyambutnya dengan baik sebagai kritikan kepada "kumpulan pro-Umno."


3. Kedua-dua kritikan berprofil tinggi, yang dibuat secara terbuka tidak diakhiri dengan permohonan maaf secara terbuka, memberi implikasi beliau melepasi tahap pemimpin-pemimpin lain dan tidak perlu berbuat demikian. Hal ini memalukan PAS sebagai sebuah parti dan mampu memberi implikasi buruk pada masa akan datang.


4. Nik Abdul Aziz juga kelihatan mengkritik Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang melalui serangannya terhadap ide kerajaan perpaduan, terhadap Nasharudin dan kumpulan penyokong Abdul Hadi tanpa mengemukakan hujah rasional dan respons kepada ide dikemukakan Abdul Hadi.


5. Ini tidak menyumbang kepada peningkatan kualiti wacana dalam PAS yang sedia rendah. Nik Abdul Aziz dalam kritikannya sering menyerang secara peribadi, seperti menggunakan istilah "lidah Umno," "sampah" dan sebagainya.


6. Nik Abdul Aziz sering menggunakan media secara terus dalam menyampaikan setiap kritikan, mengundang kepada pebagai manipulasi dan mendedahkan ketiadaan disiplin dalam membuat kenyataan, sesuatu yang penting dalam mana-mana organisasi. Nik Abdul Aziz juga sering bercakap bukan bagi pihak Majlis Syura dan bertindak seolah-olah beliau pemimpin tertinggi parti melepasi presiden dan ahli Jawatankuasa Pusat.


7. PAS perlu bertindak melakukan sesuatu untuk menamatkan amalan yang boleh mengelirukan ahli dan mengabaikan disiplin organisasi. Sebuah parti mewakili kepentingan ramai dan pengurusannya juga melibatkan sumbangan ramai. Tidak sewajarnya seorang individu bertindak melangkaui ketetapan-ketetapan tersebut. Politik negara yang semakin rumit kini tidak sewajarnya dirumitkan lagi dengan sikap dan tindakan tidak rasional. Debat perlu dijalankan dengan akal rasional, bukan emosi.




Nik Aziz dan Parti Ajaran Sesat


Oleh Haris Zalkapli


1. Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengundang debat yang - paling kurang - tidak produktif kepada politik negara, terutama ahli-ahli tegar PAS yang membenarkan segala yang diucapkan pemimpin ini.


2. Ramai penyokong PAS yang mengagungkan Nik Abdul Aziz membenarkan kenyataannya mengaitkan Umno dengan ajaran sesat dan komunis, tanpa menghiraukan implikasi serius kesan kenyataan itu yang melibatkan jutaan orang Muslim di negara ini.


3. Ramai penyokong dan pengkagum Nik Abdul Aziz cuba mewajarkan kenyataan ini dengan menyebut dan menyenaraikan apa yang dilihat sebagai kejahatan dan perbuatan Umno terutama sebagai kerajaan yang bertentangan dengan Islam. Ini mendatangkan kesan negatif kepada wacana yang rasional dan berakhlaq, serta bertentangan dengan pendekatan baru yang dipersetujui parti iaitu menekankan penerangan dan bukan serangan melulu seperti itu.


4. Satu kesan negatif kenyataan Nik Abdul Aziz ialah kesannya kepada pemikiran sejumlah besar ahli PAS yang sudah sedia simplistik dan tidak tersusun. Ini ditambah lagi dengan kenyataan Nik Abdul Aziz itu. Terdapat ahli yang membaca kenyataan itu secara literal, dan ada yang menganggapnya sebagai didasari falsafah, tetapi pada masa sama kenyataan itu tidak dapat dipertanggungjawabkan.


5. Pemimpin-pemimpin politik Malaysia perlu bertanggungjawab dalam membuat kenyataan, lebih-lebih lagi memandangkan budaya politik yang sangat berpusatkan pada tokoh. Sangat wajar pemimpin-pemimpin menarik balik dan memohon maaf sekiranya membuat kenyataan yang salah.



PAS Tersungkur Dek Bahana Demokrasi


Oleh Ibn Ramadan


Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Allah swt jualah yang Maha Agung dan Maha Kuasa. Selawat dan salam perjuangan kepada Rasulullah saw Muhammad al-mustaffa. Salam perjuangan juga kepada kaum keluarga dan para sahabat Baginda semuanya.


Firman Allah swt bermaksud; “Sesungguhnya orang-orang yang memberikan pengakuan taat setia untuk berjuang menentang musuh kepadamu (Muhammad saw), mereka sebenarnya memberi pengakuan taat itu kepada Allah. Allah yang akan menilai tentang pengakuan taat mereka itu dan membalasnya. Oleh itu sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya, maka bahaya mengingkari janji itu hanya menimpa diri sendiri, dan sesiapa yang menyempurnakan janjinya kepada Allah, Allah akan memberikannya pahala yang besar” (al Fath 10)

Para ulama` dan ummat Islam khususnya di (Malaysia)Tanah Melayu pada asalnya melihat demokrasi dahulu ketika mula diperkenalkan sebagai ajaran jahiliyyah bukan ajaran Islam, begitu juga dengan ajaran atau sistem-sistem yang lain dari Islam. Khalayak ummah dahulu secara umum boleh menerima pandangan begitu iaitu sistem demokrasi itu suatu keadaan yang asing, baru, belum jelas dan pelbagai kemungkinan. Ummat dapat menerima hakikat disebabkan era penjajahan yang berlaku terlalu lama yang merangkumi beberapa generasi ummat Islam, maka saki baki ilmu-ilmu Islam sendiri terputus-terputus sifatnya dan mudah dicampur adukkan. Sebab itu lebih mudah memberitahu kepada ummat Islam dahulu yang menyedari mereka telah lama diperguna dan ditipu oleh penjajahan berbanding dengan memberitahu ummat Islam mutakhir yang merasakan mereka telah lepas bebas tetapi tidak sedar mereka sedang diperkudakan.


Seharusnya ummah kena ingat sistem ini (demokrasi) bukanlah sistem Islam, ianya hanyalah ibarat sebatang pokok besar yang terdapat di tepi perenggan yang bersebelahan dengan hadharah kita. Pokok besar ini tetap hak milik Hadharah Jahiliyyah. Disebabkan strategi musuh dari dulu lagi memang sengaja menanam segala pokok besar sistem mereka betul-betul di tepi perenggan dengan hadharah kita supaya segala sumber baja, air dan bahan galian dari wilayah hadharah kita dapat mereka sedut percuma secara halus dari dalam tanah maupun udaranya. Di pihak kita pula tidak menyedari bahawa selama ini ummahlah yang memberi dan membesarkan segala sistem tepi perenggan (perbankan, pendidikan, perundangan, dll) memanglah boleh mengambil buah yang jatuh ke dalam wilayah kita dan mendapat manfaat keteduhan pohonnya yang rendang tetapi apalah sangat yang kita boleh harapkan lebih-lebih, ianya tetap milik jahiliyyah.


Saudara dan saudari, ummat Islam telah diasak dengan pelbagai ajaran dan teori-teori luar (jahiliyyah) dari dahulu sampailah sekarang, tidak hairan jika pandangan umum khalayak ummah sendiri akhirnya mudah luntur dan berubah. Paling menyedihkan bila ada yang mengatakan atau berkeyakinan Islam boleh ditegakkan dan dibina dalam sistem atau melalui demokrasi. Ummah jangan keliru atau salah faham antara dua keadaan atau kerja (perbuatan) yang berbeza;


1) Kerja beriman, membina, membangunkan dan menghidupkan Islam sebagai praktik kehidupan dalam bentuk peribadi, keluarga, kejiranan, masyarakat dan seterusnya daulah yang lebih besar (Seperti amalan Nabi,Rasul bersama para pengikut atau sahabatnya). Kerja ini semua individu ummat kena buat (ikut kadar dan tahap masing-masing) bermula dari saat lafaz keimanannya (taklif / kesedarannya). Kerja ini dinamakan kerja membina hadharah.


2) Kerja menyampaikan seruan Islam kepada diri sendiri dan orang lain yang Islam dan belum Islam supaya mari bersama-sama menganut Islam lalu membangunkan kehidupan dengan Islam. (Penerangan/ Dakwah seperti tugas Nabi & Rasul dan semua pengikut mereka).


Ringkasnya yang satu tugas `developed` iaitu membangunkan dalam realiti kehidupan ummat dan satu lagi `deliver` atau `distribute` memberi, menyampai. Kerja ini akan berjalan serentak dan saling kuat menguatkan dan menjadi pemangkin kepada perjuangan Islam sekaligus perjuangan ummah. Mungkin lebih mudah membuat perbandingan begini, pihak pemaju akan berbincang dengan jurubina, jurutera, konsultan dan lain-lain untuk tujuan membangun dan menjayakan sesuatu projek yang besar kepada orang awam. Segala urusan membangunkan projek itu telah menjadi tanggungjawab pihak pemaju dan akan dilaksanakan dengan agihan tugas-tugas yang sepatutnya, manakala segala urusan penerangan dan penyebaran maklumat akan dibuat oleh jurucakap atau kakitangan berkaitan dengannya.


PAS disebabkan mereka mendakwa sebagai `gerakan Islam` boleh dianggap sebagai syarikat pemaju tadi kepada orang awam yang tentunya adalah ummat Islam. Mereka melalui jurucakap dan kakitangan berkaitan memproklamasikan kepada ummah bahawa mereka akan dan telah menjalankan satu projek besar iaitu `Negara Islam` di Malaysia sejak 1951. Tetapi yang malangnya sejak akhir-akhir ini semua kakitangan Pemaju (PAS) termasuk pekerja dan buruh sokongannya hanya tahu menjalankan kerja-kerja penerangan (ceramah politik) sahaja kepada ummah dan orang awam. Bila ummah ingin mendapatkan lapuran perkembangan semasa tentang status prestasi, perkembangan dan kedudukan projek terkini semuanya akan menutup kelemahan dan kesilapan sendiri tidak membangunkan projek itu tetapi dengan memberi alasan projek terpaksa ditangguh sementara kerana tidak mendapat kelulusan `kerajaan` (sistem demokrasi), maka sebab itulah projek terbengkalai selama lebih 50 tahun.


Alasan yang disogokkan kepada ummah tak kena langsung kerana `kerajaan` yang memberi lesen kepada pemaju (PAS) ialah `kerajaan ummah` yang selama ini mereka ambil dan sedut segala peruntukan dari perbendaharaan ummat Islam atas nama perjuangan Islam. Kalau mereka mengatakan kerana kerajaan demokrasi tidak membenarkannya samalah macam Kongres Amerika menunggu kebenaran dan kelulusan Politburo Rusia untuk melaksanakan sesuatu projek dalam wilayah Amerika sendiri. Pada fikiran saudara dan saudarilah bila agaknya akan berlaku jika kedua negara itu terus-terusan bermusuhan.


Masalah sebenarnya ialah kerana mereka semua tak buat kerja projek tersebut. Perbincangan peringkat atas untuk bincang `blueprint` projek itu pun tak dak dan memang tak tau nak buat macamana pun... Kadang-kadang betul juga macam Saudara Azizi Abdullah @ Tukya kata; Ulama` PAS hanya pandai bagi penerangan (ceramah) sahaja, tetapi nak menanggani dan menyelesaikan permasalahan macammana nak hidup dengan Islam dalam dunia sekarang mereka tak tau! Sebab tu mereka pakat-pakat bincang buat kerja mudah tu saja. Konsultan, jurutera, jurubina dan pakar-pakar yang ada bincang buat kerja senang tapi glamour, kerja penerangan sahaja (politik). Pekerja-pekerja buruh pun hanya dikerahkan tampal poster dan siap tempat untuk berceramah. Bila ada pilihanraya, apalagi `rayalah` seronoknya pasang bendera.


Jika kita kaji isi ceramah mereka pun bukan ceramah berkaitan macamana projek itu nak didirikan, ummah kena sediakan bahan yang macamana atau kita buat bahagian mana dulu dan lepas bahagian tertentu selesai kita akan sambung bahagian mana pula. Isi ceramah mereka hanya menceritakan hal-hal durjana dan korup kerajaan demokrasi juga, baik yang tak pandai pakai kepiah atau yang berjubah serban meleret.. semuanya balik-balik `point of view`nya sama saja mesti tukar kerajaan yang ada kepada mereka pula.


Paling-paling lekehlah, jika mereka menjuruskan setiap pekerja dan ummah hanya `mengikatkan` seketul bata insyaAllah dalam masa puluhan tahun itu mereka mampu menjawab dengan baik akan status projek terkini ummah tersebut. Inilah bahana beriman dengan demokrasi hingga lupa tugas dan tanggungjawab sendiri Wassalam.




Komentar:

Cheap shot remarks and a sign of intellectual bankruptcy. Enough said.




8 ulasan:

Budak Pensel berkata...

Saya setuju antara artikel saudara. Saya sebagai warganegara Malaysia yang muslim, melihatkan
Islam perlu diserapkan moral perpaduan, jauh sekali membuatkan umat Islam yang kritikal pada masa kini semakin berpecah belah.
Islam itu menyatukan, seharusnya menyatukan semua pihak dalam setiap kerjasama.
Teruskan perjuangan anda menyatukan umat Islam.

Budak Pensel berkata...

Saya setuju antara artikel saudara. Saya sebagai warganegara Malaysia yang muslim, melihatkan
Islam perlu diserapkan moral perpaduan, jauh sekali membuatkan umat Islam yang kritikal pada masa kini semakin berpecah belah.
Islam itu menyatukan, seharusnya menyatukan semua pihak dalam setiap kerjasama.
Teruskan perjuangan anda menyatukan umat Islam.

saya berkata...

Korang pulak buat apa?

Tanpa Nama berkata...

menyokong, mempertahan, dan memajukan perjuangan islam di landasan jemaah islam.

Tanpa Nama berkata...

walk the TALK and THOUGHT plz

Rausyanfikir berkata...

What the heck is that?

SyukraNs berkata...

tak semua ahli PAS begitu
jgn kerana setitik nila, rosak satu belanga. =)

Rausyanfikir berkata...

Enta kena baca betul2 dan kaji betul2 di mana akar sebenar Islamic Movement. Tak apalah jumpa di UTP kalau nak tahu.