Rabu, 1 Julai 2009

Islam Mengangkat Martabat Umat


Oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Zainiy Uthman


Alaf Baru


Faham alaf baru yang dimajukan oleh Barat tiadalah sama dengan apa yang difahami dan dihayati oleh ummat Islam. Alaf Baru dalam pengalaman ummat Islam bermula dengan gerak ruhaniah meresapi pandangan hidup Islam yang bermula dengan zuhur Islam itu sendiri sebagai sebuah agama rahmat keseluruh alam.[2] Maka dalam pandangan Islam, sejarah manusia sebelum datangnya Islam adalah Zaman Jahiliyyah dan dengan kedatangan Islam maka bermulalah Zaman Islam yang memecah zulumat kejahilan yang mencengkam hidup manusia sebelumnya dengan segala kesempitan. Tiadalah lagi zaman yang lain yang baharu selepas kemunculan Islam. Dengan berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasul SAW, Islam menjadi satu kuasa yang besar yang melimpahkan rahmatnya dari Tanah Arab yang kering dan berdebu ke tanah yang hijau dan subur dan seterusnya ke serata dunia - bumi Farsi,[3] merentasi Bilad al-Sham,[4] terus ke Mesir, dan Bilad al-Sudan,[5] seterusnya menyeberang Ma wara al-Nahr,[6] ke al-Hind,[7] memijak Tanah Besar Cina dan terus ke Bilad al-Jawi.[8]


Melimpahnya Islam kesemua tempat-tempat ini dengan sekali gus membawa perubahan baru kepada ilmu, peta, ekonomi, politik dan sosial dunia ketika itu. Henri Pirene pernah menyebut bahawa dengan tersebarnya kuasa ummat Islam, perdagangan di sekitar Laut al-Abyad al-Mutawassitah[9] telah dikuasai mereka sehinggakan orang Eropah di sekitar Laut itu tidak dapat menghanyutkan walau sekeping papan pun tanpa perhatian pedagang Islam.[10] Jalan-jalan perdagangan adalah garis penentu yang memisahkan bandar-bandar utama dunia ketika itu dari tempat-tempat yang terpencil. Jalan perdagangan Islam tertera dari Tanah Arab sehinggalah ke Alam Melayu dan pergerakan ummat Islam baik dalam menjalankan urusniaga perdagangan mereka atau menunaikan suruhan agama seperti menunaikan haji terkenal sehingga ditulis dalam karya-karya orang bukan Islam.[11] Jika diperumpamakan pergerakan duniawi ummat Islam pada zaman itu maka bolehlah kita ibaratkan "sekali dayung mencecah laut, berombaklah dunia mengikut". Begitulah kuasa Islam dan ummatnya yang menjadi pencetus gelombang besar duniawi yang tidak terduga oleh kuasa-kuasa lain untuk melawannya. Apabila kuasa Islam bertemu dengan kuasa dagang asing ketika itu seperti Cina contohnya, pertembungan itu membuahkan pertukaran budaya yang sihat dan saling memperkayakan tanpa Islam mengalami pereputan dan kekaratan pada akidah dan warisan ilmunya.


Namun demikian, haybah Islam pada masa itu bukanlah terletak hanya pada kuasa politik dan ekonominya sahaja. Malah haybah yang terlebih murni dan terunggul adalah ajaran dan penghayatan agama Islam itu sendiri yang telah menukar akidah, sifat dan budaya masyarakat dunia yang sebelumnya terumbang-ambing dan ada setengahnya yang karam dalam faham-faham yang bertentangan dengan agama yang diwahyukan.[12] Kedatangan Islam telah melenyapkan api suci yang disembah di Tanah Farsi, membenteras penyembahan tuhan-tuhan dan dewa-dewa palsu di India (al-Hind) dan Transoxiana (Ma wara al-Nahr), memartabatkan kemuliaan insan tanpa mengira bangsa, bahasa dan budaya, memperkasakan budaya setempat dengan memberikan setiap insan yang disentuhnya satu jiwa baru yang merdeka dengan kethabitan ilmu dan akidahnya -- suatu makna diri yang merdeka. Kesemua bangsa yang disentuhinya dimartabatkan dengan zahirnya tamaddun baru insan berdasarkan akidah dan pemikiran luhur. Begitulah kesan Islam di setiap benua yang dijejakinya. Jiwa yang merdeka dengan ilmu baru berpaksikan akidah yang sah dan thabit, iaitulah kesan utama dari al-din al-Islam, telah menatijahkan penyerahan diri dengan sukarela kepada Tuhan Yang Esa. Agama Islam menjadi lambang makna diri peribadi dan ummat; jika rosaklah Islam maka rosaklah ummatnya. Inilah sebenarnya permulaan alaf baru dunia.


Dan dalam tempuh masa selama lebih dari seribu tahun (al-alf) selepas zahirnya Islam dan ummatnya menjadi pemacu pergerakan dan pembentuk pengaruh utama dunia, iaitu dari tahun 600 Masehi sehinggalah kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah pada akhir abad 19 Masehi. Dalam tempuh kegemilangan Islam yang bermula dari abad ketujuh dan seterusnya keabad keduabelas Masehi pengaruh Islam dan kecemerlangannya terserlah dalam kesemua bidang -- agama, ilmu, budaya, bahasa, politik dan ekonomi. Pada zaman inilah juga Eropah dan hampir keseluruhan dunia Kristian berada dalam Zaman Kegelapannya setelah rebah dan runtuhnya Imperaturia Romawi.[13] Malah keruntuhan Imperaturia Romawi adalah suatu gerak sejarah yang dinanti-nanti oleh jajahan takluknya. Ini adalah kerana Imperaturia Romawi hanya berminat untuk memperkayakan Rom dan warganya dengan memiskin setiap masharakat dan hasil bumi jajahan takluknya dengan cukai dan undang-undang serta peraturan yang diluar kemampuan.


Islam Mengangkat Martabat Ummat: Ummat Terbaik (Khayra Ummat)


Kedatangan Islam ke Bilad al-Jawi atau Alam Melayu telah membebaskan umat disini dari belenggu khurafat dan tahyul, yang terkongkong oleh kepercayaan karut marut kepada penunggu, polong, hantu dan lain-lain lagi. Alam Melayu terbuka kepada perdagangan bebas dari atas dan bawah angin, memperkayakan dan memakmurkan ummat. Keunggulan Islam adalah pada akidah dan ilmunya yang menjadi seri pada agama Islam yang dipersembahkan dalam bentuk penghayatan yang sejati oleh para ulama dan awliya dan umara yang terpilih menjadi pelopor, pendokong, penyokong agama yang luhur dan budaya ilmu yang luas dan mendalam dan pada ummatnya yang meresapi segala sifat yang mulia (fada'il, sifat mahmudah) dalam diri mereka. Sifat-sifat fada'il yang merangkumi sifat-sifat yang dianjurkan oleh agama Islam seperti sabar, tawakkul, khawf, raja' dan lain-lain dipadukan dengan sifat-sifat berhikmah (hikmah), sederhana ('iffah), berani (shaja'ah) dan berlaku adil (adalah) merupakan sifat yang dihayati mereka dengan merujuk kepada sirah para Anbiya dan Mursalin yang kemudiannya dihayati oleh para ulama, awliya dan umara Islam.[14] Antara yang terala adalah sifat siddiq, amanah, tabligh, dan fatanah yang menjadi sifat-sifat unggul dalam diri uswah hasanah orang-orang Islam iaitulah al-Rasul SAW. Sesungguhnya sifat-sifat inilah yang telah membentuk jiwa orang Melayu dengan perilaku penuh santun berserikan kebesaran hati, kemuliaan diri, dan keluhuran budi pekerti serta dimartabatkan mereka untuk menghadapi cabaran besar.


Meresapnya sifat-sifat mahmudah yang sedemikian dalam diri telah memperkasakan umat Melayu dirantau ini dan khasnya diTanah Melayu menjadi ummat yang teristimewa nilai akhlaknya. Sifat-sifat sedemikian membolehkan masyarakat asing yang berlainan bangsa dan agama serta budaya dan bahasa yang dibawa masuk dari tanah asing untuk sama-sama menikmati kehidupan yang terbaik, terlebih baik dari kehidupan ditempat asal mereka. Di Tanah Melayu inilah, masyarakat ini mendapat hak kewarganegaraan, mendapat peluang mengejar kehidupan dan telah menikmati segala yang tiada terduga oleh nenek-moyang mereka ditanah asal mereka. Dengan semangat muhibbah (mahabbah) yang dituntut oleh Islam keatas umatnya supaya menyayangi jiran tetangga, maka keselamatan dan kesejahteraan bangsa-bangsa ini terjamin. Malah ia adalah satu cabaran keatas bangsa-bangsa ini untuk sama-sama mencurah rasa kasih dan sayang kepada umat Islam di Alam Melayu sebagaimana yang telah dicurahkan keatas mereka selama ini. Sesungguhnya, kedamaian dan kesejahteraan yang dinikmati sejak dari masa silam sehingga kini oleh semua kaum adalah cermin mempamerkan hakikat martabat akhlak yang tinggi ummat Islam di Tanah Melayu dan ia juga suatu pernyataan zahir satu-satunya pencapaian tertinggi akhlakiah yang tidak pernah tercapai oleh umat bukan Islam sedunia amnya dan umat Islam lain khasnya di zaman kini. Apakah kita menikmati kemakmuran negara yang disebut dalam al-Quran sebagai baldatun tayyibatun warabbun ghafur?[15]



Sesungguhnya penyerapan nilai dan sifat-sifat mahmudah yang kita sebutkan diatas dipermudahkan dengan pengislaman bahasa dirantau ini yang dengannya terhasillah Bahasa Melayu yang kita kenali kini.



Perubahan Martabat Bahasa Umat Islam


Melimpahnya Islam ke Benua Parsi telah menukar agama dan bahasa ibunda masyarakat Parsi yang dahulunya menyembah api. Bahasa orang Parsi, selepas pengislaman masyarakat dan bahasanya, berupa dan berjiwa baharu; ia muncul dalam abjad Arab, sarat dengan istilah-istilah utama yang berasal dari al-Quran dan Hadith dan akhirnya bahasa baharu itu telah menggantikan Bahasa Pahlavi masyarakat Parsi. Sehingga kini bahasa Parsi yang serba baharu ini kekal.[16] Saujana luas jangkauan perbendaharaan kata istilahnya dan dalam renungan makna tersiratnya kerana ia telah dijiwakan dengan nas al-Quran dan disendikan dengan matan al-Hadith. Apabila Islam tersebar ke Benua India (al-Hind) suatu bahasa baru muncul, iaitu Urdu; rupanya berabjad Arab, namun bunyi sebutannya lain dan perbendaharaan katanya diperkayakan dengan istilah-istilah utama Islam. Bahasa Urdu muncul dalam suasana kepelbagaian bahasa yang telah ada di India ketika itu. Namun, kehadirannya cukup bermakna kerana ia telah dapat menggantikan peranan bahasa Sanskrit yang menjadi lisan rasmi agama Hindu dan Buddha di situ. Urdu muncul sebagai bahasa ummat Islam di India dan secara langsung Islam telah memecah tembok pemisah antara kasta di India. Urdu menjadi bahasa penyatu. Islam terus ke Turki dan bahasa Uthmaniyyah muncul yang juga berupa abjad Arab dan diperkayakan oleh bahasa Arab dan Parsi yang baharu itu. Tersebar Islam ke Bilad al-Jawi iaitu Alam Melayu, maka muncullah satu bahasa baru iaitu Bahasa Melayu yang berupa Arab tetapi berciri setempat. Malah bahasa yang digunakan oleh orang Melayu sebelum datangnya Islam yang disebut sebagai “Bahasa Melayu Kuno” telah hilang luput dari ingatan, tiada dapat disebut-sebut lagi, kerana tiada peninggalan dalam bentuk persuratan dan ilmiah yang berterusan. Sesungguhnya tiada kita berbicara tentang Bahasa Melayu, melainkan bahasa yang dirujuk itu bahasa yang dibentuk oleh para ulama Islam yang telah menjiwakannya dengan ruh Islam sedemikian rupa. Abjadnya berdasarkan kepada abjad Bahasa Arab dan dari segi susunan kata-kata dan nahunya, ia lebih mirip kepada susunan kata-kata dan nahu Bahasa Arab.


Inilah yang dikemukakan oleh Prof. al-Attas sebagai salah satu pengaruh dan peranan besar Islam dalam sejarah Dunia; dan dalam sejarah dan kebudayaan Melayu khasnya, Islamlah yang telah memulakan suatu zaman baru pada umat dirantau ini kerana peralihan peradaban yang membuka Alam Melayu kedalam arus pertukaran ilmiah peradaban luhur alamiah yang tidak pernah berlaku sebelum pengislaman rantau ini. Dengan kekayaan khazanah perbendaharaan kata yang diperolehinya dari Bahasa Arab dan Parsi, bahasa orang Turki, bahasa Urdu, bahasa Melayu muncul sebagai suatu bahasa walaupun agak muda usianya namun tetap ia dapat membicara perihal tafsir al-Quran dan sharah al-Hadith, meninjau alam perbincangan dan renungan akliah luhur kalam, falsafah dan tasawwuf dengan mendalam selain dari mendendangkan syair dan ghazal yang diperkayakan oleh persuratan dan adabiyat bahasa umat Islam yang baharu -- yang telah diislamkan -- yang halus dan mendalam. Kemegahan tamadun dan keteguhan umatnya tersurat dalam fann, sinaah dan handasah yang dihiasi dengan algebra. Justeru kesatuan ummat dimartabat maka tercapailah ia dalam semangat dan hakikat. Agama yang satu, bahasa yang satu, semangat yang satu, makna diri yang satu - ummah wahidah; iaitulah bukti Islamlah agama rahmatan lil-alamin.


Penggunaan bahasa, baik Melayu atau selainnya, seharusnya mempunyai cabang-cabang ilmu atau seni yang menyokong dan menyebar-luaskan lagi bahasa serta menyegarkannya dengan setiap penggunaan. Cabang-cabang yang dimaksudkan termasuklah dan tidak terhad kepada karya asli, tafsir, sharah dan radd, tetapi melibatkan bentuk-bentuk selain dari prosa seperti sajak, shair, dan lain-lain lagi. Maka tidak hairanlah Bahasa Inggeris dengan senarai pengarang yang amat disegani seperti Chaucer dan Shakespeare; Bahasa Perancis dengan Charles Rabelais dan Montaigne; German dengan Goethe; Rusia dengan Tolstoy dan Dostoevsky; Parsi dengan Firdawsi; Arab dengan Labid, Antara dan ramai lagi; Bahasa Latin dengan Lucretius, Virgil, Epictetus dan Marcus Aurelius; Bahasa Greek dengan Homer, Sophocles, Euripides, Aristophanes. Cabang-cabang ilmu seperti sains, ilmu alam, sejarah dan lain memainkan peranan yang penting sebagai cabang penyokong, pengokoh dan pengembang sesuatu bahasa. Tidak hairan pada kita dengan nama seperti Archimedes, Thales, Ibn Sina, al-Biruni, al-Razi, Galileo, Newton, Einstein, Hawking dan lain-lain lagi. Bahasa akan tumbuh segar dan mekar dengan penggunaan: semakin dalam dan luas bidang yang ditempuhinya, maka akan mantap dan kukuhlah bahasa itu. Jika sesuatu bahasa itu terkurung seperti katak dibawah tempurung kononnya untuk memelihara kemurniaannya maka bagaikan rumput yang tertutup dibawah tempurung buat sekian lama, tiadalah warna hijau kehidupan padanya. Akan tetapi penentu utama kepada hayat sesuatu bahasa adalah penggunaannya; dan dalam sejarah insan beberapa bahasa telah hilang lenyap luput dari ingatan sunyi dalam lipatan sejarah. Begitulah bahasa-bahasa lama seperti bahasa masyarakat Sumeria yang hanya dikenal sebagai tulisan cuneiform, bahasa masyarakat Mesir Kuno yang dikenal dengan tulisannya sebagai heiroglyphic; bahasa Syriac, Akkadian, dan bahasa Latin yang suatu masa dulu menjadi bahasa sains dan ilmu telah hilang gahnya. Begitulah juga dengan Bahasa Melayu Kuno yang dikatakan ditulis dengan huruf Pali tetapi ia telah ditelan lipatan sejarah dan tiada lagi dalam ingatan. Hanya sanya yang dikenal sebagai Bahasa Melayu adalah bahasa yang berupa Arab iaitulah Jawi yang berteraskan kata-kata kunci atau istilah-istilah utama bahasa Arab yang telah diislamkan yang diambil dari al-Quran dan al-Sunnah. Disinilah peri-pentingnya kita bersama memelihara kesegaran bahasa dengan keutuhannya supaya sambil dia menyambut seraya memikul tugas-tugas baru tiada pula dia diteledorkan dari tugasnya yang asli: bahwa Bahasa Melayu itu adalah bahasa ilmu yang menyampai ilmu sah dan thabit kerana pertalian lughawiyah-maknawiyahnya dengan bahasa ibunda umat Islam asal iaitulah bahasa al-Quran.


Akan tetapi keadaan bahasa Melayu kini memerlukan daya usaha yang bersungguh-sungguh dari semua pihak kerana pada masa kini bahasa yang suatu masa dulu ampuh berbicara perihal ilmiah luhur kini sudah lumpuh dan lesu: tiada penyokong, pengokoh dan pengembangnya. Cabang-cabang ilmu yang diceburinya berbunyi hambar tiada bertenaga kerana hampir kesemua cabang ilmu yang berkait dengannya kini bercerai-berai bagaikan cerai talak: pengajian bahasa Melayu tidak lagi mengeratkannya dengan sumber-sumber agama, dan lebih tenat lagi tiada lagi pengajian agama yang mengembangkan bahasa dengan menggunakan bentuk-bentuk seni bahasa untuk memperpanjangkan dakwah agama. Malah kemasukkan secara borong istilah-istilah asing yang diMelayukan sarat dengan faham-faham asing yang bertentangan dengan pandangan alam yang dianjurkan oleh Islam telah menenatkan lagi keadaan bercampurnya kefahaman ummat Melayu dengan lumpur tahyul dan khurafat.


Martabat dan Cabaran



Afahisab al-nasa an yutaraku an yaqulu amana wahum layufatanun


Dalam ayat diatas jelas kepada kita bahawa keimanan akan ada cabaran yang akan menguji keutuhannya. Cabaran yang kita hadapi kini berleluasa dalam segenap bentuk – moral atau akhlak, politik dan sosial, ekonomi – kesemuanya tergolong dalam dua bentuk asas iaitu ruhani dan jasmani. Ekoran dari kedua dimensi ini, persekitaran juga menjadi cabaran kepada kita kerana telah disebut oleh al-Quran bahwa kerosakan yang berlaku dimuka bumi ini adalah kerana perbuatan dan kerja tangan manusia.


Gelombang besar yang harus kita harungi bersama kini bukan lagi gelombang hasil dari dayung bahtera Islam. Islam tidak lagi menjadi kuasa yang disegani kini, malah sering Islamlah yang dipersalahkan dan diperkecilkan jika berlaku pergolakan sosial, politik dan ekonomi dunia. Oleh kerana Islamlah pula satu-satunya agama yang mengaku bahawa ialah agama yang diwahyukan sebenarnya yang memberikan panduan (hidayah) dan landasan kehidupan sebenarnya berpaksikan pada akidah yang sebenarnya, iaitu cara hidup beragama berdasarkan kepada aqidah tawhid yang mengesakanNya sebagaimanya yang dinyatakanNya dalam WahyuNya terpelihara, maka tamparan ini menjemput irihati dan rasa dengki dari masyarakat yang menganuti agama-agama lain selain dari Islam.


Tiada shak lagi gelombang baru ini datang dengan perantaranya ---iaitulah ilmu. Ilmu moden dengan segala cabangnya yang dipelopori oleh orang Barat yang tersebar meluas disalurkan dalam bentuk maklumat. Maka sekarang diperhebatkan pada kita bahawa cabaran yang besar di depan kita adalah cabaran maklumat. Datangnya lengkap dengan aggotanya -- media massa, elektronik dan yang terkemuka kini dikenali sebagai internet.


Gelombang yang berbagai bentuk alunnya ini datang dengan kekuatan sains dan teknologi yang bersarongkan budaya dan berlisankan bahasa. Bermulalah daya usaha merubah tasawwur orang Islam melalui bahasa baharu dengan memperkenalkan budaya baru dengan kebergantungan pada sains dan teknologi yang amat ketara. Dunia menjadi sempit kerana teknologi dan perpindahan budaya menjadi lebih cepat, rumit tetapi berkesan. Oleh kerana orang Islam tidak lagi menguasai sains dan teknologi maka berubahlah pantai dan tanah jajahan takluk orang Islam. Maka kini kita rasa terhimpit dan tercabar dengan kehadiran segala yang asing yang memasuki ruang hidup kita. Kedaulatan agama, bahasa dan budaya kita kini mula terhakis dan bagaikan air laut yang masin anasir-anasir ini telah memulakan pereputan dan kekaratan akidah dan ilmu Islam dengan begitu cepat, pantas dan amat berkesan sekali. Tanpa perhatian yang rapi dari para ulama dan umara kita untuk membendung dan seterusnya menghentikan proses pereputan dan kekaratan akidah dan ilmu ini maka dikhuatiri agama Islam dan budaya hidup yang didakwahkannya akan mula berubah rupa dan wajah dan untuk sekian kalinya Islam akan menjadi asing lagi, seperti sabda Nabi SAW, “Bada'a al-Islam ghariban wasaya‘udu kama bada'a”.[17]


Umat Islam adalah ummat yang terbaik dikalangan semua ummat. Maka penyelesaian kepada masalah-masalah besar yang dihadapinya, jika dihasilkan dengan jalan yang terbaik akan menjadi jawapan kepada gelombang besar yang menghempas pantai kemanusiaan sejagat. Umat Islam adalah penyelesai masalah dan bukanlah yang menjadi masalah. Sewajarnya kita memperlengkapkan diri dengan ilmu yang terbaik, kepakaran dan kemahiran yang tuntas serta akhlak yang mulia untuk menjadi uswah kepada umat lain dan dunia amnya. Dan sekiranya kita gagal, Allah SWT akan menggantikan kita dengan umat lain yang lebih baik untuk menjadi penyokong, pendokong dan penyebar Islam, din yang diredaiNya.


Prof. Madya Dr. Muhammad Zainiy Uthman merupakan mantan Pustakawan Ilmiah di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC). Tesis Phd beliau bertajuk 'Raniri's Lata'if al-Asrar li-Ahl Allah al-Atyar: An Annotated Transliteration and together with a Translation and an Introduction of his Exposition on the Fundamental Aspects of Sufi Doctrines (2 Vol.)' telah diselia oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas sendiri. Beliau juga merupakan penterjemah kepada monograf 'Meaning of Happiness and its Experiences in Islam' yang ditulis oleh Prof. al-Attas dan kini beliau bertugas sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa.



[2]Alaf Baru mengandaikan kononnya akan datang satu zaman baru dengan satu pandangan hidup yang berbeza yang belum terfikir oleh kita kini. Ia juga mengandaikan satu keadaan yang “lebih baik” yang penuh dengan janji-jani manis. Namun demikian, segala andaian-andaian yang sedemikian bukanlah suatu fakta yang sudah sah, malah kesemuanya adalah cita-cita khayalan semata berdasarkan kepada maklumat, pengalaman dan keupayaan insan kini. Maka faham alaf baru yang sedemikian itu adalah angan-angan semata-mata kerana jika tabiat manusia tidak juga berubah maka janji yang manis yang kononnya akan mengiringi alaf baru adalah sarabi semata-mata. Untuk memahami dengan lebih lanjut tentang makna perubahan zaman dan pandangan hidup yang dapat dinilaikan sebagai zaman baru yang lebih wajar sila rujuk Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (Kuala Lumpur: UKM 1972). Faham yang membahagikan zaman kepada zaman purbakala, zaman pertengahan, dan zaman moden dipelopori oleh ahli-ahli fikir dan sejarawan Barat yang mahu mengemukakan faham bahawa ada perubahan yang mendadak yang membezakan dari satu zaman ke satu zaman yang lain. Namun pembahagian zaman-zaman sedemikian itu kini telah mendapat kritikan dari ahli-ahli sejarah mereka. Sila rujuk Louis Gottschalk, Understanding History (New York: Alfred A. Knopf, Inc, 1967); dan juga Christopher Lasch, The True and Only Heaven: Progress and Its Critics (New York: WW. Norton & Co. 1991).

[3] Dikenali kini dengan nama Iran.

[4] Merangkumi negara-negara yang kini dikenali sebagai Jordan, Syria dan sebahagian dari Iraq. Kawasan yang merangkumi negara-negara ini pernah terletak dibawah jajahan takluk Imperaturia Romawi.

[5] Ahli geografi Islam menamakan Benua Afrika dengan nama Bilad al-Sudan.

[6] Merujuk kepada kawasan diseberang Sungai Oxus yang lebih dikenali sebagai Transoxiana. Kini kawasan ini terkenal dengan negara-negara seperti Turkmenistan, Uzbekistan, Georgia dan lain-lain lagi.

[7] India sebagaimana dikenali oleh ahli ilmu alam Islam.

[8] Alam Melayu sebagaimana dikenali oleh ahli pelayaran Islam. Ia merangkumi Semenanjung Tanah Melayu, Borneo, Indonesia dan pulau sekitarnya, Filipina, dan sebahagian dari Thailand dan Kampucea.

[9] Atau dikenali dengan laut Mediterranean.

[10]Henri Pirene, Muhammad and Charlemagne, Barnes & Noble, 1968, cetakan kelima.

[11] Sila rujuk karya-karya Arthur Conan Doyle dan Joseph Conrad.

[12] Pada pandangan Prof. al-Attas, pertembungan Islam dengan Kristian dalam Peperangan Salib telah mengakibatkan timbulnya rasa keperluan untuk orang-orang Kristian di Eropah yang sebelum itu berpecah dan berpuak-puak bersatu untuk menentang kemaraan umat Islam. Kesatuan inilah akhirnya melahirkan semangat bersama dikalangan orang-orang Kristian yang memungkinkan munculnya semangat penyatuan dikalangan mereka. Inilah asal mula pembahagian dunia kepada Islam dan Barat (Kristian) dan zaman yang dikenali sebagai zaman moden diBarat bermula apabila tanah-tanah Islam mula jatuh ketangan mereka dan khazanah ilmu dan pemikiran orang-orang Islam dipindahkan dan dimanfaatkan mereka dengan kemunculan pusat-pusat pengajian tinggi diEropah yang meniru sistem-sistem pendidikan Islam. Universiti diBarat muncul tidak lama selepas itu seperti University of Paris di Perancis, University of Bologna dan Pisa di Itali dan Oxford serta Cambridge di Tanah Inggeris.

[13] Untuk perbincangan lanjut tentang kejatuhan Imperaturia Romawi sila rujuk E. Gibbon, The Decline and Fall of the Roman Empire (New York: Modern Library, tanpa tarikh), dalam tiga jilid.

[14] Untuk perbincangan lanjut tentang makna-makna sifat-sifat ini sila rujuk S.M.N.. al-Attas, Ma‘na Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam (Kuala Lumpur: ISTAC, 2002), ms. 16-17.

[15] Nikmat kemakmuran dalam sesebuah negara tidak bererti negara itu tidak mengalami masalah moral dan akhlak, ekonomi, politik dan sosial. Malah masalah sedemikian akan tetap mengiring sesebuah masyarakat tanpa mengira tahap pencapaian kemakmurannya. Akan tetapi tahap dan kadar masalah-masalah sedemikian merupakan cabaran yang harus ditempuhi dan ditangani bersama, kerana untuk menghapusnya adalah sama sekali mustahil.

[16] Bahasa ini juga dinamakan oleh para pengkaji sejarah Iran sebagai bahasa moden orang-orang Parsi yang sebelumnya menggunakan bahasa Pahlavi dengan huruf abjad yang berbeza dari huruf abjad yang diambil dari Bahasa Arab.

[17] Dimaktubkan dalam sahih Muslim (Iman), sunan Tirmidhi (Iman), Ibn Majah (Fitan), al-Darimi (Rifaq), dan Ahmad ibn Hanbal.

1 ulasan:

almizzi berkata...

Assalamu alaikum

Pendapat saya, ini satu lagi artikel yang tohor, shallow dan cliché. Terdapat nostalgia yang cenderung kepada cita-cita imperialism Islam dan fahaman yang cuba menjadikan Islam sebagai hanya satu ideologi.
Terdapat juga keangkuhan yang mengangkat diri sendiri sebagai jurucakap Islam : Islam memandang begitu dan begini... – satu perkara yang para ulama salaf salihin ketar lutut untuk berbuat demikian.
Perkataan yang digunakan, rhetorical devices, menunjukkan tanda-tanda syok sendiri. Cuba perhatikan ayat ini:
Keunggulan Islam adalah pada akidah dan ilmunya yang menjadi seri pada agama Islam yang dipersembahkan dalam bentuk penghayatan yang sejati oleh para ulama dan awliya dan umara yang terpilih menjadi pelopor, pendokong, penyokong agama yang luhur dan budaya ilmu yang luas dan mendalam dan pada ummatnya yang meresapi segala sifat yang mulia (fada'il, sifat mahmudah) dalam diri mereka.

“Sifat-sifat fada'il yang merangkumi sifat-sifat yang dianjurkan oleh agama Islam seperti sabar, tawakkul, khawf, raja' dan lain-lain….”
Dianjurkan? Padahal sifat-sifat ini adalah fardhu ’ain..

Apabila membaca artikel ini.. sy rasa geli hati dan kelakar.. bahasa yang berbelit dan retorik kosong yang disulam selikan dengan fakta-fakta sejarah..

hahaha