Ahad, 14 Jun 2009

Politik yang melampau


Hari Sabtu yang lalu, saya digandingkan bersama Prof. Madya Abu Hassan Hasbullah dan dua orang pendidik dalam sesi rakaman rancangan Perspektif Kita hasil produkis ASTRO Awani. Topik yang dibicarakan adalah berkenaan masalah sindrom pelajar 'Kakak Tua' yang bersifat hanya tahu menghafal tetapi tidak pandai berfikir.


Saya hadir sebagai panelis wakil kepada TERAS Pengupayaan Melayu. Rakaman tersebut, Insya-Allah bakal disiarkan pada bulan Ogos nanti.


Sebelum masuk studio, saya sempat berborak panjang dengan Prof. Hasbullah. Beliau menceritakan pengalaman beliau sewaktu meninjau suasana di Manek Urai pada minggu lepas. Ternyata orang-orang kampung disana telah menjadikan rumah mereka sebagai hotel yang bakal menunggu pelanggan (baca:orang politik) yang bakal bertandang kelak di sana untuk pilihan raya kecil. Dikatakan sewa sebuah rumah boleh mencecah RM500 sehari dan orang kampung di sana sanggup untuk tumpang tidur di rumah saudara mara mereka yang lain semata-mata untuk 'meminjamkan' rumah mereka kepada orang luar yang bakal berduyun-duyun hadir untuk pilihan raya kecil tersebut.


Kata Prof. Hasbullah:

" Isu politik telah mendominasi pemikiran rakyat kita 300%. Ini harus dihentikan".

Tergelak saya dengar perkiraan beliau setelah melihat suasana awal di Manek Urai. Saya tak dapat menyangkal lagi pandangan beliau kerana itulah realiti yang berlaku dalam negara kita semenjak 8 Mac 2008.


Saya sangat risau kerana para pemimpin kita seolah-olah seperti 'kelawar terbang di siang hari' yang buta akan suasana yang cerah dek kerana menjadi political animal nocturnal (baca: makhluk politik yang buta kefahaman realiti semasa yang lebih awla') yang akhirnya jikalau dilihat pada masa jangka panjang bakal merugikan rakyat dan negara.


Persengketaan dan pergelutan kuasa yang tiada akhirnya telah menutupi wajah sebenar krisis ekonomi dunia yang bakal menghentam teruk negara kita. Lebih tenat, kebergantungan dan penaburan janji palsu seperti 16 September telah menjadikan rakyat seperti 'lembu dicucuk hidung' oleh para politikus yang rakus ingin berkuasa seperti Machiavelli.


Ini sindrom berbahaya. Politik hanyalah cabang kepada pengislahan umat. Jangan sampai musuh luar jadi lebih bijak dan mengambil kesempatan kepada kebodohan pemimpin kita yang bertelagah macam tak ada akhirnya.


Sudah sampai masanya para ilmuan yang bersifat non-partisa mengimbangi suasana yang semakin tidak terkawal. Tidak dapat dinafikan negara kita empunya banyak masalah dalaman tetapi jangan sampai buta kepada musuh diluar yang senantiasa mengintai peluang untuk melapah umat.


Baca analisa menarik berkenaan Prof Hasbullah disini.


P/S: Betullah kata guru saya, Prof. Murad Merican bahawa politik di Malaysia ini amat dangkal sifatnya.

1 ulasan:

fahmi berkata...

salam tuan punya blog..
politik melampau mmg sedang melanda kita sejak 8 Mac 2008.. semakin ramai yg ambil berat politik Msia, semakin ramai yg mula meluahkan pendapat, & semakin ramai yg bertelagah atas pelbagai isu..
harap ia dikurangkan tp rakyat kita ambil berat pula atas hal lain spt ekonomi & sosial pula.. semoga Allah memberkati kita smua dunia akhirat