Isnin, 27 Julai 2009

Berwacana dengan para failasuf sains



Pertama kali UTP sponsor wacana serius sebegini.


Selama setengah hari tadi, saya sempat menyertai simposium tertutup berkenaan sains anjuran International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia dengan kerjasama daripada Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya, IIIT, dan juga universiti saya sendiri, UTP.


Simposium yang diberi nama '
Hokkaido - Kuala Lumpur Science Symposium' ini merupakan lanjutan daripada simposium yang sama di Hokkaido pada tahun lepas dengan tajaan daripada syarikat pertanian organik Jepun, Aleph, Inc.


Tujuan asal simposium ini, seperti yang diterangkan oleh Prof. Emeritus Dr. Osman Bakar selaku ahli awal kepada simposium ini adalah untuk mengkaji semula kedudukan andaian (
assumptions) asas yang dihasilkan oleh sains Barat dan jikalau mampu, berusaha menggantikannya dengan andaian baru yang lebih mesra kepada pandangan alam sains bukan Barat.


Pada sesi kali ini, IAIS menjadi tuan rumah dan co-converner yang hadir adalah Dr. Elisabet Sahtouris, seorang ahli biologi evolusi (
Darwinian) yang empunya rasa tidak puas dengan realiti sains pada hari ini. Sudah tentu kini beliau tidak lagi terkongkong dengan kerangkan sains berbentuk Darwinian dan kehadiran beliau pada hari ini telah banyak membantu sesi dialog antara para failasuf dan intelektual sains dan falsafah Islam.


Ya, banyak nama-nama besar yang hadir (jikalau anda kenal orang-orang ini di menara gading) seperti Prof. Dr. Hashim Kamali (CEO IAIS), Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar (Timb. CEO IAIS), Prof. Datin Azizan Baharuddin (UM), Prof. Dato' Dr. Salleh Yappar (USM), Prof. Dr. Wan Ramli Wan Daud (UKM), Prof. Dr. Mulyadhi Kartanegara (ISTAC), Prof. Dr. Ahmad Murad Merican (UTP), Prof. Dr. Karim Crow (ISTAC), Datuk Dr. Tengku Mohd Azzman Sharifadeen (mantan CEO MIMOS kini di IDB) dan beberapa Profesor Madya serta pelajar pasca sarjana. Hanya saya seorang pelajar ijazah pertama yang berjaya membolos masuk menggunakan 'tiket' UTP (hehe... terima kasih kepada Prof. Murad yang jemput pada saat-saat terakhir).



Jangan kacau para pemikir yang sedang berfikir kalau tidak nanti berceralu wacana!


Ini kali pertama saya menyertai wacana yang dipenuhi dengan
full fledge intelektual dan failasuf Muslim dan bukan Muslim. Dilakukan secara tertutup, ternyata bahang wacana itu sangat 'membakar' minda hadirin yang hadir.


Contohnya, petang tadi sahaja, sesi selepas makan tengah hari akan membicarakan berkenaan aspek realiti (
haqiqah) dan kosmologi alam daripada pelbagai sudut pandang dan andaian yang telah sedia termaktub dalam korpus ilmu sains moden yang amat Ke-Barat-an sifatnya. Dalam perbincangan tersebut, para hadirin dikehendaki memilih beberapa andaian yang telah disenari panjangkan oleh Dr. Sahtouris yang mana beliau sendiri telah melakukan tinjauan ringkas terhadap elemen-elemen penting daripada pandangan alam para saintis yang terkenal di seluruh dunia. Dalam aspek realiti, perbahasan petang tadi berlegar berkenaan andaian-andaian seperti berikut:

1) Alam ini bukan sesuatu yang hidup ( The universe is non-living)

2) Alam ini ialah sistem kehidupan yang tercipta dengan sendirinya (
The universe is a self-creating living system).

3) Realiti mendasar tidak teraktul dalam ruang dan masa seperti yang kita tahu (
Deep reality is not within space and time as we know them).

4) Realiti ialah semua entiti yang berbentuk fizikal, boleh diukur atau boleh dicapai melalui proses berfikir dengan cara renungan saintifik dan selain daripada semua ciri-ciri ini hendaklah difahami sebagai satu yang tidak benar (
Reality is everything that is physical, measurable, or deducible from scientific observations and everything else must be considered unreal).


Dan banyak lagi andaian yang saya sendiri tak sempat menanggapinya dengan baik.


Sesi perbincangan berkenaan realiti alam dimulakan dengan Prof. Dr. Mulyahdi Kartanegara ( anak murid pemikir besar Islam abad ke-20, Prof. Fazlur Rahman) yang mengambil contoh penjelasan hakikat alam dari sudut pandang Ikhwan al-Safa (
Bretheren of Purity), satu kumpulan falsafah rahsia yang sangat misteri dan unik pada era Abbassiyah, untuk menjelaskan wujud-nya ruh dalam setiap ciptaan Tuhan dalam alam ini.


Bagi hadirin yang tidak biasa dengan hujah falsafah Islam, khususnya seperti apa yang cuba diterangkan oleh Prof. Mulyadhi berkenaan falsafah
mashsha'i atau kumpulan failsafuf Peripatetik Muslim yang ditunjangi oleh nama-nama besar seperti Al-Farbi, Al-Kindi, Ibn Sina dan Ibn Rushd, maka kekeliruan itu akhirnya mengalihkan wacana kepada perkara yang lain.


Seperti contoh, polemik timbul berkenaan ma'na kepada
soul yang dijadikan kata kunci bagi melayakkan sesebuah entiti untuk dikategorikan sebagai satu kewujudan (existence); apakah ianya difahami dalam konteks falsafah Islam peripatetik yang berbau Aristotelian, ataupun falsafah Tasawwuf yang sering dikaitkan dengan konsep Neo-Platonis, ataupun falsafah Pencerahan/ teosofi (hikmah al-Ishraqi) ataupun falsafah kalam Ash'ariyyah?


Bagi saya, yang sedikit sudah biasa dengan perbincangan sebegini sejak bergelumang dengan anak-anak murid Prof. al-Attas, ternyata saya dapat lihat bahawasanya kekeliruan yang timbul itu berlaku apabila setiap hadirin yang memberi respons bercakap pada
realiti yang berbeza.


Ada yang mengambil sikap harfiah (literal), ada yang semacam Bucailisme, ada yang Sufistik dan ada yang bergaya teologi/kalam. Maka sudah tentu tradisi keilmuan Islam yang kaya ini, jikalau tidak didefinisikan secara tepat sebelum hujah dilontarkan akan membawa kepada kekeliruan yang dahsyat.


Saya setuju dengan kenyataan Prof. Murad bahawa kita dalam membicarakan perkara
soul itu sebentar tadi sangat kelat dengan pandangan alam Cartesian yang mencerakinkan subjek perbincanga kepada kepingan-kepingan kecil tanpa mampu menjalinkannya semula dengan baik sebagai satu konsep yang bersifat integratif (tauhidik). Pengaruh modenisme yang tidak disedari oleh ramai pihak kecuali para pemikir yang teliti dengan apa yang cuba dihujahkannya. Tidak lupa juga pengaruh dualisme secara tegar.


Walaupun terdapat polemik yang mengengsot perjalanan wacana tersebut sehingga Prof. Osman Bakar terpaksa mengaturkannya kembali, para hadirin yang menabur hujah bukanlah boleh dipersalahkan secara mentah-mentah kerana kesilapan yang mereka lakukan bagi saya hanyalah bersifat teknikal ya'ni tiada penjelasan secara tuntas akan metedologi wacana tersebut berbanding kesilapan fundamental. Maklumlah semua yang datang intelektual besar-besar.


Apa yang lebih menarik adalah cabaran kita, selaku pemikir Muslim dalam wacana tersebut, telah berusaha keras untuk menjawab dan membantu pemikir bukan Islam seperti Dr. Elisabet Sathouris untuk faham ma'na kata-kata kunci yang wujud dalam korpus kelimuan Islam berkenaan realiti. Bukan satu kerja yang mudah. Dialog antara ketamadunan falsafi yang berkali ganda lebih sukar daripada dialog antara agama yang biasa-biasa kita sertai.


Dalam perbualan peribadi sewaktu masa rehat, saya bersetuju dengan pandangan SU Agung ABIM, Dr. Amran bahawa adalah lebih baik sebelum kita berusaha gigih meyakinkan para saintis Muslim untuk menerima hakikat kewujudan sains Islam daripada melobi para saintis Barat untuk menerima kewujudan sains Islam sebagai satu korpus ilmu yang sahih seperti mana sains-sains keperibumian yang lain. Ini kerana agak sukar para saintis Barat yang telah mempunyai paradigma tersendiri dalam melakukan kerja-kerja sains sekular, untuk menerima bahawasanya sains Islam itu bersifat teosentrik, bukan homosentrik.


Ini bukan perkara ganjil kerana di Barat, perbahalan tegar antara pendokong aliran Rekabentuk Bijaksana ( Intelligent Design) yang ditunjangi para pemikir Kristian serta lawan mereka para pendokong aliran Evolusi yang ditunjangi oleh para saintis moden merupakan satu episod perbalahan yang amat panjang lagi serius dengan kes saman-menyaman di mahkamah secara berkala.


Saya agak kaku dan rasa segan nak bertanya, maklumlah hampir semua yang hadir merupakan profesor tetapi setelah sampai di rumah baru teringat yang saya ada satu soalan berkenaan
hiper reality yang masih tidak terjawab lagi.


Memang pening. Saya tulis entri ini pun sebenarnya tidak berapa jelas tapi saya cuba juga jelaskan dengan cara yang mudah. Esok, simposium ini akan diteruskan lagi dengan perbincangan daripada aspek epistemologi pula.


Oh lupa nak bagitahu, apa yang dibincangkan sepanjang simposium ini adalah berkaitan samudera ilmu sains itu, seperti mana yang Imam al-Ghazali berbahas panjang dalam Tahafut al-Falasifah menentang kesalah fahaman Ibn Sina dan Al-Farabi yang kemudiannya cuba diselematkan oleh Ibn Rushd dengan Tahafut al-Tahafut-nya. Sudah tentu orang awam amat digalakkan menjauhi wacana sebegini bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan.


Yang patut hadir daripada golongan para saintis dan jurutera, tidak pula mereka hadir secara pukal. Sesama failasuf mereka sudah clear. Yang perlu dibasuh adalah para saintis dan jurutera yang sudah rasa ilmu didada mereka itu benar-benar tahap ilm yaqin ataupun sebenarnya hanyalah ilm dhanni?


Kesimpulan akhir awali yang saya boleh buat adalah sebenarnya apa yang dibicarakan oleh para pemikir tadi sebenarnya persoalan yang telah berkurun lama dibicarakan oleh para pemikir Timur dan Barat. Malah, jawapan tuntas sebenarnya telah dihurai dengan panjang lebar dan tuntas oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Prolegomena to the Metaphyics of Islam. Begitu juga konsep sains Islam yang dibenihkan daripada pengenalan realiti sains pada tahap tertinggi iaitu Tassawwuf dalam makalah The Positive Aspect of Tassawwuf. Perbincangan ini memang rumit khususnya apa yang dibicarakan oleh Prof. al-Attas selama ini. Untuk kita benar-benar mencabar status quo sains Barat dan berusaha meng-Islamisasi-kannnya, adalah amat perlu kita fahami mereka dan tradisi kita dengan bersungguh-sungguh.


Sekian, sekadar berkongsi secara ringkas.



6 ulasan:

A. MUCHLIS berkata...

Subhanallah. Hebat enta.

Teruskan.!

Tanpa Nama berkata...

salam,

Adakah konsep sains islam tertinggi hanya boleh dicapai dalam wacana atau pemikiran tasawuf?

bagaimana pula dengan wacana atau pemikiran ilmu kalam (tawhidik), adakah ia bukan jalan atau mazhab pemikiran (sebenarnya iqtiqad) tertinggi dalam memahami fenomena alam melalui jalan islam.

pada saya turas jalan yang dibentang oleh Al Attas lewat prelegomena.., philosophy of science in Islam dan korpus lain beliau itu berasaskan dari weltanschauung tasawuf yang kuat.

termasuk juga Nasr yang membahaskan asas sufistik dalam memahami fenomena dan fitrah alam khususnya dari segi alam sekitar.

adakah jalan sosial islam (bennabi atau chandra) tidak berbekas dalam menghurai sisi 'tinggi' sains islam?

Rausyanfikir berkata...

Wassalam kepada anonymous. Harap dapat tinggalkan nama sebenar. Susah hendak dijawab.

Sebenarnya, dalam Islam, kita bukan sangat nak ambil satu per satu sebegitu. Al-Attas memang menekankan tasawwuf tapi secara gambaran besar, kerangka Islamisasi al-Attas menggabung jalinkan semua kalam, fiqh dan tasawwuf.

Sama seperti imam al-Ghazali.

Wallahua'lam.

hidayah Omar berkata...

for a beginner like me, i hv to go through your post for several times before i could really understand the meaning.. alhamdulillah. gud job bro.

Rausyanfikir berkata...

Haha. Tak apa. Slow2. Harap dapat manfaat :)

SyukraNs berkata...

Assalamualaikum wrh bkth,

Hidup ini bukan hanya mengikut dan menganggup, buku Karangan Tuan Guru Nik Aziz "Sirah Nabawi" sendiri menekankan ISLAM itu bukan Agama untuk berTaqlid. Tahniah buat Enta, enta orang yang banyak mengkaji(jauh dari bertaqlid). Tarbiyyah itu Bukan hanya sekadar berusrah. Bukan hanya sekadar duduk program. Itu bukan kadar tarbiyyah yang sebenar. Tarbiyyah itu perlu dirungkai dari pelbagai sudut. Dan dakwah pula bukan nya berdiri atas nama badan JEMAAH. Ia perlu bermula dari individu. "TEGAK ISLAM DALAM DIRIMU, SEBLUM DIRIMU MENEGAK ISLAM DI LUAR SANA" ALLAHYARHAM IMAM Hassan Al Banna.

ALLAHYARHAM Proffesor Dr Fazrul Rahman menyatakan dalam Bukunya "PESAN-PESAN TERBESAR DALAM AL QURAN" Topik ke2 dan topik ke3, yakni Manusia sebagai Individu dan Manusia sebagai masyarakat..menerangkan sedikit sebagai tentang perihal sebagai seorang manusia yang HENDAK berperilaku sebagai mana atau Hendak berhubung sebagaimana. Rasa-rasanya, ini perlu dijadikan satu wancana ilmiah buak adik2 di Kampus, lagi-lagi yang menjadi Pimpinan Kampus. Kadang-kadang perit rasa hati, mana tidak, perilaku macam "BOS", tak tahu cara bergaul. Kurang sopan..Itu antara sebab-sebab, tak berkembangnya DAKWAH dan ISLAM di kampus kita. Tak menghayati konsep ISLAM dari sudut sosial, sudut berpandangan terbuka, dan macam-macam sudut. Tasawwuf...dan sebagainya.... Jangan sekadar berHARRAKI, dihujungnya tertinggal aspek-aspek yang asas(asas bergaulan)-memberi salam, cara menghormati orang lebih tua dan muda- (Perilaku NABI). Penamatnya, tak berkembang ISLAM di bumi yang nyata. Atas sebab apa? Kurang penghayatan "OPEN MINDED" ...terus menerus kepada "NARROW MINDED". Jangan-jangan dihujung nanti, lahirnya Da'ei KEKAMPUSAN sahaja. Itulah yang kita nak Elak.

"bertapak local, berkembang Global"
"dari fundamental(asas), kepada Complementary(Cabang2)"

Selamat Berjuang dan Selamat Bermujahadah