Rabu, 24 Jun 2009

Tiga Pengertian Sains Islam: Ke Arah Usaha Penyedaran Semula Misi Pengislaman Sains dan Teknologi Menurut Kerangka Faham S.M Naquib al-Attas (Siri 1)


Tiga Pengertian ‘Sains Islam’:

Ke Arah Usaha Penyedaran Semula Misi Pengislaman Sains dan Teknologi

Menurut Kerangka Faham Syed Muhammad Naquib al-Attas

oleh
Dr. Adi Setia
Penyelidik Bersekutu INSPEM

 
 
1. Pendahuluan
 
‘Sains Islam’ boleh difahami sebagai disiplin ilmiah yang mengkaji perumusan semula gagasan ‘PengIslaman Sains’ sebagai suatu rencana penyelidikan tajribi/amali/empiris jangka panjang yang bertujuan melaksanakan tatanilai ilmu dan tatanilai adab Islam dalam semua kegiatan sains dan teknologi kini. Pengertian ini akan menjadikan Sains Islam sebagai satu paradigma dasar yang baru, atau tatakaedah penyelidikan asas yang baru, bagi semua kegiatan sains kini agar terbina secara beransur-ansur sains dan teknologi arus perdana yang menzahirkan Pandangan Alam Islam[1] ke dalam alam nyata. Dalam konteks masyarakat Melayu-Islam di Malaysia, khasnya, dan lebih besar lagi, di Indonesia, yang berpegang teguh pada ajaran Islam, perjuangan ilmiah untuk mewujudkan apa yang dikatakan sebagai ‘sains menurut acuan sendiri’ sudah pasti mengandaikan gagasan PengIslaman Sains sebagai kerangka faham asasnya. Dari sudut pandang ini, gagasan ‘sains menurut acuan sendiri’ adalah senada dengan gagasan ‘PengIslaman Sains’ dengan ertikata bahawa gagasan pertama terpandu oleh, dan terserap ke dalam, gagasan kedua. 


2. Tiga Pengertian Istilah Sains Islam’


Di sini akan saya ingin kupas sedikit pengertian di sebalik istilah Sains Islam’. Secara umumnya istilah ini boleh dikatakan sebagai merujuk kepada tiga pengertian, seperti penjelasan berikut.


Pengertian pertama sebagai disiplin ilmiah yang mengkaji sejarah perkembangan sains dan teknologi dalam tamadun Islam serta hubungkaitnya dengan perkembangan awal sains dan teknologi di Barat. Pengertian ini menjadikan Sains Islam sebagai sebahagian daripada disiplin Sejarah Sains (History of Science) yang lebih luas. Di universiti-universiti Barat, sudah wujud jabatan-jabatan Sejarah Sains (History of Science Department) yang salah satu bidang penyelidikannya ialah Sains Islam, atau Islamic Science dengan pengertian kesejarahan ini. Antara contoh karya ilmiah dalam bidang ini ialah: A. I. Sabra, The Optics of Ibn Haytham,[2] Daniel Martin Varisco, Medieval Agriculture and Islamic Science: The Almanac of a Yemeni Sultan,[3] yang mengkaji sudut-sudut falak, taqwim, pemakanan, perubatan, pertanian, bahkan pelayaran, dalam budaya ilmu dan kerja pertanian di Yaman pada abad ke-13, 14 dan 15 Masihi, iaitu sekitar abad ke-7, 8 dan 9 Hijri; karya George Saliba, Islamic Science and the Making of the European Renaissance[4]; dan karya Donald R. Hill, Islamic Science and Engineering[5] yang mengkaji budaya ilmu dan budaya pertukangan dalam bidang-bidang seperti ilmu hisab, falak, fizik (ilmu tabi‘ah), kimia, kejuruteraan jentera (machinery), teknologi halus (fine technology), kejuruteraan awam (jambatan, empangan), teknologi pertanian (terusan perairan, pembekalan air, penyukatan air), pengukuran tanah (surveying) dan teknologi perlombongan, termasuk kajian pengaruh pencapaian sains dan kejuruteraan Islam ke atas pengembangan perindustrian di Barat. Ini juga termasuk hasil kajian para Sarjana Penyelidik (Research Fellows) ISTAC seperti Dr. Norzakiah Saparmin[6] dan Dr. Nurdeng Dueraseh.[7] Setahu saya, belum wujud di mana-mana IPTA di Malaysia jabatan yang khusus tertumpu kepada penyelidikan ilmiah bermutu tinggi terhadap warisan budaya ilmu dan amalan sains, pertukangan dan teknologi dalam tamadun Melayu-Islam. Yang ada cuma kajian serpih-serpihan dan cebis-cebisan berdasarkan sumber-sumber kedua pada umumnya, dan kalau ada pun kajian asli, namun masih kurang mendalam lagi pula terbatas ruang dan mutu ilmiah penyelidikannya, serta kurang tersebar dalam alam kesarjanaan baik tempatan mahupun antarabangsa. Namun, kini telah wujud perkembangan terbaru yang agak positif dengan pameran Sains Islam anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) dengan kerjasama Fuat Sezgin baru-baru ini, serta penubuhan Kerusi Profesor Sezgin dalam bidang Sains Islam di UTM. Diharapkan agar Kerusi Ilmiah ini akan turut menyokong penyelidikan bermutu tinggi terhadap warisan sains dan teknologi dalam budaya ilmu Melayu-Islam, khasnya pada zaman pra-penjajahan Barat. Apa-apa hal pun andainya sokongan kerajaan tidak seperti yang diharap-harapkan, kita perlu beralih kepada sokongan akar-umbi masyarakat Islam tetapi mereka perlu disedarkan dulu!


Pengertian kedua sebagai disiplin ilmiah dalam bidang Falsafah Sains dan Falsafah Islam yang merumuskan falsafah dan tatakaedah sains yang telah, sedang atau yang semestinya mengawalpandu kegiatan sains dalam tamadun Islam. Pengertian ini menjadikan Sains Islam sebagai salah satu cabang bidang falsafah sains, sejarah pemikiran dan falsafah secara umum. Di Barat sudah lama wujud jabatan-jabatan sejarah dan falsafah sains, atau jabatan sejarah atau jabatan falsafah, ataupun institut ketimuran (oriental insitute), atau institut pengajian timur-tengah (middle-east studies department/institute) yang turut mengkaji falsafah sains Islam atau falsafah sains Arab-Islam sebagai satu cabang daripada apa yang digelar sejarah pemikiran (history of thought/intellectual history). Kajian mereka amat bermutu bersandarkan sumber asal dalam bentuk manuskrip yang diterjemahkan ke dalam bahasa semasa berserta ulasan dan penotaan ilmiah terperinci lagi panjang lebar. Dalam konteks Malaysia, ini sepatutnya kerja Jabatan Pengajian Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, ATMA, Gapena, Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Pengajian Umum, bahkan Jabatan Usuluddin sekalipun, dan sebagainya, dengan memberikan tumpuan sewajarnya kepada warisan persuratan Melayu yang bersifat aqliyyah, kefalsafahan dan kemantikan, tanpa terlalu lega, syok sendiri dengan persuratan hikayat atau sastera (dalam ertikata sempit) semata-mata, apatah lagi terlalu asyik dengan persuratan Melayu moden seperti sajak bebas, drama dan novel yang lebih berjatidirikan atau bermaknadirikan watak Barat moden sekular daripada watak jatidiri/maknadiri Melayu-Islam, hinggakan istilah ‘moden’ pun difahami secara kepakturutan menurut neraca pengalaman budaya Barat bukan neraca pengalaman budaya Melayu-Islam![8]


Antara contoh karya-karya terbaik dalam bidang Sains Islam dalam pengertian ini ialah IslĀm and the Philosophy of Science[9] dan The Positive Aspects of Tasawwuf[10] oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas; Classification of Knowledge in Islam dan The History and Philosophy of Science[11] oleh Osman Bakar; The Physical Theory of Kalam[12] oleh Alnoor Dhanani; dan Health and Medicine in the Islamic Tradition[13] serta Avicenna’s De Anima[14] (mengenai ilmujiwa/psikologi Islam menurut huraian Ibn Sina) kedua-duanya oleh Fazlur Rahman. Adapun karya-karya oleh tokoh-tokoh Barat dalam bidang ini, maka contohnya ialah: The Philosophy of the Kalam[15] oleh Harry Wolfson, The Kalam Cosmological Argument[16] oleh William L. Craig, The Development of Arabic Logic[17] oleh Nicholas Rescher, Knowledge Triumphant[18] oleh Franz Rosenthal, dan sebagainya. Ini juga termasuk kajian para sarjana penyelidik ISTAC seperti Dr. Zaidi Ismail,[19] Dr. Farid Shahran,[20] Dr. Syamsuddin Arif,[21] dan Dr. Adi Setia,[22] sekadar menyebut nama beberapa orang sahaja. Ini bermakna bahawa orang yang ingin menulis mengenai falsafah dan tatakaedah sains Islam dengan baik dan bertanggungjawab perlu juga tahu tentang sejarah pemikiran kefalsafahan dalam Islam daripada sumber aslinya (sumber Arab-Islam/Melayu-Jawi-Islam atau terjemahan langsung daripada sumber Arab atau sumber Jawi, termasuk sumber Farsi, Turki Uthmaniyyah dan Urdu kalau berkaitan). Hanya dengan cara itulah baru dapat kita merumuskan falsafah dan tatakaedah sains dan teknologi Islam yang sekaligus terakarumbi dalam budaya ilmu Islam serta terkaithubung dengan permasalahan falsafah dan tatakaedah sains masakini.[23]


Pengertian ketiga sebagai disiplin ilmiah yang mengkaji perumusan semula ‘Sains Islam’ sebagai suatu rencana penyelidikan tajribi/amali/empiris jangka panjang yang bertujuan mengamalaksanakan nilai-nilai adab dan ilmu Islam (tatanilai ilmu dan tatanilai adab Islam) dalam semua kegiatan sains dan teknologi masakini. Ini bermakna usaha bersungguh-sungguh oleh ahli sains berhemah tinggi lagi sejagat sifat kesarjanaannya untuk menyepadukan secara kritis semua kegiatan sains ke dalam kerangka pandangan alam Islam,[24] serta berusaha menjelaskan implikasi keilmuan, kekaedahan dan kenilaian yang bakal terhasil daripada proses penyepaduan kritis tersebut terhadap amalan sains semasa (critical integration of the scientific endeavor into the conceptual framework of the Worldview of Islam, and the concomittant explication of the cognitive, methodological and axiological implications of such integration for empirical scientific research).[25] Pengertian ini menjadikan Sains Islam sebagai satu kerangka/paradigma baru, atau tatakaedah penyelidikan baru, bagi semua kegiatan sains masakini agar terbina sains dan teknologi yang menzahirkan Pandangan Alam Islam (Worldview of Islam) ke dalam alam nyata, iaitu ke dalam alam amalan sains dan teknologi semasa, khasnya, dan ke dalam kehidupan kemasyarakatan seharian, amnya. Dalam pengertian ini, Pandangalam Islam (PI) boleh dirumus semula sebagai Kerangka Induk (KI) yang menerasi pengkaedahan dan penggubalan teori dalam kegiatan Sains Islam, serta perumusan tatanilai yang harus menyerapi kegiatan itu. Ini bermakna teori-teori sains bersifat sebagai Faham Pelindung (FL), Faham Pemeta (FP) dan Faham Penghurai (FH) yang berperanan memberikan isi tajribi (empirical content) kepada KI ini. Menurut pengertian ini, gagasan Sains Islam boleh dirumuskan sebagai “rencana penyelidikan akli dan tajribi terhadap pelbagai segi kejadian alam tabii yang merupakan penjelmaan dayacipta ketuhanan ke dalam alam inderawi, agar dengan penyelidikan sedemikian keyakinan kita terhadap kekuasaan dan kebijaksanaan Pencipta tertunjangkan pengamatan dan pengalaman teresah.”[26] Pengertian ini lebih menitikberatkan sifat keilmuan atau sifat kognitif sains daripada sifat kebergunaan/kealatan atau sifat utiliti/instrumentalnya. Ini adalah kerana matlamat akhir sains dalam Islam ialah ilmu yakini tentang kebenaran mutlak, tentang hakikat tertinggi, tentang aspek numena (noumenon) di sebalik fenomena (phenomenon), tentang makna-diri insan dan makna-diri alam, tentang kesyukuran dan pengabdian diri kepada Pencipta, yang semuanya itu merupakan aspek-aspek kemakrifatan akan hakikat tertinggi sekadar yang termampu dicapai insan.[27] Adapun aspek kebergunaan/kealatan sains sebagai teknologi dalam membina kemakmuran hidup di dunia yang fana ini, maka itu hanya merupakan sifat pengantara (a means = wasitah, wasilah) demi mencapai matlamat yang lebih mendasar dan luhur demi kerana firman Allah TaĂala “wa al-Ākhiratu khayrun wa abqĀ,” iaitu maksudnya “dan demi sesungguhnya alam Akhirat lebih baik dan lebih kekal,”[28] dan demi kerana tugas insan di dunia fana ini ialah menzahirkan kesyukuran kepada Tuhan Yang Maha Tinggi dalam pemikiran, pertuturan dan pengamalan.


3. Cabaran Paling Besar


Cabaran paling besar ahli sains Muslim hari ini, dalam pengamatan saya, ialah cabaran yang bersangkutpaut dengan persoalan pengertian Sains Islam yang ketiga itu, iaitu “disiplin ilmiah yang mengkaji perumusan semula ‘Sains Islam’ sebagai suatu rencana penyelidikan tajribi/amali/empiris jangka panjang yang bertujuan mengamal-laksanakan nilai-nilai adab dan ilmu Islam (tatanilai ilmu dan tatanilai adab Islam) dalam semua kegiatan sains dan teknologi masakini.”[29] Selagi cabaran ini gagal diharungi dengan jayanya, selagi itulah semua ahli sains Muslim akan terperangkap dalam kerangka faham dan penyelidikan sains Barat moden sekular, sama ada dia mahu atau tidak mahu, sedar atau tidak sedar, tidak kira betapa tinggi penguasaan fahamnya terhadap pengertian ‘Sains Islam’ yang pertama dan kedua. Kata-kunci dalam pengertian ketiga ini ialah “rencana penyelidikan tajribi” kerana tanpa perumusan rencana penyelidikan tajribi yang jelas dan terperinci, gagasan ‘Sains Islam’ dalam pengertian pertama dan kedua akan kekal sebagai gagasan akliah, ilmiah dan akademik semata-mata, sekadar cultural curiousity, yang hasil sekadar dibukukan dan disimpan di perpuatakaan atau muzium, tetapi tidak terjelma secara amaliah sebagai ‘amal nafi‘ pada alam nyata masakini.


Maka dalam makalah ini aspek pengertian ketiga ini akan diberi tumpuan dengan disokong contoh-contoh tertentu daripada sejarah falsafah, sejarah sains dan sejarah teknologi Arab- dan Melayu-Islam. Dalam membuat penghuraian ini, saya berpendapat bahawa falsafah sains Barat yang paling serasi dengan pendekatan saya serta paling berkait dengan permasalahan pengertian ketiga ini ialah falsafah sains yang diutarakan oleh Imre Lakatos, ahli falsafah matematik dan falsafah sains yang cuba menyerasikan antara falsafah sains Karl Popper dan Thomas Kuhn lalu menawarkan jalan pertengahan antara kerasionalan Popper yang terlalu objektif, mutlak dan progresif dengan kenisbian Paul Feyerabend yang terlalu subjektif dan kehuruharaan (anarchic), tambahan pula apabila diperhatikan bahawa pendekatan Lakatos turut boleh digunakan untuk memerikan rencana penyelidikan ilmiah yang pernah dilancarkan oleh para pujangga Islam kita yang silam, sama ada dalam bidang yang dikatakan “naqliyyat” mahupun yang dikatakan “aqliyyat.” Buku Lakatos, The Methodology of Scientific Research Programmes telah diterjemahkan oleh Shaharir Mohamad Zain ke dalam Bahasa Melayu.[30]


Seperkara lagi, terdapat macam satu kekosongan dalam wacana falsafah sains arus perdana yang terlalu menekankan aspek tatakaedah seperti yang dilakukan oleh Popper, Kuhn, Lakatos dan Paul Feyerabend,[31] sehingga mengabaikan aspek lain yang lebih mendasar dan bermakna, iaitu aspek ontologi sains dan tatanilai atau aksiologi sains (ontology and axiology of science). Dalam soal tatailmu dan tatakaedah sains pun, aspek pentaakulan dan pencerapan terlalu ditekankan sebagai sumber penemuan baru dalam sains, sedangkan peranan aspek ilham atau intuisi, peranan aspek keberdampingan dengan pakar (tunjuk-ajar intim secara tak formal, iaitu yang berkaitan dengan sains sebagai seni/art/craft) dan aspek mantik pengkhabaran benar atau otoriti penyandar (testimonial logic = manćiq khabar ĆĀdiq) dalam kegiatan dan penemuan sains hampir terlepas pandang, tiada dikupas atau dianalisa sama sekali secara terperinci, kecuali oleh Michael Polanyi dalam bukunya Personal Knowledge.[32] Saya yakin para failasuf sains Muslim dapat mengisi kekosongan ini berdasarkan kerangka tatailmu sains dalam Islam yang menggabungkan tatanilai kognitif dengan tatanilai etika. Khasnya, saya rasa failasuf sains Muslim masakini perlu menghuraikan dengan panjang lebar logik pengkhabaran atau logik otoriti (testimonial logic of science) yang jelas berperanan dalam kegiatan sains, baik yang tersirat mahupun yang tersurat, sama ada sedar ataupun tidak sedar, bersandarkan contoh-contoh tertentu dalam sejarah sains Islam dan sains Barat. Usaha ini akan mampu mengemaskinikan, memperbaiki serta mengukuhkan lagi kaedah penilaian pakar setaraf (peer review) sekarang yang banyak mengundang kontroversi sehingga menjejaskan kewibawaan laporan-laporan penemuan sains yang diterbitkan dalam jurnal-jurnal sains terkemuka dan berprestij seperti Science, Nature dan National Geographic, malah mungkin jurnal Kesturi terbitan ASASI sekalipun![33]


Di samping itu, para sejarawan dan ahli falsafah sains Muslim boleh berusaha mengisi perdebatan mengenai asal-usul pemikiran sains (genesis of scientific thought), suatu isu yang bersangkut-paut dengan falsafah pensejarahan sains (general historiography of science), iaitu suatu isu yang pernah dibahaskan dengan panjang lebar oleh pujangga sains Muslim terdahulu seperti Sa‘id al-Andalusi dan lain-lain, tetapi perlu dihuraikan semula demi mengharungi cabaran pensejarahan sains arus-perdana yang mengandaikan kebenaran kerangka evolusi darwinisme tanpa usul-periksa.[34] Juga, pengaruh besar manuskrip-manuskrip sains, falsafah dan matematik Islam, termasuk kalam asha’irah, atas perkembangan pemikiran sains pada zaman awal revolusi sains di Barat (zaman Copernicus, Galileo, Descartes, Newton, Leibniz) kurang diselidiki;[35] maka ini juga peluang ilmiah keemasan bagi sejarawan dan failasuf sains Muslim. Juga, ada tanda-tanda jelas bahawa pemupukan sains dan teknologi menurut acuan sendiri dalam budaya Islam masih sihat sehingga pertengahan abad ke-20—seperti dalam kasus India dan Mesir, dan juga dalam kasus Melayu-Islam Nusantara, contohnya—tapi hal ini perlu diselidiki dengan rapi dan hasilnya diterbitkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.[36]


Seperkara lagi, terdapat banyak ayat al-Qur’an dan hadis Nabi yang mengandungi secara sama ada tersirat ataupun tersurat petunjuk-petunjuk tertentu, atau faham-faham tertentu, yang bersangkut-paut dengan perencanaan penyelidikan sains terhadap fenomena alam tabii demi pemakmuran hidup insan di bumi yang fana ini, dan demi pemupukan keinsafan mendalam akan kebijaksanaan dan kekuasaan Pencipta, serta peningkatan perasaan syukur kepada-Nya, iaitu pemupukan sifat-sifat ruhaniah terpuji melalui kajian alam tabii yang matlamat akhirnya kebahagiaan abadi di alam Akhirat, iaitu penyepaduan antara kemakmuran duniawi fani dengan kebahagiaan ukhrawi baqi. Penyelidikan bersepadu ini (integrative research)[37] ini amat terserlah dalam tafsir Mafatih al-Ghayb karya Fakhr al-Din al-Razi; contohnya, tafsir beliau terhadap faham taskhir.


4. Kerangka Induk (KI), Faham Pelindung (FL), Faham Pemeta (FP) dan Faham Penghurai (FH)


Yang dimaksudkan Kerangka Induk (KI) ialah apa yang dikatakan oleh al-Attas dalam bukunya Prolegomena sebagai unsur-unsur asasi pandangan alam Islam (fundamental elements of the Worldview of Islam). Unsur-unsur asasi ini termasuk faham agama, faham akhlaq (tata-adab Islam = Islamic ethics), faham ilmu atau tatailmu (Islamic epistemology), faham akal (atau ilmu jiwa Islam = Islamic psychology), faham bahasa (Islamic linguistic theory or philosophy of language), faham kebahagiaan (tatanilai Islam = Islamic axiology), faham alam atau falsafah sains Islam (Islamic philosophy of science/Islamic cosmology) dan faham kewujudan (ilmu tawhid = Islamic ontology), yang kesemuanya merupakan isikandungan falsafah dan program pendidikan Islam berteraskan faham tata adab = “pengadaban” (discipline of soul and body), iaitu proses menjadikan seseorang itu beradab bilamana kewarasan akal mengatasi kerakusan nafsu. Kesemua unsur-unsur asasi pandangan alam Islam ini terpancar daripada metafizik Islam (Islamic metaphysics), iaitu faham Islam tentang hakikat sebenar di sebalik kejadian alam, sepertimana yang termaktub dalam al-QurāĀn dan Sunnah serta dihuraikan oleh para ahli ilmu paling muĂtabar dalam sejarah pemikiran Islam dari kalangan ulama, failasuf, mutakallim, hukama dan sufi sepanjang zaman. Metafizik Islam ini juga telah diungkapkan semula secara ringkas dan padu oleh al-Attas dalam bukunya, Risalah untuk Kaum Muslimin[38] dan Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam.[39] Meskipun Seyyed Hossein Nasr dan Osman Bakar telah turut menghuraikan sedikit sebanyak pelbagai aspek metafizik Islam ini, namun karya Prolegomena al-Attas ialah satu-satunya karya yang, pada pengamatan saya, berjaya merumuskan metafizik ini secara tersusun, jitu, padu dan menyeluruh. Pendek kata, buku Prolegomena ini perlu dibaca, diteliti dan dibahas secara kritis, khasnya bab ketiga berkenaan Islam dan falsafah sains, agar dapat difahami dan diterima oleh ahli sains Muslim sebagai kerangka induk yang menerasi segala rencana penyelidikan sains amali mereka. Kalau menurut istilah Lakatos, kerangka induk ini merupakan “the hard core of the research programme” = faham teras-keras bagi setiap rencana penyelidikan sains kita yang tidak boleh diganggugugat atau diubah sama sekali, kerana faham teras ini menentukan kerangka penafsiran (interpretative framework) yang memberi makna dan pengertian objektif kepada “maklumat,” “statistik,” “data” dan “fakta” yang ditemui/cerapi dalam penyelidikan tajribi/empiris kita terhadap alam tabii inderawi.


Yang dimaksudkan oleh Faham Pelindung (FL, di mana L = Lindung) pula (“pending-pelindung” menurut istilah Shaharir) ialah hal-hal yang berkaitan dengan kewajipan ahli sains Muslim untuk membina teori sains baru bagi menyanggah, lalu menggantikan, mana-mana teori sains Barat moden yang mempersoalkan mana-mana bahagian dalam Kerangka Induk Sains Islam. Contohnya, teori evolusi Darwin mempersoalkan faham ‘keterlibatan Tuhan dalam penciptaan dan keberlangsungan alam semesta’ yang merupakan KI dalam Sains Islam kerana jelas termaktub dalam al-QurāĀn dan al-Sunnah serta diperhujahkan secara akliah dalam bidang ilmu kalam dan falsafah Islam. Teori Darwin berfaham-indukkan andaian metafizik bahawa alam semesta ini terjadi secara kebetulan, spontan dan acak tanpa pencipta, serta cuba merujuk kepada dalil-dalil kejadian alam tabii bagi menyokong teorinya. Sedangkan andaian metafizik kita sebagai ahli sains Muslim ialah bahawasanya alam ini dicipta oleh Pencipta yang senantiasa terlibat dalam keberlangsungan alam ciptaanNya; maka kita perlu pula membangunkan teori pengganti (teori alternatif) yang turut merujuk kepada dalil-dalil kejadian alam tabii bagi menyokong lalu melindungi kepercayaan kita kepada hakikat kewujudan Pencipta agar kepercayaan ini bukan hanya tidak tergugat malah mampu pula mengutarakan tatakaedah dan penemuan baru. Tetapi pendekatan FL pada asasnya agak pasif dan reaktif dan apologetik, macam orang terhantuk baru ternganga, maka kurang nilai keilmuannya, tapi diperlukan juga, khasnya apabila KI kita diserang bertubi-tubi oleh aturcara (sistem) ilmu Barat moden sekular sebagaimana yang berlaku pada masakini dalam segenap lapangan sains. Tetapi apa yang pada peringkat awalnya timbul sebagai tindakan reaktif boleh menjadi proaktif. Ini membawa kita kepada FP.


Yang dimaksudkan dengan Faham Pemeta (FP, di mana P = Peta) ialah usaha ilmiah kita untuk membina teori-teori pengantara atau sokongan tertentu (istilah Lakatos, auxillary hypotheses) yang mampu membantu kita menemui serta menghuraikan segi-segi tertentu dalam kejadian alam tabii yang boleh mengesahkan secara tajribi lagi terperinci segi-segi tertentu dalam KI kita. Jadi, peranan FP ialah sebagai faham pengantara untuk “memetakan” KI ke atas alam kejadian tabii. Contohnya, dalam KI kita, alam ini dicipta oleh Pencipta Maha Kuasa, Maha Bijaksana, maka kalau benar begitu dakwaan KI kita, maka apakah dia ciri-ciri fizikal tertentu (umpamanya, ciri-ciri ketersusunaturan = design features) dalam kejadian alam tabii (natural phenomena) yang boleh diungkapkan sebagai dalil tajribi (empirical evidence) bagi mengesahkan dakwaan KI kita tentang penciptaan alam oleh Pencipta? Kerangka Induk kita mengutarakan metafizik keterlibatan langsung Pencipta dalam setiap kejadian alam, seperti dalam ayat “kun fa yakĈn”;[40] maka apakah teori fizik yang paling serasi dengan metafizik tersebut serta turut dapat disokong oleh pencerapan inderawi terhadap ciri-ciri tertentu dalam fenomena alam tabii? Jadi pembinaan FP yang sesuai akan membantu kita mengenalpasti ciri-ciri tersebut yang selama ini mungkin terlepas pandang oleh kebanyakan pengkaji. Teori keatoman/kejawharan/kezarahan alam (atomism) dan teori rekacipta pintar (intelligent design) adalah antara teori-teori mengenai hakikat alam tabii yang telah dibina para mutakallim silam demi menyokong lalu menghuraikan lagi KI mereka tentang kewujudan Tuhan MahaEsa, Maha Bijaksana, Maha Berkuasa, lagi MahaMencipta.


Teori fizik atau teori tabi‘ah dalam pemikiran kalam (kalam physical theory), khasnya yang dihujahkan dengan panjang lebar lagi terperinci oleh Imam Fakhr al-Dąn al-RĀzą mengemukakan hujah-hujah yang agak empiris juga bagi mensabitkan struktur kezarahan atau keatoman bagi alam semesta demi mensabitkan pula akan sifat keterciptaannya. Teori fizik kalam ini semakin di sokong oleh penemuan terbaru di Barat oleh ahli sains bukan arus perdana, termasuk ahli sains Kristian seperti Craig,[41] Behe[42] dan Dembski,[43] yang menolak faham dan kerangka induk Darwin serta apa-apa rencana penyelidikan sains yang bertitik-tolak daripada kerangka lapuk tersebut. Kefahaman kritis sebegini di sisi ahli sains Muslim pula akan membawa kesan besar yang positif ke arah memikirkan semula, antara lain, pengertian “jenis” (species), evolusi mikro (microevolution), termasuk juga perumusan semula asas-asas tatakaedah taxonomi (taxonomy) yang dibebaskan daripada kekangan dogma kedarwinan.[44]




[1] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam (Pulau Pinang: USM, 2007).

[2] A. I. Sabra, penterjemah dan pensyarah, The Optics of Ibn Haytham (London: Warburg Institute, 1989); lihat juga Saleh B. Omar, Ibn Haytham’s Optics: A Study of the Origins of Experimental Science (Minneapolis: Bibliotheca Islamica, 1977).

[3] (Seattle: University of Washington Press, 1994).

[4] (Cambridge, MA: MIT, 2007),

[5] (Edinburgh: Edinburgh University Press, 1993),

[6] Norzakiah binti Saparmin, “A translation of treatise VIII (on eclipses) of al-Biruni’s al-Qanun al-Mas‘udi” tesis MA (ISTAC, 2000); idem, “An edition, translation and commentary of chapters 6th, 7th and 8th of Qutb al-Din al-Shirazi’s Nihayat al-Idrak fi Dirayat al-Aflak,” tesis Ph.D (ISTAC, 2008).

[7] Nurdeng Dueraseh, “Al-Biruni’s Fihrist on al-Razi’s Biodata and his Medico-Philosophical and Educational Contributions,” tesis MA (ISTAC, 1997); dan “Preservation of Health in Islamic Law,” tesis Ph.D (ISTAC, 2002).

[8] Maksudnya, tamadun Melayu-Islam telah “dimodenkan” melalui proses pengislaman yang berlangsung sejak abad keenam Hijrah atau lebih awal lagi tanpa perlu menunggu untuk dimodenkan melalui penjajahan Barat, seperti yang dihuraikan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Islam and Secularism (Kuala Lumpur: ISTAC, 1993); dan Islam dalam Sejarah dan Budaya Melayu (Petaling Jaya: ABIM, 1990) .

[9] (Kuala Lumpur: ISTAC, 1989).

[10] (Kuala Lumpur: ASASI, 1981).

[11] (Cambridge: Cambridge University Press, 1998 dan 1999).

[12] (Leiden: Brill, 1994).

[13] (New York: Crossroad, 1989) dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Wan Mohd Nor Wan Daud dan Shahrul Amar Abdullah dengan tajuk Kesihatan dan Perubatan dalam Tradisi Islam (Kuala Lumpur: DBP, 1992 dan 1996).

[14] (London: Oxford U. Press, 1952).

[15] (Cambridge, MA: Harvard U. Press, 1976).

[16] (Eugene, OR: Wipf & Stock, 2000)

[17] (Pittsburgh: U. of Pittsburgh Press, 1964).

[18] (Leiden: Brill, 1970).

[19] Zaidi Ismail, The Sources of Knowledge in al-Ghazali’s Thought: A Psychological Framework of Epistemology (Kuala Lumpur: ISTAC, 2002), asalnya tesis MA; dan idem, tesis Ph.D-nya “Existence Existence (Al-Wujud) and its Relation to Quiddity (Al-Mahiyyah) in the later Ash‘arite Kalam: with Special Reference to ‘Adud Al-Din Al-Ijis’s Al-Mawaqif and Al-Sayyid Al-Sharif ‘Ali Al-Jurjani’s Sharh Al-Mawaqif,” (ISTAC, 2005). Semua ahli fizik Muslim, khas ahli dan sekutu ASASI amat perlu baca dan memahami secara kritis kedua-dua tesis ini kalau benar-benar mahu mengislamkan fizik masakini.

[20] Farid Shahran, “Fakhr al-Din al-Razi’s Logic: An Edition of his Mulakhkhas fi al-Hikmah wa al-Mantiq (Section on Tasawwurat and al-Hadd) together with an introduction and analysis,” tesis MA (ISTAC, 1999); idem, “Divine Transcendence and the Problem of Anthropomorphism in Fakhr al-Din al-Razi’s Kalam,” tesis Ph.D (ISTAC, 2006).

[21] Syamsuddin Arif, “Ibn Sina’s Theory of Intuition,” tesis MA (ISTAC, 1999); idem, “Ibn Sina’s Cosmology: A Study of the Appropriation of Greek Philosophical Ideas in 11th Century Islam,” tesis Ph.D (ISTAC, 2004).

[22] “The Physical Theory of Fakhr al-Din al-Razi,” tesis kedoktoran, belum terbit (Kuala Lumpur: ISTAC, 2005), namun lima bab dalam tesis ini telah terbit sebagai makalah-makalah berasingan dalam jurnal Islam & Science dari tahun 2003 hingga 2008.

[23] Antara usaha terbaik, terbaru lagi amat penting dalam usaha mengembangkan semula pemikiran falsafah dan sains Islam menurut kerangka kalam jadid dengan cara yang terkait dengan wacana ilmiah semasa ialah tesis kedoktoran Muhammad Afifi al-Akiti, “The Madnun of al-Ghazali: A Critical Edition of the Unpublished Major Madnun with Discussion of His Restricted Philosophical Corpus,” tesis D.Phil., 3 jil., (Universiti Oxford, 2008); lihat abstraknya di laman sesawang http://www.ghazali.org/dissertation/Abstract-al-Akiti.pdf

[24] Seperti yang terhurai cara ringkas dan padat dalam Syed Muhammas Naquib al-Attas, Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam (Pulau Pinang: USM, 2007).

[25] Huraian lanjut dalam Adi Setia, “Three Meanings of Islamic Science.”

[26] Seperti yang dihuraikan dengan terperinci dalam Adi Setia, “Taskhir, Fine-Tuning, Intelligent Design and the Scientific Appreciation of Nature,” dalam Islam & Science (Summer 2004), .

[27] Semua ini terhurai dengan amat baik lagi teratur dalam Syed Muhammad Naquib al-Attas, Prolegomena to the Metaphysics of Islam.

[28] Surah al-A’la: 17.

[29] Permasalahan ini dihurai secara lebih lanjut dalam Adi Setia, “Three Meanings,” 23—52.

[30] Pemalsuan dan Tatakaedah Atur Cara Penyelidikan Sains (Bangi: UKM, 2003).

[31] Against Method (London: Verso, 1986).

[32] (London: Routledge, 1998).

[33] Brian Martin, The Bias of Science (Canberra: Society for Social Responsibility in Science, 1979).

[34] Huraian ringkas dalam Adi Setia, “The Genesis of Greek Philosophico-Scientific Thought in Islamic and Modern Histographies of Science: A Brief Comparative Overview,” dalam al-Shajarah, jil. 13, bil. 2 (2008).

[35] Hal ini dikupas sedikit sebanyak oleh George Saliba, Islamic Science and the Making of the European Renaissance (Cambridge, MA: MIT, 2007).

[36] Dalam konteks Melayu-Islam kita boleh rujuk kepada karya-karya Shaykh Ahmad Khatib (hujung abad ke 19) dan Shaykh Yasin al-Fadani (pertengahan abad ke 20).

[37] 11 jilid (Beirut: Darul Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1996).

[38] (Kuala Lumpur: ISTAC, 2001).

[39] (Pulau Pinang: USM, 2007).

[40] Surah Ya Sin: 82.

[41] William Craig, The Kalam Cosmological Argument (Eugene, OR: Wipf & Stock, 2000).

[42] Michael Behe, Darwin’s Black Box: The Biochemical Challenge to Evolution (New York: Free Press, 1996).

[43] William Dembski, The Design Inference: Eliminating Chance through Small Probabilities (New York: Cambridge University Press, 1998).

[44] Huraian lanjut dalam Adi Setia, “Kritik Sains Terhadap Teori Evolusi Darwin,” Islamia (March, 2004), berserta rujukan-rujukan dalamnya.

1 ulasan:

si ulat buku berkata...

Salam..

Saya baru lepas menonton transformers. Lepas baca makalah Dr. Adi ni, saya terfikir, "Patut la Tun Dr. Mahathir nak sangat kita belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris.."

haha

Saya faham niat bekas PM. Tapi ye la... Kalau tak ada unsur-unsur prophethood, lama-lama Malaysia boleh jadi negara liberal (minta di jauhkan!)

wallahualam.

wasalam.