Siri Sastera DBP Bil. 5
Rangkaian Ruba'iyat
oleh
Naguib Al-Attas
Di terbitkan oleh:
Dewan Bahasa dan Pustaka
Kementerian Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu
Kuala Lumpur
1959
______________________________________________________________________________________
KEPADA PARA PENYAIR
Bangunalah! kalam, kau kuda Pahlawan
Galakkan debu `tempuran seni Bahasa;
Tempikkan suaramu dilapangan Puisi -
Dan petik lagammu dari taman Fantasi
______________________________________________________________________________________
KATA PENGENALAN
Dengan Nama Allah Yang Amat Pemurah
Lagi Amat Pengasehan
Buku gubahan yang kechil ini mengandongi isi yang besar, ia-itu menutorkan beberapa fikiran dan perasaan dari kesedaran hamba akan Tuhan-nya
menerusi pemandangan batin dan dzauq pehak rohani sa-bagaimana terdapat pada dalil ahli2 tasawwuf yang tinggi.
Fikiran2 dan perasaan itu di-hidangkan oleh pengarang-nya dalam bentok sa-jenis karangan berangkap yang belum 'umum di-kenal dalam bahasa Melayu ia-lah jenis susunan sha'er yang di-sebut ruba'i(satu-nya ruba'iyyah dan banyak-nya ruba'iyyat) pada istilah puisi bahasa Farsi. Sha'er ruba'i Farsi ada mempunyai ka'edah sukata, timbangan dan pertentangan
bunyi yang tersendiri saperti yang di-terangkan oleh pengarang dalam pendahuluan-nya. Yang demikian tiada sama dengan sukata, timbangan dan pertentangan bunyi dalam bahasa Melayu, sunggoh pun bilangan kerat2-nya tiap2 sa-rangkap itu empat2 juga. Bahkan perkataan ruba'i itu sendiri telah di-ambil oleh orang Farsi dari bahasa 'Arab dengan pengertian "empat baris", "empat rusok" atau "empat penjuru".
Dalam bahasa Inggeris sha'er ruba'i yang mashhor ia-lah terjemahan dari ruba'i bangsa Farsi gubahan 'Umar Khayyam (mati-nya tahun 526H/1132M). Terjemahan itu telah di-perbuat dan di-terbitkan oleh Edward Fitzgerald dalam tahun 1859, dan sampai sekarang maseh di-kira tinggi nilai-nya dalam kesusasteraan Inggeris oleh sebab indah bahasa-nya, chantek kias 'ibarat-nya, dan luhor fikiran yang menjadi isi-nya, serta elok timbangan irama dan pertentangan bunyi-nya menurut sa-chara ruba'i Farsi, walau pun dengan bahasa Inggeris.
Rangkap2 ruba'i Melayu yang kita perkenalkan di-sini harus-lah satengah2-nya akan di-dapati oleh kebanyakan pembacha barangkali samar2 atau kurang terang maksud2 yang di-perkatakan-nya. Kerana bahasa dan kata2-nya banyak tentang yang terpotong2 oleh sebab hendak memelihara sukatan dan timbangan pada irama rangkap-nya.
Tetapi bagaimana pun, di-harap buku ini akan jadi pembukan jalan bagi membawa masok ka-dalam bahasa Melayu satu jenis lagi daripada karangansha'er, serta berisikan unsor2 fikiran berlainan daripada yang orang Melayu biasa sa-lama ini. Wa's-salam.
Z. 'A. B. A.
Bahagian Pengajian Melayu,
University Malaya, Singapura.
23hb. Rajab, 1377-12hb. February, 1958.
3 ulasan:
Salam alaik akhi..
Kaifhal?
Nta ke Penang yer 27 hb nie?
Wassalam.
Sihat walafiat.
Ye ana ada nanti. Jumpa di sana!
Salam, anta ada Rubai al-Attas ya? Kalau ada buleh minta pinjam nnt.
Catat Ulasan