Ahad, 19 Julai 2009

Aku dan Harry Potter






Selesai sudah pengembaraan selama 9 tahun bersama pemuda berkaca mata bulat. Walaupun si pemuda tersebut hanyalah khayalan tetapi diri ini tidak dapat menafikan lagi sumbangan beliau sepanjang diri ini membesar menjadi manusia dewasa.


Ya, Harry Potter merupakan watak yang telah 'menemani' saya semenjak berumur 13 tahun lagi. Bermula dengan hadiah hari lahir yang ibu berikan, siri novel Harry Potter telah membentuk daya imaginasi dan juga daya faham bahasa inggeris secara signifikan dalam hidup saya.


Siapa sangka manuskrip novel J. K Rowling yang pada mulanya telah ditolak oleh 12 syarikat penerbitan buku di United Kingdom ini menjadi satu fenomena yang global sifatnya yang memberi dampak besar kepada jutaan pembaca cilik dan dewasa, termasuklah kepada diri blogger rausyanfikir.com ini?


Setelah selesai menonton filem Harry Potter and the Half Blood Prince (yang mana novelnya sudah dibeli tetapi hanya mampu menjamah 1/4 daripada keseluruhan kandungan) pada Khamis minggu lepas, selama 3 hari ini saya telah bertungkus-lumus mengkhatamkan novel terakhir; Harry Potter and the Deathly Hallows yang telah saya mulakan sesi pembacaan pada awal bulan Jun yang lalu.


Pada hari ini, sekitar jam 10.30 pagi dalam perjalanan ke kampus saya telah menamatkan pengembaraan tersebut dengan penuh kepuasan. Walaupun novel terakhir ini saya telah membelinya lebih kurang setahun yang lepas tetapi dek kekangan masa terpaksa saya abaikan berhabuk di atas rak buku.


Entah mengapa, diri ini rasa terpanggil untuk membaca kembali novel Harry Potter tersebut. Mungkin saya terasa ilmu retorika dalam bahasa inggeris yang saya miliki semakin menumpul di samping bahang filem
Half Blood Prince yang semakin hampir.


Selain daripada siri novel Dan Brown, dan R. L Stine, karya J.K Rowling benar-benar meninggalkan kesan kepada diri saya dalam proses menjadi lelaki dewasa.


Saya tahu dari awal lagi kalau hendak benar-benar menguasai bahasa inggeris, aktiviti membaca novel tidak dapat tidak, WAJIB dilakukan dengan penuh konsisten dan bersungguh-sungguh. Siri novel Harry Potter bukan sahaja banyak membantu saya mempertajamkan daya faham bahasa inggeris malah selain daripada bahan bacaan santai, saya turut sama mempelajari banyak perkara yang Harry dan rakan-rakan beliau tempuhi sepanjang siri tersebut berlangsung.


Saya bukanlah
die hard fan Harry Potter tetapi Harry mendapat tempat istimewa dalam korpus pembacaan bahasa inggeris saya. 'Ketagihan' itu tetap ada kerana saya masih ingat ketika tingkatan 4, kerana ingin pulun untuk tamatkan novel keempat J. K Rowling itu, Harry Potter and the Goblet of Fire dalam masa 2 minggu, saya sanggup ponteng sesi baca Yaasin pada malam Jumaat di Sekolah Menengah Sains Selangor. Dengan bertemankan lampu koridor yang malap, saya bersandar di sebalik almari besi untuk mengelak daripada dikesan ustaz yang membuat rondaan di asrama. Dahlah saya seorang pengawas. Masa tu masih rock steady lagi. Walaupun bermain ragbi untuk Kuala Lumpur semenjak tingkatan 3, saya masih tidak rasa janggal untuk membaca novel seperti Harry Potter walaupun rakan sepasukan lain lebih suka bahan bacaan seperti Kreko, dan Gempaq.


Sekarang, setelah bergelumang dengan dunia aktivisme dan falsafah, cara gaya saya membaca dan memahami Harry Potter menjadi lebih kritis dan mendalam. Saya dapat kesan semangat ketamadunan Barat yang termuat dengan halus dalam karya J. K Rowling ini. Seperti contoh, saya rasa sepanjang saya membaca kesemua novel Harry Potter, konsep Ketuhanan tidak pernah diserlahkan dengan baik. Semangat humanisme itupun disadur dengan baik dengan tema-tema kemanusian seperti cinta, semangat setia kawan, kekeluargaan dan lain-lain lagi. Patutlah sesetegah pihak gereja di Barat sangat anti dengan siri novel Harry Potter kerana bagi mereka, Harry Potter dan seisi jalan ceritanya membawa mesej sekularisme dan paganisme secara halus ke dalam benak pemikiran kanak-kanak di Barat.


Lain pula kalau kita baca siri
The Chronicles of Narnia oleh C.S Lewis yang sarat dengan tema agama Kristian.





Walaubagaimanapun, saya tidak pernah pula hanyut seperti kanak-kanak dan remaja Barat yang benar-benar menjadi
Potter mania. Bagi saya, Harry Potter hanyalah watak dalam karya J. K Rowling. Tidak pernah pula saya angkat beliau jadi idola saya.


Saya amat gembira dan terharu secara peribadi kerana telah menamatkan pengembaraan yang panjang ini. 9 tahun yang lama ini benar-benar telah banyak mengasah daya faham bahasa inggeris saya yang akhirnya saya gunakan untuk menelaah karya-karya berat falsafah Barat dan Islam, khususnya karya Prof. al-Attas.


Pengembaraan saya seterusnya mungkin terhad kepada karya-karya non-fiksyen tetapi sekali sekala perlu juga membaca karya-karya fiksyen yang santai untuk faham 'semangat Barat' yang terselit di celah-celah plot cerita fiksyen tersebut disamping memperbaiki mutu daya faham bahasa inggeris.


Anda bagaimana? Ada siri pengembaraan yang sama seperti saya? Kalau belum, rajin-rajinlah asah daya faham bahasa inggeris anda dengan karya-karya bermutu seperti Harry Potter ini!



4 ulasan:

afif berkata...

Saya mula baca siri Harry Potter ni lepas tonton filemnya. Memang puas dan mambantu mengasah bahasa Inggeris kita

Tapi sumber utama saya asah bahasa Inggeris sejak kecil bukanya buku kanak-kanak tapi buku yang agak dewasa iaitu siri Jack Ryan oleh Tom Clancy. Saya mula baca siri tu sebab suka kan permainan komputer yang diadaptasi dari novel novel ini

Baru saja saya habiskan novel terakhir dari siri Jack Ryan bulan ni. Sedih la juga di hati ni, akhirnya tamat jugalah pengembaraan saya bersama Jack Ryan, John Clark, Ding Chavez, dan watak watak lain yang telah saya mulakan sejak umur 15 tahun

Sekarang ni, penulisan bahasa Inggeris saya pun banyak dipengaruhi Tom Clancy. Bahkan sesetengah pandangan beliau juga saya terima. Beliau seorang pro-Republikan Amerika. Watak watak beliau juga memang pengaruhi perwatakan saya secara sedikit, kerana saya membesar dengan karya beliau. Bahkan cita cita saya hendak menjadi penganalisis dipengaruhi watak utama Jack Ryan yang juga seorang penganalisis CIA!

Cara beliau menceritakan tentang Islam di dalam buku beliau juga agak mengejutkan - saya setuju dengan beliau sebagai seorang Muslim. Islam agama yang suci dan benar, tapi dicemari penganutnya. Itu yang beliau sering tekankan. Malah beliau menentang secara terbuka akan stereotaip mengaitkan Islam dengan keganasan selepas serangan 9-11

7 tahun bersama karya Tom Clancy, memang banyak bantu mengasah bahasa Inggeris saya

Rausyanfikir berkata...

Hoho. Menarik2. Kalau Tom Clancy, saya hanya main game Rainbow Six saja :}

hartini ♥ berkata...

salam.
lama dah tak singgah.
peminat hp jugak rupanya.
sshnya klu tak berimaginasi nak bc buku ni. kira mcm wajiblah.hoho.sy sndiri pun blaja bi dr buku die jugak.=)

nahwanNur berkata...

Assalamu'alaikum adik wanrausyan,

Wah tak sangka minat kita sama lah. Teringat dahulu mula-mula di berikan buku harry potter oleh kakak dek kerana kemalasan akak untuk membaca, dan buat akak menajamkan kefahaman dalam bahasa inggeris ni. Sehingga sekarang dah selesai dan mengulang. Tapi rasanya BI akak tidaklah setajam mana :)Apapun memang banyak perubahan, alhamdulillah.

Tapi ada juga kawan-kawan yang kata bahaya minat cerita harry potter yang banyak berunsur tahyul dan boleh membawa kepada syirik. Itu rasanya percaturan kita. Mana mahu kita kaut.

Wallahu'alam