Sabtu, 11 Julai 2009

Melayu mesti kaji Cina



Oleh A. Murad Merican


Pada hari Sabtu 20 Jun, Utusan Malaysia menyiarkan paparan dan perbincangan isu-isu utama akhbar-akhbar berbahasa Cina dari 8 hingga 13 Jun. Dalam senario negara sekarang, amatlah wajar dan tepat sekali kita dimaklumkan kandungan dan sentimen salah satu kumpulan surat khabar yang mewakili kaum minoriti yang signifikan dalam masa depan politik kita.


Peraturan politik dan perundangan negara dicetuskan dan diwarnai oleh kesefahaman antara Melayu, Cina dan India. Masing-masing dari segi sejarah dan politik telah mencapai kesefahaman dalam berkongsi kuasa memerintah negara ini. Malangnya kesefahaman itu berlandaskan kepada rasional dan hujah yang tidak semestinya sealiran.


Dan ini dapat kita perhatikan dalam kandungan dan perdebatan surat khabar dan majalah yang diterbitkan sepanjang zaman sejak 1806, permulaan penerbitan surat khabar dalam sejarah Malaysia.


Persejarahan dan sejarah surat khabar di Malaysia umumnya menyentuh penerbitan dan perjuangan kewartawanan Melayu, berlandaskan kepada politik identiti, gagasan dan budaya Melayu. Tidak ada persejarahan perjuangan kewartawanan Cina atau Tamil dalam mendebatkan masyarakat majmuk lalu mewujudkan masyarakat Malaysia.


Memang terdapat kaitan yang akrab di antara kewartawanan dan persuratkhabaran dengan pembentukan identiti, jiwa bangsa, ruang sejarah, tempat asal dan memori kolektif. Kewartawanan dan surat khabar Melayu memaparkan soal-soal identiti dan kemelayuan, sama ada dalam lingkungan Melayu Semenanjung Tanah Melayu atau menyuarakan gagasan "Melayu Raya"; begitu juga ekspresi "Melayu Jati" dalam membezakan dengan "Darah Keturunan Keling" - DKK atau "Darah Keturunan Arab" - DKA sebelum Perang Dunia Kedua.


Setiap surat khabar mempunyai khalayaknya sendiri, seperti juga halnya dengan surat khabar dan majalah Melayu sepanjang zaman - dari Jawi Peranakan (1876), kepada al-Imam (1906), Idaran Zaman (1925), al-Ikhwan (1926), Warta MalayaMajlis (1931) dan Utusan Melayu (1939), sehinggalah kepada terbitan-terbitan selepas merdeka dan pasca 1970-an.


Surat khabar-surat khabar tersebut, dengan berganding bersama persatuan-persatuan Melayu sebelum perang, seperti Persatuan Guru-Guru Melayu, Persatuan Kesusasteraan Melayu, Persatuan Bolasepak Melayu dan sebagainya, giat "memajukan" nama "Melayu" dalam pelbagai bentuk termasuk nama-nama surat khabar seperti Utusan Melayu, Lembaga Melayu, Panji-Panji Melayu, Jajahan Melayu, Suara Melayu, Dunia Melayu, dan Pemimpin Melayu.


Kita akur jasa dan pengorbanan wartawan, persuratkhabaran dan kewartawanan Melayu dalam menonjolkan dan meletakan tema Melayu dalam naratif mereka. Malah Utusan Melayu dalam isu pertamanya mengiystiharkan perjuangannya kepada agama, bangsa dan negara.


Tetapi kita tidak nampak surat khabar berbahasa Cina dan Tamil memaparkan sentimen dan menghala kiblat mereka kepada Malaya dan masa depan pembentukan Malaya sebagai satu masyarakat dan negara bangsa, walaupun surat khabar seperti Nanyang Siang Pau (1923) atau China Press (1946) telah lama wujud.


Tidak dinafikan surat khabar Cina di Malaysia mempunyai kepentingan dan tanggungjawab kepada masyarakat Cina. Persoalannya, apakah kepentingan itu melebihi kepentingan negara, kepentingan tanggungjawab kaum Cina dalam mengamal dan mematuhi sikap dan nilai yang sepatutnya sebagai warganegara Malaysia?


Sebenarnya, di sinilah letaknya kewartawanan dan persuratkhabaran dalam memperjuangkan konsep dan amalan Malaysia berlandaskan kepada perlembagaan. Kewartawanan mesti menunjukkan jalan ke arah keluhuran Perlembagaan. Usaha ini merentasi parti dan perkauman.


Saya tidak nampak peranan ini dimainkan dan dipertanggungjawabkan ke atas surat khabar Cina. Masyarakat dan surat khabar Cina di negara ini perlu bersyukur bahawa kerajaan tidak menyekat dan membantut perkembangan kewartawanan Cina di negara ini. Terdapat lebih banyak tajuk, pengedaran dan pembacaan surat khabar Cina berbanding dengan tajuk, pengedaran dan pembacaan surat khabar Melayu.


Pihak kerajaan juga akur akan gesaan masyarakat Cina untuk mengekalkan kepelbagaian pendapat dan ekspresi identiti mereka. Akan tetapi, para wartawan dan surat khabar Cina nampaknya terasing daripada aliran perdana negara. Sebagai bekas wartawan dan sekian lama mengkaji kewartawanan dan persuratkhabaran di Malaysia, saya dapati masyarakat kewartawanan Cina wujud dalam dunia mereka tersendiri, seolah-olah enggan berganding sebagai satu fraterniti kewartawanan di Malaysia.


Di sinilah letaknya peranan kewartawanan dan persuratkhabaran Melayu sebagai pemimpin dan 'abang' kepada fraterniti itu di Malaysia. Walaupun surat khabar Melayu perlu akur kepada pembaca dan khalayaknya, ia juga mesti meluaskan ruang dan penonjolan identitinya sebagai surat khabar nasional, dan bukannya vernakular.


Surat khabar Melayu yang ada hendaklah mencipta semula nilai dan falsafah mereka dan menjadi setanding dengan surat khabar di dunia. Surat khabar Melayu hendaklah "menasionalkan" semula bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.


Walaupun kita berlegar dalam dunia siber dengan kewartawanan dalam talian, serta aktiviti blog, surat khabar dalam bentuk dan paparannya, akan terus menjadi satu institusi penting dalam mencorak pemikiran dan politik sesebuah negara. Dengan itu saya mencadangkan beberapa rancangan untuk tindakan selanjutnya.


Pertama, sekolah-sekolah kewartawanan di Malaysia melihat kaitan kewartawanan dan etnisiti sebagai satu fenomenon kritikal dan perlu dikaji dan fahami dengan mendalam. Surat khabar dan kewartawanan perlu dengan sedar dikaji dalam konteks budaya dan etnisiti. Selama ini kewartawanan di negara ini diajar tanpa meletakkannya dalam konteks budaya dan masyarakat di Malaysia.


Dengan itu, kajian kewartawanan dan surat khabar Cina di Malaysia/Asia Tenggara/Cina Nanyang dalam bentuk mata pelajaran, projek penyelidikan atau pusat kecemerlangan (pusat/institut kajian kewartawanan Cina) perlu diwujudkan.


Sudah tiba masanya para akademik/penyelidik Melayu melihat kajian Cina pada umumnya sebagai satu rancangan strategik. Jika kita tidak kaji masyarakat itu, sampai bila-bila kita tidak dapat mencetuskan ilmu yang semantap-mantapnya. Kita hanya mengetahui masyarakat Cina umumnya melalui budaya dan media popular, serta pengalaman secara individu dan seharian. Kita tidak mengetahui orang Cina melalui ilmu yang objektif.


Kedua, lanjutan cadangan yang pertama, ada baiknya dalam hal ini jika universiti-universiti tempatan menubuhkan pusat kecemerlangan kajian Cina (Chinese Studies), bukan kajian negara China (China Studies) seperti yang tertubuh di Universiti Malaya. Ini bukan soalan belajar bahasa Cina yang telah lama dijalankan dan dipelajari oleh pelajar Melayu. Ini soal mengkaji dan mempelajari psiki, jiwa, pandangan, pemikiran dan sentimen Cina. Beberapa tahun lalu, idea itu dilontarkan kepada kalangan pengurusan Universiti Teknologi Mara dalam usaha menstruktur semula universiti itu dan menubuhkan sebuah gugusan Liberal Arts.


Cadangan menubuhkan institut kajian Cina dan memulakan program kajian Cina dipandang serong kononnya ia tidak sesuai diwujudkan dalam sebuah universiti Bumiputera. Soalan yang dilontarkan sebaliknya ialah mengapa perlu belajar dan mengkaji masyarakat Cina? Inilah prejudis Melayu yang hanya merugikan dirinya sendiri.


Pada hal usaha tersebut perlu dilihat secara strategik di mana sebuah universiti Bumiputera dapat secara sistematik mencetuskan ilmu tentang masyarakat dan pemikiran Cina supaya persaingan itu dapat dilakukan secara bijak. Kita mesti tahu pesaing kita dahulu. Inilah peranan gagasan kajian Cina oleh para akademik, pengkaji dan cendekiawan Melayu.


Ketiga, memandangkan kepada pengaruh kewartawanan Cina kepada masyarakat Cina di negara ini sehinggakan ia menjadi satu arus aliran yang bertentangan dengan saluran maklumat berkepentingan negara, ada baiknya pemilik surat khabar/media Melayu, dan para wartawan dan editor Melayu menerbitkan surat khabar berbahasa Cina. Tidak kiralah sama ada ini strategi terbuka atau tidak. Apa yang penting, Melayu juga ada hak untuk menentukan arah aliran kewartawanan berbahasa Cina.


Beberapa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) milik kaum Cina telah mewujudkan pusat pengajian Melayu. Apakah perkembangan ini dan implikasi jangka panjangnya tidak dipedulikan oleh masyarakat, wartawan dan cendekiawan Melayu? Apa yang penting sekarang ialah masyarakat cendekiawan Melayu memulakan usaha mengkaji kaum Cina dalam dimensi keilmuan dan kesarjanaan dan menerbitkan ilmu itu daripada perspektif Melayu.


Jika tidak, pemikiran, masyarakat dan surat khabar Melayu, serta konsep-konsep hak asas dan demokrasi di Malaysia akhirnya akan ditakrifkan oleh kewartawanan Cina.


PENULIS ialah Profesor Ilmu Kemanusiaan, Universiti Teknologi Petronas, Perak.



Komentar

Saya terbaca komentar daripada kolumnis Mingguan Malaysia kira-kira dua minggu lepas berkenaan artikel guru saya, Prof. Murad Merican ini. Ternyata akhbar Cina melatan apabila membaca artikel ini seterusnya melahirkan satu perdebatan yang sihat di kalangan pembaca daripada pelbagai spektrum.


Ada pihak, khususnya daripada akhbar Cina yang melabel Prof. Murad membawa agenda perkauman dalam menilai artikel ini. Tak kurang juga golongan wartawan Melayu yang menyokong hujah-hujah beliau. Bagi saya apa yang Prof. Murad cuba ketengahkan ini adalah satu perkara yang objektif.


Saya belajar di bawah beliau untuk mata pelajaran Malaysian Studies di kampus dan ternyata saya lebih 'perkauman' dan 'keagamaan' berbanding beliau dalam melontarkan pandangan mengenai aspek ontogikal negara Malaysia ini.


Oleh yang demikian saya percaya bahawa saranan dan kritikan Prof. Murad ini bukan untuk agenda perkauman Melayu tetapi hakikat yang harus, kita Orang Melayu khususnya sedar.


Saya masih ingat dalam siri perbualan kami bahawa beliau berkata, sebagai seorang wartawan, tugasnya bukan sekadar mencapai berita tetapi harus bertindak sebagai intelektual awam juga. Kualiti kewartawanan di negara kita sangatlah kurang memberansangkan. Selain daripada gugusan wartawan hebat sebelum era globalisasi ekonomi bermula, tiada siapa yang saya boleh tampilkan sebagai intelektual awam dikalangan wartawan Malaysia.


John Pilger


Robert Fisk


Perkara sebegini tidak berlaku di negara-negara asing khususnya di Barat. Nama-nama seperti Robert Fisk dan John Pilger merupakan intelektual awam yang benar-benar disegani dalam pelbagai arena kemanusian. Kejujuran, objektiviti dan mengutamakan kebenaran merupakan agenda yang pasti buat golongan wartawan seperti mereka.


Prof. Murad pernah bagi tahu saya bahawa beliau akan mewajibkan dua buah buku untuk para pelajar kewartawanannya hadam dengan berkesan. Yang pertama, Sophie's World ( diterjemahkan oleh ITNMB sebagai Dunia Sophie), dan juga Perlembagaan Negara Malaysia.


Banyak dikalangan pelajar beliau tidak faham mengapa mereka harus hadamkan novel falsafah yang terkenal itu? Rahsianya kata Prof. Murad, hanya dapat diketahui setelah menempuh dunia kewartawanan yang sebenar kelak. Ternyata bagi para pelajar beliau yang benar-benar mengaplikasikan saranan Prof. Murad, mereka akhirnya mampu melahirkan rasa apresiatif kepada buku-buku pelik tersebut.


Kewartawanan adalah satu bidang yang memerlukan ketajaman dan kedalaman pemikiran, sama seperti seorang pensyarah. Wartawan perlu bertanya soalan yang tepat dan mengolah dengan cara yang terbaik dalam bahasa yang mudah difahami. Semua itu tanpa latihan fakulti pemikiran yang sempurna hanya melahirkan wartawan yang bersifat robotik. Input, output.


Saranan Prof. Murad di atas, khususnya kepada para wartawan harus diambil kira dengan serius berkenaan mengkaji Cina.


Siapakah bangsa Cina di Malaysia ini? Apakah ciri-ciri kosmologi dan nilai yang mereka pegangi? Faham apa yang terbentuk dalam sejarah mereka di Tanah Melayu ini? Semua ini merupakan sebahagian kecil daripada persoalan-persoalan yang perlu dijawab oleh para intelektual Melayu yang bercita-cita menjaga status quo Melayu dan Islam pada masa yang sama ingin memberi keadilan kepada bangsa Cina selaku rakyat Malaysia yang sah di negara ini.


Realitinya memang masyarakat Cina di negara kita sangat terasing. Walaupun DAP membuat tuntutan meritokrasi secara mutlak dalam semua perkara, ironinya dari segi persekolahan tidak pula dituntut agar semuanya berdasarkan satu sistem, bukan lagi vernakular.


Kita juga harus tahu bahawa masyarakat Cina yang sudah mendiami negara ini buat sekian waktunya merupakan bangsa Cina yang melalui diaspora, iaitu perpindahan beramai-ramai daripada tanah besar mereka. Kebanyakkan daripada mereka merupakan buruh kasar, pekerja kelas rendah bukannya datang daripada golongan bangsawan dan budayawan Cina dari tanah besar. Sudah tentu semua ini ada perbezaan yang ketara dalam memahami kosmologi mereka.


Pemerhatian saya sendiri melihat masyarakat Cina di Malaysia merupakan masyarakat yang makin terputus dengan tradisi mereka yang unik khususnya golongan muda yang hanyut dalam arus materialisme dan sekularisme. Lihat saja Singapura yang lebih Putih daripada Orang Putih.


Dalam menangani permasalahan ini, para intelektual Melayu harus cuba membuka ruang untuk menyekat proses sekularisasi dalam budaya masyarakat Malaysia, baik Melayu, India ataupun Cina yang bakal menggugat keharmonian sejagat kerana banyak diantara mereka yang berpendidikan moden ala Barat ini cuba menggunakan kaca mata Barat dalam menuntut hak dan menyelesaikan masalah pelbagai kaum.


Para intelektual Melayu, khususnya Ulama', khususnya PAS, harus serius memanfaatkan kajian spiritual berkenaan faham agama dikalangan Cina dan keselariannya dengan Islam seperti yang banyak diusahakan oleh Allahyarham Prof. Toshihiko Izutsu dan juga Prof. Sachiko Murata.




Prof. Toshihiko Izutsu


Sekadar berpakatan rakyat belum cukup untuk PAS benar-benar faham dan mampu mengemudi bathera mereka dalam berhadapan konflik yang ditimbulkan oleh PKR dan DAP. Begitu juga dengan UMNO yang semakin hari kelihatan semakin bodoh dalam memahami isu asasi kaum di Malaysia. Akhirnya rakyat awam yang pada awalnya tidak berhadapan dengan masalah perkauman terpaksa berhadapan dengan masalah tersebut dek kerana ciptaan politikus yang sememangnya cuba menjadi hero untuk kaum masing-masing dengan kefahaman yang dangkal, jumud dan simplistik berkenaan perkauman di negara ini.



Jangan pandang rendah akan perkara ini. Kajian yang serius harus dilakukan oleh mahasiswa dan para intelektual di menara gading. Barulah kemudian kita cuba laksanakan di peringkat akar umbi dalam aspek kejuruteraan sosial demi kepentingan agama, bangsa dan negara.



Melayu mesti kaji Cina kerana selama hari ini, kitalah bahan kajian mereka!



4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

hambe rase tajuk yg patut ade 'melayu patut kaji Al-Quran'

lutfi berkata...

Salam Wan.
Kalau nak harap parti politik Melayu, mengkaji Cina dengan serius, rasanya, macam jauh panggang daripada api. UMNO dan PAS memang ada unit penyelidikan, tetapi, unit penyelidikan tu, mati segan hidup tak mahu.
Lihat unit penyelidikan MCA dan DAP - lihat, agresif, tersusun dan, yang penting, tenaganya profesional.
Memang, mengkaji masyarakat Cina satu keutamaan. Banyak perkara yang dapat kita pelajari daripada mereka.

Rausyanfikir berkata...

Wassalam,

Kpd Anonymous, Al-Quran suruh kita mengkaji alam dengan tafakkur dan tadabbur. Kajian berkenaan Cina, dengan niat yang Ikhlas kerana Allah selari dengan Al-Quran. Jangan sempit melihat dinamika Ilmu.


Betul bro Lutfi. Parti Melayulah paling kua bab2 kajian ni. Kita emosi lebih dan slogan. UMNO PAS sama je.

Omecool20 berkata...

Assalamualaikum.

Pandangan ini sgt2 saya setuju berdasarkan pengamatan saya sendiri. Bagaimana org Cina minoritu boleh survive di kalangan ramai Melayu yang majoriti lebih besar. Yang saya lihat, salah satu petunjuknya ialah kisah2 hikayat Cina yg masih lagi diajar kepada muda - mudi mereka seperti Romance of the 3 Kingdoms yg sarat dengan pengajaran dan petua.

Saya berpendapat orang Melayu sendiri ada ilmu2 yg bagus tetapi, entah mengapa, budaya hiburan dimomokkan kepada orang ramai.

Saya takut di masa hadapan kita akan jadi seperti katak yg sekrg ni berehat dalam periuk air suam, yg dipanaskan secara perlahan. Diam2, kita sudah terjajah, bukan material tetapi minda dan spiritual !